Monday, August 30, 2010

patriotisme pemangkin pembina negara bangsa…?

patriotisme pemangkin pembina negara bangsa…?

PATRIOTISME PEMANGKIN PEMBINA NEGARA BANGSA

Patriotisme adalah satu sentimen nasional yang menekankan kepada aspek kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan kesanggupan untuk berjuang menggadai nyawa demi negara memperlihatkan tahap patriotisme tertinggi yang wujud dalam diri seorang warganegara.

Semangat patriotisme yang tinggi sangat penting bagi setiap rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan yang dicapai sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya bukanlah sesuatu yang mudah. Justeru, kecintaan yang mendalam kepada negara ialah asas utama untuk memastikan negara terus bebas dan merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan.

Era awal selepas kemerdekaan mempamerkan semangat sayang akan negara yang tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Melalui pendidikan, rakyat berbilang kaum telah mempelajari mata pelajaran sejarah dan sivik bagi memupuk dan menyuburkan semangat cinta akan tanah air.

Kebelakangan ini sejarah negara yang merupakan asas kepada pembentukan peradaban bangsa semakin dilupakan. Pengetahuan dan literasi sejarah umumnya dianggap satu aset intelektual yang tidak mendatangkan keuntungan atau bernilai ekonomi. Oleh itu sejarah tidak dipentingkan dan dianggap sekadar satu pengetahuan am semata.