KARANGAN CONTOH BAHAGIAN B PIAWAI SPM Siri 1
Dipersembahkan kepada anda sekalian, contoh karangan piawai SPM untuk diteliti, dikaji dan dihayati. Semoga pelajar sekalian dapat menghasilkan karangan yang mendapat gred Cemerlang (Atas) iaitu antara 90-100.
SOALAN
Kesedaran sivik merupakan satu aspek yang penting dalam kehidupan, lebih-lebih lagi kepada sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Malangnya, sikap ini semakin luntur dalam kalangan masyarakat.
Huraikan punca-punca wujudnya keadaan ini dan langkah-langkah yang diambil untuk menyuburkan kesedaran sivik.
KARANGAN
Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain. Kata-kata, “Yang muda disayangi, yang tua dihormati,” tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Apabila berada di dalam pengangkutan awam seperti bas, monorel mahupun kereta api, masih banyak lelaki yang sasa dan bergaya, tidak sanggup untuk memberi tempat duduk kepada wanita tua atau ibu mengandung yang tidak berdaya. Di perhentian-perhentian bas pula, sampah-sarap yang mengotorkan dan menyakitkan mata memandang juga bukan perkara asing di mana-mana tempat di negara kita. Di manakah silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita lihat di mana-mana? Pada pendapat saya, kita harus meneliti dan mendalami permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.
Pepatah ada mengatakan bahawa anak-anak adalah ibarat kain putih; ibu bapalah yang yang akan mencorakkan kehidupan dan peribadi mereka yang sebenarnya. Pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mencorakkan peribadi yang positif dalam diri anak-anak mereka. Malahan, rumah adalah ibarat syurga kepada setiap anak yang lahir ke dunia ini. Dari rumah, mereka mengenal erti kasih sayang, perasaan saling memahami serta saling menghormati. Namun, hakikat yang amat pahit untuk diterima adalah terdapat banyak daripada kalangan masyarakat kita kini yang menjadikan rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah insan-insan lain dalam institusi rumah tangga itu, iaitu anak-anak. Tanpa disedari oleh ibu bapa, mereka telah memusnahkan keceriaan rumah tangga dan alam remaja anak-anak mereka menyebabkan anak-anak turut berendam air mata. Menyaksikan ibu bapa ‘seperti anjing dengan kucing’, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini akan mewujudkan luka jiwa yang amat dalam kepada anak-anak. Maka, akan terdapat antara mereka yang melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng atau melakarkan ‘graffiti’ di tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam. Malahan, terdapat juga dalam kalangan mereka yang bertindak seperti ‘marahkan pijat, kelambu dibakar’ iaitu melepaskan kemarahan dan dendam mereka kepada orang lain seperti guru-guru dan rakan-rakan dengan menunjukkan sikap biadab dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Segala perlakuan ini dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari menjadi bukti rendahnya kesedaran sivik di kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Malahan, kajian polis mendapati bahawa lapan puluh peratus daripada remaja yang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah merupakan mereka yang datang dari keluarga yang bermasalah. Justeru tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut. Seterusnya, perkara tersebut akan mempengaruhi perlakuan mereka.
Semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini kurang dididik agar berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang akan negara dan berbangga menjadi warganegara Malaysia masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas membuktikan pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku, berkumandang di udara. Berapa ramaikah antara kita yang berhenti dan berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu tersebut? Berapa ramaikah pula antara kita yang masih mengetahui Rukun Negara dan menghayatinya? Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya dalam kalangan warga ‘senior’ kita. Apabila tahap kesedaran dan kecintaan terhadap negara rendah, natijahnya, perasaan ‘Negara KitaTanggungjawab Kita’ juga turut kurang dalam diri setiap individu. Justeru tidak ada perasaan bersalah apabila seseorang itu merosakkan bunga di taman-taman rekreasi. Tidak ada juga perasaan dan keinginan dalam hati mereka untuk mencantikkan setiap kawasan di negara ini. Justeru, ada yang tidak berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, ‘aku, aku dan engkau, engkau’ dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap harta benda awam, perasaan menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan negara ini ialah negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian, kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang terlibat. Maka, sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih rendah.
