Showing posts with label panduan. Show all posts
Showing posts with label panduan. Show all posts

Sunday, September 12, 2010

Kebijaksaan Bermain dengan Kata dan Frasa dalam Karangan

Kebijaksaan Bermain dengan Kata dan Frasa dalam Karangan

Sebagai seorang pendidik, saya sentiasa berharap agar pelajar saya sukses dalam peperiksaan, terutamanya dalam aspek penulisan. Dalam kajian yang saya jalankan waima pengalaman sebagai guru, karangan pelajar biasanya sama dari segi isi penting. Sebagai contoh, jikalau ada soalan karangan yang meminta pelajar menulis karangan bertajuk langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya, maka berikut ialah isi yang biasanya ditulis:


Langkah mengurangkan kasar kemalangan.
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang lalu lintas
(b) Sekolah - Pendidikan tentang keselamatan lalu lintas disalurkan sejak kecil
(c) Pemandu - Memeriksa keadaan kenderaan secara berjadual atau berkala
(d) Media massa - Menjalankan kempen keselamatan di jalan raya
(e) Pihak Swasta - memperbaik keadaan lebuh raya dan menaik taraf jalan.


Daripada pengalaman saya juga, apabila menulis karangan yang berkaitan dengan masalah sosial, berikut ialah isi pentingnya.


Langkah Mengurangkan Gejala Sosial
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang juvana
(b) Sekolah - Pendidikan moral dan agama disalurkan sejak kecil
(c) Media massa - Menjalankan kempen bertema antigejala sosial
(d) Ibu bapa - Memberi perhatian dan kasih sayang
(e) Diri sendri - berdisiplin dan mempelihara kekukuhan jati diri.


Cuba anda bayangkan, dalam hampir setiap karangan di dalam satu kelas menulis isi yang sama (perkara biasa), malahan menulis huraian dan contoh sehingga kesimpulan isi yang sama juga. Oleh hal yang demikian, berikut ialah beberapa formula untuk mevariasikan karangan anda supaya menjadi lebih hidup dan bertenaga sehingga menarik perhatian pemeriksa untuk meneruskan pembacaan sehingga penutup karangan lalu memberikan markah yang memuaskan hati anda:


Isi penting dan contoh pewacanaan indah dan berkesan
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang juvana


Petikan isi contoh 1:
Dalam kerancakan penduduk jagatraya menari bersama bayang-bayang pemodenan, kerajaan diumpamakan jantung sesebuah negara. Kerajaan mestilah mengorak langkah proaktif untuk menguatkuasaan undang-undang juvana. Hal ini berlaku demikian kerana remaja yang umur baru setahun jagung dan darah baru setampuk pinang akan mudah tergelincir daripada landasan keimanan. Yang paling menyedihkan kerajaan ialah mereka alpa dan cuai dibawa arus globalisasi. Oleh hal yang demikian, penguatkuasaan undang-undang tersebut haruslah diikuti pelaksanaan yang efektif. Selain itu, inisiatif kerajaan menggubal rang undang-undang juvana juga dikatakan dapat memberi kesedaran kepada remaja bahawa mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika terlibat dalam jenayah dan gejala sosial yang berat. Saya percaya, mereka akan insaf dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.


Dalam petikan isi penting di atas, perkataan "kerancakan" dan "menari" adalah berkaitan antara satu sama yang lain. Daripada perspektif yang berbeza, frasatersebut (rujuk perkataan yang berwarna ungu) bermakna sibuk dalam menjalani kehidupan pada zaman moden.
Frasa "alpa dan cuai dibawa arus globalisasi" bermakna terlalu ghairah sehingga lupa bahawa mereka semakin lemas dalam peredaran zaman moden berteknologi tinggi ini.

Baiklah, lihat satu lagi isi contoh di bawah:



Petikan isi contoh 2:

(b) Sekolah - Pendidikan moral dan agama disalurkan sejak kecil

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pernah menegaskan bahawa sekolah merupakan kilang yang menghasilkan produk modal insan untuk menghadapi pasaran kerja yang mencabar. Oleh sebab itu, guru berperanan penting memastikan produk tersebut benar-benar berkualiti dan dapat memenuhi permintaan dalam kitaran ekonomi yang tidak begitu berpusing ligat. Walau bagaimanapun, guru sekolah seyogianya menjadi mentor dan sentiasa memberi motivasi kepada pelajar untuk mencerminkan diri dan mengenal jati diri yang sebenar. Sebenarnya, sikap nakal dan kebobrokan pelajar yang semakin keruh boleh dijernihkan lagi dengan perhatian dan kawalan disiplin yang ketat di sekolah. Dengan pelakasanaan Program Sekolah Selamat dan Program Mentor Menti di sekolah, saya yakin anak-anak murid dapat menyelami perasaan dan hati murni yang sentiasa mendambakan mutiara kejayaan daripada pelajar, bukannya catatan imej buruk sekolah dengan gejala sosial.

Dalam Isi di atas, pengaplikasian konsep ekonomi dan akuatik telah saya gunakan.

Buktinya, "kilang", "produk", "pasaran kerja", dan "permintaan" (konsep ekonomi)

Penggunaan "keruh", "jernih", "menyelami", dan "mutiara" (konsep air dan laut)



Bagaimanakah dengan isi penting di bawah? Ada sesiapa yang berani dan bijak "bermain" dengan kata-kata dan meng-e-melkan isi contoh anda kepada saya? Kalau ada, saya akan memasukkan dalam entri blog ini untuk dikongsi bersama pelajar-pelajar lain.



(c) Media massa - Menjalankan kempen bertema antigejala sosial
(d) Ibu bapa - Memberi perhatian dan kasih sayang
(e) Diri sendri - berdisiplin dan mempelihara kekukuhan jati diri.


Sebagai penutup bicara, saya ingin menegaskan bahawa pengalaman menulis karangan memerlukan kesabaran dan ketelitian memilih kata-kata. Dengan prinsip sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, saya bercaya anda dapat melakukannya.
Ayuh terima cabaran saya!

