Saturday, August 28, 2010

MASALAH BULI

MASALAH BULI

Artikel asal yang ditulis oleh enam orang guru di Johor Bahru


PN HJH FATIMAH BT OMAR SM TEKNIK TANJUNG PUTERI
PN ROBIATUL ADAWIAH BT RIPIN SMK TAMAN MUTIARA RINI 3.

CIK ROZITA BT ABDULLAH SMK TAMAN DAYA 3
PN ROZILA BT MAT
SMK SERI ALAM 2
PN HELEN ANAK ALBERT ALA SMK SERI KOTA PUTERI
PN ASMAH BT TAYEB SMK BANDAR SERI ALAM


Soalan:

Kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah heboh diperkatakan kebelakangan ini sehingga ada yang membawa maut.

Huraikan punca-punca gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah dan langkah-langkah mengatasinya.

Pendahuluan:


Menurut Kamus Dewan, perkataan buli bermaksud perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru. Membuli pula bermaksud mempermain-main orang, biasanya orang yang lemah, bertujuan untuk menggertak atau menakutkan orang yang berkenaan. Oleh itu, buli dapat diinterpretasikan sebagai satu perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan.Secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka. Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu buli secara langsung dan tidak secara langsung.Buli secara langsung termasuklah diugut, disepak atau membalas pukulan. Sementara buli secara tidak langsung melibatkan kata-kata (verbal) termasuklah memanggil atau ejek-mengejek, dikacau dan ditertawakan rakan lain.


Salah satu punca berlakunya kes buli dalam kalangan pelajar sekolah ialah pengaruh daripada rakan sebaya Gejala ini dikatakan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya kerana pada zaman ini remaja lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka. Malah, ibu bapa dan guru tidak menjadi model dalam kehidupan remaja kini. Mereka lebih percaya dengan rakan yang seusia untuk berkongsi masalah. Pelajar yang bertubuh besar dan tegap suka membuli pelajar yang saiz tubuhnya lebih kecil. Kejadian membuli melibatkan sekumpulan pelajar dan biasanya usia mereka adalah sebaya. Tekanan rakan sebaya akan mendorong pelajar terpengaruh untuk mengikut tingkah laku rakan mereka yang suka membuli. Sebagai contoh, Mohammad Afiq Qusyairi bin Baharuddin, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang cedera selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah tersebut. Pelajar berkenaan telah mengalami kecederaan parah dan kemungkinan akan lumpuh kerana kecederaan yang dialaminya berkait rapat dengan saraf tunjang. Ironinya, kumpulan pelajar yang membelasah Mohammad Afiq disebabkan terpengaruh oleh rakan sebaya atau sekadar untuk berseronok-seronok tanpa memikirkan risiko yang bakal diterima kelak. Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu punca yang menyumbang kepada berlakunya kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Pengaruh Media massa menjadi punca berlakunya kes-kes buli. Media massa menyiarkan drama atau filem yang memaparkan aksi pergaduhan yang berbahaya dan ini mendedahkan kepada pelajar yang menontonnya. Sebahagian besar penonton terdiri dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Mereka mudah terpengaruh oleh apa yang ditontoni oleh mereka dan meniru aksi-aksi yang dipertontonkan tanpa menyedari akibat daripada perbuatan mereka. Tayangan filem-filem aksi dan komik-komik yang dipasarkan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. Paparan aksi daripada filem-filem dan komik-komik ini sedikit sebanyak mempengaruhi perilaku remaja ini. Sambutan yang hangat dalam kalangan penonton dan pembaca terhadap filem atau cerita aksi ini menyebabkan stesen-stesen televisyen berlumba-lumba untuk menyiar dan menerbitkan filem berkenaan. Paparan melalui media cetak dan elektronik banyak memaparkan adegan buli. Walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan melalui FINAS menyekat kebanjiran filem asing terutama dari Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura dan Hollywood masih ada lagi segelintir masyarakat yang cuba membawa pengaruh filem berkenaan. Lambakan filem aksi yang ada di pasaran mempengaruhi golongan remaja membeli dan menonton filem ini. Antara contoh filem-filem tempatan seperti Filem ‘Buli’,’ ‘Gengster’ ‘KL Menjerit’ dan dari luar negara seperti drama ‘Anak Metropolitan’, ‘Kiss Of The Dragon’ ‘Gen X Cops’ dan lain-lain. Melalui media cetak pula, komik-komik seperti ‘Pedang Setiawan’, ‘Juara Wira’ dan lain-lain banyak dipasarkan secara berleluasa.

Masalah desakan hidup juga menjadi punca berlakunya masalah buli. Hal ini demikian kerana pengabaian ibu bapa terhadap tanggungjawab mendidik anak-anak sehinggakan mendorong mereka mencari kebebasan di luar rumah. Keadaan ini menyebabkan anak-anak mudah memberontak, menghadapi tekanan perasaan dan berasa kurang mendapat perhatian. Tekanan perasaan yang dialami oleh remaja disebabkan oleh desakan hidup seperti masalah kewangan, penderaan, kepincangan institusi keluarga dan kesunyian hidup menyebabkan mereka melepaskan tekanan perasaan dengan pelbagai cara seperti membuli rakan yang lain semata-mata dengan niat melepaskan kemarahan terhadap ibu bapa mereka. Pada 20 Mac 2005, Jeff Weise seorang pelajar di Red Lake High School, Minnesota, Amerika Syarikat telah mengamuk dan menembak lima orang rakannya, seorang guru dan seorang pengawal keselamatan. Persoalannya, adakah tindakan ini berpunca sama ada daripada tekanan perasaan atau desakan hidup dalam keluarga yang bermasalah?.

