Friday, September 3, 2010

PENULISAN KARANGAN BM (K1) SPM - BAHAGIAN B (ULASAN)

PENULISAN KARANGAN BM (K1) SPM - BAHAGIAN B (ULASAN)

Soalan:
Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran BM telah lama diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran dalam usaha menanamkan minat membaca bahan sastera dalam kalangan pelajar.
Tulis suatu ulasan berdasarkan sebuah cerpen yang disertakan dalamteks KOMSAS tersebut.

Judul Cerpen: Aku, Kris dan Kristal
Pengarang: Dina Mazlina Abu Bakar
Pengulas: Kong Ka Man
Penerbit: DBP
Harga: RM 5.70

Cerpen Aku, Kris dan Kristal (AKK) ini mengisahkan dunia persahabatan tiga orang sahabat baik yang bernama Hana, Kris dan Kristal. Mereka menuntut di Universiti Callege Cardiff, England. Hubungan mereka renggang apabila Kris mencintai Hana sedangkan Kristal pula mencintai Kris. Hana cuba mengelakkan diri daripada dicemburui oleh Kristal dengan memberitahunya bahawa dia mempunyai tunang di Malaysia. Apabila Kris mengetahui perkara itu, dia berasa kecewa dan membawa diri berpindah ke Jerman Barat. Kristal pula terlalu sedih atas pemergian Kris dan tidak dapat melupakan Kris dalam hidupnya. Kristal akhirnya mati kerana terlalu banyak mengambil pil tidur. Hana tidak dapat melupakan Kris dan Kristal dalam hidupnya. Kenangan lamanya mengimbau kembali apabila dia terkejut akan kehadiran seseorang yang amat dikenalinya memberikan salam, iaitu Kris. Dia bersyukur sambil memuji kebesaran Allah.

Cerpen ini bertemakan dunia percintaan. Konsep cinta dalam cerpen ini mempunyai pengertian yang lebih luas. Cerpen ini melibatkan cinta tiga segi antara benua yangberbeza agama, latar belakang bangsa dan budaya. Cinta tiga segi terbentuk antara tiga orang sahabat baik. Oleh sebab perbezaan agama, latar belakang bangsa dan budaya, Hana menolak cinta Kris. Kris pun berpindah ke Jerman Barat. Kristal pula kecewa apabila cintanya kepada Kris tidak bersambut lantas bertindak untuk membunuh diri setelah pemergian Kris. Konflik cinta tiga segi ini berjaya menarik perhatian dan menyebabkan pembaca teringin untuk mengetahui aspek peleraian cerita tersebut.

Dari segi penciptaan watak, pengarang telah menggunakan sudut pandangan orang pertama, iaitu Aku. Oleh itu, keseluruhan cerpen ini lebih berfokus kepada watak utama, Hana. Hana seorang anak kelahiran Malaysia yang sedang menuntut di Cardiff. Dia seorang gadis yang cantik, peramah, bijak dan kuat berpegang pada ajaran agamanya. Dengan ayat-ayat yang tertulis dengan cantik, pembaca dapat membuat gambaran tentang Hana. Watak Kris turut dikembangkan sebagai pembantu watak yang penting, begitu juga dengan watak Kristal. Ketiga-tiga watak ini telah berkawan rapat walaupun berbeza agama, latar belakang an budaya mereka. Namun begitu, watak Kristal yang senantiasa bersikap cemburu telah menyebabkan persahabatan mereka meniti bibit-bibit kemusnahan. Perwatakan cemburu Kristal telah mencetuskan konflik dalam cerpen ini, iaitu cinta tiga penjuru antara Hana, Kris dan Kristal akibat salam percintaan yang tidak berbalas.

Kekuatan cerpen ini terletak pada binaan plot ceritanya yang kukuh. Untuk mengembangkan plot agar cerpen ini lebih menyentuh hati pembaca, pengarang telah menggunakan pelbagai teknik plot. Salah satu daripadanya ialah teknik imbas kembali. Sebagai contohnya, fikiran pembaca akan turut melayang jauh dan mengimbas kembali semua peristiwa hubungan antara Hana, Kris dan Kristal yang dikenangi oleh Hana setelah tiga tahun dia berada di Cardiff. Selain itu, teknik dialog yang banyak digunakan dalam cerpen ini berjaya menghidupkan cerita. Pengarang juga menggunakan unsur kejuta dalam cerpen ini. Pada akhir cerita, peristiwa kedatangan Kris menemui Hana dan kisah Kris telah memeluk agama Islam telah mengejutkan pembaca.

Sebagai karya yang berpaksikan kecenderungan untuk mendidik, nilai kemanusiaan telah diutamakan dan diungguli oleh watak-watak dalam cerpen tersebut. Antara nilainya ialah kasih sayang. Cerpen ini telah memaparkan bahawa kasih sayang boleh tumbuh dalam kalangan bangsa dan agama yang berbeza. Kris mencintai Hana kerana sikapnya yang berbeza dengan gadis Barat. Selain itu, nilai keteguhan hati dan pendirian juga dipaparkan dalam cerpen ini. Hana yang berpegang kuat pada didikan agama tidak mudah terpengaruh oleh budaya dan cara hidup Barat. Dia tetap teguh akan budaya Melayu yang diwarisinya setelah tiga tahun berada di Cardiff.

Cerpen ini juga merupakan salah sebuah cerita yang boleh dijadikan panduan terbaik remaja pada hari ini dan masa depan. Mesejnya mudah difahami, iaitu jangan kita bersikap terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan dalam kehidupan sehari-hari. Tindakan Kristal membunuh diri ternyata negatif dan menyalahi hukum agama, terburu-buru dan mengikut hawa nafsu dan kata hati tanpa berfikir semasak-masaknya. Sebaliknya, kita harus bersikap seperti Hana. Sikap Hana yang sanggup berusaha untuk memelihara ikatan persahabatan patut diteladani kerana dia tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya senantiasa berusaha untuk menjaga hati sahabat agar tidak tersinggung. Kita juga perlu senantiasa beriman dan sabar dalam menempuh dugaan hidup yang kian mencabar ini. Hana mampu bertahan dengan prinsip dan agama serta tidak terpengaruh oleh budaya atau agama orang lain walaupun dia begitu mudah terdedah kepada budaya Barat.

Kesimpulannya kekuatan pada plot cerita memudahkan jalan dan mesej cerita mudah difahami dan menarik perhatian audien pembaca. Banyak nilai dan pengajaran yang dapat dimanfaatkan oleh pembaca. Oleh itu, cerpen AKK ini merupakan antara karya cerpen yang harus dibaca oleh para pelajar sekolah dan remaja agar dapat menanamkan minat membaca bahan sastera dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Kong Ka Man, Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg.Malim.