FAEDAH MEMBACA
Petikan bahan rumusan SPM Jun 2008
Faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Bahan ini boleh digunakan untuk mendapat idea tentang topik membaca dalam kalangan masyarakat.
Percambahan idea baharu dalam bentuk yang lebih tersusun dan jelas diperoleh melalui amalan membaca. Oleh sebab itulah dikatakan bahawa amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Amalan yang baik ini dapat mengasah fikiran supaya lebih bercapah, di samping menyuburkan perkembangan jiwa seseorang. Sehubungan dengan itu, orang yang kurang membaca akan ketinggalan dalam segala bidang. Orang yang banyak membaca akan mempunyai imaginasi yang tinggi berdasarkan buku yang dibacanya. Namun begitu, berapa ramaikah rakyat negara kita ini yang mengamalkannya? Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan membaca hanya dapat dilihat di institusi pengajian tinggi, di perpustakaan dan di sekolah sahaja.
Berdasarkan Laporan Kajian Tabiat Membaca Rakyat Malaysia, kadar literasi atau celik huruf di negara ini ialah 93 peratus. Walau bagaimanapun, kajian itu mendapati bahawa rakyat Malaysia kini hanya membaca dua bush buku setahun. Keadaan ini masih tidak memaaskan walaupun tabiat membaca rakyat Malaysia telah bertambah baik. Satu dekad yang lalu, rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setahun.
Terdapat beberapa faktor yang menjejaskan proses pembudayaan amalan membaca di negara ini. Antaranya, harga buku yang mahal, khususnya buku ilmiah yang diimport. Hal ini menyebabkan pembeli berfikir berkali-kali sebelum membeli buku. Keadaan ini banyak berlaku dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Selain itu, sikap rakyat yang tidak menitikberatkan aktiviti keilmuan juga menjadi penyumbang kepada kadar pembacaan yang rendah. Persepsi orang ramai bahawa membaca hanya berlaku semasa proses menuntut ilmu harus dikikis. Untuk menangani persepsi yang salah itu, beberapa tindakan waj ar diambil secara berperingkat-peringkat dan berterusan. Oleh hal yang demikian, usaha ini akan menimbulkan kesedaran bahawa orang yang membaca akan memperoleh ilmu yang berguna sepanjang hayatnya dan akan sentiasa dihormati oleh orang lain.
Amalan membaca ialah usaha yang dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri individu berkenaan. Menerusi amalan membaca, seseorang individu dapat meningkatkan penguasaan bahasanya dan membolehkan seseorang itu maju dalam kehidupannya. Amalan membaca harus dipupuk supaya usaha memartabatkan ilmu itu tidak didukung oleh sesetengah pihak sahaja. Setiap lapisan masyarakat perlu menggembleng tenaga untuk memastikan bahawa amalan membaca dapat dibudayakan. Tambahan pula, kini segala ilmu dan maklumat lebih mudah diperoleh melalui Internet. Oleh itu, hasrat kita untuk menjadi bangsa yang maju dan bermaklumat akan dapat dicapai sekiranya kita tahu menghargai dan memartabatkan ilmu melalui pembacaan.