Showing posts with label pengajaran bahasa. Show all posts
Showing posts with label pengajaran bahasa. Show all posts

Thursday, September 9, 2010

Kajian Tindakan

Kajian Tindakan

Konsep Umum Kajian Tindakan

Pelopor kajian tindakan di bilik darjah di United Kingdom, Elliott dan Adelman (1976) berpendapat kajian tindakan ialah satu pendekatan penyelidikan yang berusaha untuk meningkatkan mutu profesionalisme guru dengan cara menyelidik situasi sosial di sekolah. Tujuan penyelidikan itu adalah untuk membaiki kualiti amalan guru.

Elliott (1981) mengatakan bahawa, “kajian tindakan ialah rangka untuk penilaian kendiri di sekolah dan pendekatan dalam kajian tindakan yang mementingkan refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk membaiki atau mengubah amalan kendiri dalam sesuatu situasi sosial”. Carr dan Kemmis (1986) juga menyatakan bahawa kajian tindakan ialah satu bentuk refleksi kendiri melalui aktiviti inkuiri untuk membaiki dan memahami amalan dan situasi sosial. Kenyataan mereka:
“Action research is a form of self-reflective inquiry undertaken by participants (teachers, students or principals, for example) in social (including education) situation in order to improve the rationality and justice of their social or educational practice; their understanding of these practices; and the situation (and institution) in which these practices are carried out.”

Mc. Niff (1998) menerangkan bahawa kajian tindakan ialah satu pendekatan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan menjadi bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Menurut beliau, pendekatan ini melibatkan guru melaksanakan inkuirinya sendiri serta melibatkan guru-guru lain secara kolaboratif (usaha sama) sewaktu mengadakan kajian. Beliau merumuskan konsep kajian tindakan dengan mengatakan bahawa:
“Action research implies adopting a deliberate openness to new experiences and processes, and, as such, demands that the action of educational research is it self educational. By consciously engaging in their own educational development, teachers gain both professionally and personally, and it is this personal commitment that counts the process of human inquiry.”

Lomax (1994) menegaskan kajian tindakan ialah penyelidikan pendidikan (educational research) yang berbeza dengan penyelidikan dalam pendidikan (research in education).

Guru-Guru Perlu Menjalankan Kajian Tindakan
Guru-guru perlu menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan yang dijalankan dapat mengenal pasti atau mengesan kelemahan pelajar dan guru perlulah memikirkan cara-cara yang sesuai untuk mengatasi kelemahan tersebut mengikut kesesuaian pelajar di dalam sesuatu kelas. Hal ini terbukti melalui kajian tindakan yang telah dijalankan di beberapa buah negara maju akhirnya berjaya meningkatkan pencapaian pelajar masing-masing.

Seperti yang telah diterangkan tadi, kajian tindakan ialah kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti atau mengesan punca-punca masalah dan mencari langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Jika masalah tersebut masih tidak dapat diatasi, kajian semula harus dilakukan untuk mencuba langkah lain yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah itu. Dengan perkataan lain, guru-guru perlulah reflektif, kreatif dan proaktif bagi merawat masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajarnya dengan berkesan.

Dalam hal ini guru-guru sepatutnya menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing atau di sekolah masing-masing untuk mengatasi kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Kelemahan-kelemahan dan masalah pelajar tersebut perlu ditangani oleh guru itu sendiri dan sepatutnya guru itu perlu mencari cara yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Hal ini demikian kerana, guru-guru yang mengajar di dalam sesebuah kelas itu sendiri yang memahami kelemahan murid-muridnya. Oleh itu, guru tersebut perlu mencuba langkah-langkah yang difikirkan sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid di dalam kelasnya sendiri.

Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah guru-guru itu sendiri perlu membuat muhasabah diri (cermin diri) dan mengkaji kelemahan dirinya sendiri yang mungkin menjadi punca kelemahan dan masalah murid-muridnya. Perkara ini selalunya tidak disedari oleh guru-guru yang mengajar murid-muridnya di dalam kelas. Ada juga guru yang menganggap dirinya sudah sempurna dan tiada kelemahan langsung hingga menyebabkan guru tersebut tidak dapat menerima kritikan atau komen daripada murid-muridnya, pandangan rakan-rakan sejawatan ataupun pihak lain yang memberikan teguran. Sepatutnya guru-guru perlu bersikap terbuka dan sanggup menerima kritikan demi kebaikan dirinya untuk membaiki kelemahan yang ada. Dengan kata lain, kajian tindakan ini juga boleh digunakan untuk mengkaji kelemahan diri, seterusnya memikirkan cara untuk membaiki kelemahan tersebut dan akhirnya akan dapat meningkatkan prestasi pengajaran guru-guru di dalam kelas.

