Sunday, September 12, 2010

LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KILANG COKLAT CADBURY

Karangan Panjang PMR Ramalan 1 ialah Karangan Jenis Laporan. Baca dan perhatikan format di bawah. Saya berharap para pelajar mempelajari dan mengingati formatnya.

LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KILANG COKLAT CADBURY

Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang Coklat Cadbury yang terletak di Shah Alam pada 15 Jun 2008. Rombongan ini terdiri daripada empat puluh orang ahli Persatuan Geografi dan tiga orang guru pengiring, yakni Puan Saloma, Puan Zubaidah, dan Puan Siti Muqalmah. Seawal lapan pagi lagi, para pelajar dan guru yang terlibat sudah menaiki bas yang disewa khas oleh ahli jawatankuasa lawatan ini. Perjalanan mengambil masa tiga puluh minit sahaja kerana antara jarak sekolah dengan kilang tersebut hanya 20 kilometer.

Sebaik-baik sahaja tiba di kilang tersebut, rombongan kami disambut dengan tangan terbuka oleh pengurus pemasaran dan promosi, Encik Soo Ming Lei. Encik Soo telah membawa kami ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat tiga Wisma Cadbury. Di dalam bilik mesyuarat itu, kami diberi penerangan sejarah penubuhan kilang coklat secara ringkas tapi jelas. Selepas mendengar taklimat, ahli rombongan pun bersemangat tinggi dan menanyakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan kilang coklat tersebut. Hal ini demikian kerana mereka perlu menyediakan laporan lawatan ini.

Program pascataklimat ialah memulakan lawatan ke bahagian memproses coklat. Kami dibawa ke bahagian paling penting, yakni zon penyediaan. Di kawasan itu, kami diberi pakaian berupa tudung kepala, penutup mulut, dan sarung tangan. Langkah penyediaan yang bersih dan selamat adalah penting kata Encik Soo kerana pihak kilang amat mementingkan soal kualiti coklat. Hal ini demikian kerana kebersihan menjamin mutu makanan yang disediakan. Kami melihat sendiri biji koko panggang dikisar dengan sebuah mesin. Selepas itu, koko yang lumat dimasak bersama gula dan susu yang diimport khas.

Selepas proses penyediaan selesai, coklat dalam bentuk cecair pekat yang mencapai kepanasan seratus lima puluh darjah itu disalurkan ke paip besar yang menuju ke bahagian pemprosesan coklat prapembungkusan. Di bahagian itu, kami dapat melihat pelbagai jenis coklat berjaya diproses dengan mesin yang canggih. Mesin itu seterusnya menghantar jongkong-jongkong coklat yang sudah siap diproses menuju ke peringkat pembungkusan mengikut saiz dan perisa. Di bahagian ini, bilangan pekerja yang banyak diperlukan untuk menyudahkan proses pembungkusan sehingga proses akhir, penyimpanan.

Sepanjang lawatan di bahagian penyediaan, kami telah mengemukakan soalan tentang kepentingan penyediaan makanan yang selamat. Sepanjang dua jam lawatan, kami berasa teruja dan berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan. Walau bagaimanapun, kami berasa penat kerana kawasan pemprosesan kilang ini amat besar. Di bilik mesyuarat, kami diberi taklimat multimedia berkaitan perancangan masa depan kilang coklat ini. Daripada taklimat multimedia ini, kami berasa kagum akan semangat pengurusan syarikat ini yang memegang para prinsip “genggam bara api biar jadi abu”.

Sebelum mengakhiri lawatan, Pengarah Urusan Kilang Cadbury telah meluangkan masa untuk berjumpa dengan ahli rombongan sekali gus menyampaikan cenderahati kepada kami. Selain itu, kami juga diberi baucar istimewa untuk membeli coklat dengan potongan harga sebanyak dua puluh hingga empat puluh peratus. Selepas bersalam dengan tuan pengarah, kami pun menuju ke kedai coklat yang terletak di sebelah pintu besar kilang itu. Ahli rombongan yang selesai membeli coklat bersiap sedia menaiki bas untuk pulang ke sekolah.

Rombongan ini tiba di sekolah pada pukul dua belas tengah hari. Cikgu Saloma yang bertugas menjaga disiplin pelajar berpuas hati dengan kelakuan ahli rombongan walaupun ada segelintir daripada mereka yang mulut murai. Akhirnya, murid-murid pun pulang ke rumah masing-masing. Lawatan sambil belajar seperti ini amat bermanfaat kepada pelajar. Selain mendapat ilmu dan pengalaman, kami juga berjaya menimba pengetahuan tentang pengurusan kilang. Hal ini ibarat sambil menyelam minum air. Kami berharap lawatan umpama ini akan dijadikan agenda tahunan Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria.

Laporan disediakan oleh,
29 JUN 2008.

Amalina
(SITI NUR AMALINA BINTI AZMAN DARUS)
Setiausaha Persatuan Geografi
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria.

kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita

Karangan Bergambar PMR Ramalan 9- Kebaikan Sektor Pelancongan kepada Negara

Lihat iklan kempen Cuti-cuti Malaysia di bwah dengan teliti, kemudian tulis sebuah karangan tentang kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita. Karangan anda hendaklah kurang daripada 120 patah perkataan.
Negara Malaysia sudah menjadi destinasi pelancongan bertaraf lima bintang sejak kempen Cuti-cuti Malaysia dilancarkan. Realitinya, sektor pelancongan banyak membawa kebaikan kepada negara.


Dari segi ekonomi, negara kita mendapat banyak keuntungan. Hal ini demikian kerana aktiviti pelancongan meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan. Fenomena yang sihat ini sekali gus menstabilkan ekonomi negara.


Di samping itu, pengaliran masuk mata wang asing ke Malaysia dapat membaik pulih kegawatan ekonomi yang pernah melanda negara. Kedudukan ringgit terus kukuh dan stabil setaraf mata wang asing utama. Hal ini demikian kerana peningkatan aktiviti jual beli di dalam negara.


Sementara itu, sektor pelancongan turut menjadi pemangkin pembangunan negara. Hal ini demikian kerana kita dapat membangunkan negara dengan lebih lancar akibat keperluan sektor pelancongan. Olel hal yang demikian, Wawasan 2020 yang menjadi aspirasi kerajaan mampu dicapai mengikut jadual.


Konklusinya, kempen pelancongan di Malaysia perlulah dipergiat lagi. Dengan kemajuan sektor ini, kerajaan dapat membangunkan pelbagai bidang maslahat yang lain.

kepentingan hutan kepada benda hidup

Gambar di bawah menunjukkan hutan yang malar hijau di Malaysia. Tulis sebuah karangan tentang kepentingan hutan kepada benda hidup. Panjangnya karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.


[ 20 markah ]

Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada hidupan sarwa alam. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.


Hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Dengan ini, kita dapat menggunakannya dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti memcuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.


Selain itu, hutan juga menjadi kawasan mainan fauna di muka bumi ini. Hutan yang berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna, hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna. Hal ini demikian kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan.


Sementara itu, hutan juga dapat memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.


Hutan ialah tempat manusia mencari rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Saya berharap amalan perubatan tradisional dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.


Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

Isi Penting Karangan

Isi Penting Karangan

MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

Kesalahan yang dikaitkan dengan masalah sosial:
Mencuri, memeras ugut, penyeluk saku, merokok, mengambil dadah ringan seperti ganja
ponteng sekolah, ponteng kelas,merogol, khalwat, hubungan sejenis, sumbang muhrim atau mahram, melepak, bergaduh, tidak menghormati orang yang lebih tua,mengunjungi pusat hiburan seperti disko, pengambilan pil khayal


Punca
1. Ibu bapa mengabaikan tanggungjawab
2. keadaan keluarga porak-peranda
3. Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak dan memberikan kebebasan
4. Pengaruh rakan sebaya
5. Pengaruh media massa seperti filem lucah dan ganas
6. Masyarakat tidak prihatin dan memandang rendah masalah ini

Kesan masalah sosial dalam kalangan remaja
1. Merugikan masa dan tenaga anak-anak
2. Ibu bapa dan ahli keluarga mendapat malu
3. Masyarakat memandang hina remaja tersebut
4. Akan ditertawakan oleh rakan-rakan
5. Masa depan hancur
6. Negara akan kekurangan bakal peneraju yang berwawasan

Langkah-langkah mengatasi masalah sosial
1. Ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak
2. Peka terhadap perubahan sikap anak-anak
3. Menyelesaikan masalah keluarga
4. Meluangkan masa berbincang dan bersama keluarga
5. Mewujudkan semula fungsi “Rumahku Syurgaku”
6. Memberi didikan agama dan moral kepada anak-anak.

PEKERJA ASING

Maklumat am
pendatang asing
datang dari negara jiran seperti Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, India, China, dan banyak lagi - ada yang membawa penyakit berjangkit ke Malaysia
setiap tahun, lebih 10,000 ribu pendatang haram ditangkap - meninggalkan anak-anak dan isteri di rumah

Punca kedatangan mereka
1. Kemiskinan
2. Peluang pekerjaan di negara asal terhad
3. Ingin lari daripada kes jenayah yang dilakukan di negara asal
4. Negara asal tidak aman à peperangan, bencana alam, rusuhan kaum
5. Majikan tempatan suka menggaji mereka - gaji rendah
6. Sanggup bekerja untuk jangka masa panjang dan kerja berat

Kesan (Kebaikan)
1. Dapat menampung kekurangan pekerja di sektor perladangan, pertanian
2. Membantu mempercepat proses pembangunan negara
3. Meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran negara dalam pelbagai sektor
4. Meningkatkan percambahan idea antara pekerja asing dan tempatan demi kemajuan

Kesan (Keburukan)
1. Menimbulkan keadaan sesak
2. Bertambahnya kadar jenayah
3. Menularkan kemasukan budaya yang tidak sihat dari negara asal mereka
4. Menyempitkan peluang pekerjaan rakyat tempatan
5. pengeluaran nilai mata wang ringgit (merugikan negara)

Langkah Mengatasinya
1. Pengawasan kawasan sempadan harus diperketat
2. Penghantaran pulang pendatang haram yang ditangkap
3. Memperketat undang-undang
4. Kerajaan harus membenarkan sektor tertentu sahaja yang boleh menggaji pekerja asing

RASUAH

Punca
1. Keimanan yang tidak kuat untuk menolak rasuah
2. Ingin cepat menjadi kaya dengan senang dan mudah
3. Kesalahan menerima rasuah tidak diketahui oleh pegawai atasan
4. Tindakan mengesan rasuah sukar dan memakan masa yang panjang
5. Penerima dan pemberi rasuah mempunyai pelbagai taktik dalam menghulurkan rasuah
6. Orang ramai tidak mahu memberi kerjasama dalam membanterasnya
7. Tidak mahu membayar kadar saman yang terlalu tinggi

Kesan
1. Wujud ketidakadilan dalam masyarakat
2. Profesion Keselamatan akan dipandang hina
3. Golongan miskin terus tertindas
4. Golongan yang membuat kesalahan terus dapat menyembunyikan kesalahan
5. Jenayah terus meningkat tetapi tidak dapat dibanteras
6. Masyarakat luar akan melabelkan Malaysia sebagai sarang rasuah

Langkah-langkah Mengatasinya
1. Memberikan kesedaran kepada orang ramai
2. Menerapkan nilai-nilai murni dan menerangkan natijah rasuah sejak bangku sekolah lagi.
3. Melatih kakitangan kerajaan dan swasta agar lebih bersikap profesional
4. Mengambil tindakan tegas ke atas penerima dan pemberi rasuah
5. Memperkasa dan Mengubah suai fungsi Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar lebih berfungsi dan digeruni
6. Mengikut cara Polis Diraja Hong Kong - Setiap saman yang dikeluarkan oleh pegawai polis akan menyebabkan mereka diberi komisen dan elaun.
7. Kempen memerangi amalan rasuah harus diperhebat di setiap pelosok negara.


TEKNOLOGI MAKLUMAT

Kebaikannya
1. Membantu memajukan bidang perniagaan
2. Memudahkan perhubungan sesama pekerja atau pelanggan
3. memberikan pulangan yang menguntungkan dalam bidang perniagaan
4. Bercambahnya kafe siber yang menyediakan kemudahan internet
5. Memperoleh pelbagai maklumat
6. Memperluas pengetahuan pelbagai golongan masyarakat
7. Mewujudkan kehidupan yang lebih sejahtera
8. Mewujudkan persaingan yang sihat dalam arus globalisasi

Keburukannya
1. Mengubah struktur dan budaya masyarakat
2. memberi peluang kepada pihak musuh untuk mencuri maklumat dari sesebuah negara
3. Mewujudkan sindrom ketagihan di kalangan pengguna internet
4. Masyarakat terdedah kepada unsur-unsur negatif
5. Meningkatkan masalah sosial
6. membuang masa golongan remaja yang menyalahgunakan internet dengan mewujudkan kegiatan “lepak siber”

Langkah-langkah Mengatasinya
1. Menguatkuasakan undang-undang berkaitan jenayah siber
2. Masyarakat harus diseru agar tidak menyalahgunakan internet untuk tujuan negatif
3. Kerajaan harus berusaha membina aplikasi yang dapat menjaring dan menapis kemasukan unsur-unsur negatif dalam keadaan dasar langit terbuka.
4. Pelajar mesti dididik supaya tidak membuat sesuatu yang mengkhianati negara.
5. Pihak sekolah harus menyalurkan pendidikan dari segi kepentingan teknologi maklumat dalam pembelajaran daripada menanam pemikir4an negatif.
6. Ibu bapa harus berupaya mengetahui kebaikan dan keburukan teknologi dan berusaha dalam mendidik anak-anak mengetahui natijah penyalahgunaan internet.

KAFE SIBER

Kebaikannya
1. Mengembangkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan masyarakat
2. Memberi kemudahan kepada sesiapa yang tidak mempunyai kemudahan melayari internet di rumah
3. Membantu para pelajar mendapatkan maklumat
4. Menggalakkan perhubungan antara manusia
5. Mengembangkan peluang perniagaan
6. Menambah kadar celik komputer di kalangan rakyat Malaysia

Kesan Penyalahgunaannya
1. Melihat dan menyebarkan gambar lucah
2. Menggunakan kata-kata lucah ketika berbual dalam ruangan sembang
3. Penggunaan identiti palsu dalam menjalinkan hubungan
4. Kafe siber menjadi sarang ponteng sekolah, melepak dan pengumpulan kegiatan gengsterisme
5. Kafe siber menjadi tempat bermadu kasih di kalangan remaja
6. Pemikiran pengguna kafe siber dicemari dengan unsur-unsur negatif
7. Kafe siber juga menjadi tempat pelajar belajar merokok, melayari dan berjudi dalam internet
Langkah-langkah mengatasinya
1. Penubuhan kafe sber harus mendapat pemantauan pihak berkuasa
2. Peraturan ketat harus diperkenalkan kepada pengusaha kafe siber yang ingin menjalankan perniagaan tersebut.
3. Kafe siber harus dijadikan tempat larangan pelajar yang berpakaian uniform, merokok dan pelayaran laman web lucah.
4. Pusat siber tidak dibenarkan beroperasi sekurang-kurangnya 2 kilometer dari sekolah atau pusat tuisyen
5. Ibu bapa harus mengawal pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka.
6. Pemantauan juga harus dilakukan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa.