Peribahasa yang Mempunyai Maksud Pertentangan untuk Kegunaan Menulis Karangan

Peribahasa yang Mempunyai Maksud Pertentangan untuk Kegunaan Menulis Karangan

Sejak akhir-akhir ini, penggunaan peribahasa mekar mengharum semula apabila wangiannya dapat dihidu oleh golongan pelajar, terutamanya dalam tugasan penulisan. Daripada perspektif saya, penggunaan peribahasa dapat dipelbagaikan dan divariasikan dalam karangan untuk menarik perhatian pemeriksa kertas peperiksaan. Hal ini berlaku demikian kerana skema peperiksaan dengan jelas meletakkan kriteria karangan 80 markah ke atas. Adakah anda tidak percaya? Lihat jadual di bawah:



Baiklah, saya tidak akan membuang masa lagi. Kita lihat isi peribahasa yang bertentangan maksudnya dalam petikan karangan contoh di bawah:.


Soalan: Punca kes buli meningkat di sekolah.

Pada pendapat saya, kes buli berlaku di sekolah dan semakin hari semakin leluasa keran kelonggaranan kawalan disiplin di sekolah. Hal ini berlaku demikian kerana peranan pengawas sebagai "polis sekolah" sudah basi dan ketinggalan zaman. Lebih-lebih lagi apabila mereka dikatakan menjalankan tugas secara melepaskan batuk di tangga. Oleh hal yang demikian, pelajar terus bermaharajalela di kawasan sekolah sekali gus menyebabkan kes buli mencatatkan peningkatan bak cendawan tumbuh selepas hujan.


SOALAN: Langkah mengatasi kes buli di sekolah.

Oleh sebab kes buli yang sudah menjadi buah mulut masyarakat yang meniti dari bibir ke bibir, sudah sampai masanya pihak sekolah menjalankan peranan untuk membanterasnya. Hal ini berlaku demikian kerana pihak sekolah harus memegang prinsip genggam bara api, biar sampai jadi abu. Kawalan disiplin yang ketat memang sukar dilaksanakan tetapi tidak mustahil. Oleh sebab itu, badan pengawas dan guru disiplin harus diberi kuasa autoriti untuk menangkap pelajar yang disyaki membuli pelajar yang lain. Jika kerjasama yang utuh antara pihak pentadbir sekolah dengan badan pengawas diimplementasikan, nescaya kita dapat mengurangkan gejala sosial sehingga akar umbinya. Oleh hal yang demikian, usaha ini mestilah dijalankan dengan berpaksikan prinsip di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.


Kini, dengan berpandukan isi contoh di atas, anda boleh membuat latihan sendiri. Karangan anda bolehlah dikirimkan kepada saya melalui e-mel untuk disemak. Tajuk karangan adalah bebas, tetapi mestilah menggunakan kedua-dua peribahasa di bawah:


Senarai Peribahasa yang Berlawanan


i) bagai aur dengan tebing berlawanan dengan peribahasa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

ii) usaha tangga kejayaan berlawanan dengan peribahasa malas bergarit, perut perit

iii) alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lenganberlawanan dengan peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

iv) bersatu kita teguh, bercerai kita roboh berlawanan dengan maksudjong pecah yu kenyang

v) sediakan payung sebelum hujan berlawanan dengan peribahasa nasi sudah menjadi bubur

Secara tuntas, saya berharap para pelajar dapat belajar menulis karangan dengan baik. Penulisan karangan yang baik akan membantu pelajar mempertingkatkan markah dalam subjek Bahasa Melayu. Ingatlah wahai pelajarku, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain mestilah menjadi prinsip pelajar dalam mempelajari teknik penulisan.

Kesalahan Ejaan yang Kerap dilakukan oleh Pelajar

Kesalahan Ejaan yang Kerap dilakukan oleh Pelajar

Dalam karangan pelajar yang saya semak, rata-rata melakukan kesalahan yang agak sama. Walau bagaimanapun, saya telah membuat satu kajian dan mendapat kesalahan tersebut berpunca daripada:
i) Kesalahan sejak sekolah rendah
ii) Tidak membaca karangan yang telah disemak oleh guru, terutamanya kesalahan ejaan.
iii) Membaca buku berbahasa Melayu yang salah sehingga mudah mempercayai dan menggunakan ejaan tersebut.
iv) Kesalahan sari kata dalam filem, drama , dan rancangan menerusi televisyen yang dibaca dan terus dipercayai.
v) guru subjek Bahasa Melayu sendiri membuat kesalahan sehingga anak murid mereka pun buat salah.


Berikut ialah kesalahan ejaan paling popular yang sering dilakukan oleh pelajar:
KESALAHAN..........................-->PEMBETULAN
i) *Kebanyakkan........................... kebanyakan
ii) *berkerjasama............................bekerjasama
iii) *kadang-kala..............................kadangkala
iv) *penyalah gunaan......................penyalahgunaan
v) * Disamping itu............................Di samping itu
vi) *kerosakkan...............................kerosakan
vii) *anti-merokok...........................antimerokok
viii) *serious...................................... serius
ix) *terguris........................................tergores
x) *seringkali .....................................sering kali
xi) *biadap.........................................biadab
xii) *television....................................televisyen
xiii) *penguatkuasa............................penguat kuasa
xiv) *dairi ............................................diari
xv) *barang kali...................................barangkali
xvi) *mengulangkaji.............................mengulang kaji
xvii) *menyosalsiasat...........................menyoal siasat
xviii) *bersatu-padu............................bersatu padu
xix) *ibu-bapa......................................ibu bapa
xx) *pasca kemerdekaan...................pascakemerdekaan


Kesimpulannya, insaflah wahai pelajarku! Janganlah membuat kesalahan kecil sebegini yang akhirnya menyusahkan adiri anda sendiri kerana setiap kesalahan ejaan dalam karangan akan ditolak markah.