Kaedah Kajian Tindakan
Kaedah yang digunakan dalam kajian tindakan tidaklah terlalu rumit, kerana yang pentingnya ialah hasil atau dapatan yang hendak diperoleh. Kaedah untuk mendapatkan data atau maklumat perlulah mudah dan tidak kompleks untuk mengenal pasti masalah murid-murid. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan tidak sama dengan kajian konvensional yang memerlukan kaedah kajian yang lebih lengkap dan rumit. Sampelnya pun tidak memerlukan angka atau bilangan yang besar kerana masalahnya pun tidak sama antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain dan antara satu kelas dengan kelas yang lain. Kebiasaannya, kajian tindakan ini bermula dengan refleksi pengajaran yang lepas. Oleh hal yang demikian, kita perlu meneliti refleksi yang ditulis dalam buku rekod mengajar dan juga perkara yang kita alami semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Kaedah menganalisis data dalam kajian tindakan juga tidak memerlukan analisis yang rumit atau mengikut analisis data bagi penyelidikan yang konvensional, tetapi cukup setakat menggunakan kaporan pemerhatian, peratus atau bilangan sahaja. Perkara yang perlu diberikan penekanan untuk menganalisis data ini ialah perubahan yang berlaku terhadap pelajar-pelajar itu yang biasanya dilihat dari sudut perubahan tingkah laku ataupun perubahan dari segi markah yang diperoleh oleh pelajar-pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana, sampel kajian tindakan ini tidak besar dan yang pentingnya ialah dapatan yang diperoleh hasil analisis data tersebut. Oleh hal yang demikian, analisis data kajian tindakan juga kebiasaannya melibatkan kaedah kualitatif di samping kaedah yang biasa digunakan iaitu kaedah kuantitatif. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan kajian tindakan selalunya melibatkan aspek yang berkaitan dengan sikap, tingkah laku atau tabiat yang sukar diukur dengan nombor.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim


Perkongsian Pengalaman tentang Kajian Tindakan 2009


Saya telah diminta oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sepang (Sektor Pengurusan Akademik iaitu Puan Siti Aishah, untuk berkongsi pengalaman tentang Kajian Tindakan dengan guru-guru di daerah ini. Beliau telah menyusun jadual untuk saya berkongsi pengalaman dan menyampaikan kaedah untuk menjalankan kajian kepada guru-guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 2, Sejarah Tingkatan 2 dan Pendidikan Islam. Jadual yang ditetapkan adalah seperti yang berikut:

1. Guru-guru sejarah Tingkatan 2 – 16 Julai 2009, di SMK. Seri Sepang.

2. Guru-guru Geografi Tingkatan 2 – 23 Julai 2009, di SMK. Pantai Sepang Putera.

3. Guru-guru Pendidikan Islam – 5 Ogos 2009, di PKG Salak.

Antara objektif kursus Kajian Tindakan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada guru-guru untuk menjalankan kajian ini di sekolah masing-masing. Pihak PPD Sepang juga berharap agar Kajian Tindakan ini dijadikan budaya oleh guru-guru di daerah ini. Hal ini demikian kerana pada masa ini, Kajian Tindakan menjadi semakin penting untuk meningkatkan profesionalisme guru. Di samping itu, hasil kajian itu juga nanti boleh dipertandingkan di peringkat daerah, terutamanya untuk memilih guru inovatif setiap tahun. Hasil kajian itu juga boleh dikongsi oleh guru-guru lain di daerah ini. Kajian Tindakan turut menjadi syarat untuk memohon jawatan Guru Cemerlang. Selepas dilantik menjadi Guru Cemerlang pula, mereka perlu meneruskannya dan menjadikan amalan atau budaya di sekolah. Oleh itu budaya menjalankan kajian ini memang perlu digalakkan dalam kalangan guru pada masa ini.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Kaedah Pengajaran Murid Sederhana dan Lemah

Kaedah Pengajaran Murid Sederhana dan Lemah

Kaedah Pengajaran Murid Berpencapaian Sederhana, Lemah, GALUS, atau GARUK
(Untuk rakan-rakan guru Bahasa Melayu terutamanya guru-guru SMKBBST)
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim


Pengenalan

Memang sudah menjadi lumrah alam bahawa murid-murid yang kita ajar mempunyai tahap pencapaian yang berbeza-beza. Ada yang cepat faham akan isi kandungan pelajaran yang diajarkan oleh guru, namun ada juga yang lambat untuk memahami isi pengajaran yang diajarkan oleh guru. Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai cara atau kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar murid sama ada yang cerdik dan pintar ataupun yang sederhana ataupun lemah. Penulis cuma akan menyentuh cara atau kaedah untuk mengajar murid yang sederhana dan lemah sahaja dalam perbincangan kali ini. Kaedah yang digunakan perlu dipelbagaikan kerana kelemahan murid pun berbeza-beza. Perkara yang sudah pasti ialah pelajar yang lemah juga, tidak menguasai kemahiran bahasa yang baik dan sering dikaitkan dengan masalah disiplin. Sering kali juga kita mendengar bahawa guru-guru akan melabel murid-murid tersebut dengan berbagai-bagai label atau panggilan yang negatif. Perkara ini perlulah dielakkan jika kita benar-benar hendak membantu murid yang lemah ini.

Cabaran dan Tanggungjawab Guru

Oleh hal yang demikian, cabaran yang terpaksa dihadapi oleh guru yang mengajar murid kelas lemah berbanding dengan kelas pandai adalah lebih hebat. Namun demikian, jadikan cabaran itu sebagai peluang untuk berbakti kepada anak bangsa. Selain itu apabila kita mengajar murid lemah, otak kita sentiasa bergerak cergas kerana kita memaksanya berfikir untuk mencari kaedah yang menarik dan sesuai untuk menangani pelbagai masalah di dalam kelas murid lemah ini.

Satu aspek yang paling penting dan perlu diberikan penekanan ialah kemahiran dalam kawalan kelas. Guru perlu mengawal kelas agar disiplin murid di dalam kelas murid lemah itu terkawal. Selain itu, terangkan kepada mereka sebab atau faktor yang menyebabkan guru mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana murid yang tidak mendengar arahan guru. Terangkan kepada murid, bahawa kita hidup memang dikawal oleh peraturan. Tidak kira kita berada di mana pun, sudah pasti ada peraturan atau undang-undang yang perlu dipatuhi. Di jalan raya, kita perlu mengikut peraturan, malahan di rumah pun ada peraturan yang perlu dipatuhi. Jadi, ketika berada di dalam kelas sudah tentu murid-murid perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh guru dan pihak sekolah.

Apabila kelas sudah dapat dikawal, barulah guru memulakan pelajaran. Biasanya bagi kelas murid lemah ini, guru-guru perlu menggunakan silibus minimum kerana tahap pencapaian mereka memang rendah. Jika mereka menguasai silibus minimum ini pun sudah bolehlah dibanggakan, kerana mereka kurang bermotivasi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi seperti murid-murid pintar yang lain. Namun begitu kita perlu memotivasikan mereka dengan memberikan peluang, harapan dan mereka juga perlulah berfikir secara positif. Elakkan sikap merendah-rendahkan kebolehan atau pencapaian mereka kerana perkara itu akan mematikan semangat mereka dan yang lebih buruk lagi akan menyebabkan mereka benci kepada guru dan mata pelajaran yang diajarkan oleh guru itu.

Sebagai guru, kita perlu menekankan pembelajaran yang berkesan di dalam kelas. Pengajaran yang berkesan merupakan pengajaran yang membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan, sikap dan objektif yang telah ditetapkan. Pakar-pakar pendidikan juga mengatakan bahawa pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang menarik. Pengajaran berkesan atau efektif juga sebenarnya merupakan pengajaran yang digemari oleh pelajar. Oleh hal yang demikian, pengajaran yang efektif dapat ditakrifkan sebagai suatu aktiviti yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baharu. Menurut Wan Zah Wan Ali (2000), guru yang efektif mempunyai sikap yang adil dan tidak pilih kasih, bertimbang rasa, baik hati, bertanggungjawab, suka menolong individu yang lain, banyak bersabar dalam melayani kerenah pelajar, tenang, dan stabil emosinya.

