Saturday, August 28, 2010

KAEDAH PENGEMBANGAN ISI KARANGAN

KAEDAH PENGEMBANGAN ISI KARANGAN

Oleh : Dr Ghazali Lateh
Dipetik daripada : Blog Laman Ghazali Lateh
http://drghazali.blogspot.com/

Saya memperkenalkan satu kaedah mengembangkan isi karangan. Kaedah ini saya namakan TFFP, dan merupakan satu komponen dalam kaedah mengarang menggunakan formula yang saya perkenalkan beberapa tahun yang lalu. Yang berikut ialah penerangan ringkas tentang penggunaan kaedah TFFP.
Makalah ini memperkenalkan satu kaedah menulis perenggan isi yang senang diikuti dan digunakan apabila menjawab soalan karangan jenis pendapat, perbincangan, atau fakta, mahupun jenis-jenis lain yang bercorak deskriptif. Malah jika dikuasai dengan baik, kaedah ini juga dapat membantu calon menulis karangan-karangan jenis lain termasuk karangan jenis syarahan, perbahasan, keperihalan, dan seumpamanya. Kaedah ini dinamakan Kaedah TFFP. Kaedah ini agak berlainan daripada panduan-panduan yang pernah diketengahkan sebelum ini. Hal ini demikian kerana penulisan ayat isi bagi sesuatu perenggan dipecahkan kepada empat bahagian iaitu:

i. Ayat Topik ( T )
ii. Huraian Frasa 1 (F1)
iii. Huraian Frasa 2 (F2)
iv. Penegasan/Rumusan Perenggan. (P)

Ayat Topik (T)

Ayat Topik ialah ayat untuk mengetengahkan isi bagi karangan. Isi pula ialah idea utama atau perkara penting yang merujuk kepada soalan karangan yang ditulis. Pelajar dinasihati menggarisi kata kunci dalam soalan sebelum menyenaraikan isi karangan. Amalan ini akan mengelakkan karangan yang ditulis itu terkeluar daripada tajuk perbincangan.

Ayat topik digalakkan untuk ditulis dengan memasukkan dua unsur penting dalam dua frasa. Frasa pertama menjadi fokus isi. Frasa kedua pula merupakan pelengkap kepada fokus isi berkenaan. Ayat isi yang hanya menyertakan fokus sahaja tidak begitu baik kerana tidak lengkap dan tidak menampakkan kematangan fikiran orang yang menulisnya. Cuba bandingkan kedua-dua ayat yang yang berikut:

1(a) Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen.
1(b) Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan.
2(a) Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas.
2(b) Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.
3(a) Antara kesan pelaksanaan sekolah satu sesi adalah pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk belajar.
3(b) Antara kesan pelaksanaan sekolah satu sesi adalah pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk belajar di bawah penyeliaan guru-guru.

Ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) lebih mantap kerana lebih jelas dan lengkap. Semasa membuat huraian, ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) memberi ruang yang lebih bagi pelajar menunjukkan kematangan fikiran mereka. Justeru pelajar mempunyai lebih banyak idea untuk dikembangkan. Perkara ini akan membantu pelajar untuk mengatasi masalah ketidakcukupan jumlah perkataan dalam karangan.

Biasanya ayat topik atau isi utama ialah isi karangan yang telah ditetapkan oleh pelajar semasa membuat draf atau perancangan menulis karangan. Cara inilah yang biasanya diajar oleh guru-guru di sekolah. Amalan merancang atau menulis isi terlebih dahulu sebelum menulis adalah baik kerana mengelakkan pelajar daripada lupa. Jadi, pelajar dinasihati supaya mengamalkan cara ini setiap kali menulis karangan. Yang penting, guru-guru perlu melatih pelajar supaya menulis ayat topik yang terdiri daripada dua frasa yang boleh dihuraikan dengan lebih panjang.

Frasa 1 dan Frasa 2

Seperti yang disarankan, ayat topik hendaklah terdiri daripada dua frasa. Contohnya, cuba lihat ayat-ayat topik yang berikut:
i. Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan.
ii. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap orang yang mencuri air.
iii. Langkah lain yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi krisis bekalan air adalah dengan mengawal penebangan hutan di kawasan tadahan.
iv. Seterusnya, krisis bekalan air juga dapat ditangani dengan menggantikan saluran paip yang rosak dengan paip yang tahan lebih lama.

Jika diperhatikan ayat-ayat topik yang disenaraikan, setiap ayat dibina dengan menggunakan dua frasa yang utama dan boleh dihuraikan secara berasingan. Ayat (i) misalnya, Frasa 1 (F1) ialah melaksanakan kempen. Frasa 2 (F2) pula ialah yang lebih berkesan.

Dalam ayat (ii) F1 ialah mengambil tindakan tegas, dan F2 pula ialah orang yang mencuri air. Semasa membuat huraian, pelajar boleh menghuraikan kedua-dua frasa tersebut secara berasingan sebelum merumuskan kedua-dua dalam satu atau dua ayat yang lengkap. Contoh-contoh boleh disertakan semasa menghuraikan kedua-dua frasa berkenaan. Begitu juga halnya dengan isi-isi yang lain. Perkara penting yang perlu dikuasai oleh pelajar ialah cara untuk membahagikan ayat isi mereka kepada frasa-frasa yang dapat dihuraikan dengan sistematik.

