Showing posts with label bacaan/artikel. Show all posts
Showing posts with label bacaan/artikel. Show all posts

Sunday, September 12, 2010

cara-cara menghargai jasa tokoh negarawan

Karangan Bergambar PMR Ramalan 8 - Cara-cara Menghargai Jasa Tokoh Negarawan


Gambar di bawah menunjukkan negarawan yang terbilang dari dahulu hingga sekarang. Huraikan cara-cara menghargai jasa tokoh negarawan. Karangan anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.


Negara Malaysia mempunyai banyak tokoh yang tersohor. Antaranya ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, dan Tun Dr. Mahathir Mohammed. Oleh sebab itu, kita mestilah menghargai jasa mereka kerana “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.

Cara untuk menghargai negarawan adalah dengan pembinaan muzium negarawan. Di dalam muzium tersebut, kita patutlah menghimpunkan bukti-bukti jasa mereka. Hal ini penting agar masyarakat tahu bahawa tanpa jasa negarawan, negara kita masih berada di takuk lama.

Selain itu, bangunan dan jalan utama negara bolehlah dinamakan dengan nama mereka. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan mahu warganegara mengapresiasi bakti mereka kepada nusa. Pelancong asing juga dapat mengenali negarawan.

Biodata mereka wajarlah kita kaji. Dengan ini, pelajar dapat meneladani sikap positif negarawan. Saya percaya, cara ini dapat melahirkan generasi baharu yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Kesimpulannya, jasa negarawan mesti segar dalam ingatan kita. Janganlah kita menjadi warga yang bersikap seperti kacang lupakan kulitnya.

kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita

Karangan Bergambar PMR Ramalan 9- Kebaikan Sektor Pelancongan kepada Negara

Lihat iklan kempen Cuti-cuti Malaysia di bwah dengan teliti, kemudian tulis sebuah karangan tentang kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita. Karangan anda hendaklah kurang daripada 120 patah perkataan.
Negara Malaysia sudah menjadi destinasi pelancongan bertaraf lima bintang sejak kempen Cuti-cuti Malaysia dilancarkan. Realitinya, sektor pelancongan banyak membawa kebaikan kepada negara.


Dari segi ekonomi, negara kita mendapat banyak keuntungan. Hal ini demikian kerana aktiviti pelancongan meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan. Fenomena yang sihat ini sekali gus menstabilkan ekonomi negara.


Di samping itu, pengaliran masuk mata wang asing ke Malaysia dapat membaik pulih kegawatan ekonomi yang pernah melanda negara. Kedudukan ringgit terus kukuh dan stabil setaraf mata wang asing utama. Hal ini demikian kerana peningkatan aktiviti jual beli di dalam negara.


Sementara itu, sektor pelancongan turut menjadi pemangkin pembangunan negara. Hal ini demikian kerana kita dapat membangunkan negara dengan lebih lancar akibat keperluan sektor pelancongan. Olel hal yang demikian, Wawasan 2020 yang menjadi aspirasi kerajaan mampu dicapai mengikut jadual.


Konklusinya, kempen pelancongan di Malaysia perlulah dipergiat lagi. Dengan kemajuan sektor ini, kerajaan dapat membangunkan pelbagai bidang maslahat yang lain.

kepentingan hutan kepada benda hidup

Gambar di bawah menunjukkan hutan yang malar hijau di Malaysia. Tulis sebuah karangan tentang kepentingan hutan kepada benda hidup. Panjangnya karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.


[ 20 markah ]

Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada hidupan sarwa alam. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.


Hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Dengan ini, kita dapat menggunakannya dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti memcuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.


Selain itu, hutan juga menjadi kawasan mainan fauna di muka bumi ini. Hutan yang berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna, hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna. Hal ini demikian kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan.


Sementara itu, hutan juga dapat memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.


Hutan ialah tempat manusia mencari rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Saya berharap amalan perubatan tradisional dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.


Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

Erti Hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang Sebenar.

Erti Hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang Sebenar.

Sejak 30 Ogos lagi, banyak warga Malaysia yang menikmati cuti 3 hari kerana hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 jatuh pada hari Ahad. Kedinginan semilir senja yang bertiup sepanjang beberapa hari ini terus menghiasi iklim perayaan ini. Hampir setiap hari cuaca yang tidak menentu menyebabkan Sang Suria kian malu untuk menghiasi awan, walhal gugusan awan yang mendung terus menggelapkan siang dan malam suasana cuti. Cuasa sebegini memang memalaskan kita untuk ke mana-mana. Dalam menikmati cuti dengan penuh perasaan santai atau relaks, saya ingin meluahkan perasaan saya tentang erti kemerdekaan bagi diri saya yang sebenar.

Sejak bergelar pendidik, saya mula sedar bahawa guru yang baik sentiasa menjadi pedoman kepada pelajar untuk terus mengorak langkah terus cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, pada pendapat saya, murid zaman dotkom ini sudah juah berbeza daripada murid terdahulu. Saya sedar, kita perlu maju, kita perlu moden dan berganjak dari takuk lama. Di sebalik anjakan paradigma yang dibuat oleh golongan muda, erti "kemerdekaan" sudah disalah tafsir sebagai hari untuk berpesta daripada hari untuk mengenang jasa dan bersyukur atas kemerdekaan yang dinikmati pada zaman pascakemerdekaan. Mengapa? Tepuk dada, tanya selera.
"Perpaduan Teras Kejayaan" merupakan tema Hari Kebangsaan yang ke-51. Perpaduan diberi penekanan oleh pihak kerajaan sebagai kunci kejayaan kerana "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Prinsip ini memang sesuai dengan keadaan negara yang dilanda pergolakan sosial dan politik. Hal ini memang jelas apakala paparan surat khabar punuh dengan unsur politik daripada mempromosikan Hari Kebangsaan. Keadaan ini menyebabkan saya berasa kesal dengan sikap penerbit surat khabar yang kurang patriotik dalam melahirkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Banyak pelajar menyalahgunakan "kemerdekaan" yang diberikan kepada mereka. Mereka terlalu bebas dalam ambang globalisasi. Penyalahgunaan fungsi internet dalam blog saya juga berlaku apabila ada yang memanggil saya sebagai guru yang bodoh di dunia dan orang yang tak ada otak. Saya sedar bahawa "siapa makan cili, dia rasa pedas". Janganlah mencaci guru sebegini sehingga menggores perasaan pendidik. Tanpa guru, murid hanya kotak kosong yang tiada isi. Saya berharap para pelajar akan terus menggunakan blog sama sebagai platform belajar, bukan tempat untuk saling bergaduh atau saling menghina.
Salam pascamerdeka yang ke-51,

Tema Pertanian

Karangan Bergambar PMR Ramalan 5 dan 6 - Tema Pertanian

Soalan Karangan Bergambar - Ramalan 5



Gambar tunggal di bawah menggambarkan seorang pemuda sedang mengerjakan sawah. Huraikan sebab-sebab para siswazah atau lepasan univerisiti enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian. Huraian anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.


[ 20 markah ]




Pada zaman moden ini, banyak siswazah yang dilaporkan menganggur. Hal ini demikian kerana mereka enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian walaupun bidang ini menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada mereka.



Sebab utama para siswazah enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana mereka berkelulusan dalam bidang lain. Sebagai contoh, graduan lulusan ekonomi, pentadbiran, dan undang-undang beranggapan mereka tidak sesuai bermandi peluh di sawah padi. Oleh sebab itu, bidang pertanian negara semakin dipinggirkan.


Selain itu, pekerjaan bertani dianggap kotor dan kasar bagi mereka. Hal ini demikian kerana pekerjaan ini disinonimkan sebagai pekerjaan yang tidak popular. Mereka enggan dipanggil sebagai golongan pekerja yang kurang profesional jika berkecimpung dalam bidang pertanian.


Pada masa yang sama, kebanyakan siswazah malu menjadi petani. Mereka sentiasa berfikiran bahawa pekerjaan ini disamakan dengan golongan miskin. Hal ini demikian kerana kebanyakan petani masih berpendapatan tidak stabil. Oleh itu, mereka enggan melibatkan diri dalam bidang pertanian.


Secara tuntas, para siswazah haruslah mengubah persepsi mereka terhadap bidang pertanian. Hal ini demikian kerana negara Malaysia berwawasan untuk menjadi negera pertanian moden dalam arus globalisasi ini.


Ramalan 6


Lihat gambar di bawah dengan teliti, seorang petani sedang mengerjakan tanamannya secara kecil-kecilan. Oleh sebab itu, huraikan cara-cara untuk meningkatkan pendapatan petani di negara kita. Huraian anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.



Pada zaman mengejar kemodenan ini, para petani di negara kita masih bergelumang dalam selimut kemiskinan. Oleh itu, golongan ini perlulah dibantu agar pendapatan mereka terus meningkat demi taraf kehidupan yang lebih tinggi.


