Friday, August 27, 2010

TELEFON BIMBIT

TELEFON BIMBIT

Telefon bimbit merupakan alat komunikasi penting dalam era globalisasi ini terutama kepada golongan remaja. Penggunaan telefon bimbit yang begitu meluas ini telah membuktikan bahawa teknologi ini penting kepada remaja dan impak negatif yang timbul.
Jelaskan.

Telefon bimbit sudah menjadi satu bentuk perhiasan diri yang harus dimiliki oleh semua remaja. Kecanggihan telefon bimbit sering menarik minat remaja sehingga ada yang sanggup menahan lapar atau bekerja ketika cuti sekolah semata-mata untuk mendapat telefon bimbit yang lebih baik. Keadaan ini menyebabkan ramai yang menganggap telefon bimbit sudah menjadi satu pembaziran tetapi ada yang masih menyanjung kepentingan telefon bimbit ini. Lantaran itu, apakah kebaikan-kebaikan telefon bimbit kepada remaja?

Satu kebaikan memiliki telefon bimbit ini ialah kemudahan untuk berkomunikasi. Hubungan antaa ibu bapa, adik, kakak, abang, kawan, guru dan sebagainya menjadi lebih akrab kerana telefon bimbit mempunyai kelebihan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh perbualan tradisi kita. Konsep sistem pesanan ringkas (SMS) yang unik bersama-sama dengan ikon dan lagu atau irama menjadikan penggunaan teknologi ini untuk berinteraksi begitu romantik. Kemudahan berhubung juga mengelakkan pelbagai masalah seperti aspek keselamatan, tidak membuang masa untuk menunggu dan mendapat ketepatan tentang sesuatu perkara yang sering menimbulkan masaalah kepada remaja kini. Jadi, telefon bimbit memang membawa kebaikan kepada remaja dalam aspek komunikasi.

Kebaikan kedua ialah telefon bimbit ini menjadi satu bentuk penyampaian informasi yang pelbagai dan menarik. Teknologi ini memudahkan pelbagai maklumat disalurkan seperti berita, lagu dan data peribadi. Maklumat ini berguna kepada remaja kerana melalui penggunaan yang betul semua maklumat ini dapat memastikan remaja memahami sesuatu atau melakukan sesuatu dengan betul. Jelaslah, telefon bimbit yang mempunyai pelbagai guna ini penting dalam memastikan remaja kita menjadi remaja berinformasi.

Sudah pasti impak yang paling banyak dipaparkan ialah penggunaan telefon bimbit ini menyebabkan kos hidup remaja bertambah. Sikap suka menggunakan telefon ini untuk berhubung memastikan kos turut bertambah dan penggunaan telefon yang sebegini menyebabkan remaja tidak nampak penggunaan kosnya sehinggalah mereka terpaksa membayar bil telefon itu. Keadaan ini mungkin membawa mereka terpaksa mencari wang dan ada yang terpaksa beralih ke arah cara yang negatif seperti mencuri. Lantaran itu, telefon bimbit mampu menyebabkan remaja mengalami masaah kewangan yang serius.

Tambahan pula, penggunaan telefon bimbit menyebabkan remaja tidak memberi tumpuan dalam aspek pendidikan mereka. Ada remaja terutama yang masih belajar menggunakan telefon bimbit di dalam kelas ketika guru mengajar tanpa segan silu. Mereka juga sering menghabiskan masa dengan membuat SMS atau berbual sehingga melupakan tanggung jawab mereka sebagai pelajar iaitu belajar. Akibatnya, banyak pelajar akan terjejas prestasi pelajarannya kerana penggunaan telefon bimbit.

Konklusinya, telefon bimbit harus dikawal penggunaannya terutama kepada remaja. Ibu bapa harus menegur dan memarahi anak mereka yang keterlaluan menggunakan teknologi ini. Namun dalam masa yang sama penggunaan telefon bimbit in turut memberi sat dimensi baru kepada hubungan keluarga. Mungkin remaja harus lebih bijak dalam kemelut ini supaya mereka terus dihormati oleh masyarakat

Dipetik daripada : Blog Cikgu Azman