Kesalahan Ejaan yang Kerap dilakukan oleh Pelajar (Edisi ke-2)

Kesalahan Ejaan yang Kerap dilakukan oleh Pelajar (Edisi ke-2)

berikut ialah senarai kesalahan yang biasanya muncul dalam karangan. Kenapa?
1. displin ...... sepatutnya ditulis......disiplin
2. Tsunami ...... sepatutnya ditulis...... tsunami
3. menanangi ...... sepatutnya ditulis...... menangani
4. menggelakan ...... sepatutnya ditulis...... mengelakkan
5. berbillion-billion ...... sepatutnya ditulis...... berbilion-bilion
6. dasyat ...... sepatutnya ditulis...... dahsyat
7. kerosakkan ...... sepatutnya ditulis...... kerosakan
8. pertempatan ...... sepatutnya ditulis...... petempatan
9. sampah-sarap ...... sepatutnya ditulis...... sampah sarap
10. mengembirakan ...... sepatutnya ditulis...... menggembirakan
11. menyerdari profession ...sepatutnya ditulis...menyedari profesion
12. perkerjaaan ...... sepatutnya ditulis...... pekerjaan
13. efisyen...... sepatutnya ditulis...... efisien
14. mengalakkan ...... sepatutnya ditulis...... menggalakkan
15. seringkali...... sepatutnya ditulis...... sering kali
16. acapkali...... sepatutnya ditulis...... acap kali
17. berjogging ...... sepatutnya ditulis...... berjoging
18. apartment ...... sepatutnya ditulis...... apartmen
19. treauma ...... sepatutnya ditulis...... trauma
20. kementrian ...... sepatutnya ditulis...... kementerian
21. negative ...... sepatutnya ditulis...... negatif
22. memperdulikan ...... sepatutnya ditulis.....mempedulikan
23.mempedayakan ...... sepatutnya ditulis...... memperdayakan
24. kesimpulanya ...... sepatutnya ditulis...... kesimpulannya
25. prodaktiviti ...... sepatutnya ditulis...... produktiviti
26. mengganggap ...... sepatutnya ditulis...... menganggap
27. pengganguran ...... sepatutnya ditulis...... pengangguran
28. walaubagaimanapun ...sepatutnya ditulis...walau bagaimanapun
29. bersopan-santun ...... sepatutnya ditulis...... bersopan santun
30. lalu-lintas ...... sepatutnya ditulis...... lalu lintas
31. pra-kemerdekaan ...... sepatutnya ditulis...... prakemerdekaan
32. anti kerajaan antikerajaan
33. terhantuk baru terngadah ...... sepatutnya ditulis...... tengadah
34. kasih-sayang ...... sepatutnya ditulis...... kasih sayang
35. mengembleng ...... sepatutnya ditulis...... menggembleng
36. anti-merokok ...... sepatutnya ditulis...... antimerokok
37. keseronokkan ...... sepatutnya ditulis...... keseronokan
38. kes rompakkan ...... sepatutnya ditulis...... kes rompakan
39. pengawai polis ...... sepatutnya ditulis...... pegawai polis
40. saki baki ...... sepatutnya ditulis...... saki-baki
41. sanak-saudara ...... sepatutnya ditulis...... sanak saudara
42. yatim-piatu ...... sepatutnya ditulis...... yatim piatu
43. pekara...... sepatutnya ditulis......perkara
44. pengakutan ...... sepatutnya ditulis...... pengangkutan
45. menangguh di air keruh ...... sepatutnya ditulis...... menangguk air keruh
46. rumah-tangga ...... sepatutnya ditulis...... rumah tangga
47. kecermerlangan ...... sepatutnya ditulis...... kecemerlangan
48. jalanraya ...... sepatutnya ditulis...... jalan raya
49. lebuhraya ...... sepatutnya ditulis...... lebuh raya
50. pasaraya ...... sepatutnya ditulis...... pasar raya
51. bandaraya ...... sepatutnya ditulis...... bandar raya
52. dimana ...... sepatutnya ditulis...... di mana
53. bekeluarga ...... sepatutnya ditulis...... berkeluarga
54. fail beserta pen ...... sepatutnya ditulis......fail berserta pen
55. gambarajah ...... sepatutnya ditulis...... gambar rajah
56. menyalah gunakan ...... sepatutnya ditulis......menyalahgunakan
57. penguatkuasa...... sepatutnya ditulis...... penguat kuasa
58. khursus ...... sepatutnya ditulis...... kursus
59. ketidak stabilan ...... sepatutnya ditulis...... ketidakstabilan
60. setia usaha ...... sepatutnya ditulis...... setiausaha
61. urusetia majlis ...... sepatutnya ditulis...... urus setia majlis
62. mengulangkaji pelajaran mengulang kaji pelajaran
63. motorbot ...... sepatutnya ditulis...... motobot
65. bidang akedemik ...... sepatutnya ditulis...... bidang akademik

Kata-kata Mutiara Dalam Karangan

Kata-kata Mutiara Dalam Karangan

KATA-KATA MUTIARA DALAM KARANGAN
Penggunaan kata-kata mutiara sememangnya dapat memberi satu nafas baharu kepada karangan pelajar sekali gus memberi"impression" yang positif kepada pemeriksa kertas. Perhatikanlah beberapa contoh kata mutiara di bawah ini sebagai pedoman.

Tun Dr. Mahathir Mohamad
“Ilmu pengetahuan tanpa nilai-nilai yang mulia belum tentu dapat melahirkan masyarakat yang baik dan berjaya. Nilai-nilai yang mulia tanpa ilmu pengetahuan juga tidak akan melahirkan masyarakat yang berjaya”

Tun Dr. Mahathir Mohamad
“...membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya. Menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”

Keris Mas
“Kesalahan aturan bahasa sehingga mengikut aturan bahasa Inggeris bukanlah stail yang menunjukkan ketegasan fikiran, melainkan betapa tidak teraturnya fikiran itu dinyatakan atau betapa keinggerisannya kita berfikir”.

