Friday, September 3, 2010

MODEL KARANGAN GALUS SPM: USAHA-USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

MODEL KARANGAN GALUS SPM: USAHA-USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL




PERANAN PIHAK SEKOLAH
- Melalui aktiviti kokurikulum
- Contohnya penubuhan kelab
permainan tradisional
- Menganjurkan pertandingan
tradisional
- dapat meningkatkan kesihatan tubuh badan
- dapat menarik minat pelajar

PERANAN MEDIA MASSA
- menghebahkan permainan tradisional melalui surat khabar, televisyen, majalah, radio dan internet.
- Menganjurkan pertandingan melalui program jom heboh atau mytv3.
- Contohnya layang-layang tercantik, teng-teng, congkak dan sebagainya

PERANAN INDIVIDU
- Setiap individu mestilah mempelajari permainan tradisional
- Setiap individu juga mestilah mengambil bahagian didalam pertandingan
- Contohnya pihak sekolah mengadakan pertandingan congkak, dam , batu seremban, gasing, layang-layang dan sebagainya.

PERANAN PIHAK KERAJAAN
- Mengadakan pesta permainan tradisional
- Contohnya Festival Layang-Layang di Pasir Gudang, Johor.
- Setiap negeri mestilah mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut

PERANAN MASYARAKAT
- memberikan sokongan dengan menubuhkan kelab permainan tradisional di tempat tinggal.
- Menganjurkan pertandingan di peringkat kampung atau kawasan perumahan
- Contohnya permainan gasing dan layang-layang

PERANAN IBU BAPA
- ibu bapa memperkenalkan permainan tradisional sejak kecil lagi
- ibu bapa perlu meluangkan masa bersama-masa anak-anak untuk bermain permainan ini.
- Contohnya bermain congkak pada masa lapang



KARANGAN LENGKAP

Pada hari ini, permainan tradisional mula dilupakan. Antara permainan tradisional tersebut ialah permainan gasing, layang-layang, congkak dan sebagainya. Hal ini disebabkan oleh banyaknya permainan video dan permainan komputer di pasaran. Sebagai contoh play station, game boy dan permainan internet. Oleh itu, usaha-usaha perlu diambil untuk mempopularkan permainan ini.

Salah satu usaha bagi mempopularkan permainan tradisional adalah melalui pihak sekolah. Pihak sekolah perlu mengadakan kegiatan kokurikulum yang berkaitan dengan permainan tradisional. Pihak sekolah perlu menubuhkan Kelab Permainan Tradisional. Usaha ini bertujuan untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar-pelajar. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah pertandingan congkak, sepak raga, gasing dan sebagainya. Aktiviti ini boleh memberikan tubuh badan yang sihat. Jelaslah bahawa usaha ini dapat mempopularkan permainan tradisional.

Peranan ibu bapa juga penting untuk mempopularkan permainan tradisional kepada anak-anak . Ibu bapa perlu memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama dengan anak-anak dengan bermain permainan tradisional seperti bermain congkak. Ibu bapa juga boleh membelikan permainan tradisional seperti gasing, congkak dan layang-layang. Jelaslah bahawa peranan ibu bapa penting dalam mempopularkan permainan tradisional kepada anak-anak.

Usaha seterusnya ialah peranan masyarakat. Masyarakat boleh memberikan sokongan dengan menubuhkan persatuan atau kelab permainan tradisional di tempat tinggal mereka. Mereka boleh bermain pada masa lapang. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan di peringkat kampung atau antara kampung. Sebagai contoh permainan gasing, layang-layang dan sepak raga. Pertandingan ini dapat memperkenalkan dan menonjolkan bakat seseorang dalam permainan tradisional. Oleh itu, peranan masyarakat amat penting dalam usaha mempopularkan permainan tradisional.

Individu juga berperanan dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Mereka hendaklah menanamkan sikap suka dan ingin tahu tentang permainan tradisional. Dengan mempelajari dan mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional setiap individu dapat mengurangkan diri mereka daripada terlibat dengan permainan moden seperti permainan elektronik. Penyertaan pelajar dalam pertandingan yang diadakan oleh pihak sekolah dan masyarakat dapat membantu pelajar mencintai dan meminati permainan tradisional. Oleh yang demikian, peranan individu amat penting dalam mempopularkan permainan tradisional.

Pihak media massa perlu menghebahkan kelebihan permainan tradisional kepada masyarakat. Hebahan boleh dilakukan melalui surat khabar, televisyen, majalah dan internet. Contohnya, TV3 melalui program Jom Heboh boleh mengadakan pertandingan permainan tradisional seperti permainan gasing, congkak dan sebagainya. Sesungguhnya, media massa mampu memperkenalkan permainan tradisioanl kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pesta permainan tradisional pada setiap tahun. Setiap negeri mestilah mengambil bahagian untuk memeriahkan pesta tersebut. Contohnya, Festival Layang-layang di Pasir Gudang, Johor bukan sahaja disertai oleh rakyat tempatan malahan masyarakat antarabangsa. Tegasnya, pihak kerajaan haruslah memainkan peranan dan memastikan permainan tradisional diminati oleh rakyat.

Kesimpulannya, terdapat banyak usaha untuk mempopularkan permainan tradisional. Ringkasnya, semua pihak memainkan peranan penting dalam mempopularkan permainan tradisional. Hal ini demikian agar permainan ini ”tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas”.