Sebenarnya, petani haruslah melakukan kerja-kerja penanaman secara besar-besaran. Penggunaan teknologi moden dapat mengefisienkan dan mempercepat hasil pertanian. Dengan cara ini, mereka dapat mengkomersialkan bidang pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan.


Di samping itu, pihak kerajaan haruslah memberi bantuan kewangan dan kemahiran kepada para petani. Bank Pertanian umpananya, perlulah menyuntik modal yang dapat memberi semangat kepada para petani unttuk bekerja keras. Langkah ini pasti dapat meningkatkan dan memajukan sektor pertanian negara kita.


Selain bantuan kewangan dan kemahiran, penggunaan baja kimia juag penting untuk mempercepat pertumbuhan hasil pertanian. Hal ini demikian kerana hasil pertanian yang bermutu tinggi merupakan kunci pendapatan lumayan golongan petani. Oleh hal yang demikian, kualiti produk pertanian dapat meningkatkan imej bidang pertanian negara.


Kesimpulannya, kegiatan pertanian di negara ini mestilah dimajukan dengan serius. Hal ini penting agar kita dapat merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara pertanian moden di rantau ini.

kesan kejadian banjir kilat

Perhatikan gambar di bawah dengan teliti, kemudian tulis suatu karangan tentang kesan kejadian banjir kilat. Karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.



Malaysia yang mengalami iklim hujan tropika menyebabkan keadaan cuacanya panas dan lembap. Oleh hal yang demikian, banjir kilat sering berlaku dan mengakibatkan pelbagai kesan.


Banjir kilat sering menyebabkan kejadian tanah runtuh. Oleh sebab pembangunan yang tidak terancang di kawasan bukit dan lembah, kejadian banjir lumpur turut mengakibatkan laluan trafik ditutup. Hal ini memberi impak yang besar terhadap pelbagai sektor.


Lain daripada itu, kawasan terpencil dan pedalaman juga mengalami nasib yang sama apakala banjir kilat berlaku. Tebing tambakan air melimpah sehingga membawa selut dan lumpur masuk ke dalam rumah. Penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat.


Fenomena banjir kilat turut mengakibatkan jambatan roboh dan rosak teruk. Hal ini menyebabkan perjalanan sistem pengangkutan tergendala. Oleh hal yang demikian, pelbagai kemusnahan dan kerosakan dibawah oleh kejadian alam yang sebenarnya boleh kita elakkan.


Secara total, banjir membawa seribu kemusnahan kepada umat manusia. Kita sepatutnya lebih leliti semasa merancang pembangunan bandar untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada terus berlaku.

fenomena pembaziran dalam kalangan masyarakat

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentangfenomena pembaziran dalam kalangan masyarakat berdasarkan gambar tersebut. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


[ 20 markah ]

Karangan contoh

Amalan berjimat cermat perlulah dipupuk sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya” Malangnya, penduduk di negara kita membelakangkan amalan mulia berjimat-jimat sehingga menjadikannya satu penyakit sosial.

Masyarakat marcapada suka membeli-belah kerana pusat beli-belah dibina“bagai cendawan tumbuh selepas hujan”. Natijahnya, pembelian yang tidak terancang dilakukan oleh masyarakat kita tanpa menyedari “besar kuali, besarlah keraknya”. Oleh itu, sikap mereka menyebabkan kadar inflasi meningkat sekali gus kegawatan ekonomi berlaku.

Sumber air yang semakin terhad juga dibazirkan oleh masyarakat. Acap kali, air dibiarkan mengalir sehingga melimpah tanpa disedari. Tegasnya, prinsip“ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” hanya menjadi “masuk telinga kiri, keluar telinga kanan”. Janganlah kita menyesal kemudian kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Masa itu emas, pemahamannya semakin luntur dalam kalangan remaja. Mereka melakukan aktiviti kurang berfaedah tanpa menyedari masa yang berlalu tidak akan kembali. Apakala pelajaran terjejas, hanya air mata menghiasi muka.

Intihanya, pembaziran mestilah dijauhi oleh masyarakat di seantero jagatraya. Maka, sumber alam, wang, dan tenaga dapat dijimatkan demi masa depan.

( 120 patah kata)

kes ragut di Malaysia

Ramalan Karangan Bergambar PMR - 2

Karangan Bahagian A,

Lihat gambar di bawah dengan teliti, kemudian tulis sebuah karangan tentang kes ragut di Malaysia. Karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Pada masa ini, kes ragut semakin menjadi-jadi dan hangat dibualkan oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana ada kejadian kes ragut yang melibatkan kematian.

Punca utama kes ragut berlaku ialah golongan belia tiada pekerjaan. Sampah masyarakat ini dikatakan malas bekerja. Oleh sebab itu, kerja mereka ialah meragut tas tangan.

Kesannya, dokumen penting dalam beg akan hilang. Selain itu, wang dalam dompet juga dirampas. Yang lebih serius ialah mangsa juga tercedera parah.

Untuk mengurangkan kes ragut, kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang. Pihak polis haruslah mengadakan rondaan yang lebih kerap. Golongan wanita pula dinasihatkan agar tidak membawa tas tangan jika tidak perlu.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa kes ragut sebenarnya boleh diatasi. Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk mengurangkan masalah sosial dan jenayah.
( 118 patah kata)

DENGGI

Karangan Bergambar PMR - Ramalan 3 "DENGGI"

Sebagaimana kita semua sedia maklum, penyakit denggi amat berbahaya. Penyakit ini boleh membawa kematian kepada mangsa.

Punca utama penyakit denggi ialah gigitan nyamuk aedes betina, yakni Nyamuk Aedes Aegypti. Nyamuk aedes biasanya bersembunyi dan bersarang di kawasan air bertakung. Gigitan nyamuk ini akan membawa padah kepada manusia.

Simptom penyakit denggi ialah seseorang diserang demam secara mengejut, sakit-sakit sendi dan ruam. Mangsa perlu dibawa ke hospital. Penyakit ini mesti dikawal kerana platelet darah yang menurun dalam badan akan menyebabkan pendarahan yang membawa kepada kematian.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa tempatan mestilah mengadakan operasi menyembur asap antidenggi. Langkah utama ini dapat membasmi pembiakan aedes betina. Kegiatan gotong-royong juga perlu diadakan di seluruh negara.

Secara tuntas, rakyat Malaysia mestilah berhati-hati dalam soal kesihatan. Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa menyeru agar rakyat dalam menjaga kebersihan sepanjang masa kerana “mencegah lebih baik daripada mengubati”.
( 120 patah kata)

Remaja sekarang "TAK NAK" atau mereka waswas "NAK TAK"? Fikirkan?

Remaja sekarang "TAK NAK" atau mereka waswas "NAK TAK"? Fikirkan?

Sekiranya kita merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, semakin banyak rakyat Malaysia yang merokok setiap tahun terutamanya lelaki. Malah, golongan wanita juga mula menunjukkan peningkatan yang mendadak. Pelajar sekolah juga tidak terkecuali. Sejak November 2004, didapati golongan belia terutamanya pelajar sekolah menengah menyumbang dua pulu peratus daripada statistik tersebut. Persoalannya, adakah mereka tidak mengetahui bahawa merokok membahayakan kesihatan setelah banyak kempen telah dilancarkan? Atau mereka memang sengaja menempah maut?

Banyak faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku. Antara faktor yang mendorong remaja sekarang merokok kerana pengaruh rakan sebaya. Rakan menunjukkan diri mereka yang sebenar. Sekiranya mereka memilih rakan yang salah, secara tidak langsung mereka juga terlibat dalam perkara yang tidak baik. Faktor kedua kerana ingin menunjukkan kematangan diri. Mereka berpendapat, apabila mereka merokok, maka mereka telah dewasa. Tanggapan ini salah sama sekali. Faktor ketiga ialah pengaruh bapa atau abang mereka. Pada hemat mereka, sekiranya bapa atau abang mereka boleh merokok, kenapa mereka tidak boleh? Tanggapan-tanggapan inilah yang perlu kita betulkan agar tidak banyak rakyat Malaysia yang akan merokok pada masa akan datang.

Sebagaimana kita sedia maklum, terlalu banyak risiko kesihatan akan wujud sekiranya kita merokok. Di dalam sebatang rokok terdapat lebih kurang dua puluh lima bahan kimia yang telah diuji boleh menyebabkan kanser. Antaranya ialah karbon monoksida, nikotin, tembakau, dan tar. Antara penyakit yang mungkin dihidapi oleh perokok ialah pereputan alveolus dalam paru-paru, Parkinson, kanser paru-paru, kanser rahim, katarak mata dan kanser gusi.

