Sunday, August 15, 2010

Panduan untuk Menulis Peribahasa dalam Karangan

Saya mengambil kesempatan dalam laman ini untuk memberikan panduan tentang penggunaan peribahasa dalam karangan. Banyak calon SPM pada tahun ini yang mengemukakan pertanyaan tentang cara penulisan peribahasa tersebut sama ada menggunakan tanda petik atau tidak. Untuk menjawab segala kemusykilan tersebut, saya ingin menjelaskan beberapa cara penulisan peribahasa tersebut seperti yang di bawah ini:

1. Menggunakan satu tanda petik ` ’
Tanda petik jenis ini digunakan untuk menyatakan sesuatu tajuk atau bahagian yang difokuskan.
Contoh:
Peribahasa ‘usaha tangga kejayaan’ perlu dijadikan pegangan oleh sesiapa sesiapa sahaja yang ingin mengecapi kejayaan dalam hidup ini.

2. Menggunakan dua tanda petik “ “.
Tanda dua petik digunakan untuk maksud konsep cakap ajuk atau unsur personifikasi, iaitu seolah-olah `pepatah’ itu manusia atau orang tua yang memberikan nasihat atau berkata-kata.
Contoh:
(a) Ibu bapa hendaklah mendidik anak sejak kecil bak kata pepatah,”kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.”
(b) Orang tua-tua mengatakan, “jauh perjalanan, luas pengalaman.”(Tiada kata hubung `bahawa')

3. Tanpa menggunakan tanda petik
Jika ayat tersebut berbentuk ayat cakap pindah atau keterangan, tanda petik tidak perlu digunakan.
Contoh:
(a) Setiap pelajar mestilah berusaha untuk mencapai kejayaan seseorang kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
(b) Ibu bapa sepatutnya menjadi model kepada anak-anak mereka kerana pepatah Melayu mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya. (Ada kata hubung `bahawa')