Friday, September 3, 2010

SEMANGAT KEJIRANAN

SEMANGAT KEJIRANAN

SEMANGAT KEJIRANAN

@Rakyat Malaysia keseluruhannya perlu mensyukuri, menghayati dan menghargai keamanan yang dinikmati di negara ini. Mereka perlu meningkatkan semangat kejiranan dan persaudaraan, kerana konsep kejiranan mampu membawa dan mengekalkan keamanan, keselamatan dan ketenteraman di negara ini.

@Keselamatan dan keamanan yang terdapat di negara kita ini telah diusahakan oleh pemerintah dengan penuh tanggungjawab. Sistem pentadbiran kita itu menjadikan negara kita ini selamat, dan aman. Keamanan dan ketenteraman ini pula menjadikan negara kita lebih maju jika dibandingkan dengan sesetengah negara sedang membangun.

@Keamanan dan ketenteraman inilah yang hendak kita pertahankan. Kalau kita tidak berusaha mempertahankan keamanan, negara akan menjadi kacau bilau dan huru hara. Keamanan tidak akan tercapai kalau kita tidak mempunyai suasana yang baik dan jika tidak wujud perpaduan. @Rakyat harus menghargai dan mensyukuri keamanan. Sekiranya negara menjadi huru hara, pemulihan untuk menjadi aman semula bukan suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan.Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 merupakan contoh ampuh untuk dijadikan iktibar.

@Konsep kejiranan serta konsep persaudaraan memang cukup menarik dan mesti dikekalkan.Konsep kejiranan dan persaudaraan ini adalah sebahagian daripada perkara yang dianjurkan oleh Islam. Suatu nilai yang paling utama dianjurkan oleh Islam ialah persaudaraan dan kejiranan ada hubung kaitnya dengan dengan persaudaraan, atau ukhuwah. Melalui persaudaraan dan semangat kejiranan, dapat diwujudkan rasa kasih , sayang menyayangi, bantu membantu, hingga timbul suatu kekuatan dalam kalangan rakyat untuk tolong-menolong, ingat-mengingati, tegur-menegur, sehinggakan seseorang itu merasakan dirinya begitu lemah jika tanpa berjiran.

@Semangat kejiranan dan persaudaraan yang akrab juga akan dapat menghilangkan perasaan iri hati, berdengki, bermusuh-musuhan dan sifat-sifat negatif lain yang boleh membawa kepada perpecahan. Jika kita dapat benar-benar mengamalkan semangat kejiranan akan timbullah sifat bersih hati dalam kalangan masyarakat.

@Jiran ialah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Kerana itu,jiran ialah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang akan menambahkan pengetahuan dan memberi manfaat kepada kita.

@Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Keselamatan Kawasan. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat dan sumbang mahram dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlaku perkara- perkara yang meragukan.

@Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Kita hendaklah membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.

@Kita perlu meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan semangat hidup berjiran.Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahinya.Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila kita atau mereka sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung dan sebagainya sememangnya dapat memupuk dan meyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.

@Peranan jiran amat penting dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan. Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan yang mendapat keberkatan adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.

Sumber : Blog Cikgu Shuhaimi