Setiap kekusutan boleh dileraikan, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Pelancaran Kempen Katakan Tak Nak kepada Rokok. Walakin begitu, bilangan perokok makin bertambah. Kalau pendekatan tersebut tidak berkesan, eloklah kiranya perokok dikenakan denda yang tinggi. Namun begitu, ada juga golongan kaya yang mampu membayar denda yang dikenakan.Atau kerajaan boleh mengharamkan sahaja rakyatnya daripada merokok. Sesiapa yang didapati merokok sama ada di tempat awam atau persendirian akan dikenakan hukuman yang berat. Walau bagaimanapun, cara yang telah dicadangkan memerlukan kecekalan hati dan ketabahan diri sendiri untuk menghindari rokok.

Konklusinya,merokok secara terang, jelas dan nyatanya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada manusia malah merosakkan serta mendatangkan bahaya kepada kita. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Sekiranya ingin membanteras gejala merokok, banteraslah hingga ke akar umbi. Nescaya, rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Elaklah kita sama-sama melaungkan “TAN NAK” kepada rokok. Ingatlah bahawa “setiap sedutan membawa maut”!



"Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu yang Memikulnya"

Jom Kita ke Rumah Kebajikan Padmasambhava, Klang.

(gambar di atas telah saya ambil daripada laman web Rumah Kebajikan Padmasambhava)
"Berat Mata Memandang,
Berat Lagi Bahu yang Memikulnya"

Demikianlah kata mutiara yang sinonim dengan penghuni rumah kebajikan. Rumah kebajikan yang semakin banyak dibina bak cendawan tumbuh selepas hujan merupakan femonena yang lumrah sebagai impakkebobrokan dan ketidakberperikemanusiaan insan bumi ini. Kita melihat dan bersimpati dengan mereka, namun merekalah yang benar-benar merasai segala kekurangan yang ada di persekitaran hidup yang penuh pancaroba ini.
Penghuni rumah kebajikan yang akan saya lawat bersama pihak PTAG kali ini bernama Rumah Pengasih Padmasambhava (Padmasambhava Children Loving Association.) yang terletak di Klang. Jika tidak mengenali mereka, anda boleh melayari laman web rumah kebajikan ini dengan mengeklikhttp://www.childrenlovinghome.org/index.html untuk memahami keperluan mereka. Mengikut catatan dalam laman web tersebut, kebanyakan kanak-kanak yang menumpang kasih di situ tinggal sehelai sepinggang danhidup sebatang kara tanpa ibu bapa.
Dengan hati nurani yang bersih dan suci, pihak yang berhati murni telah menubuhkan rumah kebajikan ini. Daripada membiarkan anak-anak kecilhidup berbumbungkan langit biru dan berlantaikan tanah gersang, anak-anak yang tidak berdosa perlu diberi pendidikan demi masa depan yang terjamin. Ada antara mereka yang terpaksa mendiami panti asuhan ini gara-gara menjadi mangsa keganasan dan penderaan manusia yang berhati binatang.
Oleh hal yang demikian, destinasi yang dipilih oleh Cikgu Lee dan Cikgu Pua dari PTAG amat sesuai dengan emosi dan rohani pelajar di PTAG. Lihatlah sendiri betapa bernasib baiknya kita semua berbanding insan malang dan terbiar tanpa penjagaan rapi. Oleh itu, Tepuk dada, tanya selera. Bukankah insan yang hidup di bumi ini perlu memegang resmi "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing"? Hidup di dunia ini sementara sahaja, janganlah kita berpeluk tubuh tanpa membuat sesuatu pada kala penghuni rumah kebajikan memerlukan ikhsan kita.
Wahai murid-muridku, saya berharap dengan lawatan ke tempat yang bermakna ini, nilai keinsafan dan kesyukuran akan terbit dalam sanubari kita. Bak kata peribahasa, "hari ini hari orang, mungkin esok hari kita". Sebagai manusia di alam fana ini, eloklah kita menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Janganlah nanti ada ahli masyarakat menuding jarikepada golongan murid dan pelajar yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang, terutamanya remaja atau belum remaja lagi sebagai golongan yang lemah.
Sebagaimana saya sedia maklum, ada antara yang setia mendiami rumah kebajikan itu terdiri daripada remaja perempuan yang terlanjur dan hilang arah tuju selepas mengandungkan bayi tanpa dirancang. Hal ini membuktikan bahawa kancah sosial dalam kalangan masyarakat sudah bisul jadi nanah. Daripada rancangan lawatan ini, nescaya kita dapat berkongsi-kongsi pendapat dengan mereka yang pernah tergelincir dalam norma kehidupan. Namun, mereka masih bernasih baik kerana kita masih berhati nurani kudus dengan menerima mereka seadanya.
Secara total, lawatan ini saya anggap sebagai "sambil menyelam, minum air". Kita dapat mempelajari erti kehidupan sebenar di samping mengetahui warna-warna insani di luar kepompong persekitaran kita. Nescaya, jumlah ahli rombongan adalah terhad mengikut prinsip "siapa cepat, dia dapat".
Sesiapa yang berminat, daftarkan diri anda secepat mungkin dengan menghubungi PTAG dalam talian 03-51212558. Hubungi (Wei Le) untuk keterangan lanjut. Setahu saya, yuran pendaftaran hanya RM10 berserta hidangan tengah hari.
"BUAT BAIK BERPADA-PADA,
BUAT JAHAT JANGAN SEKALI"

Jalan-jalan Raya Kotaku

Jalan-jalan Raya Kotaku

Dalam mengharungi arus globalisasi pada masa ini, sistem pengangkutan awam di nusa kita makin hari makin maju dan giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Sehubungan dengan itu, penubuhan syarikat pengangkutan awam di negara kita kian banyak, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam disediakan oleh pihak kerajaan yang berjiwa rakyat untuk penduduk di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya masalah kesesakan lalu lintas seperti teksi, bas, Monorel Kuala Lumpur, Sistem Aliran Ringan (LRT), Komuter dan sebagainya. Walaupun pelbagai jenis pengangkutan disediakan, malangnya, senario kesesakan lalu lintas di nusa kita masih tidak pernah mencapai titik noktah selama ini. Fenomena ini berubah menjadi lebih kronik dan membimbangkan semua pihak terutamanya pada waktu puncak. Masalah ini haruslah dititikberatkan oleh semua pihak dan bersama-samalah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin. Hal yang tidak dapat dinafikan ialah kesesakan dan pengangkutan awam adalah simbiosis. Nescaya, beberapa punca yang menyebabkan kesesakan lalu lintas tetap berlaku saban waktu dalam perjalanan walakin pengangkutan awam disediakan.

Jadual perjalanan yang tidak sistematik merupakan punca utama menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku. Haruslah kita menerima hakikat bahawa jadual perjalanan yang tidak sistematik disebabkan kelemahan pihak pengurusan jadual perjalanan. Hal ini demikian kerana pihak berkenaan tidak memahami keadaan sebenar secara mendalam, mereka menyediakan jadual berdasarkan waktu mereka. Sebagai contohnya, waktu pemandu akan berehat bermula pada pukul satu tengah hari hingga pada pukul dua petang. Waktu rehat mereka merupakan waktu rehat warga kantor dan waktu pelajar pulang dari sekolah. Natijahnya, pelajar yang menaiki bas untuk balik ke rumah atau yang ingin menghadiri kelas tambahan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas. Secara ringkasnya, kesesakan lalu lintas berlaku kerana kesibukan ibu bapa membawa anak-anak mereka balik ke rumah atau menghadiri kelas tuisyen.

Memang yang tidak dapat dinafikan, tambang yang mahal juga menjadi salah satu faktor kesesakan lalu lintas berlaku. Hal ini demikian kerana kenaikan harga minyak yang disebabkan peningkatan permintaan dalam pasaran dunia dan kejatuhan nilai Dolar Amerika telah menjejaskan taraf hidup dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa minyak petrol akan dinaikkan lagi jika kerajaan tidak mampu menanggung subsidi harga petrol. Jumlah kenaikan harga minyak sebanyak beberapa kali ini telah meningkatkan beban hidup masyarakat. Penataran ini menyebabkan penumpang terpaksa menanggung lagi kos kehidupan yang lebih tinggi. Selain itu, beban ibu bapa juga akan dipertingkatkan kerana sesetengah pelajar menaiki bas ke sekolah atau menghadiri kelas tuisyen. Oleh sebab terpaksa menanggung kos tambang yang tinggi, masyarakat sanggup berkereta sendiri supaya dapat mengurangkan kos perbelanjaan bulanan. Natijahnya, kesesakan lalu lintas terus berlaku.