William A.Ward
"Guru yang sederhana memberitahu. Guru yang baik menjelaskan. Guru yang hebat menunjukkan cara. Guru yang agung menjadi inspirasi."

Karl Menninger
"Siapakah guru itu adalah lebih penting daripada apa-apa yang diajarkannya."

Tun Abdul Razak
"Kita juga telah berjaya memberikan satu keperibadian yang sama kepada negara dengan menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal di negara ini dan usaha-usaha masih lagi dicari bagi menjadikan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dengan erti kata yang sebenarnya."

Abdullah Ibnu Abbas
"Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir"

Munsyi Abdullah
”Jika orang Melayu hendak menjadi bangsa yang besar, orang Melayu mesti mempelajari dan memelihara secermat-cermatnya bahasa Melayu, di samping menerima serta menambah pengetahuan baharu.”

SN S. Othman Kelantan
“Peradaban dan tamadun sesuatu bangsa dibina dengan bahasanya sendiri, baik dalam bentuk prosa ataupun dalam bentuk kreatif kerana bahasa menjadi jiwa sesuatu bangsa. Keindahan estetika sebagai emosi kepada jiwa itu ialah karya kreatif”.

Arena Wati
Kita boleh ramah, tapi pantang berkasar. Kita boleh marah, tapi ketawalah, dan jangan kehilangan senyum. Kita pasrah miskin, tapi jauhkan diri dari keinginan mengemis. Orang yang kehilangan wang, cuma rugi benda. Tetapi orang yang kehilangan amanah dia rugi harga diri.

Noordin Hassan
Pasang telinga baik-baik. Jangan dengar saja apa orang kata, fikirkan mengapa orang kata begitu. Kalau orang ketawa, dengar betul-betul jenis ketawanya. Ketawa berisikah atau ketawa jenis apa.

Arena Wati
Menegur dengan bahasa sukma dan bertanya dengan bahasa hati nurani.

Muhammad Salleh
Tiada akan besar bangsa yang tiada kasihkan bahasanya, tiada kebenaran pada manusia yang tidak dapat melihat kenyataan.

Muhammad Salleh
Tiada akan besar bangsa yang tiada kasihkan bahasanya.

Abdullah Hussain
KEMERDEKAAN yang sudah dicapai itu seperti sebuah gelas kosong lalu tiap-tiap golongan itu mahu mengisi gelas itu dengan minuman yang disukainya.

Keris Mas
KEMERDEKAAN hanya suatu jambatan. Yang kita tuju di seberang jambatan itu ialah kehidupan kebangsaan yang mulia, makmur dan aman damai.

Muhammad Salleh
Derita yang dijeritkan tanpa suara ialah bahasa ternyaring bangsa kita.

Muhammad Salleh
Bangsa itu diperibadikan bahasanya.

Penanda Wacana

Penanda Wacana

Banyak pelajar tidak mendapat markah yang baik kerana pembentukan ayat yang lemah. Hal ini demikian kerana pembinaan ayat tidak berkesinambungan dan tidak mempunyai hubung kait yang rapat dan mesra.Oleh hal yang demikian, saya telah menyediakan senarai peribahasa untuk para pelajar yang amat saya kasihi. Dalam catatan blog akan datang, saya akan mengajar anda cara menggunakan penanda wacana yang kurang anda fahami.Oleh itu, jika anda mempunyai masalah untuk menggunakan mana-mana penanda wacana, saya bersedia untuk menerangkannya.

Penanda Wacana
i) Penanda permulaan karangan
a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

ii) Penanda memulakan isi baharu
a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

iii) Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala

iv) Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti

v) Penanda menghuraikan contoh
a) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

vi) Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala (Huraian 1) _(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)

a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan
i) malar-malar

viii) Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,

ix) Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

x) Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........
q) Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa ..........

Formula Menulis Pendahuluan Karangan

Formula Menulis Pendahuluan Karangan

Teknik Penulisan Pendahuluan Karangan Jenis Fakta
Kebanyakan pelajar alpa bahawa pendahuluan dalam karangan merupakan titik awal dalam proses pemarkahan. Pendahuluan yang bebas daripada kesalahan, mempunyai kesinambungan yang erat antara fakta dengan huaraian berserta intipan isi yang samar-samar akan menyebabkan pemeriksa terpikat untuk meneruskan pembacaan, yakni penyemakan sekali gus memberikan markah yang baik untuk anda dalam peperiksaan. Kali ini, saya akan menggunakan formula "Bidang (B), Tajuk (T), Soalan (S)" untuk menghasilkan pendahuluan yang baik. Pembinan karangan ini sesuai untuk tahap PMR dan SPM, sama ada karangan bergambar mahupun karangan panjang. Lihat contoh soalan dan kerangka karangan untuk bahagian pendahuluan yang akan kita bincangkan di bawah ini:
Soalan:
Isu gengsterisme semakin mendapat liputan dalam media massa. Pihak sekolah seolah-olah gagal membanteras gejala ini daripada terus menular. Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini semakin membimbangkan.
Kerangka pendahuluan
B - Masalah sosial
-> semakin membimbangkan
-> mencatatkan peningkatan yang mendadak.
T - Gejala gengsterisme
-> melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah
-> bermaharajalela di sekolah

S -> banyak faktor

Daripada kerang di atas, dapatlah kita membina 5 ayat dengan mudah. Lihat contoh pendahuluan di bawah:

Pendahuluan Kualiti PMR
Pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak. Masalah sosial yang menjadi buah mulutmasyarakat ialah gejala gengsterisme. Gejala ini melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Golongan gengster ini semakin bermaharajalela di alma mater. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.
Pendahuluan Kualiti SPM
Dalam keasyikan negara menari rancak bersama bayang-bayang pembangunan yang bergerak pantas pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana pihak polis mendapati kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak sejak akhir-akhir ini. Antara masalah sosial yang terus menjadibuah mulut yang hangat ialah gejala gengsterisme yang bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Keadaan menjadi semakin kronik kerana golongan gengster ini semakin bermaharajalela di sekolah mahupun di luar sekolah. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.
Jika kita mempunyai kesabaran dan kesungguhan yang konsisten, kejayaan pasti milik kita. Oleh hal yang demikian, saya berharap para pelajar dapat menggunakan teknik "B-T-S" untuk menulis karangan yang cemerlang.
Bersatu, Teguh, Sukses!

