RENCANA UMUM 12: ANTARA OTAK DAN KEKUATAN MINDA
CETUSAN MINDA
ANTARA OTAK DAN KEKUATAN MINDA
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif, Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)
MENURUT pakar perubatan bahawa tubuh manusia terdiri dari 200 tulang yang dicipta secara unik dengan mempunyai tugas kerja mekanik yang amat sempurna; 500 otot dengan jutaan serat otot dan serat saraf sepanjang kira-kira sebelas kilometer, semuanya teradun dengan begitu sempurna. Allah Yang Maha Mengetahui segalanya. Sistem pernafasan kita adalah sebuah sistem yang sangat cerdas. Sistem pencernaan, metabolisme dan sistem lain yang terdapat dalam tubuh kita ini adalah sungguh rumit dan kompleks.
Para saintis dan para ilmuwan serata dunia ini rata-rata mengakui bahawa mereka belum menemukan apatah lagi mengetahui sepenuhnya cara kerja sistem-sistem ini, apalagi bagi menggantikan fungsi-fungsi masing-masing dengan cukup memuaskan. Benar, kita mendengar ada orang mempunyai jantung berlubang dan digantikan dengan jantung tiruan. Tetapi jantung tiruan itu disokong oleh benda-benda lain dengan dukungan bateri dan seumpamanya. Jantung tiruan itu tidak dapat berfungsi sendiri tanpa didukung oleh alat-alat lain.
Sesungguhnya jantung manusia, jantung kita ini yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala adalah sejenis pompa mekanik alamiah yang paling mengagumkan dan unik. Kenapa? Pakar-pakar bedah dunia mendapati bahawa denyutan jantung manusia rata-rata 36 juta kali dalam setahun. Bayangkan, jumlah denyutan itu. Sifirlah sendiri berapa denyutan dalam sehari, setelah dibahagi kepada bulan, minggu dan hari. Itu baru jantung. Bagaimana pula mengenai otak? Pakar otak telah menemui beberapa perkara ajaib, sekubit cuma, tentang kuasa otak manusia. Mereka berkata bahawa otak manusia ini mempunyai lebih kurang 10 bilion sel yang disebut neuron. Setiap neuron atau satu-satu neuron itu pula memiliki 10 ribu rangkaian dengan sel-sel yang lain. Makhluk halus dari sejenis urat disebut synapse atau sinapse adalah jadi penghubung kepada rangkaian itu. Ini bermakna bahawa dalam otak manusia terdapat paling kurang 10 trilion, yakni 10,000,000,000,000 (tiga belas kali angka kosong) sinapse. Setiap sel itu mempunyai daya pengolahan yang lebih hebat daripada komputer peribadi. Semua makhluk halus yang luar biasa banyaknya ini terkandung dalam otak manusia yang kecil saja saiznya. Berat otak manusia hanya kira-kira tiga setengah paun.
Menurut pakar komputer dan pakar otak lagi bahawa secanggih, seberat serta sebesar manapun komputer langsung tidak akan sama dengan kebolehan dan kekuatan sistem otak manusia. Otak manusia dapat menyimpan seribu bit maklumat baru tiap-tiap saat di sepanjang hayat manusia. Allahuakbar! Mari saya huraikan perbandingan hasil penelitian puluhan tahun yang dilakukan oleh pakar-pakar elektronik dan komputer. Komputer peribadi (PC) seberat 6 paun boleh memproses dan menyimpan lebih 5 giga bit (byte), yakni 5 bilion megabyte yang boleh menaruh kira-kira lima buah ensiklopedia setebal 30 jilid tiap satu set dalam cekera padatnya, bayangkan daya muat komputer seberat 10 tan yang boleh menyimpan data beratus bilion megabyte saiznya. Nah, itulah saiz muatan otak manusia.
Ahli sains otak manusia berpendapat bahawa seluruh sistem telefon di dunia ini baru sama dengan kira-kira satu gram saiz otak manusia. Sebiji kacang beratnya baru satu gram. Lalu kajian terbaru mendapati bahawa apa-apa maklumat yang tersimpan dalam otak manusia sejak manusia masih anak damit dapat diingat oleh manusia itu sekiranya dia mengetahui tekniknya. Ini berkait dengan sistem kekuatan minda! Misal saja, saya yang sudah bernafas 62 tahun ini, alhamdulillah (bulan Oktober ini genap dua tahun menerima pencen tua 250 ringgit sebulan, alhamdulillah) bayangkan berapa banyak bit (byte) maklumat yang terakam dan tersimpan dalam otak saya. Namun maklumat itu tidak sampai ke mana jika kekuatan minda tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Allah mengurniakan manusia dengan bakat masing-masing, dengan kebolehan masing-masing, dengan keunikan masing-masing. Dan masing-masing harus tahu tanggungjawab dan peranan yang dilakukan dalam usaha kita menikmati kesejahteraan di dunia dan kesejahteraan di Akhirat.
