Friday, September 3, 2010

FAKTOR DAN IMPLIKASI MEMINJAM DARIPADA CETI HARAM

FAKTOR DAN IMPLIKASI MEMINJAM DARIPADA CETI HARAM













Karya: Cik Nurul Shafina Sha'ari (2006) kini menuntut di UM.


Kegiatan ceti haram sememangnya tidak asing lagi pada masa kini. Malah, kegiatan ini juga sering dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah berat seperti pengedaran dadah, serta pil-pil khayal, sindiket pelacuran, dan pembunuhan. Kegiatan ini sekiranya tidak diatasi dengan segera, boleh mengundang padah bukan sahaja kepada masyarakat, bahkan juga kepada pembangunan Negara.


Isu ceti haram boleh dilihat sebagai kegiatan sekumpulan manusia menjalankan urusan meminjamkan wang haram hasil curian,pengedaran dadah dan sebagainya kepada sesetengah masyarakat yang ‘terdesak’. Pinjamannya mudah diperoleh dengan cepat kerana tidak memerlukan cagaran, penjamin, serta tidak perlu mengikut prosedur tertentu, seperti mana di institusi kewangan yang lain. Hal ini menyebabkan sesetengah masyarakat tidak berfikir panjang untuk meminjam wang daripada ceti haram.


Kesempitan hidup atau masalah beban kewangan juga turut menjadi factor orang ramai meminjam daripada ceti haram. Hal ini dikaitkan juga dengan kos hidup yang tinggi, perbelanjaan yang melebihi pendapatan dan kerugian yang dihadapi dalam perniagaan. Tambahan pula, bagi mereka yang sememangnya berpendapatan kecil turut menganggap ceti haram sebagai jalan terakhir penyelesaian masalah mereka. Lantas, mereka bertindak dengan meminjam wang daripada ceti haram dan tidak memikirkan risiko yang bakal dihadapi kelak.


Namun begitu, terdapat implikasi buruk daripada kegiatan ceti haram ini. Bagi ceti haram, mereka akan menjejaki si penghutang sehingga ke ‘lubang cacing’ dan akan memberikan amaran pertama, kedua dan seterusnya kepada si penghutang. Sekiranya si penghutang tidak mampu untuk melangsaikan hutangnya, maka ceti haram tidak akan teragak-agak untuk mencetuskan keganasan berupa penderaan dan juga pembunuhan. Malahan yang lebih menakutkan, ceti haram juga akan menjejaki keluarga si penghutang untuk dijadikan tebusan dan sebagainya.


Bagi si penghutang, ancaman berterusan yang diterima daripada penceti haram menyebabkan mereka semakin tertekan dan bagi mereka yang lemah dari segi iman dan pendidikan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan membunuh ahli keluarga sebelum bertindak membunuh diri sendiri supaya penceti haram tidak dapat menjejaki mereka sekeluarga.


Intihanya, masyarakat hari ini hendaklah bersatu tenaga bersama-sama pihak berkuasa untuk menangani kegiatan jenayah ini daripada berleluasa. Hal ini perlu untuk menjaga keharmonian, keamanan dan kestabilan dalam Negara.