Tambahan pula, bilangan bas dan teksi yang tidak cukup juga merupakan satu sebab yang sukar dinafikan. Tidaklah menghairankan jika peruntukan belanjawan kerajaan dikatakan kurang untuk kemudahan awam kerana kerajaan lebih mengutamakan pembangunan fizikal negara berbanding dengan meningkatkan kebajikan masyarakat. Hal ini juga disebabkan oleh hanya beberapa bas syarikat yang ditubuhkan seperti Transnasional, Metro, Intrakota dan sebagainya. Dengan itu, bas awam tidak menjadi pilihan utama penumpang dari suatu destinasi ke suatu destinasi yang berdekatan atau sebaliknya. Fenomena ini berlaku kerana golongan muda pada zaman ini tidak mahu membazir masa dengan setakat untuk menunggu ketibaan bas ke suatu tempat Mereka berpendapat bahawa “masa itu emas”. Oleh hal yang, mereka rela memandu sendiri. Impaknya, masalah kesesakan lalu lintas terus membengkak dalam arus pembangunan negara.

Satu lagi punca berlakunya kesesakan lalu lintas ialah perkhidmatan yang kurang berkualiti dan kurang efisien. Pengangkutan awam tidak menjadi pilihan utama generasi kini merupakan perkara yang lumrah. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir pemandu teksi dan bas yang biadab terhadap penumpang. Di samping itu, kebanyakan bas berada dalam keadaan yang kotor, panas, busuk, dan kurang selesa. Misalnya, pemandu bas tidak menghormati penumpang dengan memarahi mereka mahupun warga tua hanya kerana mereka membawa makanan ke dalam bas, tertekan loceng di destinasi yang salah dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, pengguna berasa tidak puas hati terhadap pemandu bas. Hal ini juga menyebabkan pengguna tidak yakin akan perkhidmatan pengangkutan awam. Justifikasinya, pengguna terpaksa memiliki kenderaan sendiri. Impak daripada hal ini menyebabkan kesesakan lalu lintas kian hari kian serius.

Pembinaan stesen di lokasi yang tidak strategik juga satu punca yang sukar dinafikan. Hal ini disebabkan kawasan pembinaan stesen Komuter amat jauh dari pusat bandar utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara, Ampang, Cheras dan sebagainya. Pembinaan stesen Komuter di kawasan yang jauh malam di dalam hutan menyebabkan pengguna berasa sukar untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan di stesen Komuter. Senario ini membuktikan bahawa pengangkutan awam yang disediakan tidak memberi kemudahan secara langsung kepada pengguna. Pengguna terpaksa menukar stesen dari satu stesen ke suatu stesen, Namun begitu, pengguna juga sukar mendapat pengangkutan perantara dari stesen Komuter ke destinasi yang hendak dituju. Untuk menjimatkan masa dan wang untuk bertukar stesen dari satu stesen, pengguna lebih rela menggunakan kenderaan sendiri. Habis, kesesakan lalu lintas di nusa kita terus berlaku dan tidak pernah diselesaikan.

Secara tuntas, walaupun negara kita canggih dalam bidang sains dan teknologi, pelbagai jenis pengangkutan awam giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, senario kesesakan lalu lintas tidak dapat berjaya dibendung selama ini khasnya di bandar-bandar utama pada waktu bekerja. Hal ini telah membebankan rakyat dari pelbagai segi seperti masa dibazirkan pada waktu kesesakan, kelewatan menguruskan urusan yang penting. Daripada membiarkan masalah ini kronik, pelbagai langkah yang efisien dan praktikal harus diambil dengan serta merta. Oleh itu, kerajaan haruslah sensitif terhadap isu-isu kesesakan dan mengambil tindakan dengan bijak menggunakan peruntukan supaya lalu lintas dilancarkan semula.

Tsunami Senyap Melanda Dunia

Tsunami Senyap Melanda Dunia



Dalam era pascaglobalisasi ini, dunia menghadapi krisis makanan besar-besaran pertama sejak Perang Dunia Kedua yang dilihat melanda rantau Caribbean, Afrika dan Asia. Masalah sejagat membabitkan peningkatan harga dan kekurangan bekalan makanan kini disifatkan sebagai “tsunami senyap” kerana boleh menyebabkan penduduk dunia berdepan kelaparan, manakala Bank Pembangunan Asia (ADB) di Singapura, pula menegaskan era harga murah makanan sudah pun berlalu. Malah, sekurang-kurangnya 37 negara mengalami krisis makanan serius. Harga makanan meningkat kerana kegunaan sumber yang tertentu dalam "biofuel" bagi memerangi perubahan cuaca, peningkatan jumlah penduduk, permintaan tinggi negara sedang membangun selain kejadian banjir dan kemarau di negara pengeluar utama makanan seperti Australia dan Afrika. Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, sekurang-kurangnya 850 juta penduduk dunia kini kelaparan. Saya sering termenung sendirian apabila melihat pelajar-pelajar di kawasan kafeteria yang menikmati makanan, terutamanya yang tidak menghabiskan makanan yang disediakan oleh pihak asrama universiti. Ingatlah bahawa setiap biji nasi yang kita makan ini perlulah disulami erti kesyukuran dan berterima kasihlah kepada ibu bapa yang bekerja keras demi sesuap nasi dan seteguk air!


Kebanyakan negara di benua Afrika ialah negara miskin. Nigeria, salah satu negara di dalam benua Afrika yang termiskin di dunia. Setiap tahun negara ini akan menghadapi masalah kekurangan makanan dan sekali gus telah mewujudkan kebuluran. Punca utama masalah ini ialah disebabkan oleh cuaca panas yang melampau yang mengakibatkan kekeringan. Tanaman yang telah ditanam semuanya mati akibat ketidakcukupan air dan garam galian. Masalah ini amat dirasai oleh penduduk nomad seperti Perluh dan Taureg. Mereka terpaksa menjual binatang ternakan dengan harga yang murah semata-mata ingin membeli beras yang harganya melambung tinggi. Mereka juga terpaksa mengemis untuk mendapatkan makanan. Menurut lembaga bantuan Oxford, keadaan kaum ini sangat teruk dan tiada harapan lagi untuk hidup. Kanak-kanak yang paling menderita dan ramai yang telah meninggal akibat kebuluran. Mereka terpaksa mengumpulkan daun-daun dan akar-akar pokok untuk dijadikan makanan. Selain itu mereka juga terpaksa berkumpul di hadapan pejabat kerajaan setiap hari kerana ingin mendapatkan sedikit wang dan makanan. Menurut Organisasi Dokter Nir Batas, setiap hari hospital tempatan mesti dipenuhi oleh pesakit kanak-kanak yang kekurangan zat makanan.
Ramai petani yang menggunakan bijih benih untuk dijadikan makanan bukannya untuk disemaikan di ladang-ladang. Kesihatan para petani juga terancam sehingga mereka tidak mampu lagi untuk bekerja di ladang. Lagipun, sebahagian daripada petani terpaksa meninggalkan ladang mereka untuk mencari makanan. Mereka juga terpaksa berhijrah ke negara lain terutamanya Libya dan Aljazair untuk mencari wang dan makanan. Akibat dasar Apartheid yang dilaksanakan juga selama lebih empat dekad. Kebuluran dan kemiskinan dalam kalangan penduduk kulit hitam merupakan masalah paling utama Kerajaan Baharu di Afrika Selatan. Pada akhir tahun 1980-an dianggarkan 2.3 juta orang menghadapi kebuluran dan kekurangan zat makanan terutamanya kanak-kanak. Bayangkan angkanya pada masa ini! Secara tuntas, hargai, apresiasi, dan ingatlah bahawa kita bernasib baik!

agaimanakah Modal Insan yang Patriotik Dapat dibentuk Melalui Aktiviti Sukan dan Permainan?

Bagaimanakah Modal Insan yang Patriotik Dapat dibentuk Melalui Aktiviti Sukan dan Permainan?



Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia menghadapi cabaran dan tekanan besar dalam mendepani persaingan abad ke-21 ini. Persaingan daripada negara-negara lain menuntut kita melakukan satu anjakan besar untuk melangkah ke peringkat pembangunan seterusnya dan mencapai Wawasan 2020. Oleh sebab itu, Yang amat berhormat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang, dan Terbilang menjelang Wawasan 2020. Pada pendapat saya, modal insan yang patriotik dapat dibentuk melalui aktiviti sukan dan permainan.

Pengaplikasian disiplin dalam permainan dan sukan dapat membentuk generasi yang lebih berdaya tahan demi mencapai cita-cita negara. Wawasan 2020 masih jauh kata sesetengah orang. Walau bagaimanapun, cita-cita negara tidak akan tercapai hanya dengan meningkatkan infrastruktur atau menambah bilangan sumber tenaga murah. Sebaliknya, pencapaian matlamat ini memerlukan satu peningkatan tahap produktiviti dan daya saing negara. Anjakan ini juga memerlukan pembangunan modal insan dari segi keupayaan dan intelek. Oleh itu, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) telah menetapkan “pembangunan modal insan berminda kelas pertama” sebagai salah satu daripada lima teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020. Disiplin semasa kita memainkan suatu permainan atau melakukan aktiviti sukan merupakan platform pembinaan jiwa yang tahan lasak dan cabaran. Dengan cara ini, kita bukan sahaja bersemangat patriotisme untuk membangunkan negara, malah bangsa dan imej nusa tercinta.

