Thursday, August 19, 2010

Ke mana perginya adab sopan dan budi bahasa?

Ke mana perginya adab sopan dan budi bahasa?

Oleh Datuk Johan Jaafar

SAYA dan beberapa orang teman sedang makan sambil berbual-bual di sebuah bilik restoran Cina. Apabila pintu terkuak lebar, dua orang lelaki dan seorang wanita berdiri di tengah pintu. Mereka tersalah tempat. Tanpa mengucapkan maaf kerana mengganggu, mereka bergegas ke tempat lain. Ini perkara yang kecil. Namun demikian, senario ini menggambarkan sikap dan nilai baharu yang melanda rakyat kita. Kita sudah hilang budi bahasa dan rasa hormat pada orang lain. Ucapan semudah ‘maaf’ dan ‘terima kasih’ semakin sukar diucapkan. Perkara mudah yang dapat menunjukkan kita sebagai manusia bersopan sudah semakin hilang.

Mungkin kita hidup dalam dunia yang lain. Ini dunia serba cepat yang menjadikan kita mudah hilang sabar. Kita tidak sabar di jalan raya, menunggu lampu isyarat bertukar atau sewaktu berbaris. Kita menjadi stres kerana hal-hal yang paling kecil. Kita hanya memikirkan diri kita sendiri ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Apakah jenis manusia yang kita lahirkan hari ini? Apakah nilai-nilai murni bersama (shared values) sudah pupus? Apakah kepatuhan pada nilai-nilai dalam masyarakat sudah luntur? Apakah kita sudah menjadi manusia yang diubah oleh zaman, keperluan dan desakan semasa?

Terlalu banyak insiden di hadapan kita yang mengarah kepada kebobrokan nilai dalam masyarakat. Dalam usaha untuk membina tamadun, soal yang membabitkan akhlak dan moral tidak boleh diperkecil. Masyarakat yang hilang adab dan akal budinya tidak akan membawa banyak makna sekalipun masyarakat itu berjaya dan maju. Kita selalu mengatakan bahawa kita mahu maju menggunakan kayu ukur kita sendiri. Kita meletakkan penanda aras sesuai dengan budaya dan agama yang kita pegang. Sistem nilai kita berbeza dengan Barat. Kita tidak boleh menggunakan kayu ukur Barat untuk menentukan tahap kejayaan dan kemajuan kita. Pada waktu yang sama, kita tidak boleh menggunakan skala ukuran orang lain untuk menentukan nilai kita sendiri.

Kita harus bersedia menghadapi cabaran-cabaran semasa untuk mencapai kejayaan. Kita harus kreatif, inovatif, berdaya saing, berjiwa besar dan punya semangat juang. Namun, kita juga harus menggunakan landas budaya dan agama dalam mencorakkan laluan pacuan kita. Kita tidak boleh berjaya dengan apa-apa cara sekalipun. Kita tidak boleh menghalalkan apa-apa sahaja cara untuk memastikan kita mencapai apa-apa yang kita hajatkan. Ambil sahaja kebebasan. Kita sepatutnya menghargai kebebasan. Mana-mana negara yang mengekang kebebasan bersuara dalam era teknologi maklumat (ICT) hari ini sebenarnya membuat tindakan bebal. ICT mengubah segala-galanya. Maklumat datang bagai tsunami. Tidak ada kuasa yang dapat membendung arus pengaliran maklumat dan ilmu di alam siber. Namun, janganlah pula kebebasan itu disalahgunakan. Internet hari ini menjadi saluran kebencian, menghasut dan menghina orang lain. Kebebasan yang disalahgunakan tidak akan membawa makna dalam usaha kita untuk melahirkan masyarakat yang secara psikologinya bebas, yang mindanya terbuka dan jiwanya besar.


Sebaliknya, kebebasan yang disalahgunakan menjadi penghalang kepada usaha untuk melahirkan masyarakat terbuka dan sivil seperti yang kita mahukan.

