Friday, September 3, 2010

BAHASA MELAYU (K1) SPM - BAHAGIAN A

BAHASA MELAYU (K1) SPM - BAHAGIAN A

Gambar rajah di bawah ini adalah piramid makanan yang menjadi panduan utama amalan pemakanan. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan menjaga amalan pemakanan. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Makan Secara Sihat untuk Kesihatan Sepanjang Hayat

Dalam alaf yang moden ini, kesihatan badan merupakan salah satu aspek yang amat penting dan tidak boleh diabaikan oleh setiap manusia. Namun begitu, statistik telah menunjukkan tahap kesihatan rakyat Malaysia telah menurun dari semasa ke semasa. Antara punca yang utama ialah kebanyakan rakyat Malaysia begitu sibuk sehingga mereka mengabaikan amalan pemakanan seharian mereka. Oleh itu, beberapa langkah patut diambil oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga amalan pemakanan.

Sebenarnya menjaga amalan pemakanan amat penting dan patut dijadikan sebagai tabiat kehidupan setiap orang kerana kesihatan badan kita akan terjamin dengan mengamalkan tabiat tersebut. Dalam erti kata yang lain, badan kita akan memperoleh zat-zat yang secukupnya dengan menjaga amalan pemakanan kita dan seterusnya menjauhkan diri daripada ancaman penyakit. Contohnya, makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan banyak mengandungi vitamin yang diperlukan untuk sistem imuniti badan kita, bijirin dan roti pula banyak mengandungi karbohidrat yang diperlukan untuk menjana tenaga badan kita, protein boleh berfungsi membaiki sel-sel badan yang cedera dan minuman susu pula mengandungi mineral kalsium yang berkeupayaan untuk menguatkan tulang dan gigi kita.

Selain itu, menjaga amalan pemakanan juga diperlukan bagi membentuk gaya hidup yang sihat. Dalam pada itu, amalan tersebut boleh membantu kita mengawal tabiat pemakanan yang tidak sihat dengan berpandukan piramid makanan dan rujukan doktor atau pakar pemakanan. Tabiat pemakanan kita yang mengutamakan makanan berminyak, terutamanya makanan segera dapat diubah dan kesihatan badan dari segi fizikal dapat dibentuk. Di samping itu, kita juga boleh mengelakkan diri daripada mengambil ubat-ubatan dan pil-pil seperti pil langsing badan dan seterusnya mengelakkan kesan sampingan daripada pil ubatan tersebut.

Sebenarnya, tumbesaran kanak-kanak juga terpengaruh oleh amalan pemakanan seharaian mereka. Zat-zat yang diperoleh oleh kanak-kanak melalui amalan pemakanan yang sihat an seimbang amat diperlukan untuk memastikan kanak-kanak membesar dengan sihat serta memperkuat sistem imuniti mereka supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada menghidap penyakit yang berbahaya. Badan kanak-kanak yang sihat dan berfikiran cerdas juga membolehkan mereka mempunyai tumpuan yang secukupnya untuk menelaah buku-buku dan mengulang kaji pelajaran mereka bak kata otak yang cerdas berada pada badan yang cergas.

Kesimpulannya, amalan pemakanan yang sihat amat penting kepada semua orang termasuklah golongan kanak-kanak, muda-mudi dan orang tua. Oleh itu, semua pihak harus mengambil tindakan positif untuk mengubah amalan pemakanan yang tidak sihat supaya masyarakat yang sihat sepanjang hayat dapat dilahirkan untuk memajukan bangsa dan negara yang tercinta.

Tan Ke Yang, Tingkatan 5 Sains I, SMK Methodist, Tg. Malim.