Dalam era globalisasi yang mencabar ini, Malaysia memerlukan tenaga kerja yang produktif, berpengetahuan, berkebolehan dan lebih berdaya saing bagi memastikan negara mencapai kemajuan dan pembangunan sosioekonomi yang lebih mapan. Negara memerlukan pekerja-pekerja terlatih, berkemahiran dan produktif dalam berbagai-bagai bidang. Keperluan ini semakin meningkat selaras dengan peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Oleh hal yang demikian, kesejatian dalam permainan dan sukan diyakini dapat mendidik kita mengenal pasti sebab kita memainkan suatu permainan. Contohnya, dalam sukan lari 4 X 100 meter, kita dapat memupuk semangat bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memenangi larian. Kerjasama seperti ini perlulah kita amalkan dalam kehidupan seharian sebagai bakal pemimpin akan datang. Setiap nilai murni yang kita pelajari dapat mematangkan pemikiran sekali gus menjadikan generasi muda sebagai golongan yang setia akan negara dan bersedia untuk bersaing untuk memartabatkan nama negara di setiap pelosok negara.

Menurut petikan ucapan Perdana Menteri semasa merasmikan Hari Pekerja; 1 Mei, Tenaga mahir ini juga perlu dilengkapkan dengan jati diri tinggi yang penuh dengan sifat-sifat jujur, amanah, berwawasan demi mengutamakan kualiti pekerjaan. Penekanan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) terhadap pembangunan modal insan khususnya tenaga kerja yang berpengetahuan dan berdaya saing, merupakan satu peralihan yang tepat pada masanya kerana Malaysia tidak boleh terus bergantung pada kos tenaga buruh yang murah. Oleh hal yang demikian, setiap peraturan yang ditetapkan dalam sukan dan permainan sebenarnya mempunyai hubungan yang rapat dengan norma kehidupan kita. Dengan mematuhi peraturan dalam permainan, kita juga dapat mentaati tiang ketiga dan keempat Rukun Negara, yakni “Keluhuran Perlembagaan” dan “Kedaulatan Undang-undang”. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan sentiasa berharap agar generasi baharu akan dapat meyakinkan pihak luar bahawa kita bukan rakyat yang lemah, malah kuat dari segi semangat patriotisme dan sentiasa bersedia memajukan negara sebagai model insan yang cemerlang.

Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Melalui aktiviti sukan dan permainan, saya yakin dan pasti bahawa kita dapat membina golongan remaja yang berketerampilan dan berkewibawaan. Selain dapat mengangkasakan kebudayaan Malaysia dalam usaha mempromosikan permainan tradisional, kita juga dapat mengangkasakan permainan tradisional mahupun sukan rakyat. Jikalau sepak takraw dan sukan badminton yang satu ketika dahulu dianggap permainan kampung, kini permainan ini sudah menjadi acara maslahat dalam Sukan SEA dan Sukan Olimpik. Generasi yang bersedia menyahut cabaran inilah yang dapat membuat sesuatu untuk mempopularkan permainan nenek moyang kita. Semangat inilah perlu ada pada modal insan. Selain memiliki personaliti unggul, merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Keberanian, kecekalan dan kesungguhan yang tidak pernah menemui titik noktah ialah harapan kita.

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara! Kita mempunyai tanggungjawab berat untuk membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan. Kita juga mesti memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan memperluas dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kita mestilah mula mengorak langkah proaktif agar modal insan yang diimpikan dapat dicanai mengikut acuannya demi membentuk generasi yang patriotik. Dengan ini, sukan dan permainan yang dapat membentuk warga yang cinta akan negara akan memastikan Wawasan 2020 menjadi realiti, bukan fantasi lagi!

Thursday, September 9, 2010

cara-cara untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan.

Kebersihan asas kesihatan. Huraikan cara-cara untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan.

“Badan sihat, otak cerdas” demikianlah frasa yang sering diungkapkan oleh orang ramai. Jika masyarakat tidak menjaga kebersihan, maka kesihatan mereka akan mudah terjejas. Jelaslah bahawa kesihatan amatlah penting kepada kehidupan dan wajar kita berikan keutamaan. Kita haruslah melakukan pelbagai aktiviti atau mengamalkan beberapa langkah untuk mencapai tahap kebersihan dan kesihatan yang memuaskan.

Langkah pertama yang perlu kita amalkan ialah usaha penjagaan kebersihan alam sekitar. Kita haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah dan memastikan agar sampah sarap tidak berselerakan di merata-rata tempat. Sekiranya sampah sarap tidak diuruskan dengan baik, maka risiko kita dijangkiti penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lalat atau tikus amatlah tinggi. Oleh itu, sampah sarap di sekitar halaman rumah mestilah dibersihkan untuk mengelakkan pelbagai penyakit membelenggu kehidupan kita.

Selain itu, pengambilan makanan yang bersih juga penting. Makanan yang bersih dan berzat akan menyihatkan badan kita. Kaedah penyimpanan makanan yang kondusif dan bersih dapat menjauhkan makanan kita daripada tercemar. Makanan perlu ditutup dengan tudung saji atau disimpan di dalam peti ais untuk menjamin kesegaran dan kualitinya. Jelaslah bahawa sebagai konsumer atau pengguna yang bijak, kita mestilah mengamalkan tabiat pemakanan yang bersih di samping menjaga kebersihan diri dan tempat sekeliling kita dari semasa ke semasa.

Akhir sekali, kerajaan juga perlu menitikberatkan mutu kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan seperti klinik rawatan bergerak di kawasan pedalaman di samping mengadakan kempen kesedaran kepada orang ramai melalui media massa seperti televisyen, radio, majalah, akhbar dan sebagainya supaya setiap masyarakat sama ada di bandar atau di desa dapat menguruskan kebersihan dan kesihatan diri dan keluarga masing-masing dengan baik.

Pendek kata, setiap rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan kesihatan pada setiap masa oleh sebab kesihatan merupakan nur yang bakal menyinari kebahagiaan keluarga, khasnya dan masyarakat Malaysia seluruhnya.

cara-cara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk meningkatkan keselamatan anak-anak semasa di rumah.

Keselamatan anak-anak perlu diutamakan oleh setiap ibu bapa. Berikan pendapat anda tentang cara-cara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk meningkatkan keselamatan anak-anak semasa di rumah.

Keselamatan anak-anak amat penting kepada ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengambil daya usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan anak-anak semasa di rumah.

Pertama sekali, ibu bapa mestilah menyimpan barang-barang yang berbahaya seperti pisau, ubat-ubatan, bahan racun dan sebagainya di tempat yang selamat dan jauh daripada anak-anak. Sebenarnya, barang-barang seumpama ini akan melukakan atau mendatangkan marabahaya kepada anak-anak. Ibu bapa juga boleh menasihati anak-anak supaya tidak bermain dengan barang-barang yang berbahaya ini.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah senantiasa mengunci pintu pagar dan pintu rumah untuk mengelakkan diri anak-anak daripada tipu muslihat pencuri atau penipu yang senantiasa mencari peluang dan kesempatan untuk melakukan jenayah. Sekiranya, ibu bapa bersikap cuai atau lalai, maka keselamatan anak-anak di rumah akan terancam lebih-lebih lagi kes jenayah kian berleluasa belakangan ini.

Seterusnya, ibu bapa hendaklah pandai memilih alat permainan untuk mengisi masa terluang anak-anak di rumah. Yang penting, barang-barang permainan tersebut perlulah berkualiti tinggi, selamat dan mesra alam.

Kesimpulannya, ibu bapa mesti senantiasa menjaga keselamatan anak-anak di rumah agar kita dapat menghindarkan diri daripada malapetaka atau kemalangan yang tidak diundang bak kata pepatah malang tidak berbau.

Hasil Kerja :
Chai Wei Xin, Tingkatan 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Langit Terbuka dan Laman Sosial

Warkah daripada Editor Dewan Siswa


Langit Terbuka dan Laman Sosial

Tatkala makalah ini ditulis, seluruh dunia menyuarakan rasa kemarahan dengan tindakan kejam tentera Israel yang menyerang dan menawan flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza, kapal Mavi Marmara dan Rachel Corie di perairan antarabangsa. Namun, kita bersyukur kerana 18 aktivis dan rakyat tempatan yang berada di dalam kapal tersebut selamat pulang ke tanah air selepas dibebaskan oleh rejim Zionis.

Berita penawanan dan video kekejaman tentera Israel tersebar dengan cepat ke seluruh dunia, tentera Israel pula menyekat komunikasi kapal Rachel Corie daripada hubungan luar sebelum mereka menawan kapal tersebut. Hal ini menunjukkan kemajuan teknologi satelit dunia yang telah memangkinkan kewujudan media baharu yang menjadi wahana komunikasi masyarakat dunia hari ini.