Guru juga perlu mengamalkan sikap peramah dan mudah didekati. Dengan cara yang demikian, pelajar tidak akan berasa takut untuk bertanya soalan atau berkomunikasi dengan guru. Seterusnya, guru perlulah memberikan pujian walaupun jawapan mereka kurang tepat dan jangan sekali-kali menghina atau memandang rendah terhadap mereka walaupun jawapan yang diberikan oleh mereka itu tidak tepat atau salah. Perkara ini akan memberikan keyakinan kepada mereka untuk menjawab soalan yang lain pada masa akan datang. Hal ini juga akan menimbulkan tanggapan positif pelajar terhadap guru. Pelajar akan menganggap guru mudah dihampiri dan guru juga perlulah menyelitkan unsur humor atau jenaka di dalam kelas agar tidak membosankan murid. Perkara ini penting kerana mereka berasa selesa, tertarik dan lebih yakin untuk belajar dalam keadaan yang sedemikian. Guru juga seharusnya mempunyai personaliti dinamik, iaitu menarik, aktif, dan bersungguh-sungguh semasa mengajar murid. Selain itu, guru juga perlu memberikan contoh teladan yang baik serta memakai pakaian yang kemas dan sesuai untuk menggambarkan imej sebagai seorang pendidik yang cemerlang.

Kajian Tindakan

Guru-guru seharusnya menjalankan kajian tindakan di dalam kelas. Kajian tindakan perlu dijalankan kerana guru dapat mengenal pasti kelemahan murid di dalam kelasnya sendiri dan cuba untuk membimbing atau merawatmurid-murid yang lemah. Sudah tentu guru-guru yang mengajar murid-murid di dalam kelasnya sendiri yang mengetahui kelemahan yang dihadapi oleh murid-muridnya. Oleh hal yang demikian, guru-guru perlulah mencari cara atau teknik yang sesuai untuk mengatasi kelemahan murid-muridnya itu. Sekurang-kurangnya guru perlu memikirkan cara atau teknik untuk membantu murid-muridnya dalam mata pelajaran yang diajarnya itu. Sekiranya cara atau teknik yang digunakan itu kurang berkesan untuk mengatasi kelemahan muridnya itu, maka guru bolehlah mencuba cara atau teknik yang lain. Guru-guru boleh berbincang dengan rakan-rakan sejawatan untuk mencari cara dan teknik yang berkesan itu. Perkara yang lebih penting ialah semangat guru itu untuk mencari cara atau teknik yang berkesan perlulah diberikan pujian dan mereka tidak seharusnya mudah berputus asa jika gagal buat kali pertama. Guru perlu mencuba pelbagai cara atau teknik, walaupun beberapa kali sehinggalah bertemu dengan cara atau kaedah yang berkesan.
Guru boleh bertanya kepada murid-murid dan berbincang dengan mereka tentang cara-cara atau teknik-teknik yang disukai oleh mereka semasa di dalam kelas. Guru bolehlah menggunakan cara yang disukai oleh murid agar pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Selain itu guru boleh mendapatkan pandangan murid tentang cara yang digunakan oleh guru sebelum ini, sama ada cara itu membosankan atau menarik perhatian mereka. Jika jawapannya negatif, guru harus mengubah teknik tersebut. Guru juga perlu mendapatkan komen atau pandangan murid tentang perkara-perkara yang tidak disukai oleh mereka terhadap guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Selain secara lisan, guru juga boleh mengedarkan soal selidik yang ringkas ataupun murid-murid menulis sebarang komen tentang cara guru mengajar murid.

Teknik Pengajaran yang Berkesan

Guru-guru seharusnya peka dengan tuntutan Kementerian Pelajaran yang mahu kaedah pengajaran guru mestilah berpusatkan pelajar dan tidak berpusatkan guru. Dengan menggunakan kaedah tersebut, sudah tentu kaedah pengajaran mesti menarik perhatian mereka. Tambahan pula murid-murid yang lemah ini lebih berminat terhadap pengajaran guru jika mereka dilibatkan sama dengan aktiviti yang disukai oleh mereka. Murid-murid tersebut hendaklah diberikan aktiviti yang berbentuk "hands on" dan perkara ini tidak membosankan mereka. Untuk menarik perhatian murid, guru-guru perlulah menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan bahan bantu belajar (BBB). Oleh yang demikian sudah tentulah memerlukan BBB yang digunakan untuk menarik perhatian murid selain faktor guru yang mesra dan tidak terlalu serius semasa pengajaran dan pembelajaran. Pakar-pakar dalam bidang pendidikan juga sering mengaitkan bahawa pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang menarik.

