Wednesday, August 18, 2010

KARANGAN UNTUK PELAJAR GALUS 3

KARANGAN UNTUK PELAJAR GALUS 3

TAJUK: PERANAN KELUARGA DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL

Gejala sosial semakin membimbangkan masyarakat. Gejala ini turut mendapat perhatian pihak media massa seperti media cetak dan media elektronik. Namun, peranan keluarga amat penting dalam mengatasinya.
Salah satu peranan ibu bapa adalah dengan memberikan didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral dapat membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah agama. Oleh itu, anak-anak dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk.
Selain itu, ibu bapa juga berperanan dalam mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini kerana, banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya. Oleh itu, ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk anak-anak sehingga berjaya.
Ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Teladan yang baik mampu membentuk tingkah laku anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Contohnya, kini, remaja suka menjadikan artis barat sebagai idola mereka. Hal ini sudah tentu bertentangan dengan budaya dan adat ketimuran kita.
Kasih sayang yang sempurna amat diperlukan oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh dengan gejala sosial. Sebagai contoh, ibu bapa perlu sentiasa membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka.
Akhirnya, setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa perlu agar sentiasa bertanyakan masalah anak-anak. Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak. Dengan itu, anak-anak akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain.
Segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Oleh itu, kita hendaklah bekerja bersama-sama agar anak-anak tidak terlibat dalam gejala sosial .

Ditulis oleh : Gabungan Ketua Bidang Bahasa & Ketua Panitia Bahasa Melayu PPD Johor Bahru.