Nah cuba bayangkan dan fikirkan, jutaan sistem sel dalam otak berjalan dengan harmoni tanpa ada yang keliru menjalankan fungsinya dan tugas masing-masing. Kemudian bandingkan apa akan terjadi kepada komputer peribadi jika kuasa tenaga iaitu arus elektrik tiada. Jika tidak disimpan muatan, semua perisian akan terus hilang. Hubaya-hubaya, jangan cuba disamakan kerja otak manusia dengan kerja mesin atau komputer. Ada orang terpesona dengan kecanggihan teknologi masa kini. Ada orang terbahangga dan geleng-geleng kepala bila nampak komputer riba yang canggih. Haruslah difahami bahawa komputer memproses dan menerima maklumat secara mekanikal, itu pun wajib didukung arus tenaga lain. Jika tidak didukung oleh arus tenaga misalnya elektrik maka ia akan jadi benda yang mati, langsung tidak berfungsi. Nah, kenapa kita gaplah dan terkial-kial bila arus tenaga elektrik tiada?
Otak manusia adalah anugerah dan ciptaan Tuhan. Manakala komputer adalah ciptaan manusia. Faham-fahamlah bahawa komputer itu dicipta oleh otak manusia! Jadi tidak perlu kita kalap-kalap mata dan kakai-kakai macam si Luncai terjun dengan labu-labunya bila diuar-uarkan dengan kecanggihan teknologi masa kini. “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” Demikian peringatan Surah Ath Thalaaq ayat 3 yang mengajak kita untuk berfikir tentang ketentuan sesuatu dari Allah jua. Ribuan tahun lamanya manusia mencuba mencari jawapan tentang keajaiban berfikir. Di mana letaknya minda manusia jika wujud? Benarkah minda manusia terletak dalam otak? Jika seorang pengkarya dapat melukis wajah Monalisa yang senyumnya mempesona dari setiap sudut dan mampan sepanjang zaman, adakah kebolehan ini semata-mata lahir dari otak manusia atau ya, dibantu oleh sistem lain yang lebih kuat daripada otak manusia.
Fikir-fikirlah bahawa renungan, khayalan dan berimaginasi adalah melalui kekuatan minda. Kekuatan minda adalah perkara yang berbentuk ghaib. Kenapa saya berkata begitu? Nah, jika minda itu wujud, lalu di mana letaknya! Memang ada yang bercakap bahawa kekuatan minda itu dalam otak. Lalu saya soal kembali: Bagaimana rupanya? Bagaimana bentuknya? Apakah kuasanya? Otak ya memang kita tahu ada tetapi kekuatan minda! Lalu jika seorang pengkarya dapat mencipta pantun yang dapat diingat sepanjang zaman, generasi demi generasi seperti di bawah, bukankah ini namanya kekuatan minda dan imaginasi pengkarya itu. Suatu sistem kekuatan imaginasi yang bukan semata-mata daripada otak manusia. Ini bukan kerja otak semata-mata. Tetapi dibantu oleh sanubari atau perasaan manusia. Nah, apakah secanggih manapun komputer langsung tidak mempunyai sanubari atau perasaan.
Pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti
hutang emas dapat dibayar
hutang budi dibawa mati.
Para ilmuwan Islam berpendapat bahawa manusia ini terdiri daripada dua sifat. Yang satu, jasad atau jasmaniah. Dan yang satu lagi, roh atau rohaniah. Nah, otak manusia adalah jasad. Manakala benda yang disebut minda itu termasuk dalam bahagian roh manusia yang tidak berjasad. Kita semua yakin bahawa kuasa minda lebih kuat daripada otak manusia. Benarlah, kita yang manusia ini, berfikir melalui otak. Tetapi merenung, berkhayal, bernostalgia, berimaginasi adalah melalui kekuatan minda. Otak dan kekuatan minda adalah dua perkara yang berbeza. Bukankah para sufi dalam Islam yakin bahawa manusia yang paling rapat dengan Tuhan akan dianugerahi kuasa rohaniah yang luar biasa. Kuasa minda apa? Mereka melihat melalui mata makrifat! Mendengar melalui telinga makrifat! Mengkaji ilmu melalui ilmu makrifat! Semua ini tidak dapat digapai melalui pancaindera manusia biasa. Kekuatan minda melalui makrifat ini hanya dapat dirasai melalui pengalaman yakni pengalaman berzikir secara tawaduk, pengalaman bertafakur secara rendah diri khusyuk, tidak sekadar berfikir sahaja.