Penegasan/Rumusan Perenggan (P)

Setiap perenggan wajar disimpulkan dengan rumusan bagi perenggan berkenaan. Penanda wacana yang disesuaikan wajar digunakan bagi menunjukkan bahawa perenggan tersebut telah ditutup dengan baik. Contohnya:
i. Jadi, dengan kempen yang lebih berkesan, krisis air yang berlaku sekarang dapat diatasi dengan lebih cepat.
ii. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa wajar bertindak tegas terhadap orang yang mencuri air untuk memastikan krisis air dapat ditangani secepat yang mungkin.
iii. Justeru, penebangan hutan di kawasan tadahan perlu dikawal agar krisis air tidak terus mengancam kehidupan masyarakat.
iv. Jadi, penggantian saluran paip yang lama perlu disegerakan agar krisis air yang berlaku sekarang tidak berterusan.

Menulis perenggan isi

Setelah mengenal pasti perkara-perkara tersebut, maka pelajar boleh menulis perenggan mengikut kaedah yang dicadangkan iaitu kaedah T, F1, F2, dan P. Dalam setiap perenggan, keempat-empat perkara tersebut perlu dititikberatkan supaya perenggan yang ditulis itu lengkap dan menarik. Selain itu calon dapat menulis dalam jumlah perkataan yang lebih banyak.
Ayat (i) dapat dihuraikan dengan mudah apabila pelajar menghuraikannya mengikut frasa yang telah ditetapkan. Frasa 1 boleh dihuraikan seperti yang berikut:

Huraian F1 (melaksanakan kempen)

Kempen merupakan cara yang paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pelbagai media boleh digunakan oleh menyalurkan maklumat tentang kepentingan amalan penjimatan air. Contohnya, surat khabar, radio, dan televisyen ialah media yang sentiasa dekat dengan masyarakat. Selain itu kempen secara langsung dari rumah ke rumah juga wajar dilaksanakan.

Huraian F2 (yang lebih berkesan)

Selama ini kempen yang dilaksanakan kurang berkesan kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang berkenaan melaksanakannya tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Kini tibalah masanya pihak-pihak nyang terbabit bertindak dengan lebih agresif agar kempen penjimatan air mencapai matlamat yang diharapkan.

Kedua-dua huraian ini dicantumkan dalam satu perenggan bersama-sama ayat isi dan juga rumusan perenggan. Maka perenggan tersebut akan menjadi sebuah perenggan yang lengkap seperti yang berikut.

Satu langkah untuk menjimatkan air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan. Kempen merupakan cara yang paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pelbagai media boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat tentang kepentingan amalan penjimatan air. Contohnya, surat khabar, radio, dan televisyen ialah media yang sentiasa dekat dengan masyarakat. Selain itu kempen secara langsung dari rumah ke rumah juga wajar dilaksanakan. Selama ini kempen yang dilaksanakan kurang berkesan kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang berkenaan melaksanakannya tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Kini, tibalah masanya pihak-pihak yang terbabit bertindak dengan lebih agresif agar kempen penjimatan air mencapai matlamat yang diharapkan. Jadi, dengan kempen yang lebih berkesan, krisis air yang berlaku sekarang dapat diatasi dengan lebih cepat. (110 perkataan)

Dengan berdasarkan penjelasan yang diberi, pelajar-pelajar boleh mencuba untuk membahagikan ayat-ayat topik yang berikut kepada F1 dan F2. Selepas itu cuba huraikan setiap frasa itu dengan jelas dan cantumkan huraian-huraian itu supaya menjadi perenggan isi yang lengkap.

a. Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sisa toksik oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
b. Aktiviti kokurikulum mendidik pelajar supaya menjadi lebih berdisiplin.
c. Salah satu cara untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya adalah dengan menguatkuasakan undang-undang yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang ingkar.

Perenggan contoh

Ayat topik : Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.

F1 : tidak ada tindakan yang tegas
F2 : terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.

Huraian lengkap

Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat. Selama ini tindakan yang dilaksanakan bersifat mengikut musim. Pegawai yang diamanahkan untuk bertindak memiliki sikap tidak ubah seperti pahat dengan pemukul. Tindakan hanya dilakukan dalam tempoh yang terhad. Selain itu tindakan yang dijalankan juga tidak begitu tegas dan hanya untuk memenuhi rutin kerja pegawai-pegawai yang terbabit. Ada juga unsur-unsur penyelewengan yang berlaku sehingga menyebabkan gejala ini tidak dapat diatasi. Satu bentuk tindakan yang menyeluruh patut dikuatkuasakan terhadap semua pihak yang menyebabkan gejala ini berlaku. Tindakan patut dikenakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang bahan-bahan cetak rompak. Ketiga-tiga golongan ini merupakan penyebab utama berlaku gejala tersebut. Tindakan terhadap satu pihak sahaja tidak akan meninggalkan kesan yang diharapkan. Oleh yang demikian satu bentuk tindakan yang lebih tegas patut dilaksanakan meliputi semua pihak yang terbabit dalam gejala ini. (140 perkataan)

Rasionalnya, jika satu perenggan isi mengandungi lebih daripada 100 perkataan, karangan calon sudah pasti dapat memenuhi kehendak jumlah perkataan seperti dalam soalan. Oleh itu calon layak mendapat markah yang tinggi dengan syarat isi-isi tersebut adalah mantap, bahasa baik dan bervariasi, menepati tajuk, dan dipersembahkan dengan baik. Selain itu contoh-contoh dapat diberi dengan lebih banyak iaitu semasa menghuraikan kedua-dua frasa dalam ayat topik secara berasingan. Maka cara ini dapat membantu calon mengatasi beberapa kelemahan dalam menulis karangan, terutama dari aspek jumlah perkataan.