MINYAK NAIK, NAIK MINYAK

MINYAK NAIK, NAIK MINYAK

Belakangan ini, saya sering kali mengingatkan diri ini supaya jangan mudah “naik minyak” walaupun harga “minyak naik”. Walakin begitu, pelajar yang saya kasihi kini nampaknya mula hilang motivasi diri dan tidak bersungguh-sungguh dalam penulisan saya. Sebenarnya, diri ini memang seorang yang penyabar. Saya berharap maklumat berikut akan dapat membantu anda.

Petua kejayaan dalam penulisan
Kesungguhan merupakan kunci kejayaan pelajar menghasilkan karangan atau hasil penulisan yang baik. Hal ini demikian kerana seseorang pelajar yang serius dalam menyiapkan tugasan penulisannya akan sungguh-sungguh dan swadaya dalam usaha mempertingkatkan penulisan. Oleh hal yang demikian, saya berharap anda bermonolog sambil memberi motivasi diri,“Saya menulis karangan ini untuk skor dalam peperiksaan, bukan sekadar menyiapkan tugasan sahaja”. Apa kala otak kita dirangsang dengan kata-kata mutiara ini, nescaya impuls yang dihantar ke saraf kreatif akan menjana satu kuasa dan idea menulis yang mapan. Anda akan berusaha untuk mengingati nasihat saya sekali gus mengelakkan kesalahan yang remeh-temeh.

Konsep penulisan yang konsisten perlulah diasuh sejak kecil, persis melentur buluh biarlah dari rebungnya. Konsep “Tema, Inti, dan Soalan” (pendahuluan) dan “I-H-C-H-K” (isi penting) serta “Harapan, Kesan, Kesimpulan” (penutup karangan) yang selalu saya ajarkan perlulah sentiasa dijadikan ikutan dan pedoman. Janganlah buat hanya di dalam kelas dan apabila di rumah, konsep ini hanya tinggal kenangan. Lihat contoh di bawah.

Soalan karangan
Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.
Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Pendahuluan
Tema
- pembangunan – pesat
Inti
- sektor perindustrian – tercalar
- alam sekitar – terjejas
Soalan
- peranan kita - langkah

Belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini (Tema) merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian (Inti) telah dikecapi hari ini sedikittercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan (Soalan) kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah (Soalan) yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Isi penting 1
I - mengurangkan bahan kimia
H - mendatangkan pencemaran - impak kapada alam
C - rasun serangga, pendingin hawa
H - CFC - berbahaya
K - dikawal oleh kerajaan

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun seranggadan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat berbahaya kepada masyarakat di jagatraya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang (I) berkaitan aspen penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar(H) kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang(C) yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang (C) dan pembuang sisa toksik(C) ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat (H) lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam (K) sekitar.

Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air” Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru tentang kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar.

Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini inomin dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”

Nampak tak? Semua isi dan huraian serta contoh dan kesimpulan haruslah mempunyai kesinambungan. Dengan ini, calon peperiksaan akan dapat menulis dengan penuh keyakinan. Saya pasti anda akan berjaya. Secara tuntas, kejayaan tidak datang dengan mudah. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh itu, kemahuan hati untuk mendapat kejayaan merupakan tiket memperoleh kejayaan dalam kehidupan selagi anda bergelar pelajar.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya guru dan masih belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Karangan panjang SPM - Surat Kiriman Tidak Rasmi

Karangan panjang SPM - Surat Kiriman Tidak Rasmi

Saya telah selesai menyemak karangan pelajar PTAG minggu lalu, sebelum 19 Mei 2008. Dalam karangan kali ini, saya dapati kematangan pelajar semakin meningkat selaras dengan peningkatan kualiti penulisan. Dalam penulisan karangan jenis surat kiriman tidak rasmi, lima elemen penting yang harus diberi perhatian, yakni

(a) Format
(b)Tema
(c)Isi
(d)hubungan antara pengirim dan penerima
(e)bahasa
(a) Format
Format memainkan peranan penting dalam semua jenis penulisan. Untuk surat kiriman rasmi, empat markah untuk format mestilah dikuasai oleh pelajar. Antaranya ialah alamat pengirim, tarikh, kata sapaan, tandatangan dan penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai. Kesalahan yang terdapat dalam surat akan menyebabkan markah dipotong. Lihat contoh soalan dan contoh petikan karangan di bawah:

Soalan:
Tulis sepucuk surat kepada sahabat dari negeri lain dan ceritakan keadaan sekolah anda yang serius dengan masalah vandalisme. Terangkan kesan vandalisme kepada diri anda, pelajar lain, guru dan pihak sekolah.
Tulis surat itu selengkapnya.
[ 100 markah ]

Pendahuluan
Ke hadapan saudara Alex Oh yang berada di Kuantan. Semoga kamu dan keluarga sihat sejahtera. ( kamu sepatutnya ditulis saudara)

Penutup
Semoga saudara Alex dan saya berjumpa lagi dalam warkah telah datang. Kirimkan salam saya kepada keluarga saudara. Semoga dengan keizinan Tuhan, persahabatan kami akan sentiasa bertaut erat. ( kami sepatutnya ditulis kita)


(b) Tema
Tema merupakan persoalan utama yang perlu ditulis oleh calon peperiksaan. Dalam karangan di atas, kebanyakan pelajar hanya menulis tentang vandalisme. Tiga elemen penting yang berkaitan dengan tema karangan tersebut ialah:
i) harta benda awam
ii) isu kerosakan harta benda di sekolah
iii) kecintaan dan kesyukuran terhadap harta benda awam.

