Sunday, September 12, 2010
"Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu yang Memikulnya"
Friday, September 3, 2010
SESAL DAHULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA
SESAL DAHULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA

Penipuan Jurutera Komputer
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Dunia memang penuh dengan penipuan, ada penipuan yang dapat kita jangkakan, ada pula penipuan yang tidak dijangkakan. Berita yang disiarkan oleh Five TV UK semalam, menarik saya untuk mencoretkan sedikit nasihat kepada pembaca berkenaan penipuan serius yang dilakukan oleh kedai-kedai baiki komputer. Laporan dan kajian yang dilakukan adalah di beberapa buah kedai di London, tetapi saya yakin perkara mungkin sahaja berlaku di tempat lain khususnya Malaysia.
Menurut laporan itu, pihak penyiasatan sengaja merosakkan sedikit komputer mereka dengan melonggarkan internal cip memori (amat mudah untuk dibaiki). Kemudian, menyerahkannya ke beberapa buah kedai komputer untuk proses baikpulih.
Yang menarik, pada masa yang sama, mereka memasang sejenis alat khusus tersembunyi di komputer masing-masing berupa kamera, yang boleh merakam wajah juruteknik di hadapan skrin komputer dan juga apa-apa sahaja page yang ditekan oleh juruteknik tersebut.
Keputusan yang diperolehi amat mengejutkan iaitu :-
1. Hanya satu kedai yang jujur berterus terang memberitahu hanya kerosakan kecil dan dibaiki tanpa bayaran.
2. Semua kedai lain (hampir 5 buah), didapati membuka fail peribadi pemilik computer, melihat gambar peribadi pemilik computer, malah lebih dahsyat mereka turut menyalin sebahagian gambar dan maklumat peribadi.
3. Mereka juga cuba berkali-kali untuk akses ke laman perbankan internet (internet banking) yang digunakan oleh pemilik komputer, tetapi gagal kerana di dalam kes ini komputer yang dihantar adalah dirancang dan pemilik sengaja memasukkan butiran palsu.Hal ini bermakna jika orang biasa yang kerap memasuki perbankan internet(internet banking) melalui komputer kita yang rosak ini, maka dengan mudah pihak juruteknik komputer boleh mencuri segala maklumat, malah boleh mengakses akaun bank kita juga.
4. Mereka juga boleh mengakses segala akaun email dan sebagainya kerana kata laluan kita yang boleh diperolehi daripada komputer kita.
5. Mereka juga didapati menipu pelanggan apabila mengatakan kerosakan serius, ada yang mencadangkan pelanggan agar menukar motherboard computer yang bernilai GBP 130 (RM750), sedangkan pihak penyiasat sengaja melonggar satu memori cip sahaja. Bayangkan bagaimana penipuan sebegini dengan mudah berlaku dalam industri pembaikpulihan komputer. Dalam kes ini, dua pihak telah membayar "refund" kepada pihak penyiasatan apabila penipuan mereka dibongkarkan sejurus selepas itu. Malangnya, syarikat yang menipu bukan hanya syarikat kecil tetapi termasuk syarikat gergasi seperti PC World!.
Berdasarkan laporan di atas, saya suka menasihatkan orang ramai agar berfikir panjang dan membuat pilihan sebaik-baiknya sebelum menghantar komputer atau komputer riba anda untuk dibaik pulih.
Anda mungkin tiada gambar peribadi seksi yang ingin dirisaukan, tetapi bagaimana dengan maklumat perbankan internet, email,facebook dan sebagainya?
Jika ada peniaga, mekanik atau juruteknik komputer yang membaca tulisan ini, sedarlah segala tindakan tersebut adalah haram di sisi Islam, dan segala keuntungan hasil penipuan juga haram.
Seseorang peniaga mungkin dengan mudah boleh memperolehi keuntungan ganda hasil menukar benda yang tidak perlu, tetapi hal ini merupakan satu penipuan yang hanya melayakkan seseorang untuk berada di neraka Allah swt. Hal yang sama juga mungkin berlaku semasa kita membaiki kereta, ditukarnya benda yang tidak rosak atau sengaja dirosakkan bahagian yang tidak rosak agar boleh mendapat caj yang lebih.
Beringat-ingatlah..
Bagi mereka yang berminat untuk menonton gelagat penipu komputer, SILA BUKA DI LINK BERIKUT . Gelagat ini disiarkan di berita utama Channel Five TV, United Kingdom.
Sekian
24 Julai 2009
CONTOH PENULISAN KARANGAN: HENDAK SERIBU DAYA,SERIBU IKHTIAR,SERIBU DOA
CONTOH PENULISAN KARANGAN: HENDAK SERIBU DAYA,SERIBU IKHTIAR,SERIBU DOA
Karya: Ahmad Rasyideen (T4)
Mei 26 1908, sebuah syarikat milik British telah berjaya menemui telaga minyak pertama di bumi Arab iaitu di Persia ( Hari ini Persia dikenali sebagai Republik Islam Iran ). Penemuan ini juga telah menjadi titik permulaan kepada ratusan ribu lagi usaha carigali minyak di bumi Arab yang berterusan hingga ke hari ini.