Dalam mengendalikan kelas yang lemah dan bermasalah ini, guru perlulah bersikap tegas terhadap murid tetapi bukannya garang. Hal ini demikian kerana, murid-murid perlu diberikan penerangan tentang sebab-sebab guru perlu bertindak dengan tegas semasa pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Oleh itu guru-guru perlu mendampingi murid-murid dan bimbinglah mereka kerana mereka sebenarnya memerlukan bimbingan. Selain itu guru juga tidak seharusnya bersikap prejudis dan pilih kasih semasa mengajar murid di dalam kelas. Hal ini demikian kerana murid-murid tidak suka akan guru-guru yang bersikap sedemikian. Oleh itu guru-guru perlu menghormati murid-muridnya dan insyaallah, murid-murid juga akan hormat kepada guru. Perkara ini sudah menjadi lumrah iaitu murid-murid ini juga manusia biasa dan perlu dihormati untuk meningkatkan harga diri mereka. Biasanya murid-murid yang selalunya biadap terhadap guru juga akan tunduk kepada guru yang menghormati mereka dan meningkatkan harga diri mereka.

Guru-guru perlulah memberikan harapan dan sokongan moral kepada pelajar untuk berjaya atau lulus dalam peperiksaan. Selalu ingatkan mereka agar berfikir secara positif dan yakinkan mereka bahawa mereka boleh lulus dalam peperiksaan tetapi mestilah diikuti dengan usaha gigih dan berterusan tanpa mengenal putus asa. Guru-guru hendaklah selalu memberikan pujian dan kata-kata semangat terhadap murid sebagai dorongan untuk mereka belajar dan lulus dalam peperiksaan. Selain itu cari perkara disukai oleh mereka dalam pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya ada murid yang pandai melukis, minta mereka melukis perkara yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari itu di dalam kelas.

Guru-guru juga harus kreatif dan mencipta kaedah sendiri yang berkesan dan biasanya berbentuk formula yang memudahkan murid mengingat sesuatu fakta. Sebagai contohnya, gunakan formula ”IniKah Cinta” (Isi, Kesan dan Contoh) untuk menghurai isi karangan dalam satu perenggan. Selain itu, guru-guru perlu memberi latihan kepada murid mengikut tahap dan kemampuan mereka. Beri latihan yang mudah kepada pelajar lemah atau permudahkan latihan itu dengan memberikan latihan terarah atau mengisi tempat kosong. Di samping itu guru-guru juga perlu melatih pelajar untuk membuat pembetulan terhadap kesalahan yang dilakukan dan guru perlu menyemak latihan murid dengan teliti. Pastikan murid membuat pembetulan bagi setiap kesalahan yang ditandakan. Seterusnya langkah yang akhir ialah teknik latih tubi atau teknik hafalan perlulah dilakukan dan kalau perlu lengkapkan murid dengan fakta-fakta penting yang mungkin ditanya dalam peperiksaan. Hal ini boleh membantu mereka sekurang-kurangnya untuk lulus dalam peperiksaan.

Penutup

Kesimpulannya, guru-guru yang mengajar murid-murid yang lemah memang berhadapan dengan cabaran yang hebat. Oleh hal yang demikian, guru-guru perlulah bersemangat dan bermotivasi tinggi semasa berada di dalam kelas untuk menggalakkan murid-murid bersemangat dan bermotivasi semasa belajar. Selain itu elakkan sikap mengajar murid cuma setakat menjalankan tugas semata-mata. Dengan perkataan lain, guru-guru mesti memiliki komitmen yang tinggi terhadap murid dan sanggup membuat kerja lebih demi membantu murid. Di samping itu, anggaplah masalah yang dihadapi di dalam kelas itu sebagai cabaran dan peluang untuk memberikan sumbangan dan bukannya masalah atau halangan. Jangan lupa bahawakerja itu juga sebagai ibadah dengan syarat kerja itu dilakukan denganikhlas dan bersungguh-sungguh. Perlu diingat bahawa mendidik murid juga merupakan satu perjuangan, sama seperti berjuang di medan jihad. Diharapkan usaha kita diberkati dan mendapat hasil seperti yang diharapkan iaitu untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang mengikut kemampuan masing-masing.
Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, September 3, 2010

PENULISAN CERPEN.

PENULISAN CERPEN.