BENCANA ALAM ( Gempa bumi, Banjir kilat, hakisan tanah )

Punca Bencana alam
1. Kegiatan pembalakan tidak terkawal
2. Menerima tempias negara-negara jiran
3. Cengkaman tanah longgar
4. Pembangunan yang tidak sistematik
5. Sistem saliran diabaikan dalam pembangunan sesuatu tempat
6. Kurangnya kesedaran sivik di kalangan rakyat

Kesan Banjir kilat, tanah runtuh atau hakisan tanah
1. Kematian meningkat
2. Penyakit berjangkit menular
3. Kerugian harta benda dan dokumen penting
4. Memberi kesan kepada bidang pembangunan dan ekonomi
5. Harta rumah di kawasan berhampiran akan jatuh mendadak
6. Jalan raya terpaksa ditutup dan kesesakan berlaku
7. Anak-anak tidak dapat menghadiri kelas
8. Penduduk tidak dapat pergi bekerja

Cadangan untuk mengatasi masalah
1. Media massa perlulah segera menyebarkan maklumat tentang kemungkinan berlakunya bencana alam agar penduduk bersiap sedia.
2. Pihak bertanggungjawab harus mendidik penduduk tentang cara menyelamatkan diri
3. Kemudahan peralatan yang berteknologi tinggi perlu disediakan
4. Mengharamkan pembinaan bangunan-bangunan tinggi di lereng bukit
5. Bangunan yang tinggi wajar dibina di tempat yang berkedudukan lebih rendah dan berisiko menghadapi banjir
6. Sistem saliran, sungai, parit, dan longkang perlu diperdalam dan diperluas
7. Pembalakan dan penerokaan haruslah dilakukan dengan lebih terancang
8. Penambahan loji-loji bekalan air perlu untuk menampung kegunaan pada musim kemarau
9. Bekalan makanan mesti mencukupi di samping pakaian.


PENCEMARAN ALAM

Punca pencemaran bunyi
1. Kilang
2. Kawasan Perindustrian
3. Tinggal berdekatan dengan jalan raya
4. Anak-anak bising

Kesan
1. Hidup tidak selesa
2. Kesihatan terjejas
3. Hilang semangat
4. Cepat marah

Cadangan untuk mengatasi masalah
1. Beli rumah di kawasan yang sunyi dan mendamaikan
2. Tenangkan fikiran
3. Membuat aduan kepada pihak berkuasa
4. Pindah rumah

Punca pencemaran sungai
1. Pembuangan sisa-sisa toksik dari kilang
2. Penduduk membuang sampah ke dalam sungai sesuka hati
3. Tidak menghargai alam sekitar
4. Kelemahan penguatkuasaan undang-undang

Kesan
1. Hidupan akuatik terjejas
2. Air sungai tercemar
3. Sumber air terjejas
4. menyusahkan penduduk di pinggir sungai

Cadangan untuk mengatasi masalah
1. Penguatkuasaan undang-undang
2. Meningkatkan kesedaran
3. Membuat aduan kepada pihak berkuasa
4. Kempen secara besar-besaran

KEMALANGAN JALAN RAYA
Punca
1. Kecuaian pemandu yang tidak berdisiplin
2. Minum minuman keras semasa memandu
3. Makan dan minum serta kurang memberikan tumpuan
4. Pengabaian servis kereta
5. Mendengar telefon bimbit sambil memandu
6. Keadaan jalan raya kurang sempurna dan berlubang-lubang
7. Lebuh raya yang terlalu lurus dan mengantuk pemandu
8. Papan tanda kurang jelas
9. Faktor geografi / cuaca seperti angin lintang dan tanah mendap
10. Perlumbaan haram atau tiada lesen memandu
Kesan
1. Kadar kematian meningkat
2. Mangsa cedera parah / mengalami kecacatan
3. Mengakibatkan kerugian
4. Kesesakan jalan berlaku
5. Menyusahkan pengguna jalan raya yang lain
6. Melambatkan perjalanan ke sesuatu destinasi
Langkah mengatasinya
Mendapat rehat yang mencukupi sebelum memandu perjalanan yang jauh
Memasang papan tanda yang jelas terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi
Meningkatkan kadar saman bagi pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan
Membina jalan yang tidak terlalu lurus
Memperbanyak perhentian atau kawasan rehat dan tandas
Merancang perjalanan
Membina jejantas untuk pejalan kaki
Mengawal had laju terutama di kawasan yang berselekoh dan berisiko tinggi
Menaik taraf kualiti jalan raya
Jangan makan, minum atau menggunakan telefon bimbit tanpa alat pendengar

KESESAKAN LALU LINTAS
Punca
1. Taraf hidup meningkat menyebabkan masyarakat mampu memiliki lebih daripada sebuah kenderaan
2. Jalan raya sempit
3. Penggunaan kenderaan yang terlalu kerap untuk pergi ke sesuatu tempat
4. Pengangkutan awam yang tidak selesa dan sistematik
5. Teksi lebih mahal
6. Tidak biasa berkongsi kenderaan
7. Menganggap penggunaan motosikal dan basikal memalukan

Kesan
1. Masyarakat kota terperangkap berjam-jam lamanya di jalan raya
2. Pencemaran asap karbon monoksida
3. Kos hidup meningkat
4. Lambat tidak di tempat kerja
5. Membuang masa dan tenaga
6. Menyebabkan keletihan dan mempengaruhi kualiti kerja
7. Pembangunan akan dianggap tidak seimbang

Langkah
1. Penggunaan kenderaan awam harus dipertingkatkan
2. Menyediakan kemudahan awam yang selesa, mudah dan murah tambangnya
3. mengawal kemasukan jumlah kenderaan di jalan yang sempit
4. memperlebar jalan
5. Kenderaan yang lama dan mudah rosak tidak harus masuk ke jalan yang sesak
6. Kawalan polis trafik pada waktu puncak kesibukan
7. Berkongsi kereta dengan orang yang dikenali atau rakan sepejabat
8. Menggunakan kenderaan ringan seperti motosikal, basikal untuk perjalanan yang dekat



BUDAYA MEMBACA

Usaha meningkatkan minat membaca
1. Ibu bapa harus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak
2. Menyediakan perpustakaan mini di rumah
3. Memperbanyak perpustakaan awam dengan dilengkapi buku-buku berkualiti
4. Syarikat penerbitan tidak harus berhenti menerbitkan buku yang bermutu
5. Cukai buku import harus dikurangkan agar dapat menggalakkan pembelian buku bacaan
6. Kempen secara besar-besaran harus dilancarkan

MEMPROMOSI BUAH-BUAHAN TEMPATAN
Usaha mempromosi
1. Kempen makan buah-buahan tempatan
2. Pihak pengusaha hotel harus memperkenalkan jus buah-buahan tempatan kepada pelanggan
3. Menurunkan harga buah-buahan tempatan
4. Menyiarkan dokumentari tentang khasiat buah-buahan tempatan
5. Menambah kawasan penanaman buah-buahan tempatan
6. Menggantikan minuman bergas dengan jus buah-buahan tempatan yang lebih berkhasiat
7. Ibu bapa harus menyahut seruan kerajaan

*Ingat Dalam Penulisan Karangan Tidak boleh wujud perkataan berikut:

1. Ini kerana
2. Selain daripada itu
3. Oleh kerana
4. Sejak dari
5. Demi untuk
6. Hukum DM à Banyak lori-lori
7. Walaupun….namun,
8. Singkatan kata
9. Kesalahan penggunaan dari dan daripada
10. Kesalahan imbuhan

Keracunan Makanan

Keracunan Makanan - Topik Permintaan Pelajar

Definisi
Keracunan merjuk kepada gangguan sistem fizikal badan manusia disebabkan samada terhidu, tersentuh atau termakan bahan kimia beracun daripada makmal, bengkel atau berpunca daripada makanan yang dimakan yang tidak bersih atau mengandungi racun.