Lihat sahajalah apa-apa yang tertulis di dalam sebahagian daripada blog, juga bahan yang tertera di dunia siber. Begitu terasa sekali nada benci dan marah serta rasa dendam dan kecewa. Terlalu kental udara kebencian di dalamnya. Sebahagian daripada mereka tidak dapat membezakan fakta dengan kenyataan, antara andaian dengan persepsi serta antara khabar angin dengan berita yang benar. Orang begitu percaya dengan apa-apa yang dibaca hinggakan mereka menganggap kebohongan, fitnah dan khabar angin sebagai benar.

Tidak ada salahnya kita menjadi kritikal. Malah, teguran penting bagi kita. Rakyat yang tinggal bungkem dan takut menyatakan pendirian tidak banyak gunanya kepada negara. Tiada sesiapa yang menolak kritikal positif dan membina mahupun sepedas mana. Namun, dunia siber menjadi dunia koboi yang tidak ada undang-undang. Apa-apa sahaja dibolehkan. Kebebasan bersuara menjadi lesen untuk membangkitkan kebencian serta membuat hasutan. Malah, ada yang sampai menghina institusi yang selama ini kita junjung. Ada usaha untuk meruntuhkan apa-apa yang telah kita setujui dalam Perlembagaan. Kita harus kembali ke asal. Kita harus menjunjung tradisi murni yang diguna pakai dalam tamadun terbaik Islam, Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kita harus meletakkan akal budi pada tahapnya yang betul. Kita harus kembali mencari jawaban pada keadaan kritikal yang melanda masyarakat kita hari ini - di mana adab dan susila tidak lagi dipedulikan.

Kita masih belum terlambat. Teras sistem pendidikan kita harus dikaji semula. Pelajar yang berdisiplin di sekolah tidak boleh serta merta menjadi anak muda marah-marah di jalan raya dan di tempat awam. Kongkongan disiplin yang kuat tidak boleh serta merta terungkai apabila anak-anak kita keluar sekolah. Kita tidak boleh melahirkan anak-anak yang menghormati ibu bapa di rumah tetapi menjadi makhluk berbahaya di luar rumah. Kita tidak mahu memungkinkan keadaan orang yang warak di surau menjadi agresif dan penuh kebencian di tempat lain. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasti menyedari masalah ini apabila beliau merangka teras 1Malaysia.

Lapan teras yang dijadikan oleh beliau sebagai gagasan 1 Malaysia itu antara lain menggariskan rasa rendah diri, ketabahan, integriti dan kesetiaan. Hal-hal ini selalunya diambil mudah oleh generasi hari ini. Kejayaan teknologi dan kebendaan sahaja tidak ada maknanya sekiranya hal ini tidak didukung oleh nilai-nilai utama dalam mencorakkan keperibadian kita. Marilah kita bermula dengan kembali membentuk masyarakat yang hormat-menghormati antara satu sama lain. Kita tidak boleh melahirkan individu yang tamak dan kurang ajar. Kita harus menolak lahirnya manusia yang tidak ada sedikit pun rasa hormat pada orang lain.

Jenis manusia seperti ini boleh berjaya. Malah mungkin boleh mencapai kedudukan tinggi dalam hirarki politik. Di mana-mana pun sistem politik di dunia, boleh wujud mereka yang naik dengan cara yang tidak beretika. Malah, istilah ‘warlords’ mulai digunakan bagi menunjukkan cara pimpinan politik akan menggunakan kuasa wang dan kedudukan untuk berjaya. Di Lok Sabha atau Dewan Rakyat di India, dikatakan 128 orang daripada 543 ahlinya pernah menghadapi tuduhan jenayah, daripada jumlah itu 84 pernah didakwa kerana kesalahan membunuh, 17 merompak dan 28 yang terbabit dalam kes kecurian serta 8 kerana kes peras ugut. Seorang ahli Parlimen mempunyai 17 kes membunuh yang berasingan.


Bayangkan kualiti badan pembuat dasar sekiranya hal itu berlaku. Maka itu, kita perlukan integriti dalam semua sistem kita, termasuk politik. Semuanya harus bermula dengan sikap kita terhadap adab sopan. Orang yang tidak tahu mengucapkan kata-kata semudah ‘maaf’ dan ‘terima kasih’ tidak layak untuk dipertaruhkan harapan kita untuk masa depan. – Datuk Johan Jaafar

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090419015804/Article/index_html