Karangan Respons Terbuka
Dimensi : Komsas
Jenis : Penulisan Cerpen.

Langkah-langkah sistematik untuk menulis cerpen dengan baik dijelaskan dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4. Sila rujuk kepada Tema 6 iaitu Riadah. Pada subtema iaitu bahagian 3 ( Hobi dan cabarannya ): Hal 149-153, diterangkan dengan terperinci proses penulisan cerpen iaitu :

A. Persediaan Sebelum Menulis Cerpen
- Mengenal pasti format cerpen
- Menganalisis format cerpen
- Mencari dan mendapatkan isi cerpen
- Merangka isi cerpen

B. Merangka isi Cerpen
- Membentuk watak dan perwatakan
- Membentuk latar cerpen
- Membentuk plot cerpen
- Membentuk dialog cerpen

C. Menulis draf cerpen

D. Memurnikan draf cerpen
- Menyemak isi draf
- Menyunting draf cerpen

Di dalamnya juga dijelaskan perkara-perkara berikut :
- Apakah cerpen
- Mengenal pasti struktur cerpen
- Menghuraikan perwatakan cerpen
- Menyatakan unsur cerpen
- pengaruh pancaindera dalam penulisan cerpen
- Plot cerpen
- Senarai semak penyuntingan cerpen
- Senarai semak isi cerpen

Buku teks Bahasa Melayu menjadi satu panduan yang cukup lengkap untuk menjadi panduan kepada pelajar dan guru pada peringkat SPM. Disarankan pelajar sentiasa merujuk kepada buku teks untuk memperoleh panduan bagi mempelajari Bahasa Melayu. Rakan guru digalakkan merujuk kepada Buku Panduan Guru yang disediakan untuk merangka aktiviti dalam proses P&P dalam kelas. Jangan terlalu bergantung kepada buku rujukan dan buku kerja yang anda sendiri tidak pasti kesahihan maklumatnya. Kita bertanggungjawab terhadap setiap kata-kata yang dikeluarkan daripada mulut kita ketika mengendalikan proses p&P di dalam bilik darjah. Bertanyalah kepada rakan guru yang lebih berpengalaman untuk mendapatkan maklumat berkaitan suatu perkara.

"BAHASA JIWA BANGSA"- Bersama Memartabatkan Bahasa Melayu di Malaysia.

Tips Penulisan Karangan Galus SPM: Ayat Nafi

Tips Penulisan Karangan Galus SPM: Ayat Nafi



Ayat nafi ialah ayat transformasi yang dalamnya terdapat kata nafi. Kata nafi yang dimaksudkan ialah bukan dan tidak. Dalam bahasa harian, atau bahasa basahan, yakni bahasa yang tidak baku, kata nafi tidak disebut juga sebagai tak.

Kata nafi bukan digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa nama menjadi predikatnya. Empat ayat yang berikut ini bukan ayat nafi melainkan ayat tunggal dengan binaan konstituennya bersusunan biasa, iaitu frasa subjek mendahului frasa predikat. Perhatilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Itu kenderaan.
2. Kenderaan itu feri.
3. Beliau Hamuni.
4. Orang muda itu pengarah.

Dalam ayat (1) hingga (4), itu, kenderaan itu, beliau, dan orang muda itu ialah subjek. Kesemuanya frasa nama belaka. Itu ialah kata ganti nama tunjuk, kenderaan kata nama am, beliau kata ganti nama diri ketiga tunggal, dan orang muda itu ialah frasa nama dengan orang sebagai inti sementara muda kata penerang yang diikuti pula oleh kata penentu itu. Kenderaan (ayat 1), feri (ayat 2), Hamuni (ayat 3), dan pengarah (ayat 4) ialah predikat. Kesemua predikat ayat-ayat tersebut terdiri daripada frasa nama belaka.

Ayat-ayat (1) – (4) dapat dijadikan ayat nafi dengan cara menyisipkan kata nafi bukan di hadapan unsur predikat. Lihatlah ayat (5) – (8) yang berikut ini:

5 . Itu / bukan kenderaan.
6. Kenderaan itu / bukan feri.
7. Beliau / bukan Hamuni.
8. Orang itu / bukan pengarah.

Kata nafi tidak pula digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa adjektif atau frasa kerja bertugas sebagi predikat ayat. Contohnya:

9. Wajahnya / tidak cantik.
10. Pelajar itu / tidak takut.
11. Murid sekolah / tidak berjalan.
12. Lim / tidak membaca puisi.

