Wednesday, August 18, 2010

ISU PROGRAM REALITI TELEVISYEN

ISU PROGRAM REALITI TELEVISYEN

Tajuk : Pada masa ini, rancangan-rancangan hiburan berbentuk realiti di televisyen

telah menjadi kegilaan ramai. Para penonton dan masyarakat telah memberikan

perhatian dan sambutan yang sangat menggalakkan terhadap rancangan

tersebut.Berikan pendapat anda tentang kesan-kesan rancangan realiti di televisyen terhadap golongan remaja.


Fear Factor merupakan salah satu rancangan hiburan realiti di televisyen yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton di seluruh dunia. Rancangan Fear Factor disiarkan menerusi saluran NTV7 setiap hari Sabtu pukul 11.00 malam. Rancangan tersebut juga dapat ditonton menerusi saluran 5 televisyen Singapura setiap hari Rabu pukul 7.30 malam. Bagi peminat-peminat Fear Factor sehari tidak menonton rancangan tersebut bagaikan tidak lengkap kehidupan pada hari tersebut.Demikian juga hebatnya sambutan yang diberikan kepada rancangan Akademi Fantasia, My Team, One In A Million, Gang Starz dan Akademi Al-Quran. Namun demikian, sambutan yang sangat memberangsangkan terhadap rancangan-rancangan tersebut daripada kalangan remaja amat menggusarkan pelbagai pihak.

Remaja yang terlalu taksub dengan rancangan hiburan realiti akan membazirkan masa tanpa berfaedah. Setiap detik yang berlalu hanya membawa minda mereka ke alam hiburan realiti. Mereka sentiasa memikirkan perkara-perkara yang berkaitan dengan rancangan hiburan itu sambil terus meminggirkan perkara-perkara yang lebih penting, terutamanya pelajaran. Sebagai contoh, apabila rancangan Akademi Fantasia hampir ke udara, maka perasaan teruja akan menyebabkan remaja yang fanatik dengan rancangan itu akan melupakan hal-hal yang lain. Dalam konteks ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa rancangan realiti di televisyen mengakibatkan tumpuan pemikiran remaja beralih dari bidang akademik ke bidang yang remeh-temeh.

Kedapatan juga rancangan hiburan realiti di televisyen yang menggunakan kuasa penonton untuk menentukan pemenangnya.Pihak penganjur sengaja mengambil kesempatan dan peluang untukmenangguk di air yang keruh. Pada kelazimannya, penonton diberi kuasa mengundi pemenang menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS). Remaja yang taksub dengan peserta yang paling diminati sanggup melakukan apa-apa sahaja demi kejayaan peserta itu. Hal ini termasuklah mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang besar dengan mengundi menerusi SMS peserta yang diminati.Wang saku yang diberikan oleh ibu bapa untuk perbelanjaan di sekolah telah disalahgunakan. Mereka sanggup mengikat peruthanya semata-mata untuk membayar perkhidmatan telefon bimbit yang digunakan oleh mereka. Jelaslah di sini bahawa penyiaran rancangan hiburan berbentuk realiti di televisyen turut melibatkan pembaziran wang, terutamanya dalam kalangan remaja.

Gejala yang paling membimbangkan marcapada ini ialah pengaruhhedonisme yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat. Hedonisme merujuk kepada fahaman atau pegangan yang mementingkan hiburan dan keseronokan dalam kehidupan. Budaya ini turut disuburkan dengan program realiti yang telah mendapat sambutan hangat daripada kalangan remaja. Kemunculan rancangan hiburan yang berbentuk realiti telah menjadi virus yang menyebabkan barah dalam masyarakat semakin parah. Fanatisme terhadap hiburan telah menjadikan golongan remaja semakin alpa terhadap peranan dan tanggungjawab mereka yang sebenar. Keseronokan menghayati dunia hiburan telah mengatasi segala-galanya. Kaset, cakera padat, cakera padat video, cakera padat digital dan lambakan majalah hiburan memenuhi ruang kamar remaja. Demikian juga halnya dengan gambar dan poster bintang pujaan mereka yang memenuhi dinding, fail dan kulit buku remaja pelajar. Lantas, sajian rancangan hiburan berbentuk realiti telah menyubursegarkan fahaman hedonisme dalam kalangan remaja.

Intihanya, amat jelas bahawa rancangan hiburan berbentuk realiti di kaca televisyen telah meninggalkan impak yang negatif dalam kalangan remaja. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus berganding bahu bagi mengekang gejala tersebut daripada terus menjadi virus. Pihak penganjur dan penyiar tidak wajar memikirkan soal keuntungan semata-mata, sebaliknya aspek pembinaan minda golongan remaja perlu diutamakan. Ibu bapa pula harus memainkan tanggungjawab masing-masing supaya golongan remaja tidak mudah hanyut dalam gelombang hiburan yang semakin menggila.


Sumbangan : Jurulatih Utama Bahasa Melayu PPDJB