Friday, September 3, 2010

CONTOH PENULISAN CERPEN: HALILINTAR DI LAUTAN, TENANG DI PANTAI

CONTOH PENULISAN CERPEN: HALILINTAR DI LAUTAN, TENANG DI PANTAI
















Karya: Lukmanul Hakim (T5)

Memancing memang menjadi hobi sejak aku berumur enam tahun lagi. Kebetulan sewaktu itu aku dan keluarga menghuni sebuah rumah kuaters kerajaan yang tidak jauh dari kawasan sawah padi. Boleh dikatakan tiap-tiap petang dengan joran buluh berumpan anak kerengga, ikan puyu jadi mangsa. Kadang-kadang aku menahan tajut (taut) bersama ayah dan abang untuk menangkap ikan haruan dan ikan keli. Yang paling tidak menyeronokkan, spesies ini galak meragut umpan kala remang-remang senja. Orang kata waktu itu, makhluk halus pula akan mula berkeliaran. Kata ayahku, jangan sendiri cari nahas, tak berbaloi walau sebesar mana pun ikan keli atau haruan yang mungkin dapat.

Namun peristiwa pada cuti penggal ketiga tahun sudah, membuat aku mencongak diri sendiri. Sesuai dengan kata bidalan, ‘kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga”. Aku rasa sungguh kerdil dengan pengalaman memancing taraf amatur. Masih banyak perlu dipelajari. Jauh daripada mendabik dada, sebab ilmu dan alam Allah ini cukup luas.

Sebaik tamat musim persekolahan tahun lalu, aku terus menaiki bas untuk pulang bercuti ke kampung halaman yang terletak di sebuah negeri yang kaya dengan keindahan pantainya. Seronok sakan aku. Sesampainya aku di stesen bas, aku terus dijemput oleh Mat Zaki dan Mat Ibrahim (Zack dan Im), dua orang sepupuku yang juga gila joran macam aku. Semasa di sana, malam minggu adalah masa untuk ke laut. Kalau ombak kuat, kami akan berkhemah di tepi pantai sambil memancing sembilang dan gelama. Ada tuah kami dapat anak kerapu. Boleh tahan juga besarnya.

Kalau ada perahu pancung, kumpulan kami akan menyelusuri sungai yang sememangnya tersohor dengan “sang bedal” hingga lewat embun pagi. Pernah sekali, entah apa gerangannya, tiba-tiba ia timbul bersebelahan perahu kami. Cuma nampak bahagian kepalanya yang menggerutu sahaja. Seisi perahu pucat lesi. Ditakdirkan, kalau disondol sampan kami, alamat bala yang menimpa. Saiz kepalanya pun sama besar dengan tong drum. Selidik punya selidik, rupanya ada di antara kami yang culas waktu solat sebelum turun malam itu. Agaknya itu cuma teguran sang bedal.

Memandangkan Zack gemar memasak, jadi sebelum turun ke laut segala persiapan termasuk bekal lauk mesti ada. Entah macam mana pula hari itu aku membeli ubi kayu, lawannya tentulah ikan pekasam (wadi). Kalau dicicah sambal belacan, lagi “umph”.
Ketika perjalanan ke jeti. Sepupuku Im membeli beberapa sikat pisang emas. Buat penambah tenaga katanya. Tanpa membuang masa kami menuju ke destinasi.

Janji dengan Haji Derus yang petang itu akan menghantar kami ke sebuah pulau kecil lebih kurang 15 minit perjalanan dari pantai. Menurut penduduk setempat, pulau ini dikatakan dahulunya tempat berkumpul sekumpulan lanun. Haji Derus akan pulang semula hari esoknya untuk mengambil kami.

Aku, Zack dan Im cuma hendak memancing sambil bersantai. Segala-galanya berjalan lancar. Beberapa gelama papan, sembilang laut, malung dan ketuka dinaikkan. Apabila terasa lapar aku menyalakan unggun menanak nasi, membakar ubi kayu dan juga sedikit ikan ketuka hasil pancingan kami. Apalagi, masing-masing meluru ke periuk nasi. Habis licin goreng pekasam ikan puyu, ubi kayu dan ikan bakar dimakan dengan sambal belacan.

Dengan tiada pun satu awan mendung yang kelihatan, tanpa pun ada apa-apa perubahan angin, tidak semena-mena hujan lebat dan ribut turun mengganas. Kami berlari ke rimbunan pohon renek untuk berteduh. Ribut petir sabung menyabung. Kilauannya seperti di atas kepala. Ombak laut begitu kuat sekali kedengaran. Dalam kesejukan dan keadaan basah kuyup, terasa menyesal pun ada sebab orang lain enak tidur di rumah, kami kesejukkan menyabung nyawa di pulau terpencil. Hampir fajar subuh barulah hujan mula reda dan laut yang beralun mula tenang semula.

Habis semua tangkapan dan alat-alatan yang kami bawa dari rumah hilang dalam hujan. Entah kemana perginya semua. Dengan sehelai sepinggang dan kelaparan kami menantikan ketibaan Haji Derus.

Ketika dalam bot Haji Derus, masing-masing membungkam sepi. Zack yang biasanya kecoh seakan-akan hilang suara. Aku pula tercongak-congak, apa adakah kaitan ribut dengan seekor ikan berwajah hodoh yang memagut joranku. Mujur aku lepaskan semula ikan itu setelah dinasihatkan oleh sepupuku Im. Banyak persoalan tentang ribut semalam masih bermain di fikiran kami, ia seperti ada saja yang serba tak kena pada tempatnya.

Tiba di pantai ringkas saja sapaan Haji Derus, katanya malam itu di pantai tenang saja tanpa hujan, langit dipenuhi bintang. Terlopong aku seakan-akan dia ingin bergurau. Nampaknya kebolehan kami memancing di darat mungkin tidak dapat membaca misteri dunia laut dan khazanahnya.