Dalam ayat (9) dan (10), kata nafi tidak mendahului kata adjektif cantik dan takut, manakala dalam ayat (10) dan (11), kata kerja berjalan dan membaca puisi didahului oleh kata nafi tidak.
Kata nafi bukan atau tidak dapat juga digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa sendi menjadi predikat menurut kesesuaiannya. Misalnya:

13. Ismail bukan dari Kelantan.
14. Bingkisan ini bukan untuk Wati.
15. Marang bukan di negeri Pahang.
16. Mereka tidak di sini.
17. Selina tidak di pejabat.

Harus diingat bahawa kata nafi tidak tidak boleh digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa nama menjadi predikat ayat. Hal ini dapat dilihat daripada ayat contoh yang berikut:

18. * Dia tidak polis.
(seharusnya: Dia bukan polis.)
19. *Binatang itu tidak musang.
(seharusnya: Binatang itu bukan musang.)

Kata nafi bukan pula tidak boleh digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa adjektif atau frasa kerja menjadi predikatnya. Misalnya:

20. *Peti itu bukan berat.
(seharusnya: Peti itu tidak berat.)
21. *Umi bukan makan.
(seharusnya: Umi tidak makan.)
22. * Murid itu bukan menulis karangan.
(seharusnya: Murid itu tidak menulis karangan.)

Kata nafi bukan digunakan untuk frasa-frasa yang lain daripada frasa nama hanya jika maksudnya adalah untuk menekankan pertentangan secara lebih jelas. Contohnya:

23. Dia bukan takut, tetapi pemalu.
24. Ayah bukan makan, tetapi minum.
25. Dia bukan membantah, tetapi memberikan saranan.

Demikian huraian ringkas tentang pembentukan ayat nafi Bahasa Melayu.

TIPS & LATIHAN: KAEDAH MUDAH INGAT MENULIS KARANGAN BAHASA MELAYU SPM

TIPS & LATIHAN: KAEDAH MUDAH INGAT MENULIS KARANGAN BAHASA MELAYU SPM


SOALAN

Setiap individu ingin berjaya dalam bidang akademik. Sebagai seorang pelajar yang prihatin, anda sentiasa menanamkan harapan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Jelaskan persiapan-persiapan yang perlu anda lakukan untuk meningkatkan pencapaian anda dalam bidang akademik.



BIL

PERENGGAN

ISI / HURAIAN / CONTOH

UNGKAPAN MENARIK

1

Pendahuluan

a) Apa

b) Mengapa

c) Penegasan

ü Definisi / suasana / pendapat / perbahasa / gabungan

a) Akademik atau pelajaran sangat penting untuk masa hadapan pelajar.

b) Jika seseorang itu berjaya dalam pelajaran dengan cemerlang, mereka boleh memilih kerjaya yang disukai. Sebagai contoh kerjaya sebagai seorang doktor, peguam, arkitek, saintis, guru dan lain-lain.

Para pelajar jugatidak perlu berasa risau untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana tawaran biasiswa sentiasa terbuka luas.

c) Oleh itu, terdapat pelbagai persiapan perlu dilakukan untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang akademik.

Ungkapan Menarik

Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek yang pipih tidak datang melayang.

2

Perenggan 1

a) Apa

b) Mengapa

c) Bagaimana

d) Penegasan

a) Pembelajaran dan pengajaran guru merupakan satu proses yang amat berguna kepada pelajar.

Guru biasanya akan mengajar tajuk-tajuk baharu yang pelajar masih belum mengetahuinya.

Jika pelajar lalai, leka, bersembang dan suka berkhayal, sudah pasti akan ketinggalan.

b) Pelajar hendaklah sentiasa mendengar dengan teliti setiap ilmu yang disampaikan oleh guru

Sebagai contoh, untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh guru, kita perlu mencatat nota mengenai fakta-fakta pelajaran berkenaan.

Dengan adanya nota, pelajar boleh merujuk semula jika terlupa.

c) Oleh itu, pelajar hendaklah memberikan tumpuan sepenuhnya semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pelajar juga tidak perlu malu untuk bertanya kepada guru tentang apa-apa yang tidak difahami.

