Friday, September 3, 2010

Senarai Contoh Peribahasa Menarik Untuk Karangan/Perbualan Anda.

Senarai Contoh Peribahasa Menarik Untuk Karangan/Perbualan Anda.



Senarai Contoh Peribahasa/Cogan Kata menarik yang boleh anda gunakan dalam apa jua karangan anda atau sebarang jua bentuk perbualan/komunikasi anda.



Abjad A


Ada asap, ada api: Tidak boleh dipisahkan ada sebab maka ada juga puncanya.


Ada gula, adalah semut: Tempat yang menjanjikan rezeki akan dikerumuni.


Ada udang di sebalik batu: Mempunyai tujuan tersembunyi.


Alah bisa, tegal biasa: Kerana sudah biasa maka tidak terasa susahnya.


Alang leher, minta disembelih: Seolah-olah mengharapkan bencana/kesusahan.


Alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan: Membuat sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh sehingga selesai kerja tersebut.


Ambil pati, buang hampas: Ambil yang baik sahaja.


Api kecil baik dipadamkan: Sesuatu yang buruk lebih baik diatasi pada peringkat awalan sebelum ianya menjadi lebih buruk lagi.


Api tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar jadi lawan: Perkara yang baik boleh mendatangkan keburukan apabila terlalu banyak.


Aral melintang: Halangan yang tiba menjelma.


Asam garam kehidupan: Pengalaman hidup manusia.



Abjad B


Badan cergas, otak cerdas: Badan yang bertenaga dan sihat, akan dapat melahirkan pemikiran yang sempurna akalnya.


Bagai aur dengan tebing: Saling bantu membantu.


Bagai cendawan tumbuh selepas hujan: Sesuatu yang wujud dengan banyak.


Bagaimana acuan, begitulah kuihnya: Lazimnya perangai yang muda akan mencontohi (mengikuti) yang lebih tua darinya.


Bangkit hatinya: Menimbulkan keberanian dirinya.


Bapa borek, anak rintik: Perangai anaknya mengikut perangai bapanya. (Namun berhati-hati dalam penggunaan peribahasa ini).


Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian:

Kesenangan akan tiba selepas kita telah bersusah payah mencari kejayaan.


Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul: Hanya orang yang mengalami sesuatu keadaan sahaja akan benar-benar mengetahui (kesusahan) mengenainya.


Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing: Berat kerja sama-sama diharungi dan kemudiannya kesenanangan pula akan sama-sama dikecapi.


Berganding bahu: Bekerjasama (tolong menolong).


Berpeluk tubuh: Tidak mahu memberikan pertolongan, hanya tunggu dan lihat sahaja.


Bersatu kita teguh bercerai kita roboh: (Perlu saya bagi penerangan pada anda semua?)


Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi: Untuk menjayakan sesuatu, kedua belah pihak perlu bersepakat dan bersama bertanggungjawab (kegunaan untuk ayat positif dan juga yang negatif).


Bidan terjun: Orang yang menggantikan tugas orang lain, selalunya untuk jangkamasa yang tidak tetap dan dilakukan dengan cara yang agak kucar-kacir.


Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali: Buat baik biarlah pada tempat yang betul dan dengan cara yang betul, buat jahat jauhkan sama sekali dalam kehidupan ini.


Bukan bersuluh batang pisang, bersuluh bulan matahari: Kebenaran yang nyata akan dapat dilihat/dinilai oleh semua.


Bukan calang-calang: Bukan sebarangan/susah untuk ditandingi.


Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat: Kata sepakat akan membawa berkat.


Buta huruf: Orang yang tidak tahu membaca dan menulis (jika anda terjumpa seseorang begini, bantulah mereka sedaya-upaya anda agar mereka juga mampu membaca).



Abjad C


Calang orang: Bukan sebarangan, handal, hebat (macam Negarawan Tun Dr. Mahathir!)


Ceruk Rantau: Seluruh kawasan, merata daerah.


Conteng arang di muka: Memalukan diri sendiri.


Cacing kepanasan: Tak boleh duduk diam dalam kelas! Cacing!