Polisi
Bebas daripada insiden keracunan.

Objektif
1. Mencegah daripada berlaku keracunan , dan mengambil tindakan betul jika berlaku keracunan di sekolah.
2. Sedar bahaya kimia berracun dan berhati-hati setiapkali berada di makmal atau bengkel.
3. Tahu tindakan yang perlu dibuat jika berlaku keracunan.

Tanggungjawab Pelajar
1. Melaporkan serta-merta kepada guru jika insiden keracunan berlaku.
2. Menyimpan sampel/contoh kimia atau makanan yang dipercayai punca keracunan.
3. Membaca dan mematuhi peraturan bilik makmal, stor atau bengkel, kantin dan dewan makan.
4. Membantu menyelematkan pelajar yang mengalami keracunan.
5. Jaga kebersihan diri.
6. Makan makanan yang dimasak dan bersih.
7. Patuhi arahan doktor.
8. Jangan masuk ke bilik makmal, stor, atau bengkel tanpa arahan atau kehadiran guru.

Tanggungjawab guru
1. Senantiasa mengingatkan pelajar tentang bahaya keracunan.
2. Jangan benarkan pelajar masuk ke makmal, bengkel atau stor tanpa kehadiran guru terlebih dahulu.
3. Menyediakan peraturan penggunaansetiap bilik makmal, bengkel, stor, atau dewan makan.
4. Melaporkan kepada pihak pengurusan sekolah jika berlaku insiden keracunan.
5. Menyiasat punca kejadian keracunan.
6. Mengambil sampel kimia atau makanan yang dipercayai punca keracunan.
7. Memberi rawatan awalan kepada mangsa jika perlu.
8. Menghantar pelajar menadapatkan rawatan di hospital jika perlu.

Langkah Pencegahan
1. Setiap Makmal, bengkel stor, kantin, dan dewan makan ada peraturan keselamatan keracunan dan dipaparkan untuk makluman umum/pengguna.
2. Taklimat tentang bahaya keracunan oleh pegawai Perubatan dari hospital daerah Tambunan atau guru kesihatan.
3. Label bilik yang mengandungi kimia berbahaya dengan perkataan beramaran ” Bahaya Kimia Beracun-Jangan Menghidu, Memakan atau Menyentuh Bahan Kimia”
4. Taklimat langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku keracunan.
5. Setiap bilik perlu pamerkan prosedur tindakan jika berlaku keracunan.

faktor-faktor gejala merokok terus berlaku

Ramalam Karangan SPM 1

Remaja kini suka merokok di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Huraikan faktor-faktor gejala ini terus berlaku.
[ 100 markah ]

Remaja merupakan golongan yang berusia antara 13 hingga 21 tahun. Dalam usia yang muda dan mencabar ini, mereka mengalami perubahan dari segi fizikal dan mental. Perubahan demi perubahan ini menyebabkan ada dalam kalangan remaja yang terpengaruh untuk berjinak-jinak dengan tabiat merokok. Oleh hal yang demikian, kadar perokok remaja semakin merebakbak cendawan tumbuh selepas hujan. Realitinya, remaja pada masa ini semakin berani merokok di mana-mana sahaja tanpa segan silu. Saya berpendapat bahawa banyak faktor yang menyebabkan gejala merokok terus merebak dalam kalangan remaja.

Mengikut kajian yang dijalankan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang merupakan faktor utama yang menjadi pemangkin gejala merokok dalam kalangan remaja. Hal ini berlaku kerana pihak berwajib dikatakan tidak serius melaksanakan undang-undang yang digubal. Oleh sebab pihak berkuasa bersikap melepaskan batuk di tangga, remaja menjadi tidak takut waima tidak gentar untuk melakukan kesalahan seperti merokok di tempat-tempat awam. Lama-kelamaan, fenomena merokok dalam kalangan remajabagai bisul menjadi nanah yang sukar diubati lagi.

Selain kelemahan penguatkuasaan, pengaruh media massa yang bebas menyiarkan iklan juga merupakan penyumbang kepada masalah merokok dalam kalangan remaja. Remaja yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang sudah pasti mudah terpengaruh dengan ledakan iklan daripada media massa. Kajian juga mendapati remaja dan golongan muda-mudi merupakan penonton tertinggi siaran media. Oleh sebab itu, iklan rokok dan poster konsert yang ditaja oleh pihak pekilang rokok mudah meresap dalam jiwa remaja yang mendahagakan keseronokan. Remaja memang mudah mempelajari apa-apa sahaja tontonan mereka. Oleh hal yang demikian, kebanyakan remaja memberanikan diri membeli dan memegang rokok kerana pengaruh media massa.

Di samping itu, kawan merupakan insan yang paling istimewa dan memainkan peranan yang penting dalam pergaulan remaja. Walau bagaimanapun, ada antara remaja yang cuba merokok selepas dicabar atau diajak oleh kawan-kawan. Hal ini tidak mustahil kerana hubungan antara kawan yang rapatbagai isi dengan kuku sedikit sebanyak merangsang kepercayaan remaja terhadap kata-kata kawan mereka. Oleh sebab menjadi pak turut kawan, majoriti mereka sama-sama ponteng sekolah, sama-sama membeli rokok lalu merasai asap rokok tanpa menyedari kebahayaan rokok. Selepas terjebak dan ketagihan rokok, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada tabiat buruk ini lagi.

Ibu bapa yang kurang memberi kasih sayang dan tidak prihatin akan perubahan sikap anak-anak juga merupakan faktor remaja merokok. Hal ini demikian kerana ibu bapa pada zaman berteknologi ini terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan sehingga mengabaikan tanggungjawab keibubapaan mereka. Sikap ibu bapa ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mereka sanggup mengabaikan kasih sayang dengan memberi wang kepada anak-anak mereka sebagai gantian kasih sayang. Anak-anak yang belum berfikiran matang pula menyalahgunakan wang tersebut tanpa kawalan ibu bapa. Hal ini menyebabkan remaja dapat membeli rokok dengan mudah kerana harganya masih murah.

Secara tuntas, saya berpendapat bahawa gejala merokok sebenarnya dapat diatasi sehingga akar umbi. Namun begitu, semua pihak haruslah bersikap bagai aur dengan tebing untuk bekerjasama membanteras gejala merokok dalam kalangan anak-anak. Remaja haruslah bangun daripada kesalahan yang dibuat oleh mereka kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh hal yang demikian, penjagaan kesihatan diri ialah tanggungjawab sendiri. Jika kita berkesedaran dan berfikiran matang, nescaya dapat meningkatkan tahap kesihatan diri dengan menjauhi tabiat merokok. Saya berharap pihak berkenaan, terutamanya kerajaan dapat mempergiat kempen antimerokok agar remaja dapat menjauhi gejala merokok yang mampu membawa maut dalam jangka masa panjang.
500+ patah perkataan.

Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Ramalam Karangan SPM 2 - Karangan Bergambar (Bahagian A)

Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian, permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan tingting memainkan peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.

Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini tidak hilang ditelan zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan bermain permainan tradisonal merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta.Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagailambang keagungan bangsa dan negara tercinta ini. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni. Kini, kerajaan sudah pun menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa “sambil menyelam, minum air”. Hal ini sekali gus menjana pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.

Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenispendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tardisional. Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain memasukkan biji guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak. Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat mengukuhkan semangat perpaduan nasional dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya menjadi tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Saya berharap, satu hari nanti, permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan tradisional dapat mengharumkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia. Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus popular dalam carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai hobi yang berfaedah. Ayuh kita main congkak!

Erti Hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang Sebenar.

Erti Hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang Sebenar.

Sejak 30 Ogos lagi, banyak warga Malaysia yang menikmati cuti 3 hari kerana hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 jatuh pada hari Ahad. Kedinginan semilir senja yang bertiup sepanjang beberapa hari ini terus menghiasi iklim perayaan ini. Hampir setiap hari cuaca yang tidak menentu menyebabkan Sang Suria kian malu untuk menghiasi awan, walhal gugusan awan yang mendung terus menggelapkan siang dan malam suasana cuti. Cuasa sebegini memang memalaskan kita untuk ke mana-mana. Dalam menikmati cuti dengan penuh perasaan santai atau relaks, saya ingin meluahkan perasaan saya tentang erti kemerdekaan bagi diri saya yang sebenar.

Sejak bergelar pendidik, saya mula sedar bahawa guru yang baik sentiasa menjadi pedoman kepada pelajar untuk terus mengorak langkah terus cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, pada pendapat saya, murid zaman dotkom ini sudah juah berbeza daripada murid terdahulu. Saya sedar, kita perlu maju, kita perlu moden dan berganjak dari takuk lama. Di sebalik anjakan paradigma yang dibuat oleh golongan muda, erti "kemerdekaan" sudah disalah tafsir sebagai hari untuk berpesta daripada hari untuk mengenang jasa dan bersyukur atas kemerdekaan yang dinikmati pada zaman pascakemerdekaan. Mengapa? Tepuk dada, tanya selera.
"Perpaduan Teras Kejayaan" merupakan tema Hari Kebangsaan yang ke-51. Perpaduan diberi penekanan oleh pihak kerajaan sebagai kunci kejayaan kerana "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Prinsip ini memang sesuai dengan keadaan negara yang dilanda pergolakan sosial dan politik. Hal ini memang jelas apakala paparan surat khabar punuh dengan unsur politik daripada mempromosikan Hari Kebangsaan. Keadaan ini menyebabkan saya berasa kesal dengan sikap penerbit surat khabar yang kurang patriotik dalam melahirkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Banyak pelajar menyalahgunakan "kemerdekaan" yang diberikan kepada mereka. Mereka terlalu bebas dalam ambang globalisasi. Penyalahgunaan fungsi internet dalam blog saya juga berlaku apabila ada yang memanggil saya sebagai guru yang bodoh di dunia dan orang yang tak ada otak. Saya sedar bahawa "siapa makan cili, dia rasa pedas". Janganlah mencaci guru sebegini sehingga menggores perasaan pendidik. Tanpa guru, murid hanya kotak kosong yang tiada isi. Saya berharap para pelajar akan terus menggunakan blog sama sebagai platform belajar, bukan tempat untuk saling bergaduh atau saling menghina.
Salam pascamerdeka yang ke-51,

lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.
Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

[ 40 markah ]

Belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecap hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang lepas tangan ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yangproaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akanmendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat berbahaya kepada masyarakat di jagatraya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahkan oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air” Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru tentang kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar.

Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini inomin dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat

Karangan Bergambar

Ramalan SPM Bahasa Melayu Karangan Bergambar 1




Soalan di atas ialah Bahagian A, kertas Percubaan negeri Kelantan SPM 2008. Saya berpendapat bahawa soalan mirip tema ini amat maslahat, yakni industri pelancongan di Malaysia akan disoal dalam SPM 2008. Perhatikan Karangan contohnya seperti di bawah.
Karangan Contoh:


Sejak 1990-an lagi, Malaysia sudah pun berjaya menganjurkan kempen Tahun Melawat Malaysia. Kejayaan ini diteruskan sekali demi sekali sehingga kini. Tahun 2007 sekali lagi dikenali sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan slogan "Malaysia Truly Asia" Keaslian Malaysia sebagai negara Asia yang termaktub dalam lagu tema kempen ini sekali gus membuka mata dan mindaseantero dunia. Walau bagaimanapun, banyak pihak berpendapat bahawa langkah yang diambil untuk memajukan industri pelancongan sebelum ini belum sampai tahap berprestij dan kurang efektif. Oleh hal yang demikian,alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai lengan.


Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia merupakan rencah utama yang dapat meningkatkan imej negara Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini. Hal ini demikian kerana promosi dan kempen dapat mempercepat langkah kerajaan menguar-uarkan aktiviti Tahun melawat Malaysia ke seluruh pelosok jagatraya. Melalui media massa dan jerayawara (aktiviti "road show"), saya yakin Malaysia dapat menarik perhatian pendarmawisata dari segenap sudut dunia. Hal ini memang mirip dengan lirik lagu "Malaysia Asia Sebenar" yang dimainkan di corong-corong radio. Justifikasinya, saya yakin bahawa kempen Tahun Melawat Malaysia akan sukses.


Mengikut kajian yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab, sistem pengangkutan yang efisien di sesebuah negara memainkan peranan penting untuk menjana perkembangan industri pelancongan. Malaysia yang masih kekurangan dari segi kemudahan pengangkutan yang sistematik perlu ukur baju di badan sendiri sekali gus membuat anjakan paradigma dalam soal pengangkutan awam. Rungutan dan luahan ketidakpuasan hati pelancong mestilah diambil kira. Oleh sebab itu, kerajaan mestilah menyusun strategi pembangunan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bertaraf lima bintang sebagai pemangkin usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi persinggahan pelancong dari seluruh dunia yang mendambakan keunikan alam semula jadinya.


Malaysia sememangnya nusa bertuah kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun. Kehidupan flora dan fauna yang terpulihara menjadikan Malaysia kaya dengan destinasi ekopelancongan utama dunia. Penaiktarafan kawasan pelancongan di seluruh negara dengan chalet, hotel dan kemudahan penginapan lain dapat memberi bonus kepada Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelancong. Aspek kebersihan di kawasan pelancongan janganlah dipandang enteng kerana industri pelancongan menyediakan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan. Oleh itu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Malaysia pasti boleh!


Kesimpulannya, Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam usaha memperkembangkan industri pelancongannya. Yang paling penting, rakyat dan kerajaan perlulah mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah yang sesuai seperti dinyatakan di atas untuk merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai pembangunan dalam bidang pelancongan yang bertaraf dunia. Sebenarnya, genggam bara api, biarlah sampai jadi abu. Kita mestilah berusaha sehingga nama Malaysia tersohor di seluruh dunia.

