Komik, kartun dan kanak-kanak sememangnya tidak dapat dipisahkan. Senario ini kadang-kadang tidak boleh diterima oleh para ibu bapa. Mereka beranggapan bahawa bahan-bahan bacaan seperti ini akan menjejaskan daya perkembangan minda anak-anak mereka.
Sebenarnya jika komik, kartun dan seumpamanya diaplikasikan dengan baik, maka kesan positifnya amatlah ketara. Komik dan kartun memainkan peranan yang besar dalam menggalakkan budaya minat membaca dalam kalangan kanak-kanak seterusnya menjadi pemangkin ke arah pembentukan budaya ilmu.
Antara kelebihan komik dan kartun dalam pembelajaran ialah:-
- Mempunyai daya tarikan yang kuat dan efektif kepada kanak-kanak kerana kandungannya memenuhi cita rasa mereka.
- Grafik dan seni lukis yang cantik, dialog yang dimuatkan dalam setiap karakter menyeronokkan kanak-kanak untuk belajar.
- Mampu mengajak kanak-kanak untuk bersantai dengan buku-buku pelajaran.
- Lukisan sesuatu karakter kartun mempercepat proses penerimaan mesej atau ilmu yang mahu disampaikan.
- Kanak-kanak lebih mudah menerima pelajaran melalui ilustrasi berbanding abjad-abjad tulisan.
- Dapat menyampaikan mesej tersurat dan tersirat dengan lebih jelas dan mudah.
- Dapat memupuk daya kreativiti kanak-kanak.
- Dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar.
- Memberikan hiburan dan humor kepada masyarakat pendidik dan anak-anak didik mereka.
- Memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
- Guru dapat mempelbagaikan kaedah mengajar dan menggunakan komik sebagai bahan bantu mengajar yang berkesan.