Friday, August 27, 2010

KARANGAN RESPONS TERBUKA - Teknik

KARANGAN RESPONS TERBUKA

1. APAKAH PERENGGAN ?
Perenggan merupakan s
atu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalahpenting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.

PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :
Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :

1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.

PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.

1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan

PERENGGAN PENGENALAN :
Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.

AYAT RANGSANGAN :
Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.

(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.

(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.

(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.

AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda,
apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Ayat arah :
Kesemua siri peperangan yang berlaku ini
sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.

PERENGGAN ISI :

1.
APAKAH AYAT TOPIK ?
Ayat topik
menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topikmempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.

2.
APAKAH AYAT HURAIAN ?
Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.

3.
APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :

1. Ayat yang
menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang
menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3.
Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.

4.
MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Contoh peribahasa/ ungkapanyang boleh digunakan:

1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.

PERENGGAN PENUTUP :

Penutup merupakan
kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.

JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:

1. Ayat kesimpulan umum
2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup

Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.
Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

Ayat pendapat : Kesan peperangan.
Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

Ayat cadangan : Kesan peperangan.
Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

Ayat komen : Ulasan cerpen.
Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

Ayat penilaian : Kesan peperangan.
Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.
Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.

Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa
bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ayat Penutup: Kesan peperangan
Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu
kalah jadi abu, menang jadi arang.

Rujukan:
1. Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, DBP.
2. Abdul Ghalib Yunus & Dr Ghazali Lateh,
Esensi Bahasa Malaysia SPM, Longman.