Saturday, August 28, 2010

PERANAN IBU BAPA MEMUPUK MINAT MEMBACA KEPADA ANAK-ANAK

PERANAN IBU BAPA MEMUPUK MINAT MEMBACA KEPADA ANAK-ANAK

Karangan dipetik daripada blog CIKGU GHALIB
( Pelajar T4 dan T5 ) boleh meneliti bagaimana cara Cikgu Ghalib membina ayat yang pendek tetapi mengandungi huraian, contoh dan peribahasa yang berkesan. Daripada contoh di atas, pelajar boleh menggunakan teknik pengembangan isi dengan lebih mendalam sesuai dengan kematangan pelajar.

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk minat anak-anak supaya gemar membaca. Berikan pendapat anda


(AR) Anak-anak dalam zaman ini tidak suka membaca. (AR)Mereka lebih suka menghabiskan masa lapang mereka dengan melepak di kompleks beli-belah atau menonton televisyen daripada membaca bahan bacaan yang berguna. (AR) Jika tidak membaca, mereka akan kekurangan ilmu pengetahuan atau tidak mengetahui perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu, (AA) ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak mereka.

(AJ) Satu daripada peranan ibu bapa ialah ibu bapa hendaklah menyemaikan tabiat suka membaca dalam kalangan anak mereka. (AH) Tabiat ini harus ditanamkan sejak kecil lagi bak kata pepatah, "kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya". (AH) Dalam hal ini, ibu bapa perlu menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak. (AC) Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah mewujudkan perpustakaan mini di rumah untuk menggalakkan anak-anak membaca. (AP) Apabila anak selalu membaca, mereka akan menjadi seronok lalu menjadikan amalan membaca sebagai hobi kerana alah bisa tegal dek biasa.

Selain itu, (AJ) ibu bapa sendiri juga harus menanamkan sikap suka membaca kepada diri sendiri sebagai teladan kepada anak-anak. (AH) Apabila melihat ibu bapa membaca, anak-anak juga akan terpengaruh untuk mengikut jejak langkah ibu bapa mereka yang suka membaca. (AC) Misalnya, ibu bapa yang tidak suka membaca dan hanya menggalakkan anak-anak mereka membaca dianggap bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul. (AP) Oleh yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dengan menjadikan amalan membaca sebagai hobi kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Di samping itu, (AJ) ibu bapa juga hendaklah sering membawa anak-anak ke perpustakaan atau ke kedai-kedai buku. (AH)Apabila mereka berada di perpustakaan atau di kedai buku, mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang diminati untuk dibeli atau dibaca. (AC)(AP) Melalui cara ini, ibu bapa dapat menyuburkan minat membaca dalam kalangan anak mereka.

Bukan itu sahaja, (AJ) ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak untuk membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. (AH) Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini. (AC) Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. (AP) Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku dan mereka tidaklah menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Kesimpulannya, (A Hrp) ibu bapa harus sedar akan peri mustahaknya membaca kerana para pujangga sering mengingatkan pembaca bahawa membaca jambatan ilmu. (A Cdgn) Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian, (A Cdgn) ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka. (A Pnln) Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak seminggu atau dua minggu sekali ke kedai buku atau ke perpustakaan.

Nota : AR - Ayat Rangsangan (Digunakan untuk menarik perhatian pembaca/ umpan pembaca)
AA- mengajak/ memandu pembaca untuk membaca seterusnya
( AR dan AA ) - digunakan dalam perenggan pengenalan.

AJ- Ayat Judul dipanggil juga AT ( Ayat Topik )- Ayat yang menyatakan isi bagi tajuk yang dibincangkan/ fakta yang akan digunakan

AH - Ayat Huraian - Ayat yang memperjelas fakta dalam bentuk huraian lebih mendalam agar pembaca lebih memahami isu dinyatakan. Beberapa ayat huraian menggambarkan kesinambungan cerita/ isu dibincangkan.

AC - Ayat contoh - ayat yang digunakan untuk menyokong hujah/ huraian yang dikemukakan, misalnya dalam bentuk data statistik, isu semasa yang sedang hangat diperbincang, fakta sejarah dan sebagainya.

AP - Ayat Penyimpul - Ayat yang digunakan untuk menyimpulkan semula semua fakta, huraian dan contoh yang telah dibincangkan.