Ungkapan Menarik

Bak kata pepatah usaha tangga kejayaan

3

Perenggan 2

a) Apa

b) Mengapa

c) Bagaimana

d) Penegasan

a) Pelajar hendaklah menguruskan masa dengan baik.

b) Jika setiap masa kita diisi dengan aktiviti berfaedah, bermakna kita telah menghargai masa.

c) Untuk mengurus masa dengan baik, pelajar perlu menyediakan jadual terutama semasa berada di rumah. Sebagai contoh, masa membantu ibu bapa, mengulang kaji pelajaran, beriadah, dan lain-lain perlu dimasukkan dalam jadual.

Jadual yang telah disusun sebaik-baiknya dipaparkan supaya mudah dilihat dan kita perlu mematuhi jadual yang telah dirancang.

d) Oleh itu, dengan adanya jadual, kita dapat mengurus masa dengan baik agar cemerlang dalam bidang akademik.

Ungkapan Menarik

Hanya jauhari mengenal manikam

Bak kata peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian …..

4

Perenggan 3

a) Apa

b) Mengapa

c) Bagaimana

d) Penegasan

a) Seterusnya ialah rajin membaca dan mengulang kaji pelajaran

b) Jika kita rajin membaca buku pelajaran, kita akan lebih mudah untuk mengingati ilmu yang diajarkan oleh guru.

Selain itu, budaya rajin membaca juga dapat diamalkan dengan berkesan.

c) Seseorang itu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh supaya berjaya dengan cemerlangdalam bidang akademik.

Sebagai contoh, kita boleh berkunjung ke pepustakaan untuk mendapatkan bahab-bahan bacaan dan membuat rujukan.

Kita juga perlu membuat nota-nota kecil dan ringkas .

Nota kecil mudah untuk dibawa ke mana sahaja dan membolehkan kita merujuk nota tersebut pada waktu lapang seperti waktu rehat.

d) Oleh itu, rajin membaca buku-buku pelajaran dan mengulangkaji pelajaran membantu pelajar untuk berjaya dalam bidang akademik.

Ungkapan Menarik

Bak kata pepatah membaca jambatan ilmu

Usaha tangga kejayaan

5

Perenggan 4

a) Apa

b) Mengapa

c) Bagaimana

d) Penegasan

a) Persiapan lain adalah dengan menyiapkan latihan dan kerja sekolah yang diberikan oleh guru.

b) Kita perlu menjauhi sikap negatif seperti suka bertangguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Ini kerana, sikap ini akan membentuk sifat malas dalam diri kita.

Namun begitu, apabila kita bersikap rajin dengan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, kita akan berasa seronok dan senang hati kerana guru tidak akan memarahi kita.

c) Kita perlulah menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh guru dengan segera.

Selain itu, pelajar juga perlu mengurangkan aktiviti menonton televisyen semasa berada di rumah kerana masa itu emas.

d) Oleh itu, sebagai seorang pelajar, kita hendaklah bersikap rajin untuk menyiapkan segala tugasan dan kerja sekolah yang diberikan oleh guru supaya kita boleh mencapai kejayaan.


6

Perenggan 5

a) Apa

b) Mengapa

c) Bagaimana

d) Penegasan

a) Jadikan ibu bapa sebagai pembimbing dan berkawanlah dengan rakan-rakan yang rajin belajar.

b) Rakan yang rajin belajar boleh mempengaruhi kita.

Rakan yang rajin belajar membolehkan kita bertukar-tukar buah fikiran.

Rakan sebaya mampu untuk memberikan tunjuk ajar.

Ibu bapa juga boleh memainkan peranan memberi tunjuk ajar kepada anak-anak untuk menyelesaikan masalah pelajaran contohnya dalam mempelajari matapelajaran seperti Matematik, Sains dan sebagainya.

c) Selain itu, kita juga boleh membentuk sebuah kumpulan belajar bersama rakan-rakan yang rajin menelaah pelajaran.

Dengan adanya kumpulan ini, kita akan lebih bersemangat untuk belajar dan bersaing secara positif sesama sendiri untuk meraih kejayaan dalam bidang akademik.

d) Oleh itu, jadikan ibu bapa dan rakan-rakan yang rajin sebagai pembimbing untuk berjaya.

Ungkapan Menarik

Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

7

Penutup

Harapan

Kesimpulannya, setiap pelajar boleh Berjaya dalam bidang akademik dengan cemerlang. Jika kita bersungguh-sungguh, pasti kita akan Berjaya. Bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing agar para pelajar beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka.


You might also like: