Thursday, August 19, 2010

Peranan Media Cetak di Malaysia

Peranan Media Cetak di Malaysia

Media cetak sering dikaitkan dengan akhbar, majalah dan jurnal di negara ini. Negara kita pula memang boleh dianggap mempunyai penerbitan media cetak yang semakin meningkat saban tahun walaupun jumlah itu boleh ditingkatkan dengan lebih drastik dalam tempoh mendatang ini kerana sikap masyarakat yang suka membawa dan mencari informasi sudah mula kelihatan. Jadi, media cetak di negara ini memiliki peranan-peranan besar yang mampu membentuk satu masyarakat negara yang berkualiti mindanya.

Sumbangan utama media cetak di negara ini ialah media cetak menjadi sumber maklumat kepada masyarakat kita. Saban hari media cetak menyiarkan pelbagai perkara yang berlaku di negara ini dan semua berita atau maklumat ini menjadikan masyarakat kita mengetahui semua perkara yang berlaku, sedang, dan bakal terjadi di negara ini. Sikap berlumba-lumba media cetak untuk mendapatkan maklumat terkini turut menyebabkan masyarakat sering mendapat maklumat lebih awal mengenai sesuatu perkara.

Selain itu, kelebihan media cetak ialah media ini mampu menghasilkan analisis berita yang lebih kritis berbanding media yang lain. Situasi ini wujud kerana ciri media cetak yang berlandaskan penulisan mampu menghasilkan satu penulisan kritis yang menyebabkan pembaca mampu melihat sesuatu peristiwa yang berlaku itu dengan lebih mendalam. Media cetak mengupas semua isu yang berlaku daripada pelbagai sudut sehingga menyebabkan fenomena yang berlaku itu difahami oleh amsyarakat. Jelaslah, media cetak mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang memiliki minda yang kritis apabila membicarakan sesuatu topik.

Malahan, media cetak turut menyiarkan cerita-cerita yang mampu dijadikan pengajaran. Berita-berita jenayah, isu keluarga, projek pembangunan dan kejayaan individu tertentu sudah pasti menjadi tatapan masyarakat kita. Pembacaan mereka terhadap berita-berita jenis ini memberi satu pengajaran secara tersirat kepada pembaca yang seterusnya menyebabkan berlakunya satu perubahan diri dan minda mereka terhadap perkara tersebut. Oleh itu, pembacaan bahan media cetak memberikan pembaca satu pengajaran yang mampu membawa kebaikan.

Tambahan pula, media cetak mampu menyiarkan bahan-bahan yang boleh menolong kehidupan seseorang. Iklan mengenai peluang kerjaya, pengumuman sesuatu peristiwa dan peluang perniagaan dapat membantu kehidupan seseorang. Masyarakat kita masih menggunakan media cetak untuk mendapatkan kerja berbanding dengan sumber-sumber lain. Jadi, media cetak bukan sahaja memberi maklumat tetapi menyiarkan bahan-bahan yang boleh membantu kehidupan seseorang itu.

Secara tuntasnya, media cetak di negara ini memang mempunyai peranan yang penting dalam memastikan negara terus mampu bersaing dalam era yang penuh persaingan ini. Ruang untuk media cetak berkembang turut wujud kerana media cetak dianggap lebih murah berbanding jenis media yang lain. Cuma ada sedikit kebimbangan dengan kewujudan bahan media cetak yang lebih mengutamakan isu-isu gosip atau sensasi daripada berita-berita yang benar-benar berlaku di negara ini.

Sumber : Blog Cikgu Azman