Tanyalah kepada penganut-penganut setia agama lain misalnya Hindu, Buddha dan Kristian. Usaha-usaha mereka mendekatkan dengan Tuhan dilakukan juga melalui pengalaman di luar otak iaitu melalui pertapaan dan meditasi. Mengapa mereka bertapa? Tujuannya memantapkan kekuatan minda. Nah, kenapa tidak dilakukan melalui proses berfikir sahaja! Pemikir rasionalis Perancis yang lahir pada akhir abad ke 15, Rene Descates berkata dalam bahasa Latin, 'Cogito Ergo Sum' yang bermakna 'Aku Berfikir, Jadi Aku Wujud'. Descates berkata bahawa dia wujud dalam bentuk jasad setelah dia puas hati bahawa wujudnya itu adalah kerana dia berfikir. Bermakna Descartes menggunakan kaedah akliah berdasarkan logika ke tahap yang diyakini bagi membuktikan kebenaran yang wajib wujud (necessary truth) pada suatu benda atau fenomena. Namun dia tidak dapat menyelesaikan masalah minda kerana beliau terlalu bergantung pada kaedah deduksi. Dia cuma berkata, tanpa alasan yang jelas, bahawa minda manusia terletak di tengah otak atau kelenjar pineal.
Kemudian ahli falsafah berbangsa Inggeris abad ke 18 menolak pendapat Descartes ini dengan berhujah, “Adalah penting kaedah ilmu berdasarkan data yang dikumpul daripada pemerhatian yang objektif, bukan semata-mata berdasarkan kaedah logika.” Sigmund Freud (1856-1939) pula berkata bahawa manusia mempunyai minda bawah sedar atau unconscious mind, atau disebut sebagai otak terpendam, yakni yang menyimpan segala perasaan atau emosi manusia yang tidak disedari oleh minda sedar (conscious mind). “Rahsia otak atau minda terpendam ini sering memperlihatkan alamatnya atau mesejnya dalam mimpi, atau hanya dapat dicungkil dan dibawa ke paras kesedaran melalui kaedah hypnosis,” hujah Freud. Lalu ilmu psikologi Freud ini cukup kuat pengaruhnya sehingga dituangkan dalam penulisan kreatif dan bidang perubatan. Kemudian pemikir-pemikir dari Amerika pun banyak menulis tentang pemikiran positif.
Terdapat juga penulisan-penulisan cara berfikir kreatif berdasarkan kuasa minda manusia yang tidak semata-mata bersifat rasional, logikal atau linear, malah bersifat emosi (sanubari) dan kreatif. Natijahnya ialah diperkenalkan kaedah berfikir lateral (lateral thinking) yang dipelopori oleh Edward De Bono. Berfikir lateral adalah lawan berfikir secara linear. Sesungguhnya kaedah lateral thinking adalah lebih kurang sama dengan semangat 'pemikiran tauhid' yang disebut-sebut oleh orang Islam untuk memahami sesuatu hakikat alam, hakikat hidup dan masalah manusia dari berbagai-bagai segi, tidak dari segi kaedah atau pandang yang dogmatik. Kaedah ini misalnya empiris, rasionalism atau akliah dan metafizik sesungguhnya telah diamalkan lebih dahulu oleh ilmuan, cendekiawan dan saintis Islam sejak abad ke 8 lagi, lama sebelum orang Barat yakni Eropah mengetahui kaedah ini setelah mereka menemui kaedah falsafah Yunani atau Greek misalnya falsafah Plato dan Aristotle melalui karya-karya pemikir Islam seperti Al-Farabi, Ibn Sina, Al-Ghazali dan Ibn Rushd.
Kaedah semacam ini pun juga turut dikembangkan oleh pemikir-pemikir Melayu misalnya melalui pantun di bawah:
Asal kapas menjadi benang
asal benang menjadi kain
barang yang lepas jangan dikenang
sudah jadi milik orang lain.
Sumber: Pelita Brunei - http://www.pelitabrunei.gov.bn