KARANGAN DIMENSI KOMSAS- ULASAN CERPEN
Soalan Contoh:
Anda telah membaca sebuah cerpen yang menarik dalam salah sebuah antologi. Tulis ulasan tentang cerpen tersebut.
Jawaban:
Judul cerpen: Sebutir Pasir di Kaki.
Nama Pengarang: Norhisham Mustafa
Penerbit: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Tahun: 2000
Cerpen yang telah saya baca baru-baru ini ialah ‘Sebutir Pasir di Kaki’, iaitu karya Norhisham Mustafa. Cerpen ini termuat dalam antologi ‘Kerusi’ yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2000. Setelah membaca cerpen ini, saya mendapati bahawa cerpen ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa keistimewaan cerpen ini yang ingin saya paparkan kepada semua pembaca. Pengarang cerpen ini telah berjaya mengolah cerpen ini dengan baik. Tema, persoalan, plot, nilai dan pengajaran yang diketengahkan dalam cerpen ini telah berjaya dijalin dengan baik.
Cerpen ini mengisahkan seorang pemuda yang bernama Fuad. Dia berasa marah apabila mendapati geran tanah pusaka milik keluarganya diambil oleh Datuk Sukar, iaitu bapa kekasihnya. Fuad marah kerana kejadian itu berlaku ketika dia berada di Singapura. Dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Datuk Sukar untuk meminta geran tanah tersebut semula. Fuad bersemuka dengan orang kaya itu dan Datuk Sukar menjelaskan bahawa tanah itu akan dijadikan tapak kilang tekstil oleh sebuah syarikat dari Hong Kong. Datuk Sukar menyatakan bahawa tauke Ban Heng hendak memajukan tanah tersebut secara usaha sama dengan tujuan untuk memanfaatkan tanah tersebut. Walaupun Fuad akan memperoleh RM280 ribu sebagai harga tanah tersebut, dia tetap menolaknya. Akhirnya Datuk Sukar menyarahkan geran tersebur kepada Fuad tetapi dia telah menghalau Fuad dari rumahnya, memecatnya dari jawatannya serta memutuskan hubungannya dengan Junainah, malah mengharamkan Fuad daripada menjejakkan kaki di rumahnya.
Cerpen ini bertemakan kesungguhan seorang anak muda dalam mempertahankan haknya. Fuad dengan tegasnya enggan menjual tanahnya sebaliknya berusaha untuk mendapatkan geran tanahnya semula daripada Datuk Sukar. Ketegasan Fuad harus diambil iktibar oleh semua orang supaya dapat menyelamatkan harta pusaka mereka dan tidak mudah ditipu. Persoalan yang timbul selepas membaca cerpen ini ialah tipu helah dan putar belit hartawan dalam usaha hendah merampas harta orang lain. Datuk Sukar sebenarnya membuat rancangannya untuk merampas harta pusaka Fuad dengan memberinya kerja dan merestui hubungan cinta antara Fuad dengan anaknya. Selain itu, kecintaan terhadap tanah pusaka melebihi cinta terhadap seorang gadis juga merupakan salah satu persoalan yang termuat dalam cerpen ini. Fuad rela memutuskan hubungan dengan kekasihnya daripada menyerahkan tanah pusaka milik keluarganya.
Plot cerpen ini disampaikan secara kronologi. Eksposisi cerpen ini cuba memaparkan watak Fuad yang marah apabila tanahnya hendak diambil oleh Datuk Sukar. Fuad pergi ke rumah Datuk Sukar untuk berbincang dengan orang kaya itu pada peringkat perkembangan. Pada peringkat perumitan pula, Fuad enggan bertolak ansur dengan Datuk Sukar untuk menjual tanah tersebut. Klimaks cerpen ini mengisahkan kemarahan Datuk Sukar. Datuk Sukar pengsan pada peringkat peleraian. Selain itu, pelbagai teknik plot digunakan oleh pengarang ketika mengembangkan cerpen ini. Antaranya termasuklah teknik imbas kembali. Sebagai contohnya, Fuad mengenang kembali pertemuannya dengan Junainah di halaman rumah Junainah. Secara keseluruhannya, plot kronologi ini disusun mengikut urutan, iaitu waktu dan peristiwa yang berlaku dahulu akan didahulukan manakala yang berlaku kemudian akan dikemudiakan.
Cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ ini telah didukung oleh beberapa watak yang menarik. Watak utamanya ialah Fuad. Fuad merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradiknya. Dia berusia 27 tahun dan masih bujang. Dia merupakan pekerja Datuk Sukar, iaitu bapa kekasihnya. Fuad merupakan seorang yang tegas. Ini dapat dilihat apabila dia tetap tidak mahu menjual tanah pusaka walaupun ditawarkan harga yang tinggi. Dia juga berani kerana sanggup berjumpa dengan Datuk Sukar untuk mendapatkan penjelasan tentang penyerahan geran tanah oleh ibunya. Selain itu, Datuk Sukar juga merupakan salah satu watak dalam cerpen ini. dia merupakan usahawan yang berjaya dan memiliki kekayaan. Datuk Sukar suka mengambil peluang terhadap orang lain. Hal ini telah dibuktikan apabila dia meminta ibu Fuad untuk menandatangani surat penjualan tanah semasa Fuad berada di Singapura.
Latar tempat dalam cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ ialah rumah Fuad dan di kawasan rumah Datuk Sukar, iaitu di dalam dan di luar rumahnya. Selain itu, maktab perguruan dan Dewan Negeri turut menjadi latar tempat dalam cerpen ini. Masyarakat peniaga merupakan latar masyarakat cerpen ini. Golongan peniaga diwakili oleh Datuk Sukar dan tauke Ban Heng. Seterusnya, latar masyarakat cerpen ini ialah masyarakat yang tamak. Datuk Sukar mahu memiliki tanah pusaka kepunyaan keluarga Fuad walaupun dia memiliki banyak harta. Latar masa cerpen ini pula adalah pada waktu petang, waktu Maghrib dan waktu malam.
Cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ mempunyai beberapa nilai dan pengajaran yang patut menjadi teladan dalam kehidupan semua orang. Antara nilai yang ada dalam cerpen ini ialah nilai kasih sayang. Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang sayang akan ibunya dan kekasihnya, Junainah. Selain itu, watak Fuad juga menggambarkan nilai keberanian. Sebagai contohnya, dia berani menentang tindakan Datuk Sukar meskipun Datuk Sukar merupakan majikannya. Pengajaran dalam cerpen ini ialah kita mestilah berani mempertahankan hak kita. Fuad berani mempertahankan tanah pusaka keluarganya daripada diambil oleh Datuk Sukar. Pengajaran lain ialah kita hendaklah menghindarkan sikap mementingkan diri. Datuk Sukar mementingkan diri dan tidak berunding dengan Fuad terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil tanah tersebut.
Kesimpulannya, cerpen ini memberikan manfaat kepada penbaca. Nilai keberanian yang terpapar dalam cerpen ini dapat dijadikan teladan untuk segenap lapisan masyarakat. Nilai mulia seperti kasih sayang terhadap ahli keluaga mampu dijadikan teladan dalam kalangan remaja. Dengan adanya sorotan karya ini, ibu bapa dan para remaja sedar akan kepentingan menjaga hak keluarga mereka. Cerpen ini turut ditunjangi penguasaan bahasa yang indah dan berkesan. Oleh itu, cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ karya Norhisham Mustafa wajar dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat.
(Karangan ini ditulis oleh Thayalany Rajan daripada Kelas 5 Cengal. Sesiapa yang berminat untuk memiliki karangan ini, sila hantar e-mel kepada thayasha_92@hotmail.com)
Dipetik daripada : Blog Cikgu Ghalib
http://agy7500.blogspot