Tema bukanlah pendahuluan. Tema perlulah dimasukkan dalam setiap pelosok karangan tidak mengira pendahuluan, isi, dan penutup surat. Sebagai contoh, lihat petikan ayat yang berkaitan:

i) Harta benda awam sebenarnya titik peluh ibu bapa kita juga. Harta kerajaan sebenarnya harta rakyat juga. Walakin begitu, rasional ini tidak pernah terbit dalam sanubari pelajar sekolah saya.

ii) Media massa tidak pernah gersang daripada menyiarkan isu kerosakan harta benda di sekolah. Menurut kajian, kerosakan yang mencecah berjuta-juta ringgit ini merupakan pembaziran yang tidak perlu. Kebanyakan pelajar lupa bahawa “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”. Mereka bermaharajalela di sekolah dengan merosakkan kerusi meja sesuka hati tanpa memikirkan impaknya.

iii) Kesyukuran merupakan elemen penting yang perlu diaplikasikan dalam jiwa murid-murid. Dengan hati yang sentiasa bersyukur, saya yakin kesalahan vandalisme dapat dibendung daripada terus leluasa di alma mater.

(c) Isi
Isi penting memainkan peranan penting kerana suku daripada keseluruhan markah penulisan merupakan sumbangan isi. Setiap isi penting yang diutarakan oleh calon haruslah menepati soalan dan menjawab soalan. Formula [ ISI – HURAIAN – HURAIAN – CONTOH – HURAIAN – HURAIAN – KESIMPULAN ] ( I H H C H H K ) bolehlah digunakan sebagai panduan. Lihat tamsilannya:

Isi 1 Kesan vandalisme kepada diri
I - kesulitan
H - menyusahkan
H - menyukarkan
C - telefon awam rosak
H - gagang terputus
H - tidak dapat menghubungi
K - terpaksa meminjam telefon sekolah

Contoh perenggan

Saudari Alex,
Gejala vandalisme yang merupakan duri dalam daging di sekolah amat menyusahkan saya. Pernah sekali, saya tidak berasa sihat dan mahu menghubungi ibu bapa untuk membawa saya ke klinik. Malangnya, kebobrokan sikap pelajar telah menyusahkan saya untuk menghubungi ibu bapa saya. Situasi pada waktu itu memang tidak dapat saudara gambarkan kerana semua telefon awam di sekolah telah rosak sehingga menyukarkan pihak sekolah yang sudah pun sibuk dengan hal ehwal pentadbiran sekolah. Pelajar di sekolah saya semakin berani sehingga merosakkan telefon awam yang terletak di luar pejabat sekolah. Gagangnya terputus dan wayarnya terbiar tanpa diselenggarakan waima dibaiki. Hal ini menyebabkan saya tidak dapat menghubungi ibu bapa saya dan terus terseksa demam panas dan pening kepala. Akhirnya, saya terpaksa meminjam telefon sekolah sebagai jalan penyelesaian. Lihatlah saudara, betapa susahnya apabila kemudahan awam dirosakkan!

(d) hubungan antara pengirim dan penerima
Saudara Alex,
Dalam surat yang lalu, saudara pernah berceritakan kerosakan taman permainan kanak-kanak di taman perumahan yang saudara diami. Rupa-rupanya kejadian yang sama juga berlaku di sini. Harta benda sekolah saya mengalami nasib yang sama. Aduhai, kita ini sama-sama tingkatan empat, sama-sama menjadi mangsa kerosakan harta benda. Saya berpendapat bahawa kempen antivandalisme yang dijalankan oleh kerajaan tidak mencapai objektifnya. Adakah saudara pernah menyertai aktiviti seumpama ini? Jikalau tidak keberatan, saya berharap agar saudara dapat berkongsi idea dan pengalaman dengan saya. Maklumlah, hubungan kita yang erat bagai isi dengan kuku mestilah hidup bagai aur dengan tebing. Masih ingat nasihat bapa saya dalam surat yang lepas? Ha, jangan lupa!


(e) bahasa
Bahasa memainkan peranan yang penting kerana hampir separuh ( 45%) daripada markah penulisan ialah aspek bahasa. Oleh sebab itu, saya sentiasa berharap pelajar mematuhi tatabahasa dan hukum-hakamnya agar cemerlang dalam penulisan karangan. Kesalahan seperti berikut mestilah dielakkan.

* vandalisme berlaku di mana sahaja. ( kesalahan istilah)
vandalisme berlaku di mana-mana sahaja.

* Kesalahan vandelisme semakin leluasa. ( kesalahan ejaan)
Kesalahan vandalisme semakin leluasa.

Dengan menguasai dan memahami penjelasan di atas, saya yakin anda akan skor dalam penulisan karangan. Kejayaan dalam penulisan akan meyakinkan anda untuk terus cemerlang dalam bidang yang lain. Harus diingati, kejayaan mencapai kematangan dala karangan bukannya usaha sehari, kejayaan tersebut memerlukan 5K, yakni:

KERJASAMA antara pelajar dengan guru!
KOMITMEN dalam kerja rumah yang diberikan!
KOPERASI antara nota, latihan, dan penyemakan!
KESUNGGUHAN membaiki kesalahan dan kesilapan!
KETABAHAN menghadapi komen negatif dan teguran guru!

