Friday, August 27, 2010

Tema 7 - Biolembangan ( Buku Teks T5)

Tema 7 - Biolembangan ( Buku Teks T5)

Hutan negara kita semakin pupus lantaran sikap sesetengah masyarakat yang menjalankan aktiviti pembalakan terutama secara haram. Pelbagai usaha telah dilakukan tetapi masih gagal.

Jelaskan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan dalam menangani kemelut ini.

Sememangnya hutan negara sedang mengalami proses kemusnahan yang mahu hebat. Setiap hari akhbar akan menyiarkan kemusnahan hutan, hidupannya dan impak sampingannya seperti kejadian banjir serta tanah runtuh. Cuma, masyarakat masih belum menyedari dan mengambil pengajaran daripada berita-berita yang menyedihkan ini. Kerajaan pula memang mempunyai tanggung jawab besar untuk memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh 100 tahun akan datang dengan melakukan pelbagai langkah drastik.

Sebenarnya, tindakan yang paling mudah ialah kerajaan mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini memastikan kawasan hutan itu akan terus terpelihara tanpa ada usaha untuk menebangnya demi mengaut keuntungan jangka pendek. Peruntukan undang-undang turut memberi satu peringatan yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan yang merupakan khazanah tidak ternilai negara itu.

Tindakan ini dipanjangkan terhadap hukuman kepada pesalah yang memusnahkan hutan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah lebih berat yang melibatkan hukuman penjara dan denda. Pesalah turut dimaklumkan kesalahannya di dalam media massa untuk memberi peringatan kepada masyarakat. Sikap tegas dan telus kerajaan dalam melaksanakan undang-undang memberi impak yang ketara dalam usaha menangani kemusnahan hutan.

Malah, kerajaan boleh mewajibkan semua pokok yang ditebang atas sebarang aktiviti ekonomi seperti projek perumahan, pembalakan, dan pembinaan empangan diganti secepat mungkin dalam kuantiti yang tertentu. Kerajaan boleh mengenakan syarat bahawa setiap pokok yang ditebang harus diganti dengan dua atau tiga batang pokok. Langkah ini akan menyebabkan semua ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menjalankan sebarang projek atau berhati-hati dalam tindakan mereka menebang pokok yang berada di dalam kawasan projek mereka.

Langkah ini boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran terutama dalam kalangan remaja. Pihak kerajaan seharusnya menjalakan kempen di sekolah-sekolah dengan menerangkan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang mengalami perubahan cuaca global ini. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak bertindak apabila mereka menjadi dewasa atau terlibat dalam projek pembangunan yang memerlukan satu kawasan hutan dimusnahkan. Lagipun, remajalah yang akan menjadi warisan hutan negara kita.

Selain itu, pasukan penguatkuasa terutama renjer hutan harus ditambah jumlahnya. Kawasan hutan yang terlalu luas agak sukar untuk dipantau oleh kaki tangan yang kecil bilangannya. Penggunaan teknologi seperti kapal terbang, satelit dan helikopter untuk tujuan pengawasan turut memudahkan kerja kerana kawasan hutan negara memang luas. Pengawasan yang cekap mampu memastikan kawasan hutan belantara kita tidak dicerobohi begitu mudah.

Kesimpulannya, masalah hutan negara memang serius dan semua pihak harus bertanggungjawab. Usah kita semua menuding jari tanpa mahu menerima atau mengakui kesilapan yang telah berlaku. Semua pihak harus duduk semeja dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut yang memang sukar diatasi ini. Tanpa kerjasama semua terutama masyarakat, hutan kita pasti akan lenyap.

Dipetik daripada : Blog Cikgu Azman
http://azman-duniaku.blogspot.com/