Tuesday, August 17, 2010

Karangan Pelajar - Kegiatan Kokurikulum

Karangan Pelajar - Kegiatan Kokurikulum

Good Afternoon,

Im Kanishta Sharma, a form three student from Kuala Lumpur, Malaysia.
I had been advised to email you regarding marking a Bahasa Malaysia essay. I have enclosed a copy of an essay i had written ( Question 15 - Minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun. Huraikan langkah - langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum.) I sincerely hope you will oblige me by correcting my errors in this essay so that i can improve in time for the PMR examination on 7th of October.
Thank You very much,

Sincerely,
Kanishta Sharma.

Jawaban:
Isu tentang penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang semakin kurang memberangsangkan menjadi buah mulut banyak pihak. Mengapakah masalah sebegini boleh berlaku ? Jikalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Lazimnya, semua pihak sedar bahawa masalah ini jika dibiarkan berterusan sememangnya akan menjadi sesuatu perkara serius yang melibatkan masa depan negara. Sebenarnya, terdapat beberapa langkah yang proaktif, iaitu cegah sebelum parah perlu diambil untuk menggalakkan para pelajar menyertai kegiatan kokurikulum kerana setiap penyakit pasti ada ubatnya.

Satu daripada tindakan yang perlu dilaksanakan ialah pihak sekolah perlulah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti kokurikulum dari masa ke masa. Tindakan ini perlu dilakukan kerana banyak aktiviti kokurikulum di sekolah dijalankan bagai melepaskan batuk di tangga sahaja. Pelajar berasa kecewa kerana kegiatan yang dijalankan tidak menarik minat mereka. Kegiatan yang dijalankan hanya untuk memenuhi jadual. Sebagai contohnya, pelajar datang ke sekolah hanya bermain bola sepak tanpa bimbingan secara sistematik. Mereka berpendapat bahawa mereka tidak perlu datang untuk bermain bola sepak, sebaliknya mereka boleh bermain di kawasan taman tempat tinggal mereka. Oleh itu, pihak sekolah mestilah memastikan bahawa aktiviti yang dijalankan mestilah benar – benar mendatangkan manfaat kepada mereka.

Di samping itu, pihak kerajaan haruslah menekankan kepentingan penyertaan kegiatan kokurikulum dalam kalangan pelajar melalui pengenalan sistem pendidikan baharu. Dalam hal ini, sistem pendidikan yang tidak hanya mementingkan akademik perlulah diperkenalkan supaya semua murid ada hati untuk menyertainya. Melalui cara ini, mereka akan memberikan tumpuan yang seimbang dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Sebagai contohnya, penglibatan seseorang pelajar dalam bidang kokurikulum perlulah diambil kira semasa seseorang iu memohon untuk kemasukan ke universiti. Tindakan ini secara langsung akan menyebabkan para pelajar menitikberatkan kegiatan kokurikulum.

Selain itu, pihak sekolah seharusnya menubuhkan lebih banyak persatuan dan kelab yang baharu yang sesuai dengan minat dan kemahiran para pelajar. Sejajar dengan perkara ini, pihak sekolah sepatutnya menjalankan kajian tentang minat pelajar dalam jenis aktiviti kokurikulum yang ingin diceburi dan seterusnya berusaha untuk membentuk kelab atau persatuan demi kebajikan pelajar. Dengan itu, para pelajar akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang diminati. Sebagai contohnya, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab komputer untuk pelajar yang meminati bidang teknologi maklumat. Hal ini sememangnya akan dapat menarik minat para pelajar untuk bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum tersebut kerana tak kenal maka tak cinta.

Tanggungjawab menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum bukanlah hanya terletak pada bahu pihak kerajaan serta sekolah sahaja. Pihak swasta, turut boleh meringankan beban pihak kerajaan dengan memberikan sumbangan untuk membaiki dan menaik taraf kemudahan yang diperlukan oleh kelab dan persatuan di sekolah kerana ada padi semua jadi ada beras semua kerja deras. Hal ini bertujuan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan untuk dinikmati oleh para pelajar yang menyertai kegiatan kokurikulum. Sebagai contohnya, pihak sekolah bolehlah membina gelanggang tenis yang baru untuk ahli kelab tenis yang semakin bertambah dengan menyumbangkan derma. Sokongan padu daripada pihak swasta ini sememangnya akan menarik minat para pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum .

Kesimpulannya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa semua pihak memainkan peranan yang penting untuk mengatasi masalah penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikum. Semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam usaha untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Dengan kerjasama yang terjalin, impian untuk melahirkan modal insan yang mampu menerajui pucuk pimpinan negara dengan berkesan dapat direalisasikan. Dengan itu, barulah hala tuju dan masa depan negara kita akan menjadi lebih terjamin.

Komen: Karangan yang anda tulis sangat bagus. Kelemahan anda ialah anda kurang memasukkan unsur keindahan bahasa seperti kata, frasa dan ungkapan yang menarik. Pastikan setiap perenggan sekurang-kurangnya satu peribahasa dimasukkan. Tahniah saya ucapkan.

Markah: 32/40
Catatan: Karangan ini telah dibaiki supaya peribahasa dapat dimasukkan. Sila rujuk karangan asal.