Karangan Bergambar SPM

Karangan Bergambar SPM 2 - Soalan negeri Pahang

Kebajikan warga tua sentiasa menjadi isu yang hangat diperbualkan oleh ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat madani di negara kita tidak pernah diajar menjadi seperti kacang lupakan kulitnya. Oleh hal yang demikian, warga tua yang berkeluarga mahupun tidak berpunya apa-apa lagi menjadi permata hati pelbagai pihak termasuk kerajaan badan bukan kerajaan. Hari warga tua kala ini menjadi lebih bererti apabila pelbagai pihak dalam masyarakat hari ini sanggup memainkan peranan penting untuk membantu warga tua menjalani kehidupan haria yang lebih bermakna sementara menanti panggilan Ilahi.


Pihak kerajaan Malaysia sentiasa meletakkan warga tua di tahap yang tinggi acap kali belanjawan negara dibentangkan di Parlimen. Perdana Menteri, merangkap portfolio Menteri Kewangan telah membentangkan peruntukan yang "bahagia" sekali gus memberikan keceriaan kepada golongan tua. Elaun sara hidup warga emas telah dipertingkatkan seiring kenaikan harga barangan keperluan. Pengumuman ini membawa seribu harapan dan jutaan ukiran senyuman di bibir warga tua. Oleh sebab itu, warga tua dapat melangsungkan sisa-sisa hidup dengan lebih bermakna dan gembira.


Badan Bukan Kerajaan di Malaysia juga mempamerkan kesungguhan mereka untuk menghulurkan bantuan dan sokongan hidup kepada warga emas. Hal ini demikian kerana warga tua memerlukan perhatian daripada setiap pihak. Oleh hal yang demikian, badan kebajikan "Tzu Chi" umpamanya membuka lebih seratus buah klinik kebajikan dengan harapan warga tua dapat membuat pemeriksaan doktor secara percuma dan mendapat rawatan serta nasihat doktor yang bertauliah yang memegang pada prinsip "buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali". Hal ini dapat mengelakkan dan menurunkan tahap obesiti dan masalah kesihatan lain yang kian menyerang warga tua akibat pengabaian aspek kesihatan.


Ahli masyarakat sentiasa digalakkan supaya menghormati dan mentaati warga tua yang lebih berpengalaman dalam aspek kehidupan. Yang boleh kita lakukan ialah menggembirakan hati dan membahagiakan hidup mereka. Ibu bapa haruslah mengajar anak-anak supaya membantu datuk dan nenek mereka yang tidak bertenaga, terutamanya ke tandas atau sewaktu berjalan-jalan. Apabila luangan masa berkualiti dikongsi bersama warga tua, kebahagiaan hidup berkeluarga dapat dicapai sekali gus merealisasikan slogan"rumahku syurgaku jua". Dengan berbuat begitu, masyarakat yang penyayang dan prihatin dapat dilahirkan.


Akhirulkalam, setiap daripada kita berpeluang melalui hidup pada usia lanjut. Mahukah kita melihat warga tua hidup merempat di lorong-lorong kemiskinan? Oleh hal yang demikian, pendidikan mengapresiasi warga tua haruslah dimulakan sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan semangat ingin membantu dan meringankan beban kehidupan warga emas, setiap daripada kita mampu mengubah kehidupan mereka daripada duka menjadi suka. Sebagai penutup bicara, ingatlah bahawahari ini hari mereka, esok hari kita.

Tema Pertanian

Karangan Bergambar PMR Ramalan 5 dan 6 - Tema Pertanian

Soalan Karangan Bergambar - Ramalan 5



Gambar tunggal di bawah menggambarkan seorang pemuda sedang mengerjakan sawah. Huraikan sebab-sebab para siswazah atau lepasan univerisiti enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian. Huraian anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.


[ 20 markah ]




Pada zaman moden ini, banyak siswazah yang dilaporkan menganggur. Hal ini demikian kerana mereka enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian walaupun bidang ini menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada mereka.



Sebab utama para siswazah enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana mereka berkelulusan dalam bidang lain. Sebagai contoh, graduan lulusan ekonomi, pentadbiran, dan undang-undang beranggapan mereka tidak sesuai bermandi peluh di sawah padi. Oleh sebab itu, bidang pertanian negara semakin dipinggirkan.


Selain itu, pekerjaan bertani dianggap kotor dan kasar bagi mereka. Hal ini demikian kerana pekerjaan ini disinonimkan sebagai pekerjaan yang tidak popular. Mereka enggan dipanggil sebagai golongan pekerja yang kurang profesional jika berkecimpung dalam bidang pertanian.


Pada masa yang sama, kebanyakan siswazah malu menjadi petani. Mereka sentiasa berfikiran bahawa pekerjaan ini disamakan dengan golongan miskin. Hal ini demikian kerana kebanyakan petani masih berpendapatan tidak stabil. Oleh itu, mereka enggan melibatkan diri dalam bidang pertanian.


Secara tuntas, para siswazah haruslah mengubah persepsi mereka terhadap bidang pertanian. Hal ini demikian kerana negara Malaysia berwawasan untuk menjadi negera pertanian moden dalam arus globalisasi ini.


Ramalan 6


Lihat gambar di bawah dengan teliti, seorang petani sedang mengerjakan tanamannya secara kecil-kecilan. Oleh sebab itu, huraikan cara-cara untuk meningkatkan pendapatan petani di negara kita. Huraian anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.



Pada zaman mengejar kemodenan ini, para petani di negara kita masih bergelumang dalam selimut kemiskinan. Oleh itu, golongan ini perlulah dibantu agar pendapatan mereka terus meningkat demi taraf kehidupan yang lebih tinggi.


Sebenarnya, petani haruslah melakukan kerja-kerja penanaman secara besar-besaran. Penggunaan teknologi moden dapat mengefisienkan dan mempercepat hasil pertanian. Dengan cara ini, mereka dapat mengkomersialkan bidang pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan.


Di samping itu, pihak kerajaan haruslah memberi bantuan kewangan dan kemahiran kepada para petani. Bank Pertanian umpananya, perlulah menyuntik modal yang dapat memberi semangat kepada para petani unttuk bekerja keras. Langkah ini pasti dapat meningkatkan dan memajukan sektor pertanian negara kita.


Selain bantuan kewangan dan kemahiran, penggunaan baja kimia juag penting untuk mempercepat pertumbuhan hasil pertanian. Hal ini demikian kerana hasil pertanian yang bermutu tinggi merupakan kunci pendapatan lumayan golongan petani. Oleh hal yang demikian, kualiti produk pertanian dapat meningkatkan imej bidang pertanian negara.


Kesimpulannya, kegiatan pertanian di negara ini mestilah dimajukan dengan serius. Hal ini penting agar kita dapat merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara pertanian moden di rantau ini.

kesan kejadian banjir kilat

Perhatikan gambar di bawah dengan teliti, kemudian tulis suatu karangan tentang kesan kejadian banjir kilat. Karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.



Malaysia yang mengalami iklim hujan tropika menyebabkan keadaan cuacanya panas dan lembap. Oleh hal yang demikian, banjir kilat sering berlaku dan mengakibatkan pelbagai kesan.


Banjir kilat sering menyebabkan kejadian tanah runtuh. Oleh sebab pembangunan yang tidak terancang di kawasan bukit dan lembah, kejadian banjir lumpur turut mengakibatkan laluan trafik ditutup. Hal ini memberi impak yang besar terhadap pelbagai sektor.


Lain daripada itu, kawasan terpencil dan pedalaman juga mengalami nasib yang sama apakala banjir kilat berlaku. Tebing tambakan air melimpah sehingga membawa selut dan lumpur masuk ke dalam rumah. Penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat.