Thursday, September 9, 2010

Perenggan Penutup Karangan STPM dan SPM

Perenggan Penutup Karangan STPM dan SPM

Menulis Perenggan Penutup dengan Menggunakan Teknik KHPK dan KHH

Selepas memeriksa karangan pelajar-pelajar dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun, iaitu pada bulan Mei lalu, cikgu mendapati bahawa masih terdapat kelemahan dalam penulisan perenggan penutup atau kesimpulan. Kebanyakan pelajar menulis perenggan penutup atau kesimpulan yang pendek iaitu satu atau dua ayat sahaja. Perenggan itu juga tidak diolah dengan baik dan tidak dimasukkan peribahasa atau ungkapan yang menarik. Oleh itu cikgu akan membincangkan cara atau teknik untuk menulis perenggan tersebut agar dapat membantu pelajar-pelajar untuk memantapkannya.

i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1

Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara.(Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)


ii. KHH (Kesimpulan, Huraian, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)


Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu pelajar-pelajar atau calon-calon STPM dan SPM untuk menghuraikan dan mengembangkan perenggan penutup atau kesimpulan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan setiap perenggan karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba teknik ini dan selamat mengarang.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Pendahuluan Karangan STPM dan SPM

Pendahuluan Karangan STPM dan SPM

Pendahuluan Karangan SPM dan STPM

Cara Menulis Pendahuluan Karangan dengan Menggunakan Teknik FACLK

Cikgu mendapati bahawa masih banyak anak murid cikgu yang kurang faham dan menghadapai masalah untuk menulis perenggan pendahuluan yang mantap. Jadi, kali ini cikgu akan membincangkan cara atau panduan untuk menulis pendahuluan karangan. Hal ini perlu diberi perhatian kerana terdapat juga murid yang tidak mementingkan aspek pendahuluan dalam karangan. Buktinya, ada murid yang menulis dua ayat sahaja dalam pendahuluan karangannya. Selain itu, ada juga murid yang menulis dua ayat tanya dalam perenggan pendahuluannya. Jadi, siapakah yang akan menjawab soalan tersebut? Jika perkara ini berlaku sudah pastilah markah pendahuluan akan kurang dan markah keseluruhan karangan akan terjejas terutamanya dalam peperiksaan STPM. Karangan yang baik seharusnya mempunyai pendahuluan yang diolah dengan baik dan seimbang dengan perenggan-perenggan yang lain.

Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menulis pendahuluan karangan seperti yang terdapat dalam buku-buku panduan menulis karangan di pasaran. Ada penulis yang menyarankan pelbagai cara seperti pendahuluan jenis definisi, sejarah, berdasarkan pandangan tokoh-tokoh, dan sebagainya. Jadi, dalam paparan kali ini saya mencadangkan satu cara lagi untuk memudahkan murid berfikir dan menulis pendahuluan karangan tersebut dengan menggunakan teknik FACLK. Diharapkan teknik ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid untuk menulis pendahuluan karangan, selain teknik yang biasa digunakan oleh murid-murid sebelum ini.

Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya)

Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L)dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap serta menepati kehendak skema pemeriksa.

Soalan Contoh 1

Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud.
Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Perenggan Pendahuluan Contoh 1

Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)


Soalan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

Perenggan Pendahuluan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F) Bangunan tersebut boleh dijadikan fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tersebut jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara.(K)

Murid-murid harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan murid-murid. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 90 hingga 100 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 50 hingga 60 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan sudah pasti akan menjejaskan markah aspek relevan (R) dan juga mempengaruhi markah pengolahan (P).

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Panduan Karangan

Karangan Tingkatan 6

Dengan berdasarkan isu-isu karangan yang telah disenaraikan tadi, murid-murid bolehlah memikirkan fokus soalannya. Murid-murid perlu berlatih untuk membina soalan sendiri berdasarkan fokus soalan tersebut. Hal ini dapat membantu murid untuk mempertajam pemikiran bagi menulis karangan. Sila teliti soalan tahun lepas dan binalah soalan sendiri berdasarkan soalan-soalan yang pernah dikeluarkan dalam peperiksaan STPM sebagai panduan. Sebagai contoh, berdasarkan isu ’Bangunan atau Tempat Bersejarah’ seperti yang disenaraikan tadi, dapatlah dibina soalan iaitu:

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut dan usaha untuk memuliharanya.

Isunya ialah bangunan atau tempat bersejarah dan fokus soalannya ialah kelebihan bangunan tersebut dan usaha untuk memuliharanya. Berdasarkan soalan contoh tersebut, murid-murid bolehlah membina soalan sendiri berpandukan isu-isu lain yang telah dikemukakan sebelum ini.

Murid-murid juga perlu sedar bahawa menulis karangan ialah kemahiran yang perlu digilap melalui latihan yang konsisten dan berterusan. Sekiranya murid-murid tidak membiasakan diri dengan latihan untuk menulis karangan sudah pasti murid-murid akan menghadapi masalah dan berasa kekok untuk menulis karangan semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Oleh hal yang demikian, murid-murid perlulah mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menulis satu atau dua perenggan karangan setiap hari. Murid-murid perlulah memperuntukkan masa sekurang-kurangnya lima belas minit untuk menulis satu perenggan karangan setiap hari. Jadikan perkara tersebut sebagai amalan harian yang perlu dilakukan seperti amalan menunaikan solat lima waktu setiap hari. Insya Allah, jika amalan ini dilakukan, sudah pasti murid-murid dapat menguasai kemahiran mengarang, seperti kata peribahasa Melayu, "Alah bisa tegal biasa". Anda pasti akan berasa seronok untuk mengarang dan soalan karangan bukanlah soalan yang sukar untuk dijawab.

