Wednesday, September 1, 2010

RENCANA PILIHAN BLOG CIKGUMIE Siri 2

RENCANA PILIHAN BLOG CIKGUMIE Siri 2

REMAJA TERUS DIWARNAI KRISIS MORAL

Tidak dinafikan isu hala tuju dan krisis identiti remaja Malaysia sentiasa diperdebatkan dari masa ke semasa. Banyak kita dengar tentang penganjuran forum, persidangan dan bengkel khusus untuk membincangkan isu remaja Malaysia yang sudah tenat dengan identiti dan hala tujunya.Namun hasil dari forum, persidangan dan bengkel itu seakan samar dari perspektif perlaksanaan dan tahap kesampaian ke peringkat akar umbi. Malah himpunan cadangan dan pendapat dari individu terlibat sekadar menjadi bahan simpanan untuk disemadikan di dalam fail yang cantik.Sedangkan realiti yang jelas terlihat di depan mata ialah tahap melampau remaja kini yang semakin kritikal. Majoriti remaja sudah hilang pedoman baik dari segi pegangan agama, mahupun kekuatan akal untuk memilih tindakan yang menepati kehendak yang dipersetujui ramai.Pertama, kita melihat aspek kehilangan nafsu remaja dibidang pendidikan. Sekolah bukanlagi pentas terbaik untuk remaja membentuk identiti terpuji ke arah membantu diri, keluarga dan negara secara amnya. Kita boleh lihat dengan jelas kecenderungan pelajar sekolah hari ini. Pastinya mereka lebih tertumpu kepada unsur luar yang jauh menyimpang dengan sukatan pelajaran yang perlu dihayati.Majoriti remaja kian meminggirkan dunia pendidikan peringkat sekolah dan melepaskan peluang berada didunia persekolahan untuk membina empayar kejayaan. Mereka membiarkan diri hanyut bersama dunia tanpa landasan yang betul. Walaupun kesungguhan pihak sekolah menyediakan ruang dan peluang untuk mereka melakar kejayaan begitu terserlah, tetapi pengaruh dan asakan semangat di luar amat kuat. Buktinya kita melihat wujud segelintir remaja berumur antara 13 hingga 18 tahun, baik lelaki atau perempuan, di bandar atau di luar bandar begitu leka dan hanyut dengan dunia negatif yang membawa mereka ke perosok kehinaan. Tumpuan kepada hiburan dan berpeleseran begitu kuat. Mereka seolah tidak wujud bersama dengan manusia lain didunia ini. Kehidupan mereka seakan terpisah dengan realiti masyarakat dan etika kehidupan yang saling memerlukan antara satu sama lain.Nasihat dan teguran akan dibalas dengan umpatan keji yang menggila. Tindakan dan tingkah laku seperti manusia yang tidak ada pegangan agama. Cara berpakaian yang langsung tidak mencerminkan adat dan kehendak agama.Guru yang mendidik dan membentuk mereka menjadi insan berilmu sanggup disergah, diejek, dipermainkan, malah ada yang dibalas dengan serangan fizikal yang mendatangkan kecederaan. Mereka seolah tidak sedar akan wujudnya tata susila, adat, budi bahasa, perasaan hormat dan perasaan kasih sayang yang perlu dipertunjukkan mengikut situasi. Ibu bapa sekadar tempat atau "kaunter" untuk memungut wang untuk membiayai aktiviti tidak bermoral mereka. Jika tidak dapat apa yang dihajati, ibu bapa sanggup diugut dan dimaki hamun.Wujud keadaan di mana segelintir remaja yang lupa agama, tidak tahu dosa pahala dan syurga neraka. Kebebasan untuk melakukan apa saja menjadi buruan dan tindakan. Mereka sanggup mensabotaj diri untuk merasai nikmat secara salah dan terkutuk.Kita juga melihat wujud segelintir remaja luar bandar dan bandar yang memilih cara dan corak hidup yang bertentangan dengan agama. Amat menjijikkan bila ada yang hidup bebas lelaki perempuan di bawah satu bumbung tanpa ada satu ikatan yang menghalalkan cara tersebut. Kehidupan mereka seperti sepasang suami isteri dan mereka seolah buta segalanya mengenai rukun hidup yang sebenarnya. Kes buang bayi menjadi bukti kepada corak hidup songsang sedemikian rupa.Kegagalan sistem rumah tangga berfungsi sebagai medan asuhan dan pendidikan menjadi teras kepada porak-porandanya moral remaja. Sebahagian ibu bapa telah gagal membina sistem asuhan dan pendidikan terbaik ketika anak-anak berada di rumah. Sedangkan rumah adalah sekolah atau institusi pendidikan yang terbaik kerana sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan.Identiti dan sistem moral anak adalah bermula di rumah. Jika rumah tangga mempunyai reka bentuk dan sistem asuhan terbaik, mengikut aturan agama dan peraturan yang seimbang, maka anak-anak akan dikeluarkan ke pasaran masyarakat dengan kekuatan kualiti dan moral yang kukuh.Tetapi sebahagian besar remaja yang dikenal pasti terlibat dengan pelbagai masalah sosial dikaitkan dengan kekalutan dan kepincangan rumah tangga. Adakah ibu bapa zaman ini sudah gagal memainkan peranan sebagai ketua dan pemimpin institusi kekeluargaan. Jika anak-anak begitu berselera melayan nafsu songsang tidak kira ketika, maka jelas sistem rumah tangga itu sudah hancur.Kita sering menuding jari kepada institusi atau pihak lain yang gagal tampil membantu sebahagian besar ibu bapa yang gagal ini. Harus diingat, punca kepada semua kesongsangan sosial ini adalah diri sendiri. Kehendak untuk membangunkan pemikiran selaras dengan perkembangan semasa perlu ada kepada setiap individu yang bakal atau yang sudah bergelar suami isteri atau ibu bapa. Jangan salahkan waktu yang terhad untuk mendampingi anak-anak. Waktu yang terhad boleh didominasikan dengan bijak jika ibu bapa cekap dengan kemahiran dan ilmu.Amat sedih dengan corak penampilan sebahagian besar remaja hari ini yang tidak tahu arah untuk ditujui. Sedangkan negara sudah dilengkapi dengan landasan dan hala tuju yang pasti di mana peranan anak muda menjadi tonggaknya. Jika remaja masih gagal menentukan baik buruk, dosa pahala dan syurga nerakanya, maka kita akan berhadapan dengan kemusnahan.Kita terus mengharapkan ada idea keramat yang timbul dengan penglibatan semua pihak di negara ini untuk membawa remaja yang hilang fokus insannya kembali ke landasan yang tepat dan mulia. Justeru, tanggungjawab mengembalikan moral mulia dikalangan belia remaja datangnya dari kekebalan peraturan dan asuhan di rumah, seterusnya mereka diberi pengukuhan apabila berada dimedan kehidupan bersama masyarakat.