Pada tahun 1901, seorang jurutera Inggeris William D’Arcy telah diberikan hak galian oleh Kerajaan Persia untuk mencari minyak di bumi Persia. Bersama seorang lagi jurutera berbangsa Inggeris George Reynolds, D’Arcy telah menggali segala pelosok bumi Persia selama 7 tahun tanpa menemui walaupun setitis minyak.
Usaha yang telah gagal mendatangkan sebarang hasil ini telah menyebabkan D’Arcy hampir muflis. Segala harta dan rumahnya di England telah pun tergadai. Namun pada tahun 1904, D’Arcy telah berjaya meyakinkan sebuah syarikat di England, iaitu Burmah Oil Company untuk menampung kos pencarian seterusnya.
Syarikat Burmah Oil Company pun hampir berputus asa apabila hingga ke bulan May 1908, D’Arcy masih belum lagi berjaya menemui walaupun setitis daripada permata padang pasir bumi Persia itu.
Pada masa ini, rakan beliau seorang lelaki berketurunan Arab yang bernama Khalis Ben Ezhab yakin bahawa nasib dan takdir masih lagi belum menyebelahi usaha D’Arcy. Khalis Ben Ezhab telah bersetuju untuk melaburkan segala wang dan harta simpanan beliau untuk projek ini.
Pada awal Mei 1908, D’Arcy telah menerima telegram dari Ibu Pejabat Burmah Oil di London yang memberikan arahan terakhir buat beliau supaya menggali sampai ke tahap kedalaman 1,600 kaki, dan jika tidak juga menemui minyak, maka beliau adalah diarahkan supaya menerima kegagalan beliau dan pulang sahaja ke England dengan serta merta.
Syarikat Burmah Oil berpendapat bahawa kenapa perlu sangat nak rugi sebegitu banyak wang dan masa hanya untuk mencari minyak sedangkan pada masa itu industri automotif dunia cumalah masih lagi bertahap lakaran konsep sahaja tanpa ada satu pun pembuat kereta di dunia selain daripada Austro-Daimler-Benz yang juga turut menggunakan enjin stim. Kapal dilautan juga menggunakan tenaga stim dan begitu juga dengan keretapi. Semua kilang, janakuasa elektrik dunia dan enjin ekonomi dunia juga hanya bergantung kepada arang batu sebagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga stim. Apalah sangatnya kepentingan minyak? Persoal mereka lagi kepada D’Arcy.
Namun semangat D’Arcy dan rakannya Khalis tidak mudah dipatahkan. Mereka nekad menggali siang dan malam di kawasan Masjid I’Sulaiman, tempat perkampungan Khalis Ben Ezhab. Sebagaimana yang telah ditakdirkan Allah, menjelang subuh pada 25 Mei 1908, seluruh kawasan Masjid I’Sulaiman telah di selubungi bau sulphur yang sangat tajam yang telah hampir menyukarkan pernafasan. Sebelum berkumandangnya azan solat subuh pada hari itu, pada kedalaman 1,180 kaki kedalam permukaan bumi Persia, minyak telah berjaya ditemui dan telah menjulang keluar 75 kaki ke udara minyak mentah pekat hitam yang bakal merubah segalanya di muka bumi ini!
Perkampungan Masjid I’Sulaiman amatlah terpencil kependalaman Persia sehingga mengambil masa 5 hari untuk D’Arcy keluar ke pekan dan menghantar telegram ke London. Telegram itu ringkas bunyinya : “ Semua masalah kita dah selesai!”. Pada bulan September 1908, D’Arcy dan rakannya Khalis telah berjaya menemui satu lagi telaga minyak yang jauh lebih besar di Persia.
Burmah Oil Company kemudiannya telah menawarkan kepada D’Arcy untuk menjadi rakan kongsi mereka. Demi persahabatan D’Arcy dengan rakannya Khalis yang sanggup bersusah bersamanya, maka D’Arcy mensyaratkan pihak Burmah Oil supaya menstrukturkan semula syarikat mereka dengan beliau dan Khalis sebagai pemegang saham utama syarikat.
Maka pada tahun 1909, Burmah Oil Company telah dijenamakan semula kepada Anglo- Persian Oil Company. Pada tahun 1935, Syarikat Anglo Persian Oil Company telah bertukar nama kepada Anglo-Iranian Oil Company, kemudiannya British Petroleum pada tahun 1954 dan sebagai BP pada tahun 2000.
