Friday, September 3, 2010

SESAL DAHULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA

SESAL DAHULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA


Penipuan Jurutera Komputer

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


Dunia memang penuh dengan penipuan, ada penipuan yang dapat kita jangkakan, ada pula penipuan yang tidak dijangkakan. Berita yang disiarkan oleh Five TV UK semalam, menarik saya untuk mencoretkan sedikit nasihat kepada pembaca berkenaan penipuan serius yang dilakukan oleh kedai-kedai baiki komputer. Laporan dan kajian yang dilakukan adalah di beberapa buah kedai di London, tetapi saya yakin perkara mungkin sahaja berlaku di tempat lain khususnya Malaysia.

Menurut laporan itu, pihak penyiasatan sengaja merosakkan sedikit komputer mereka dengan melonggarkan internal cip memori (amat mudah untuk dibaiki). Kemudian, menyerahkannya ke beberapa buah kedai komputer untuk proses baikpulih.

Yang menarik, pada masa yang sama, mereka memasang sejenis alat khusus tersembunyi di komputer masing-masing berupa kamera, yang boleh merakam wajah juruteknik di hadapan skrin komputer dan juga apa-apa sahaja page yang ditekan oleh juruteknik tersebut.

Keputusan yang diperolehi amat mengejutkan iaitu :-

1. Hanya satu kedai yang jujur berterus terang memberitahu hanya kerosakan kecil dan dibaiki tanpa bayaran.

2. Semua kedai lain (hampir 5 buah), didapati membuka fail peribadi pemilik computer, melihat gambar peribadi pemilik computer, malah lebih dahsyat mereka turut menyalin sebahagian gambar dan maklumat peribadi.

3. Mereka juga cuba berkali-kali untuk akses ke laman perbankan internet (internet banking) yang digunakan oleh pemilik komputer, tetapi gagal kerana di dalam kes ini komputer yang dihantar adalah dirancang dan pemilik sengaja memasukkan butiran palsu.Hal ini bermakna jika orang biasa yang kerap memasuki perbankan internet(internet banking) melalui komputer kita yang rosak ini, maka dengan mudah pihak juruteknik komputer boleh mencuri segala maklumat, malah boleh mengakses akaun bank kita juga.

4. Mereka juga boleh mengakses segala akaun email dan sebagainya kerana kata laluan kita yang boleh diperolehi daripada komputer kita.

5. Mereka juga didapati menipu pelanggan apabila mengatakan kerosakan serius, ada yang mencadangkan pelanggan agar menukar motherboard computer yang bernilai GBP 130 (RM750), sedangkan pihak penyiasat sengaja melonggar satu memori cip sahaja. Bayangkan bagaimana penipuan sebegini dengan mudah berlaku dalam industri pembaikpulihan komputer. Dalam kes ini, dua pihak telah membayar "refund" kepada pihak penyiasatan apabila penipuan mereka dibongkarkan sejurus selepas itu. Malangnya, syarikat yang menipu bukan hanya syarikat kecil tetapi termasuk syarikat gergasi seperti PC World!.

Berdasarkan laporan di atas, saya suka menasihatkan orang ramai agar berfikir panjang dan membuat pilihan sebaik-baiknya sebelum menghantar komputer atau komputer riba anda untuk dibaik pulih.

Anda mungkin tiada gambar peribadi seksi yang ingin dirisaukan, tetapi bagaimana dengan maklumat perbankan internet, email,facebook dan sebagainya?

Jika ada peniaga, mekanik atau juruteknik komputer yang membaca tulisan ini, sedarlah segala tindakan tersebut adalah haram di sisi Islam, dan segala keuntungan hasil penipuan juga haram.

Seseorang peniaga mungkin dengan mudah boleh memperolehi keuntungan ganda hasil menukar benda yang tidak perlu, tetapi hal ini merupakan satu penipuan yang hanya melayakkan seseorang untuk berada di neraka Allah swt. Hal yang sama juga mungkin berlaku semasa kita membaiki kereta, ditukarnya benda yang tidak rosak atau sengaja dirosakkan bahagian yang tidak rosak agar boleh mendapat caj yang lebih.

Beringat-ingatlah..

Bagi mereka yang berminat untuk menonton gelagat penipu komputer, SILA BUKA DI LINK BERIKUT . Gelagat ini disiarkan di berita utama Channel Five TV, United Kingdom.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

24 Julai 2009

NOTA GURU: PERKARA YANG BERISIKO TINGGI INI JUGA BOLEH BERLAKU KEPADA MANA-MANA SET TELEFON BIMBIT CANGGIH YANG DIGUNAKAN UNTUK URUSAN PERBANKAN INTERNET!