CARA-CARA MENJADI PENULIS YANG BAIK
Nyatakan cara-cara untuk menjadi seorang penulis yang baik.
Penulis sering dianggap manusia yang bijak dan unik kerana berupaya menerangkan sesuatu aspek kehidupan, perkara, peristiwa atau apa-apa dengan mudah tetapi berkesan. Kerjaya sebagai penulis dikatakan satu kerjaya yang glamor terutama kalau hasil penulisannya berupaya dijual dengan banyak. Sikap media massa yang sering menayangkan kejayaan seseorang penulis turut menjadikan kehidupan penulis menjadi buruan media massa terutama akhbar yang mementingkan berita sensasi. Lantaran itu, apakah perkara yang harus dimiliki oleh seseorang untuk menjadi penulis yang berjaya?
Untuk menjadi penulis yang berjaya sudah pasti seseeorang itu perlu banyak menulis terutama aspek penulisan yang diminatinya. Penulis juga seperti kerjaya lain yang memerlukan seseorang itu untuk selalu berlatih sebelum berupaya menguasai aspek penulisan dengan baik. Latihan demi latihan ini memberikan penulis satu gambaran sebenar tentang cara menulis, cara pembaca memahami karya dan mungkin cara mendapatkan ilham untuk menulis. Jadi, seseorang yang ingin menjadi penulis perlulah banyak menulis tanpa ada perasaan jemu.
Selain itu, penulis juga harus memiliki sikap suka berbincang dengan orang lain tentang sesuatu perkara terutama bahan yang akan dijadikan asas penulisan mereka. Perbincangan ini berupaya menghasilkan satu kefahaman yang sejati tentang tajuk yang sedang ditulis oleh penulis itu. Sikap menerima pandangan membina atau kritikan orang lain menjadikan penulis itu lebih berjaya dan matang dalam penulisannya. Oleh itu, sikap suka berdiskusi memastikan penulis itu mampu untuk melihat sesuatu tajuk penulisan mereka dengan lebih baik.
Malah, sikap penulis yang baik juga banyak bergantung kepada sikap yang suka mengembara atau berjalan. Keadaan ini membolehkan penulis memiliki banyak pengalaman tentang kehidupan terutama perkara yang boleh menjadi topik penulisan mereka.Pengalaman yang diperoleh menerusi aktiviti berjalan atau mengembara ini berupaya menjadikan penulis lebih matang dan faham tindakan manusia terhadap sesuatu masalah yang timbul. Maka, penulis yang suka berjalan sudah pasti mempunyai banyak ilham untuk menulis terutama tentang kehidupan kemanusiaan.
Tambahan pula, penulis juga harus banyak membaca terutama pembacaan yang berbentuk akademik atau bersesuaian dengan penulisan mereka. Pembacaan memberikan mereka lebih banyak kefahaman tentang teknik penulisan penulis lain dan juga menajamkan minda mereka terhadap sesuatu topik itu. Membaca dan penulis merupakan satu ikatan yang tidak boleh ditukar ganti. Jelasah, penulis perlu membaca dengan banyak terutama ketika mereka sedang mencari bahan penulisan mereka.
Kesimpulannya, penulis yang berjaya ialah penulis yang rajin, suka membaca dan membuat renungan tentang kehidupan dengan lebih kritis. Sikap penulis yang peka terhadap sesuatu perkara menjadikan diri mereka begitu unik. Namun, masih ramai yang menganggap kerja menulis mudah dan tidak perlu satu masa yang panjang untuk menguasainya. Peribahasa 'sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” membuktikan bahawa untuk menjadi penulis yang berjaya, seseorang itu memerlukan masa yang panjang untuk menguasainya.
Dipetik daripada : Blog Cikgu Azman