Rumusan isi: Intihanya, tidak dapat dinafikan faktor desakan hidup dan masalah keluarga boleh menyebabkan seseorang membuat sesuatu perkara di luar pertimbangan. Oleh itu, wajar ibu bapa prihatin dalam mendidik anak-anak agar mereka tidak menconteng arang ke muka keluarga. ‘Janganlah sebab nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Peranan ibu bapa penting dalam menangani masalah buli. Penglibatan ibu bapa dalam menangani kes buli di sekolah kini menjadi semakin penting.Hal ini demikian kerana ibu bapalah merupakan asas permulaan pembentukan peribadi anak-anak, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.Malahan ibu bapa juga insan yang paling hampir dengan anak-anak. Ibu bapa boleh memberikan pendidikan agama kepada individu sejak kecil merupakan langkah berkesan untuk mengatasi masalah ini.Pendidikan agama penting kerana boleh melahirkan manusia yang bermaruah dan mengamalkan budi pekerti mulia.Di samping itu, ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang tidak bermoral. Sebagai contoh, ibu bapa perlu berbincang dengan guru jika didapati anak mereka bertukar sikap, menjadi pendiam atau kurang selera untuk makan. “Sudah terhantuk baru tengadah , semoga peribahasa ini dijadikan iktibar kepada semua.

Rumusan isi Justeru, peranan ibu bapa dalam menangani kes buli tidak boleh disangkal dan wajar bagi setiap ibu bapa menjadi ‘role model’ kepada anak-anak.

Selain itu , pihak kerajaan juga bertanggungjawab memastikan kejadian buli tidak menular dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana, pihak kerajaan merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keamanan sejagat terpelihara. Pihak kerajaan perlu memastikan undang-undang sedia ada dipatuhi dan dilaksanakan. Mendengar sahaja perkataan hukuman, naluri semula jadi seorang pelajar akan menjadi gerun ditambah dengan hukuman yang berat.Mereka akan mencuba sedaya upaya membendung niat mereka dan lama-kelamaan gejala buli ini akan pudar ditelan masa. Hukuman yang boleh dilaksanakan ialah sebatan mandatori, penjara,dihantar ke pusat pemulihan dan dibuang sekolah.Hukuman-hukuman berat seperti ini, akan menjadi penahan dan penghalang terbaik kepada pelajar yang suka membuli. Di samping itu, pihak –pihak berwajib juga perlu menggembleng tenaga mengatasi gejala ini. Sebagai contoh, Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin di sekolah ditubuhkan ekoran kematian Muhammad Farid Ibrahim, pelajar tingkatan empat yang dipercayai dibuli oleh sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan, Seremban pada 28 Mac 2004. Oleh itu, sebagai institusi yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah, kerajaan hendaklah berusaha menjamin keamanan dan keselamatan dengan mengambil langkah berkesan bagi membanteras gejala ini agar tidak menjadi barah dalam masyarakat dan “seperti api dalam sekam”.

Institusi pendidikan merupakan tempat formal individu menimba ilmu. Hal ini demikian kerana pendidikan merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengekang masalah buli dan menjadi tunjang atau paksi utama yang dapat mengubati penyakit sosial ini. Pendidikan sekular secara formal juga perlu diberikan kepada anak-anak agar mereka dapat melalui perkembangan rohani, jasmani,emosi dan intelek secara seimbang,iaitu sebagaimana yang diaspirasikan oleh Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan yang sempurna dapat membuka minda seseorang dan membentuk sikap serta keperibadian yang lebih terbuka dan liberal. Pihak sekolah misalnya melalui pendekatan disiplin asertif boleh menggariskan syarat kepada pelajar sekiranya mereka melakukan tingkah laku yang tidak wajar akan dikenakan hukuman. Tindakan fizikal kepada orang lain, bahasa yang menjatuhkan air muka orang lain,isyarat tidak wajar ,merosakkan harta sekolah,menentang pihak berkuasa atau terlibat dengan dadah membolehkan individu terbabit disabitkan kesalahan. Seterusnya, program yang memberikan penekanan kepada pendekatan penyelesaian masalah dan program antibuli perlu diterapkan di dalam kelas. Hal ini demikian kerana, di dalam kelas ialah tempat yang paling banyak berlakunya tingkah laku buli. Sebuah sekolah di Kuala Lumpur berjaya mengurangkan kejadian buli apabila guru besar sendiri menubuhkan kumpulan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan kejadian buli di dalam kelas dan di dalam sekolah.Implikasinya, pendekatan ini mampu mengurangkan 80 peratus kejadian buli dalam tempoh dua bulan. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa institusi pendidikan merupakan tempat formal untuk menimba ilmu.

Konklusinya, sudah termaktub dalam hukum alam, bahawa setiap individu dalam sesebuah negara, terikat dengan undang-undang. Setiap sesuatu yang dilakukan untuk membahayakan diri sendiri dan orang lain sering kali akan membawa padah yang sangat buruk bukan sahaja kepada diri sendiri malah keluarga. Bak kata pepatah ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali’. Oleh itu semua pihak perlu bekerjasama menggembleng tenaga menangani gejala buli agar tidak ‘mendarah daging dalam jiwa masyarakat.