Fenomena banjir kilat turut mengakibatkan jambatan roboh dan rosak teruk. Hal ini menyebabkan perjalanan sistem pengangkutan tergendala. Oleh hal yang demikian, pelbagai kemusnahan dan kerosakan dibawah oleh kejadian alam yang sebenarnya boleh kita elakkan.


Secara total, banjir membawa seribu kemusnahan kepada umat manusia. Kita sepatutnya lebih leliti semasa merancang pembangunan bandar untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada terus berlaku.

Masalah Sosial, Lumba Haram

Ramalan PMR Karangan 1 - Masalah Sosial, Lumba Haram

Kegiatan lumba haram dan pertunjukan lagak ngeri penunggang motosikal dalam kalangan remaja merupakan isu yang semakin banyak disiarkan dalam media massa.
Berikan pendapat anda tentang faktor-faktor berlakunya gejala sosial ini.

[ 40 markah ]

Pendahuluan
- semakin dapat perhatian kerana banyak disiarkan dalam media massa.
- memerlukan tindakan segera dan berkesan.
- akan menjejaskan usaha melahirkan generasi terbilang

Isi 1
sikap ibu bapa sendiri
- terlalu mementingkan kerjaya.
- terlalu mempercayai dan memberi kebebasan.
- berlaku jurang komunikasi.

Isi 2
kurangnya didikan agama / moral
- remaja keliru dan sukar membezakan yang baik dan buruk.
- mudah dipengaruhi dan terpengaruh.

Isi 3
pengaruh rakan-rakan sebaya
- antaranya kerana tersilap memilih kawan
- lazimnya pengaruh rakan mengatasi sekiranya ibu bapa mengabaikannya.
- akhirnya terjebak dengan gejala-gejala negatif

Isi 4
pengaruh media massa
- penayangan filem atau rancangan yang keterlaluan.
- mereka terpengaruh kerana banyak masa dihabiskan untuk menonton.
- mengikut aksi lakonan pelakon idola dan memuja pelakon dengan meneladani watak negatif dalam filem

Isi 5
keadaan rumah yang bukan"syurga"
- rumah yang kecil, bilangan ramai.
- apatah lagi tidak ada kasih sayang.
- beranggapan ibu bapa tidak menghiraukannya.

Isi 6
sikap individu atau remaja itu sendiri
- berasa bangga melakukan kesalahan.
- menunjukkan “kehebatan” masing-masing.
- memang datang daripada keluarga yang bermasalah


Penutup

- perlu diatasi segera tanpa sering menyalahkan.
- usaha pencegahan perlu diambil secara bersepadu.
- jika tidak lahirlah generasi yang rendah moralnya.

Tanggungjawab Ibu Bapa Dalam Pembentukan Disiplin Dalam Kalangan Anak-anak

Karangan jenis perbincangkan / pendapat "Tanggungjawab Ibu Bapa Dalam Pembentukan Disiplin Dalam Kalangan Anak-anak."

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bincangkan.


Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.

Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulu kala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.

Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yangmenconteng arang di muka ibu bapa.

Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.

Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.

Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.

Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.

angkah yang patut diambil oleh pihak berkuasa untuk mengatasi kadar kemalangan jalan raya

Karangan Bergambar Ralaman 4- Langkah yang patut diambil oleh pihak berkuasa untuk mengatasi kadar kemalangan jalan raya

Dalam kesibukan negara mencapai status lima bintang dalam era pembangunan dan pembinaan negara, jaringan lebuh raya dan lingkaran jalan raya di nusa tercinta ini sentiasa dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Malaysia dikatakan memiliki kualiti jalan raya yang paling baik di rantau ini sebaliknya mencatatkan kadar kemalangan yang paling tinggi. Malang tidak berbau, tetapi bau malang boleh dielakkan. Jika dipandang enteng, nyawa modal insan negara bagai telur di hujung tanduk. Saya berpendapat bahawa langkah-langkah drastik dan proaktif mestilah diambil oleh pihak berwajib untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang banyak meragut nyawa.

Kerajaan mestilah membuat anjakan paradigma dalam sistem pelaksanaan undang-undang keselamatan di jalan raya. Penguatkuasaan undang-undang seyogianya diiringi ketegasan melaksanakannya. Pihak berkuasa seperti polis trafik tidak boleh bertolak ansur waima berkompromi dalam menegakkan undang-undang. Penggubalan akta keselamatan mestilah diubahsuai mengikut keperluan semasa. Denda dalam lingkungan RM150 hingga RM300 tidak pernah meninggalkan bekas, terutamanya kepada golongan yang bermaharajalela di jalan raya. Oleh hal yang demikian, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jikalau pihak kerajaan menaikkan kadar denda dan saman, langkah ini dapat memberi pedoman kepada pengguna jalan raya agar lebih bermoral dan beretika semasa memandu.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri umpamanya mestilah diberi kuasa dan mandat untuk melaksanakan tugas. Sesiapa yang terlibat dalam tragedi kemalangan di jalan raya mestilah ditarik lesen pemanduannya. Sementara itu, sistem merit yang dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mestilah dipautkan dengan sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar kedua-dua agensi kerajaan ini berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melaksanakan hukuman terhadap pesalah laku lalu lintas yang membelakangkan nyawa insan lain. Saya berharap pihak kerajaan akan memegang prinsip genggam bara api, biar jadi arang dalam usaha menjadikan laluan trafik di Malaysia bebas daripada kemalangan. Dengan langkah ini, imej negara di persada dunia dapat dipertingkatkan demi kemajuan pelbagai bidang yang diharap-harapkan.

Jika dikaji dari sudut pemilikan lesen memandu, rakyat Malaysia amat “bertuah” kerana sistem yang diguna pakai di sini masih longgar dan mudah. Sejak beberapa dasawarsa, proses pemilikan lesen memandu bagai makan ais batu campur. Kelonggaran undang-undang yang dicemari gejala rasuah dan konsep “lesen terbang” menyebabkan pemandu “melayangkan” nyawa insan tidak berdoa sekali gus meranapkan harapan ibu bapa mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Saya berharap pihak berkenaan dapat membuat pengubahsuaian terhadap silibus ujian pemanduan. Dengan pendekatan yang positif ini, rakyat yang berjaya memiliki lesen memandu setelah melalui proses kompleks dan sukar pasti lebih menghargai lesen yang berjaya dimiliki oleh mereka. Oleh sebab itu, sudah sampai masanya pihak PJP mengambil langkah proaktif untuk sama-sama menjadikan pemandu Malaysia lebih berkualiti.

Sebagai penutup wacana, kita harus sedar bahawa nyawa manusia tidak boleh dijual beli seperti di pasar raya. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang yang bersesuaian dengan keperluan rakyat dan negara mestilah dilakukan dengan baik. Rakyat haruslah diinsafkan dengan prinsip “biar lambat, asalkan selamat”. Pemandu dan pengguna jalan raya sama-sama mendapat manfaat jika semua pihak bersepakat dalam ciri-ciri keselamatan di jalan raya. Rakyat merupakan penggerak kemajuan negara. Tanpa kemajuan, kita tidak dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Saya berijtihad bahawa keselamatan jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. Hal ini demikian kerana pandu cermat, jiwa selamat. Keselamatan di jalan raya dapat memastikan kita selamat berada di bumi bertuah ini untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna demi keluarga, bangsa, dan negara.

Isi Penting Karangan Ramalan PMR dan SPM

Isi Penting Karangan Ramalan PMR dan SPM

Karangan yang ditulis oleh pelajar dinilai oleh pemeriksa melalui aspek pemilihan isi yang matang dan bahasa yang baik. Oleh itu, isi yang baik mestilah diiringi peribahasa yang sesuai untuk mengutuhkan penyampaian isi. Berikut merupakan contoh soalan karangan dan isi penting yang sesuai. Anda mestilah belajar membuat kerangka karangan berserta peribahasa yang sesuai. Bijak menulis, Banyak markah!

