Wednesday, September 1, 2010

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 28

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 28




BAHAN UNTUK PENULISAN KARANGAN
USAHA-USAHA UNTUK MEMPERTAHANKAN PERMAINAN TRADISIONAL
azman-duniaku.blogspot.com/

usaha-usaha dilakukan untuk mempertahankan permainan-permainan tradisional?Apakah definisi permainan tradisional? Sebenarnya menurut Kamus Dewan, permainan tradisional merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu seperti dalam kes masyarakat kita permainan gasing, wau dan dam menjadi permainan tradisional. Masyarakat kita masih lagi memainkan permainan ini tetapi semakin lama semakin dipinggirkan terutama oleh masyarakat muda di negara ini yang terlalu mengutamakan permainan moden. Peminggiran permainan tradisional ini turut diketengahkan oleh media massa yang sering menyiarkan rungutan penggiat budaya yang menganggap masyarakat belia di negara ini sudah tidak lagi memandang tinggi permainan budaya sendiri. Oleh itu, ada banyak tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan permainan ini terus wujud dalam minda masyarakat kita.Langkah awal yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah kerajaan menyediakan lebih banyak tempat-tempat atau gelanggang untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati permainan ini. Kekerapan bermain permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran yang hakiki terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan gelanggang yang cukup oleh pihak berwenang mampu memberi nafas baru kepada keseinambungan permainan warisan budaya ini.Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Kewujudan jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang tepat tentang sesuatu permainan itu dan berupaya mengajarkan ilmu itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan berlakunya keseinambungan dalam memainkan permainan yang semakin dilupakan lantaran tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan warisan budaya ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional ni sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisiona sejak muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang dipupuk sejak awal in mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar.Malah, permainan tradisional ini boleh dikekalkan jika pihak berkuasa mengadakan promosi yang berkesan tentangnya menerusi media massa. Penayangan iklan yang bersesuaian seperti menjelaskan aspek kepentingan permainan ini boleh menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat. Pemahaman ini kemudiannya akan dijelmakan dalam bentuk masyarakat cuba mengekalkan dan memainkan permainan ini sekerap mungkin dalam hidup mereka. Sesungguhnya, promosi yang sesuai dan kena kepada sasaran memberi satu dimensi baru pada permainan ini untuk terus hidup dan berkembang dalam masyarakat moden kita.Konklusinya, permainan tradisional boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang dijelaskan di atas itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Masalah yang timbul ialah pihak berkuasa tidak mempunyai keinginan politik yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek sebegini. Kelesuan minat pihak berkuasa dalam aspek ini bakal menyaksikan permainan tradisional ini semakin dilupakan. Peribahan 'tepuk dada tanya selera' sesuai menjadi renungan kita semua kerana jika kita masih leka mungkin permainan ini akan terus terkubur.