Sebenarnya, isu penawanan kapal misi kemanusiaan ini amat menarik hendak dikaji, bukan sahaja daripada aspek kemanusiaan, sebaliknya isu-isu lain seperti perundangan perairan antarabangsa, konflik sempadan politik antara negara, hegemoni kuasa dunia dalam kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan hubungan diplomatik antara negara yang melampaui aspek fahaman agama, perbezaan politik dan kepentingan ekonomi.

Wadah media baharu menerusi dasar langit terbuka, telah mencetuskan fenomena perbincangan umum yang tiada sempadan melalui jaringan laman sosial. Bukan sekadar menambahkan bilangan rakan, meluaskan jaringan perniagaan atau membentuk komuniti sukarelawan, jaringan laman sosial mampu menjadi entiti baharu masyarakat dunia yang boleh menggegarkan kedudukan politik individu mahupun negara.

Kekejaman Israel contohnya, telah membuatkan masyarakat dunia sear dan bangkit menyuarakan bantahan mereka melalui forum media baharu seperti facebook, twitter, tagged dan myspace. Namun ada perkara yang perlu difikirkan, sejauh manakah pula dasar langit terbuka ini benar-benar memberikan kita ruang untuk melontarkan idea mahupun mengetengahkan inovasi, sekiranya satelit dunia dikawal oleh kuasa monopoli, iaitu Amerika Syarikat dan sekutunya? Tiada lagi sempadan dibentuk terhadap ruang angkasa lepas. Masing-masing negara yang berkemampuan bebas meletakkan satelit di ruang angkasa. Oleh sebab itulah disebutkan dasar langit terbuka.

Ayuh remaja sekalian kita berfikir sejenak, adakah kita hanya mahu menjadi pengguna media baharu sahaja? Sementelahan, kita tidak menyedari kuasa di balik tangan yang mendominasi teknologi satelit dunia!

Kampung Dunia, Dunia yang Aman

Abdul Ghani Abu
(Dewan Siswa Julai 2010)

Indah Budi kerana Bahasa

Indah Budi kerana Bahasa
























Indah Budi kerana Bahasa

Masyarakat Melayu begitu menghargai dan menjunjung tinggi budi. Masyarakat Melayu juga menilai segala sesuatu itu berdasarkan pada budi. Buktinya, kecantikan seseorang bukan dinilai pada paras rupanya tetapi dinilai pada budi bahasanya. Manusia akan dipandang hina jika tidak berbudi, dan satu-satu bangsa itu pula akan runtuh jika budinya runtuh. Hal ini tergambar dalam pantun Melayu lama di bawah:

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.

Tanda-tanda budi pula ialah bahasa, dan antara wang ringgit dengan budi, budilah yang tetap dipandang orang, dan budi yang baik pula akan sentiasa dikenang sampai mati. Gambaran tentang peri pentingnya budi ada diungkapkan dengan begitu indah dalam pantun Melayu lama seperti yang berikut:

Makan sirih berpinang tidak,
Pinang ada di bawah tangga;
Makan sirih mengenyang tidak,
Tanda budi dengan bahasa.

Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit pandangan orang,
Pandangan atas budi pekerti.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan budi bahasa dan mengapa ia dianggap penting? Budi ialah pekerti yang baik atau akhlak terpuji. Akhlak yang terpuji itu termasuklah tutur kata dan budi bahasa yang baik, keikhlasan, kejujuran, kebenaran, pemurah, belas kasihan, bertimbang rasa, tolong-menolong, berjasa dan berbakti. (Mustafa Haji Daud, 1995: 1). Apabila kata budi ditambah dengan awalan ber- akan menjadi berbudi. Kata berbudi bermaksud mempunyai budi, atau mempunyai pekerti yang baik atau akhlak terpuji, dan orang yang berbudi ialah orang yang berpekerti baik atau berakhlak terpuji.

Sementara bahasa pula ialah 1. sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dsb.); 2. percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, sopan santun (Kamus Dewan: 2005: 106).

Apabila kata berbudi dicantumkan dengan bahasa, jadilah berbudi bahasa. Berbudi bahasa bermaksud mempunyai budi bahasa dan orang yang berbudi bahasa ialah orang yang mempunyai budi bahasa. Orang yang berbudi bahasa ialah orang yang berbudi melalui bahasa atau bahasa sebagai budi. Hal ini kerana budi itu amat luas maksud atau bidangnya dan bahasa adalah salah satu daripadanya. Bagi yang mempunyai harta, mereka boleh berbudi dengan menyumbangkan harta untuk tujuan kebajikan; yang mempunyai tenaga boleh menyumbangkan budi dengan menyumbangkan tenaga seperti dalam kerja-kerja gotong-royong; dan bagi yang mempunyai fikiran yang bernas boleh menyumbangkan idea-idea yang bernas dan berkesan untuk tujuan-tujuan kebaikan. Begitulah luasnya budi. Bagi yang ikhlas, budi bukan untuk dibalas.

Dr. Sidik Baba (Berita Harian, 4 April 2005) pula menyatakan berbudi bahasa bermaksud amalan yang memupuk sikap kesalingan menggunakan bahasa yang baik, tanda hormat, penghargaan, terima kasih dan faham akan makam atau martabat seseorang. Berbudi bahasa adalah gambaran pancaran hati jernih yang diungkapkan secara baik dan mesra serta memberikan kesan baik pula pada orang lain.
Dengan berbudi bahasa, silaturahim dapat dijalin, rasa mahabbah (kasih sayang) dapat dipupuk, dan sifat persaudaraan dapat disuburkan. Dengan adanya situasi ini, ia dapat dijadikan asas yang baik dalam proses pembinaan masyarakat beradab dan akhirnya menjadi masyarakat yang bertamadun.

Asas budi bahasa sebenarnya merupakan asas ajaran agama. Islam menganjurkan penganutnya memberikan salam apabila bertemu. Begitu juga ketika memulakan percakapan atau ucapan, serta apabila ingin masuk ke sesuatu tempat. Yang muda memberi salam kepada yang tua; yang mendatangi pula memberi salam kepada yang sedia menunggu; dan pengunjung rumah memberi salam kepada tuan rumah.

Berbudi bahasa juga merujuk kepada asas penggunaan bahasa yang tepat dan sopan. Bahasa yang dilafazkan hendaklah mengandungi maksud yang baik dan nilai-nilai yang murni, serta dilafazkan dengan nada yang elok dan jelas maksudnya. Penggunaan bahasa yang kasar dan dilafazkan dengan terpekik-pekik serta bercampur dengan lucah hendaklah dihindarkan kerana boleh mempengaruhi pendengarnya khususnya kanak-kanak.

Bangsa yang beradab dan umat yang bertamadun merupakan bangsa dan umat yang berbudi bahasa. Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat. Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat. Berbudi bahasa juga tidak menggambarkan jiwa rendah diri seseorang, tetapi menggambarkan kekuatan peribadi yang ada pada seseorang.

Semua orang yang normal sebenarnya tidak bermasalah untuk mengamalkan sikap berbudi bahasa kerana bahasa ialah modal yang dianugerahkan oleh Tuhan. kepada setiap orang. Untuk memiliki sikap berbudi hanyalah bermodalkan keinginan menaburkan jasa dan bakti melalui bahasa yang baik dan sopan sebagai wahana.

Sayangnya, budi bahasa dan nilai-nilai murni sudah semakin terhakis dalam diri anggota masyarakat negara kita. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di persekitaran kita, misalnya perbuatan vandalisme yang menjadi-jadi. Lebih parah masalah sikap tidak berbudi bahasa sesetengah pengguna jalan raya hingga boleh membawa padah dan menyebabkan kematian.

Pada awal tahun ini sahaja (2005) tiga kes pembunuhan diberitakan berlaku, iaitu di Shah Alam, di Jalan Sungai Besi, dan di Perak, yang berpunca daripada beberapa insiden di jalan raya yang tidak disengajakan. Kalau dahulu, kematian di jalan raya lazimnya di sebabkan oleh kemalangan yang berpunca daripada kecuaian pemandu ataupun masalah teknikal pada kenderaan, tetapi sekarang ada “gejala” baru yang tidak terduga oleh kita sebelum-sebelum ini.

Masalah pembuli jalan raya yang sering menimbulkan pelbagai kes di atas jalan raya berpunca daripada sikap tidak berbudi bahasa dan tidak menghormati hak orang lain. Kadang-kadang hanya kerana kemalangan kecil ataupun masalah kecil di atas jalan raya, boleh mencetuskan pergaduhan dan ada yang membawa kepada pembunuhan. Hal ini terjadi kerana sikap berbudi bahasa dan bersopan santun sudah tidak ada lagi dalam diri individu tersebut. Masing-masing tidak mahu mengalah dan ditambah lagi dengan sikap ingin mempamerkan kebolehan dan kecekapan yang tidak kena pada tempatnya.