Kepentingan aktiviti kemasyarakatan
1. memupuk perpaduan bangsa
P – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

2. mengatasi masalah sosial sebelum terlambat
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

3. mengisi masa lapang dengan bijak
P – masa itu emas

4. berjasa kepada masyarakat dan negara
P – pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

5. memupuk semangat kejiranan
P – jiran bersepakat membawa berkat

Kebaikan mengulang kaji
1. menghabiskan sukatan pelajaran sebelum peperiksaan
P – sediakan payung sebelum hujan
2. mengatasi masalahdalam pelajaran
P – sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan

3. mengisi masa lapang dengan bijak
P – masa itu emas

4. lebih yakin menjawab soalan peperiksaan
P – cemerlang, gemilang, dan terbilang

5. meningkatkan ilmu dan pengetahuan
P – kata Nabi Muhammad, tuntutlah ilmu sampai ke negara China.

Punca kenaikan harga barang
1. harga petrol meningkat dan membebankan pekilang
P – berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul

2. kemelesetan ekonomi
P – naik seperti semut, turun seperti ribut

3. permintaan melebihi stok
P – ingat sebelum kena, jimat sebelum habis

4. kelemahan kawalan harga barang
P – harapkan pagar, pagar makan padi

5. peniaga mengambil kesempatan sewenang-wenangnya
P – menangguk di air keruh

Kesan pencemaran sungai

1. flora dan fauna musnah
P – sudah terhantuk baru tengadah

2. sumber rezeki manusia hilang
P – kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

3. pemandangan terjejas
P – indah khabar daripada rupa

4. manusia mendapat penyakit
P – mencegah lebih baik daripada mengubati

5. merugikan wang, masa dan tenaga kerajaan
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

Langkah melahirkan modal insan
1. kerajaan – akademik
P – tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung

2. Guru – mendidik ilmu dan menyalurkan pengetahuan
P – guru kencing berdiri, murid kencing berlari

3. Ibu bapa perlu memberi didikan moral dan akhlak
P – melentur buluh biarlah dari rebungnya

4. Program pendidikan – berunsur global
P – berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

5. Menaik taraf kemudahan belajar
P – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Langkah mengatasi jerebu
1. Kerajaan – menguatkuasakan undang-undang
P – berani kerana benar, takut kerana salah

2. Pihak sekolah – mendidik rakyat
P – melentur buluh biarlah dari rebungnya

3. Ibu bapa – menjadi contoh
P – bagaimana acuan, begitulah kuihnya

4. Masyarakat – bekerjasama dengan kerajaan
P – bagai aur dengan tebing

5. Diri sendiri – mencintai alam sekitar
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

fenomena pembaziran dalam kalangan masyarakat

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentangfenomena pembaziran dalam kalangan masyarakat berdasarkan gambar tersebut. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


[ 20 markah ]

Karangan contoh

Amalan berjimat cermat perlulah dipupuk sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya” Malangnya, penduduk di negara kita membelakangkan amalan mulia berjimat-jimat sehingga menjadikannya satu penyakit sosial.

Masyarakat marcapada suka membeli-belah kerana pusat beli-belah dibina“bagai cendawan tumbuh selepas hujan”. Natijahnya, pembelian yang tidak terancang dilakukan oleh masyarakat kita tanpa menyedari “besar kuali, besarlah keraknya”. Oleh itu, sikap mereka menyebabkan kadar inflasi meningkat sekali gus kegawatan ekonomi berlaku.

Sumber air yang semakin terhad juga dibazirkan oleh masyarakat. Acap kali, air dibiarkan mengalir sehingga melimpah tanpa disedari. Tegasnya, prinsip“ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” hanya menjadi “masuk telinga kiri, keluar telinga kanan”. Janganlah kita menyesal kemudian kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Masa itu emas, pemahamannya semakin luntur dalam kalangan remaja. Mereka melakukan aktiviti kurang berfaedah tanpa menyedari masa yang berlalu tidak akan kembali. Apakala pelajaran terjejas, hanya air mata menghiasi muka.

Intihanya, pembaziran mestilah dijauhi oleh masyarakat di seantero jagatraya. Maka, sumber alam, wang, dan tenaga dapat dijimatkan demi masa depan.

( 120 patah kata)

Telefon bimbit

Telefon bimbit sudah menjadi alat komunikasi yang penting dalam kehidupan kita. Walaupun banyak memberi kebaikan, namun telefon bimbit tetap berbahaya kepada manusia.
Bincangkan pernyataan tersebut.

[ 40 markah ]


Menelusuri zaman yang moden ini, teknologi semakin maju. Manusia yangbijak macam kancil telah mencipta banyak barang. Antara barang yang dicipta oleh manusia ialah televisyen, kereta, telefon dan sebagainya. Salah satu barang yang dicipta oleh manusia ialah telefon bimbit.

Telefon bimbit amat berfaedah kepada kita. Hal ini demikian kerana telefon bimbit membolehkan kita menghubungi antara satu sama lain walau mempunyai jarak yang juah. Lain daripada itu, telefon bimbit mempunyai sistem “roaming”. Fungsi sistem ini dapat membolehkan telefon bimbit dapat menghubungi seluruh dunia dan merealisasikan kata orang tua-tua, yakni “yang jauh dirapatkan, yang dekat dieratkan”.

Di samping itu, telefon bimbit juga dapat mengurangkan fenomena pengangguran atau tiada pekerjaan. Hal ini demikian kerana profesion menjual telefon bimbit juga merupakan satu jenis perniagaan. Maka, di mana ada gula, di situ ada semut. Konklusinya, telefon bimbit juga akan meningkat kestabilan ekonomi negara .

Walaupun membawa banyak kebaikan kepada kita, namun telefon bimbit juga membawa kesan buruk juga. Antara keburukan telefon bimbit ialah membazirkan wang ibu bapa. Hal ini demikian kerana pengguna telefon bimbit perlu menambah nilai setiap bulan. Akibatnya, ibu bapa harus berbelanja lebih untuk menambah nilai. Cendekiawan berpendapat bahawa, konsep “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” gagal diaplikasikan dalam kalangan pengguna telefon bimbit terutamanya remaja.

Yang malang sekali, ada keburukan yang lebih memberi kesan jangka panjang, iaitu radioaktif telefon bimbit. Apabila sedang berkomunikasi melalui telefon bimbit dengan orang lain, telefon bimbit akan mula panas pada telinga kita. Hal ini mengakibatkan kesan radioaktif menghapuskan sel-sel badan kita sekali gus mengakibatkan barah otak. Oleh itu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Janganlah kita menyalahgunakan telefon bimbit sehingga memudaratkan kesihatan diri.

Secara tuntas, semua orang sedar bahawa telefon bimbit membawa kelebihan dan keburukan kepada manusia. Walau bagaimanapun, semakin tinggi teknologi maklumat berkembang, semakin berisiko nyawa manusia di ambang kemajuan era globalisasi. Telefon bimbit sudah dianggap sebagai barangan yang dikategorikan sebagai keperluan yang berisiko. Dengan itu, tepuk dada, tanya selera. Kita haruslah menggunakannya dengan cara yang baik demi memanfaatkan kebaikannya. Oleh itu, telefon bimbit dianggap satu barang keperluan yang tidak boleh diabaikan.