Pada tahun 1935 semasa saham syarikat ini pertama kali diniagakan di pasaran saham Glasgow dan London, kesemua sahamnya habis dijual dalam masa 30 minit. Pada detik bersejarah ini jugalah bermulanya perlumbaan minyak dunia. Bahan komoditi terbaru yang akan membentuk struktur politik, ekonomi dan kekuatan baru dunia.
Friday, August 13, 2010
Tulis satu cerita berdasarkan peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”
Tulis satu cerita berdasarkan peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”
Jawapan:
Strategi:
T=Melakukan sesuatu dengan sedaya upaya
K=5P
F=Cerita
Isi:
Permulaan
Perkembangan
Perumitan
Puncak
Peleraian
Peribahasa 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' bermaksud jika kita hendak melakukan sesuatu, kita akan menyempurnakannya dengan sedaya upaya kita dan demikian juga sebaliknya. Maksud peribahasa ini dapat dijelaskan dengan cerita yang dapat menggambarkan keinginan seseorang yang melakukan sesuatu dengan segala keupayaannya dan demikian juga sebaliknya.
Dalam sebuah kampung tinggal sepasang suami isteri, iaitu Pak Cik Harun dan Mak Cik Ramlah. Mereka mempunyai dua orang anak lelaki. Anak lelaki yang sulung bernama Hazman, manakala yang bongsu bernama Haziq. kedua-dua orang anak mereka mempunyai sikap yang amat berbeza. Haziq merupakan seorang pelajar yang rajin berusaha dan mendengar kata kedua-dua ibu bapanya. Tidak seperti adiknya, Hazman pula bersikap sebaliknya. Jika disuruh oleh ibu bapanya, ada-ada sahaja alasan yang diberikan oleh Hazman untuk mengelakkan diri daripada melakukan kerja berkenaan.
Kedua-dua orang anak Pak Cik Harun dan Mak Cik Ramlah akan menduduki peperiksaan penting pada tahun ini. Hazman akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, manakala adiknya pula akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Pak Cik Harun selalu menasihati kedua-dua orang anaknya agar gigih berusaha supaya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
Setiap petang sekembalinya dari sekolah, selepas makan tengah hari Haziq akan berehat sebentar sebelum membantu ibu bapanya di warung di hadapan rumah mereka. Hazman pula hanya sekali sekala membantu ibu bapanya. Sekiranya disuruh, Hazman akan memberikan alasan bahawa dia penat kerana baru kembali dari sekolah. Ada kalanya, dia akan memberitahu ibu bapanya bahawa dia perlu menyiapkan kerja sekolahnya. Namun hakikatnya, dia hanya 'melepak' di rumah atau tidur sepanjang petang.
Setiap malam, selepas makan malam, walaupun agak letih kerana membantu ibu bapanya di warung, Haziq akan mengulang kaji pelajarannya ataupun menyiapkan kerja sekolahnya. Dia tidak bertangguh untuk menyiapkan kerja rumahnya. Sekiranya tidak faham akan pelajaran yang diulang kaji, Haziq akan cuba merujuk kepada Hazman. Namun Hazman kerap memberikan alasan bahawa dia tidak tahu ataupun tidak ingat lagi akan pelajaran tersebut. Maka terpaksalah Haziq pergi ke rumah Cikgu Fazli di sebelah rumah mereka untuk menyelesaikan masalahnya. Begitulah yang kerap dilakukan oleh Haziq. Dia berusaha dengan pelbagai cara bagi memastikan hajatnya tercapai.
Di sekolah, Hazman memiliki satu sikap yang kurang digemari oleh rakan-rakan dan gurunya. Sekiranya gagal memperoleh markah yang baik dalam sesuatu mata pelajaran, dia akan menyalahkan gurunya dengan alasan guru mata pelajaran berkenaan kurang berkesan dalam pengajarannya. Dia tidak akan menyalahkan dirinya sendiri yang kurang mengulang kaji pelajaran di rumah. Hal ini berbeza dengan adiknya Haziq yang akan mengenal pasti kelemahannya sendiri dalam mengulang kaji pelajaran sekiranya dia memperoleh markah yang rendah dalam sesuatu ujian. dengan demikian, Haziq sentiasa dapat membaiki pencapaiannya dalam pelajaran dari semasa ke semasa.
Akhirnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang diduduki oleh Haziq, dia berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke sebuah sekolah berasrama penuh. Hazman pula memperoleh keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaannya. Dia juga gagal melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Dia terpaksa duduk di kampung membantu ibu bapanya berniaga di warung.
Daripada cerita itu, dapatlah kita membuat penilaian bahawa untuk mencapai keinginan kita, kita perlu berusaha dengan gigih lagi bagi mencapainya bukannya memberikan pelbagai alasan sekiranya kita mengalami kegagalan. Begitulah yang dikatakan orang 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.