Ketidakmampuan sistem pendidikan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak kepada para pelajar turut menyebabkan kesedaran sivik masih belum membanggakan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Selain rumah, sekolah merupakan institusi murni yang berperanan membentuk sahsiah dan peribadi seseorang individu. Di sekolah yang terdapat pelajar daripada pelbagai bangsa dan agama, maka integrasi kaum berlaku. Melaluinya, para pelajar mempelajari adat dan budaya kaum lain. Mereka juga belajar menerima, memahami dan menghormati satu sama lain walaupun mereka dari latar belakang bangsa dan kaum yang berbeza. Namun, kenapakah kita masih menyaksikan pelajar-pelajar yang tidak menghormati satu sama lain? Mengapakah nilai-nilai murni seperti mematuhi undang-undang dan peraturan serta hormat-menghormati masih kurang dipraktikkan oleh para pelajar seluruh negara? Dalam hal ini, kita tidak menafikan kepentingan sekolah kepada kehidupan seseorang individu.Namun, keberkesanan fungsinya sebagai tempat untuk mencerna peribadi murni dalam kalangan para pelajar masih boleh dipertikaikan. Tambahan pula pada masa kini, keunggulan serta kecemerlangan sesebuah sekolah diukur dari segi pencapaian akademiknya. Jika tinggi peratus kelulusan para pelajar, maka dikatakan bahawa sekolah itu ialah sebuah sekolah yang baik. Hambatan untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang akademik inilah yang menyebabkan guru-guru bertungkus-lumus melatih anak-anak didik mereka agar mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Waktu pengajaran dan pembelajaran juga adalah untuk mencapai matlamat yang sama ini. Natijahnya, tugas untuk mendidik sahsiah serta membentuk perkembangan emosi para pelajar semakin dikesampingkan. Malahan,terdapat sesetengah sekolah yang mengetepikan terus kegiatan kokurikulum untuk pelajar-pelajar kelas peperiksaan semata-mata untuk memberi penekanan kepada peperiksaan. Hal ini pernah diselar oleh Menteri Pelajaran yang berasa kesal terhadap tindakan sesetengah pengetua sekolah yang tidak memberi penekanan kepada bidang kokurikulum sehingga matlamat menghasilkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek tidak tercapai sepenuhnya. Jika di rumah anak-anak gagal terdidik, di sekolah juga mereka tidak menerima bimbingan yang sewajarnya, maka tidak hairanlah jika kita masih melihat ketempangan peribadi anak-anak muda kita yang masih rendah kesedaran siviknya.
Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Gagasan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamed ini telah menjana pembangunan yang amat pesat dalam pelbagai bidang di negara kita, terutama bidang telekomunikasi dan perindustrian. Sememangnya, idea tersebut merupakan impian murni setiap warganegara kerana pembangunan dan kemajuan akan menjanjikan peningkatan taraf hidup masyarakat kita. Namun,kita terpaksa membayar harga yang mahal untuk segala yang dinikmati itu. Keghairahan mengejar kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat juga telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Sikap ‘siapa lu siapa gua’ semakin berleluasa. Hidup bak ‘enau dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing’ sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk dengan kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak, amalan bergotong-royong itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar mengadakan majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saing mengenal dan bertegur sapa antara jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita semakin berkurang. Malahan lebih malang daripada itu, sikap mementingkan diri juga turut menimbulkan masalah lain. Sebagai contoh, apabila berlaku sesuatu kemalangan, terdapat individu yang terus memandu tanpa menghiraukan mangsa kemalangan yang memerlukan bantuan. Hal ini bermakna, di samping menghapuskan kesedaran sivik, sikap individualistik ini yang diakibatkan oleh pembangunan ini juga telah turut membunuh rasa kemanusiaan di kalangan sesetengah daripada kita.
Sejajar dengan perkembangan teknologi telekomunikasi dan alam siber. internet, media massa seperti televisyen dan sebagainya telah mendominasi kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat. Sasaran pembangunan ini juga tidak mengecualikan golongan kanak-kanak dan remaja. Kita tidak bimbang jika perkembangan tersebut adalah sesuatu yang positif. Malangnya, filem-filem yang ditayangkan di televisyen begitu dikuasai oleh filem-filem luar terutamanya filem-filem dari Barat. Bersama-sama filem tersebut ialah nilai-nilai kehidupan masyarakat Barat yang amat bertentangan dengan budaya dan amalan kita masyarakat Timur. Kebanyakan rancangan dari Barat ini memaparkan anak-anak yang sudah tidak lagi menghormati ibu bapa mereka. Mereka kononnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan kehendak mereka. Malahan, pada kebanyakan siri filem atau drama Barat ini ditonjolkan bahawa keluarga terutama ibu bapa yang sudah tua, tidak lagi penting buat anak-anak mereka. Bahkan, bagi anak-anak yang sudah berkeluarga, ibu bapa adalah terpisah terus daripada kehidupan mereka. Jika kita perhatikan, paparan remaja Barat di sekolah juga amat berbeza daripada para pelajar dalam sistem pendidikan kita yang begitu menekankan nilai-nilai murni dan adab antara guru dan pelajar. Di Barat, pelajar boleh meletakkan kaki di atas meja semasa guru sedang mengajar. Perkara- perkara ini disertai maklumat-maklumat negatif dari internet secara perlahan-lahan telah mempengaruhi dan menghakis nilai dan kesopanan masyarakat kita. Justeru kita melihat kepincangan akhlak dan peribadi masyarakat kita semakin hari semakin ketara. Jadi, tidak hairanlah jika kesedaran sivik seperti sikap menghormati guru dan orang yang lebih tua juga semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat kita hari ini.
Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat semakin jelas, namun, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum ’nasi menjadi bubur’, sebelum ’yang bengkok terus menjadi patah’, langkah-langkah untuk mengembalikan nilai murni dan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat perlu segera dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan dalam setiap mata pelajaran, maka dalam kurikulum baru yang disemak semula, perkara ini ditambah pula dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam pengajaran. Selain itu, nilai-nilai kesusasteraan pula kini diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, tema-tema yang berkenaan dengan nilai-nilai murni dan semangat cinta akan negara telah diterapkan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Malahan di negara-negara Jepun dan Korea ini, yang merupakan dua buah negara gergasi perindustrian ini, institusi pendidikan begitu dihormati oleh ibu bapa kerana mereka menyedari bahawa daripada sekolah, anak-anak mereka dididik dan diasuh untuk menjadi insan yang sempurna. Malahan, sistem pendidikan di kedua-dua buah negara ini amat menitikberatkan mata pelajaran kesusasteraan dan sejarah, dari peringkat rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Justeru dalam usaha untuk melahirkan semangat cinta akan negara serta menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri anak-anak remaja kita, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan. Dalan hal ini, guru-guru juga memerlukan orientasi baru agar turut memberi perhatian pada sahsiah dan nilai-nilai murni anak-anak didik mereka dan tidak hanya berusaha membimbing mereka mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
Selain usaha di atas, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wahana yang paling berkesan dalam membentuk sikap murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah, akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya , sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti kawat kaki dan latihan-latihan yang diadakan pula akan membentuk para pelajar yang mematuhi masa dan sentiasa berdisiplin. Aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka. Bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’ Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana tahap kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat telah meningkat.
“Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara” merupakan kata-kata yang melambangkan kepentingan generasi muda terhadap pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, kita mahu melahirkan golongan remaja yang berwibawa dan berketerampilan dalam pelbagai bidang agar mereka dapat menyumbang tenaga dan bakti kepada negara. Hal ini tidak akan tercapai jika remaja kita rendah kesedaran siviknya serta kurang jati dirinya. Justeru usaha kerajaan untuk mewajibkan remaja yang berusia lapan belas tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mampu meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan golongan muda di negara kita ini. Latihan-latihan yang diikuti adalah bermatlamat untuk membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri remaja. Malahan, lebih daripada itu, program tiga bulan ini akan melarikan para remaja daripada pelbagai gejala negatif seperti melepak, merambu dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Latihan-latihan yang dijalankan juga akan memberi penekanan pada kepentingan kesedaran sivik, kepentingan mencintai negara,kepentingan pembentukan modal insan serta kepentingan untuk membina kemandirian dan jati diri agar sikap positif ini akan tumbuh subur dalam diri anak-anak remaja negara kita. Apabila para remaja ini mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap diri, bangsa dan negara, secara tidak langsung, mereka juga akan bertanggungjawab terhadap hak dan kepentingan orang lain. Hasilnya, diharapkan agar melalui program Khidmat Negara ini, negara akan dapat melahirkan masyarakat yang lebih tinggi tahap kesedaran siviknya.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.” Kita mahu melahirkan masyarakat yang hidup seperti aur dengan tebing, saling menguatkan antara satu sama lain. Kita mahu melahirkan masyarakat yang kukuh semangat kejiranannya serta sentiasa bersedia untuk bekerjasama demi kebaikan bersama. Dalam hal ini, saya berpendapat agar amalan bergotong-royong yang menjadi teras konsep bekerjasama dalam masyarakat kita perlu disuburkan kembali, terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Pada tahap awal, kita berharap agar para menteri dan Wakil Rakyat turut turun padang bersama-sama dengan rakyat dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan. Apabila budaya gotong-royong ini telah dapat diwujudkan, masyarakat akan dengan sendirinya mengatur program-program tersebut untuk kepentingan kawasan tempat tinggal mereka. Selain itu, amalan rumah terbuka serta ziarah-menziarahi pada musim-musim perayaan juga merupakan amalan positif yang akan meningkatkan kesedaran sivik dalam masyarakat kita. Melalui aktiviti ini, sesama jiran akan salin mengenali dan beramah mesra sesama mereka. Walau bagaimanapun, kita berharap agar kejadian berebut makanan yang berlaku dalam satu majlis terbuka anjuran seorang menteri beberapa tahun lalu akan dapat diatasi pada masa-masa akan datang. Kita mahu melihat bukan sahaja keharmonian hubungan pelbagai bangsa di negara kita tergambar melalui aktiviti tersebut, malahan juga kita mahu menampilkan adab yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita yang terkenal dengan budi bahasa dan kesantunannya. Apabila program-program ini dapat disebarluaskan di seluruh negara, sudah pasti tahap kesedaran sivik masyarakat kita juga akan dapat ditingkatkan.
“Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Peribahasa tersebut membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Justeru jika kita ingin melihat kesedaran sivik subur dalam masyarakat, maka ibu bapa perlu memainkan peranan perdana dalam usaha ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar saling menghormati antara satu sama lain. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Oleh itu, amalan bergotong-royong sesama ahli keluarga perlu diterapkan dari peringkat rumah lagi. Bukan sahaja amalan ini akan memudahkan pelaksanaan sesuatu pekerjaan, malahan kemesraan keluarga juga akan dapat ditingkatkan. Kita sedia maklum bahawa pada peringkat usia muda, anak-anak sedang membina identiti mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa akan menjadi contoh teladan yang paling hampir untuk diikuti oleh anak-anak. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan betul’. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. Ibu bapa juga perlu menegur kesilapan anak-anak agar mereka mengetahui garis panduan antara perkara yang betul dan perkara yang salah. Kebanyakan permasalahan yang berlaku dalan kalangan remaja masa kini adalah disebabkan ibu bapa begitu takut untuk memperbetul dan menegur perbuatan negatif anak-anak mereka. Jika ibu bapa dapat memainkan peranan mendidik anak-anak mereka sewajarnya, maka sudah pasti masalah remaja kekurangan kesedaran sivik ini tidak akan wujud di negara kita.
Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang. Jika kita tinjau ke negara jiran kita, Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Namun, dasar sebenar sikap tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura ‘mendidik’ rakyatnya.Setiap mereka yang didapati melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam perkara penggunaan tandas awam pun,Singapura sentiasa memastikan penggunaannya yang betul Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga. Negara kita juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat yang kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada sesiapa yang didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam, dan pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh melaksanakannya? Golongan masyarakat yang ‘berkepala batu’ dan terlalu mementingkan diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas. Setakat ini, tindakan hanya dikenakan kepada mereka yang didapati merosakkan telefon-telefon awam. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dapat membezakan antara tong sampah dengan tempat menunggu bas? Golongan ini juga perlu dikenakan tindakansewajarnya. Dalam hal ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan, melalui pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat semasa menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan mereka.
Kesimpulannya, walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal ini terutamanya dalam kalangan remaja kerana merekalah yang bakal mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar kemajuan yang kita kecapi adalah selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa kita. Justeru menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah atau semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-masing untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi. ‘Negara Kita Adalah Tanggungjawab Kita’. Oleh itu bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini memupuk sikap saling bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan yang diingini tercapai tanpa mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita.
(c) zma 2006
EPILOG
Untuk memperoleh markah 90 – 100 iaitu karangan yang berada pada tahap Cemerlang (Atas) ciri-ciri atau aspek-aspek berikut perlu ada atau dipenuhi .
>Takrif Karangan
>Format Karangan
>Pendahuluan Karangan 60-90 patah perkataan
>Isi Karangan -90-120 patah perkataan setiap perenggan
Isi 1 + Huraian + Contoh Isi 2 + Huraian + Contoh
Isi 3 + Huraian + Contoh Isi 4 + Huraian + Contoh
Isi 5 + Huraian + Contoh Isi 6 + Huraian + Contoh
>Penutup Karangan 50-60 patah perkataan
>7-8 Perenggan
>Setiap perenggan isi seimbang ( 18-20 sm )
>Sumber Rujukan/ Pendapat Tokoh
>Ayat dan Frasa Indah
>Kosa Kata Terkini
>Peribahasa/Cogan Kata/Kata- Kata Hikmat/Seni Kata Lagu/Puisi
>Penanda Wacana
>Ejaan dan Tanda Baca/Tatabahasa
>Kepelbagaian Jenis Ayat
>Pengolahan, Corak Penyampaian & Kematangan Fikiran
>Tulisan
>Jumlah Patah Perkataan 650 - 900 patah perkataan
>Karangan ditulis melebihi empat muka surat