Selain itu, budaya berbudi bahasa ketika di rumah semakin pudar, bahkan konsep “rumahku, syurgaku” tidak lagi diterapkan sepenuhnya. Rumah seolah-olah berfungsi sebagai tempat untuk tidur sahaja. Urusan menyediakan makan minum anak-anak diserahkan kepada pembantu. Anak-anak hanya bertemu dengan ibu bapa apabila memerlukan sesuatu. Lantaran itu, timbullah pula masalah untuk menerapkan sikap berbudi bahasa di rumah. Sikap menghormati ibu bapa semakin terhakis kerana anak-anak jarang dapat bertemu dengan ibu bapa masing-masing. Ibu bapa juga tidak dapat menonjolkan teladan yang baik kepada anak-anak kerana masa mereka di rumah agak terhad. Akhirnya, kebiasaan atau sikap anak-anak sewaktu ibu bapa tiada di rumah terbawa-bawa juga semasa ibu bapa ada di rumah.

Sikap anak-anak yang kurang mendapat didikan di rumah akan dibawa pula ke sekolah. Di sekolah, lantaran kurangnya budi bahasa, guru pula yang menjadi mangsa. Kenderaan guru dicalar dan digores sesuka hati sekiranya pelajar tidak berpuas hati dengan tindakan guru mereka. Lebih parah lagi, amalan buli-membuli dan gengsterisme semakin menjadi-jadi dan yang menjadi mangsa adalah pelajar yang lemah bahkan kadang-kadang rakan sendiri.

Kematian seorang pelajar akibat dipukul secara beramai-ramai oleh rakan sendiri, di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada tahun 2004 menggambarkan sikap segelintir pelajar yang melampaui batas dan susila seseorang remaja. Insiden tersebut diberitakan hanya berpunca daripada keengganan mangsa meminjamkan cerek miliknya kepada rakannya. Mungkin mangsa mempunyai alasan untuk tidak meminjamkan cereknya kepada rakannya itu, tetapi hal ini tidak bermakna mereka boleh bersikap kasar sedemikian sehingga membawa maut. Akibat sikap yang tidak bercirikan pelajar yang bermoral, mereka terjebak dalam kancah jenayah dan sekolah seolah-olah tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk pelajar.

Lantaran itu, “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni” yang dicetuskan ilhamnya dan dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai semangat bersatu padu, bertoleransi, saling memahami dan bekerjasama, serta cinta akan negara, sangat kena pada masanya. Kempen ini telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, pada 11 Januari 2005.

Sewaktu merasmikan kempen tersebut, Perdana Menteri menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai oleh negara ini hanya dapat dikekalkan jika masyarakat mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi. Negara bukan sahaja memerlukan rakyat yang berkemahiran tinggi, tetapi juga memerlukan rakyat yang mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni. Budi bahasa dan nilai-nilai murni inilah yang akan dapat memastikan kejayaan yang telah dicapai oleh negara tidak dirosakkan oleh masyarakat yang runtuh moralnya.

“Sejarah telah membuktikan bahawa banyak empayar atau negara yang maju telah runtuh lantaran generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah. Generasi yang mewarisi negara itu terdiri daripada mereka yang lupa daratan, berkelakuan tidak baik dan bersengketa antara satu sama lain, serta melakukan perbuatan yang tidak bermoral,” tegas Perdana Menteri Malaysia.

Selanjutnya, beliau meminta agar rakyat Malaysia membuktikan bahawa walaupun negara telah mencapai kejayaan, tetapi masyarakatnya masih mampu mempunyai dan mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Beliau juga turut melahirkan rasa kebimbangannya kerana budi bahasa dan nilai-nilai murni kini semakin hilang di kalangan masyarakat negara ini.

Perdana Menteri menunjukkan bukti beberapa sindrom negatif yang kini telah dipandang sebagai suatu kebiasaan dalam kalangan masyarakat negara ini, seperti tabiat memandu yang kurang sopan dan berbahaya, kurangnya rasa sayang terhadap harta benda awam yang menjadi milik bersama, dan kekerasan terhadap pelanggan. Beliau turut menegur sesetengah kakitangan perkhidmatan awam, terutamanya yang berkhidmat di kaunter khidmat pelanggan yang masih tidak memberikan layanan yang baik kepada pelanggan.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kempen itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha membentuk masyarakat Malaysia yang mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi akan menjadi satu aktiviti penting kerajaan. Hal ini kerana kerajaan memerlukan satu tenaga kerja yang berkemahiran dan mempunyai moral yang tinggi. Kualiti tenaga kerja bukan sahaja diukur dari segi pendidikan, kepakaran dan teknologi yang mereka miliki, tetapi juga diukur dari segi moral, tanggungjawab serta budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Untuk memastikan budi bahasa dan nilai-nilai murni tidak terhakis dalam budaya hidup masyarakat negara ini, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing, terutamanya ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan. Ibu bapa perlu berperanan mendidik anak-anak sejak awal lagi dengan menyemai budi bahasa yang baik di rumah. Percakapan antara suami dengan isteri; ibu bapa dengan anak-anak; dan antara anggota keluarga di dalam rumah sewajarnya menggunakan bahasa yang baik dan sopan. Hal ini penting untuk mewujudkan suasana yang baik dan harmoni dalam keluarga yang bakal dicontohi oleh anak-anak.

Kata-kata yang kasar dan mencarut hendaklah dielakkan kerana boleh mempengaruhi pembentukan jiwa kanak-kanak. Bahasa yang halus dan penuh sopan santun hendaklah dibiasakan penggunaannya di rumah. Apabila kanak-kanak meningkat dewasa kelak, mereka akan turut menggunakan kata-kata yang biasa didengar di rumah. Jika mereka terdedah kepada kata-kata yang baik, maka kata-kata yang baik itulah yang akan digunakan kelak, begitu juga sebaliknya.

Sekolah pula perlu menjadi institusi pembentukan akhlak dan sebagai tempat menanam bibit kemanusiaan yang sebenar. Guru sewajarnya berperanan sebagai ibu bapa kepada para pelajar, dan para pelajar pula perlulah bersikap seperti anak-anak kepada guru. Mereka perlulah menghormati guru sebagaimana mereka menghormati ibu bapa. Para pelajar pula perlulah menganggap rakan-rakan sebagai saudara sekandung atau adik-beradik. Barulah peristiwa yang pernah terjadi di Negeri Sembilan itu tidak berulang.

Yang tua pula perlulah dihormati dan yang muda disayangi, dan antara yang muda dengan yang tua hendaklah saling bertoleransi. Pihak kerajaan pula haruslah meningkatkan dan menggiatkan kempen ke arah meningkatkan budi bahasa dan nilai-nilai murni melalui saluran media cetak dan elektronik. Selain itu, pihak media massa terutamanya media massa swasta, hendaklah memberikan ruang yang sewajarnya kepada kempen kerajaan ini. Mereka tidak seharusnya mementingkan aktiviti atau program komersial semata-mata. Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus juga dijadikan salah satu agenda perjuangan mereka.

Zaidi Ismail
(Sumber: Pelita Bahasa Jun 2005)

BAPA BOREK ANAK RINTIK

BAPA BOREK ANAK RINTIK

BAPA BOREK ANAK RINTIK DALAM KEHIDUPAN KITA
oleh Chai Loon Guan
Pendahuluan
Salah satu keistimewaan bahasa Melayu ialah kekayaan bentuk bahasa kiasan yang terdapat di dalamnya. Bentuk-bentuk ini adalah sangat aktif digunakan hari-hari. Bahasa kiasan lama biasanya akan lenyap dari penggunaan dan diganti dengan bahasa kiasan baharu yang sama erti, ataupun bentuk lama itu mendapat makna baharu.

Dalam bahasa Melayu, bentuk-bentuk bahasa kiasan dapat diklasifikasikan seperti yang berikut, iaitu peribahasa dan bukan peribahasa. Peribahasa merangkum unsur simpulan bahasa, pepatah, bidalan, dan perumpamaan manakala aspek bukan peribahasa pula merangkum unsur personifikasi, metafora dan hiperbola.

Pepatah

Bapa borek anak rintik tergolong dalam unsur pepatah dalam peribahasa Melayu. Menurut Kamus Peribahasa Lengkap Utusan (1993), pepatah bapanya borek, anaknya tentu rintik merujuk kepada maksud, yakni anak mencontohi kelakuan orang tuanya. Dalam buku Panduan Peribahasa Melayu PSM (1975) pula, pepatah bapa borek anak rintik merujuk kepada kelakuan ibu bapa itu biasanya menurun kepada anaknya.

Jika kita halusi pepatah Melayu tersebut, jelaslah bahawa maknanya masih relevan dan boleh kita rujuk dan dihubungkaitkan dengan dunia kehidupan masyarakat moden pada hari ini, terutamanya apabila kita menyentuh aspek kehidupan rumah tangga dan institusi keluarga.

Peranan Ibu Bapa

Saban hari masyarakat dihidangi berita tentang kejayaan anak-anak dalam dunia akademik, kokurikulum dan kesahsiahan diri. Tidak kurang pula anak-anak yang telah berjaya menjadi modal insan yang berguna bukan sahaja kepada diri dan keluarga bahkan juga kepada bangsa dan negara yang tercinta.

Sebenarnya, kejayaan anak-anak tersebut banyak bergantung kepada corak didikan ibu bapa (keluarga) yang diwarisi dan disemaikan di rumah sejak anak-anak masih bertatih lagi. Tidak boleh kita nafikan bahawa anak-anak umpama kain putih yang suci bersih dan ibu bapalah yang bakal mencorakwarnakan dunia kehidupannya. Tanpa didikan, galakan dan contoh teladan yang baik daripada ibu bapa, barangkali tingkah laku, sikap dan masa depan anak-anak akan menjadi tidak menentu sekali gus anak-anak terutamanya golongan remaja bakal berhadapan dengan dunia kehidupan yang sukar dan beranjau.

Tidak dapat kita nafikan bahawa tangan yang mengayun buaian itulah yang akan melahirkan generasi warga yang berbudi bahasa, bersahsiah mulia dan berhemah tinggi. Sejak seseorang bayi dilahirkan, beberapa aspek kehidupan telah dititikberatkan oleh ibu bapa seperti didikan agama, nilai budaya dan cara hidup bertatasusila. Jika dihalusi secara terperinci, amalan dan didikan ibu bapa semasa anak-anak di rumah cukup penting dan merupakan prasyarat awal untuk anak-anak mengorak langkah awal ke alam pendidikan sebelum mereka mula melayari bahtera kerjaya yang lebih mencabar apabila usia mereka meniti dunia kematangan dan kedewasaan hidup. Amalan murni seperti hormat-menghormati ibu bapa, bertutur dengan sopan-santun, mendirikan sembahyang, rajin berusaha dan sikap tolong-menolong perlu bermula daripada contoh teladan ibu bapa yang sebenar sebelum dapat diterjemahkan untuk diteladani oleh anak-anak dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Nilai Murni

Maksud peribahasa “bapa borek anak rintik” turut boleh kita hubung kaitkan dengan amalan membaca di rumah. Sekiranya, amalan membaca mula dititikberatkan dan turut diamalkan oleh ibu bapa di rumah, maka akan menjadi suatu kebiasaan pula amalan yang bermanfaat ini akan dicontohi oleh anak-anak di rumah. Yang penting, amalan murni ini haruslah mula disemaikan dalam jiwa raga ibu bapa terlebih dahulu sebelum amalan murni ini dapat dihidupsuburkan dalam jiwa raga anak-anak. Sekiranya, ibu bapa tidak memiliki minat membaca atau barangkali malas membaca ataupun mereka mempunyai seribu satu alasan maka anak-anak yang senantiasa memerhati gerak-geri dan fiil ibu bapa mereka, akan mula beranggapan bahawa amalan tersebut merupakan amalan yang remeh-temeh dan tidak perlu diutamakan dalam kehidupan seharian mereka sedangkan amat kita sedari bahawa bangsa yang membaca ialah bangsa yang berjaya.

Sikap berjimat cermat dan amalan menabung dalam kehidupan sehari-hari juga harus bermula daripada daya usaha amalan dan teladan ibu bapa yang biasanya akan bertindak sebagai "role model" kepada anak-anak dalam sesebuah keluarga. Sebaliknya, jika ibu bapa senantiasa mengamalkan corak hidup mewah biarpun di luar kemampuan dan amat suka berboros serta berhutang keliling pinggang, maka tidak hairanlah sikap buruk dan merugikan ini akan turut dicontohi dan diwarisi oleh anak-anak dalam kehidupan mereka sehari-hari sehingga mereka lupa diri dan lupa daratan atau barangkali akan turut terlanjur berhutang dengan lintah darat atau along.

Peranan Guru

Guru, golongan pendidik atau yang bergelar munsyi di sekolah turut memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha menjadi pendorong atau pemangkin kepada anak-anak didik untuk berusaha gigih dan cekal dalam perjuangan menimba ilmu dan berjaya dengan cemerlang dalam buana pelajaran. Sekiranya, guru pula bersikap sambalewa atau pasif ataupun bersikap acuh tak acuh, maka anak-anak didik yang terbiar bebas dan liar akan mengabaikan pelajaran dan seterusnya membabitkan diri dalam masalah disiplin dan sosial yang serius. Remaja pelajar yang kehilangan pedoman dan hala tuju perjuangan hidup akan mudah terdorong untuk membabitkan diri dalam masalah sosial yang serius seperti kegiatan penyalahgunaan dadah, samseng jalanan, gengsterisme dan maksiat. Sesungguhnya, keterlibatan remaja dalam masalah sosial tersebut akan merugikan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Dalam kita menghalusi maksud peribahasa “bapa borek anak rintik”, terdapat juga beberapa peribahasa Melayu yang turut mendukung maksud yang bersinonim dengannya. Antara lain, peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagaimana contoh begitulah gubahannya, yakni anak menurut baka ibu bapanya; sesuatu itu menurut asalnya. Pepatah seperti bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya, bagaimana biduk, bagaimana pengayuh, bagaimana cetak, begitu kuihnya, bagaimana contoh begitulah gubahnya dan bagaimana rupa begitulah bayangnya turut bersinonim dengan peribahasa “bapa borek anak rintik”.

Pengaruh

Pernah juga kita terbaca atau menonton dalam media massa, kisah remaja yang terbabit dalam kes GRO, gejala buang bayi, kes lari dari rumah, remaja bergentayangan dengan rakan-rakan di pusat-pusat beli-belah atau di pusat-pusat hiburan sehingga dinihari dan sebagainya. Kenapakah gejala sosial itu masih berlaku dan berterusan sedangkan ibu bapa atau penjaga remaja tidak mengamalkan tabiat buruk tersebut sebaliknya mereka mempunyai keluarga yang bahagia, sumber pendapatan yang tetap dan lumayan? Barangkali dalam hal ini, golongan remaja yang hidup bebas dan liar ini sebenarnya bukan dipengaruhi oleh cara hidup ibu bapa atau penjaga mereka sebaliknya mereka sudah terlanjur bergaul atau berkawan dengan golongan remaja bebas dan liar yang sudah menyimpang jauh dari aspek agama, nilai budaya dan akhlak!

Dalam konteks ini, pepatah bapa borek anak rintik tidak boleh kita asosiasikan dengan dunia kehidupan remaja yang bobrok lantaran keterlanjuran diri, dek kebebasan hidup yang tidak berpedoman dan bermatlamat dalam rutin kehidupan golongan remaja pada hari ini. Di sini, barangkali golongan ibu bapa atau penjaga boleh kita pertanggungjawabkan dek pengabaian mereka selama ini dalam memberikan kasih sayang, kurangnya penjagaan dari aspek kebajikan anak-anak, tidak mahu memahami dunia mereka atau barangkali kurangnya usaha pemantauan kerana kesibukan ibu bapa atau penjaga mengejar dunia kerjaya dan dunia kebendaan pada alaf globalisasi ini sehingga kasih sayang dan kebajikan anak-anak di rumah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah warga asing yang barangkali agak subjektif dan rumit jika dikaji latar belakang kehidupan mereka.

Bagaimanakah pula keadaan dan nasib anak-anak yang sedang membesar diasuh dan dididik pula oleh pembantu rumah asing yang barangkali pernah terlibat dalam gejala sosial dan jenayah yang serius semasa di tanah air sendiri? Bayangkanlah risiko yang telah diambil oleh ibu bapa atau penjaga dalam usaha untuk mencari sesuap rezeki dan seteguk kehidupan saban hari di buana kehidupan yang serba mencabar ini.

Kesimpulan

Sememangnya tidak boleh kita nafikan, dalam sesetengah kes khususnya dalam konteks kehidupan golongan anak-anak dan remaja, tingkah laku ibu bapa atau penjaga turut berperanan besar mempengaruhi watak dan perwatakan anak-anak. Namun begitu, terdapat juga kes-kes sosial dan jenayah juvana yang membabitkan anak-anak, khususnya golongan remaja yang akar masalah sebenarnya bukan kerana tingkah laku atau keturunan ibu bapa atau penjaga sebaliknya barangkali benar berpunca daripada kurangnya kasih sayang dan pemantauan ibu bapa, guru dan masyarakat di sekelilingnya di samping pengaruh akrab dan intim dunia media massa pada era dunia tanpa sempadan ini seperti Internet, selain faktor pengaruh rakan sebaya dan ketirisan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan agama atau moral, nilai budaya, siviks dan ketatanegaraan dalam kehidupan masyarakat moden pada hari ini.

(Pertama kali terbit dalam majalah Dewan Siswa DBP Jun 2010)