Saya suka menekankan aspek penulisan karangan ini kerana banyak murid yang menghadapi masalah untuk menulis karangan dan menganggap penulisan karangan sebagai suatu perkara yang amat sukar dan berat untuk dilakukan. Hal ini menyebabkan murid tidak mahu membuat latihan secara bersistematik seperti yang selalu diingatkan oleh guru. Oleh itu, murid-murid hendaklah mengubah persepsi tersebut dan jadikan amalan menulis satu atau dua perenggan karangan sekurang-kurangnya setiap hari sebagai satu budaya atau amalan seharian sehingga pada hari peperiksaan. Jangan lupa untuk mendapatkan komen daripada guru tentang karangan yang telah anda tulis itu. Ingatlah bahawa dengan membuat latihan yang konsisten, sudah pasti murid-murid akan dapat menulis karangan yang mantapdan cemerlang dalam peperiksaan nanti.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Teknik untuk Memikirkan Isi Karangan SPM dan STPM

Teknik untuk Memikirkan Isi Karangan SPM dan STPM

Teknik (InKeMaNeTekA)

Bagaimanakah cara untuk memikirkan isi-isi karangan? Terdapat beberapa cara untuk memikirkan isi-isi karangan yang berkaitan dengan soalan atau fokus soalan karangan. Ada orang yang menggunakan teknik berfikir mengikut bidang iaitu faktor ekonomi, sosial, dan politik. Selain itu ada cara lain yang boleh digunakan iaitu dengan menggunakan cara atau teknik(InKeMaNeTekA) Individu (In), Keluarga (Ke), Masyarakat (Ma – Kawan, jiran dan Sekolah), Negara (Ne), Teknologi (Tek), dan Antarabangsa (A).

Sekurang-kurangnya apabila menggunakan teknik ini, murid-murid tahu apa yang hendak difikirkan berbanding dengan sebelum ini, iaitu mereka berfikir dengan cara yang tidak sistematik dan berharap idea muncul secara tiba-tiba atau mengharapkan isi karangan terlintas dalam fikiran. Perkara ini menyebabkan mereka terpaksa memakan masa yang lama untuk memikirkan sesuatu isi itu. Oleh itu teknik ini diharapkan dapat membantu calon-calon untuk memikirkan isi-isi yang berkaitan dengan soalan karangan itu.

Biasanya banyak soalan yang meminta calon SPM menghuraikan punca-punca dan langkah-langkah terhadap sesuatu masalah. Teknik ini(InKeMaNeTekA) memang sesuai untuk mencari isi bagi punca-punca dan langkah-langkah bagi sesuatu masalah. Sebagai contohnya, bagi masalah demam denggi, punca-puncanya boleh difikirkan berdasarkan teknik ini, iaitu faktor individu. Individu yang tiada kesedaran dan tidak mementingkan aspek kebersihan sudah tentu menjadi punca berakunya demam denggi. Seterusnya, faktor keluarga juga boleh menyebabkan penyakit demam denggi, jika ibu dan bapa tidak menitikberatkan aspek kebersihan. Selain itu, faktor masyarakat turut menjadi puncanya jika jiran-jiran tidak mengambil berat aspek kebersihan. Faktor negara juga memainkan peranan penting iaitu melalui kempen dan usaha kementerian yang berkaitan. Sebenarnya masalah lain, seperti masalah disiplin dalam kalangan pelajar, ragut, penculikan kanak-kanak, rasuah, dan sebagainya juga boleh menggunakan teknik ini untuk memikirkan isi-isinya.

Selain faktor sesuatu masalah, langkah untuk mengatasi masalah tersebut juga boleh menggunakan teknik ini bagi memikirkan isi-isinya. Sebagai contohnya, masalah demam denggi, langkah-langkah untuk menanganinyajuga boleh menggunakan teknik ini untuk memikirkan isi-isinya. Bagiindividu, sudah tentu kesedaran individu tentang aspek kebersihan persekitaran itu penting untuk menangani penyakit demam denggi. Seterusnya, keluarga juga memainkan peranan penting iaitu ibu bapa perlu mendidik anak-anak dan menunjukkan contoh untuk menjaga kebersihan persekitaran. Masyarakat juga tidak terkecuali, iaitu jiran, kawan, dan sekolah perlu bertindak untuk menangani penyakit tersebut. Bagi negarapula, kita kaitkan dengan peranan kerajaan iaitu, pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Penerangan hendaklah menjalankan kempen dan usaha-usaha lain untuk menanganinya. Selain itu, peranan NGO juga boleh dikaitkan dalam olahan karangan. Tidak ketinggalan, aspek teknologijuga penting iaitu melalui teknologi maklumat dan media massa seperti media elektronik yang memang memainkan peranan penting untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat bagi menangani penyakit demam denggi. Kadang-kadang aspek antarabangsa juga boleh dikaitkan sekiranya ada negara lain atau pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, seperti WHO (World Health Organisation) yang menjalankan kajian atau berusaha untuk menangani penyakit terebut.
Cubalah teknik ini semasa membuat latihan karangan seperti yang diarahkan oleh guru. Mudah-mudahan murid-murid tidak menghadapi masalah untuk memikirkan atau mencari isi-isi karangan.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Teknik Mengolah Karangan STPM

Teknik Mengolah Karangan STPM

Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi Karangan
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim
Guru Cemerlang Bahasa Melayu

Pendahuluan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.
Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.

Keperluan Soalan

Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada soalan karangan berformat. Murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4 soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.

Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula

1. Pendahuluan
i. Ikatan 2 Hati (IKTHH- Isi, Kesan, Tindakan, Hasil, Hubung kait) - Formula Dr. Ghazali Lateh

Contoh perenggan pendahuluan
Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Oleh itu pihak berkuasa telah meningkatkan usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya seperti penguatkuasaan undang-undang melalui “ops sikap” dan juga kempen keselamatan jalan raya. (T) Diharapkan jumlah kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan setelah langkah-langkah yang berkesan diambil oleh pihak berkuasa. (H) Oleh yang demikian usaha pihak berkuasa itu perlu diteruskan bukan sahaja pada musim perayaan malah pada hari-hari biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita. (H) (96 perkataan)

ii. Ismail Kena Cium Lembu Hitam (IKCLH – Isi, Kesan, Contoh, Langkah, Hasil)

Contoh perenggan pendahuluan
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli–pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C) Oleh itu pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan yang bersikap seperti “harapkan pagar, pagar makan padi” ini untuk mengatasi masalah tersebut sebelum menjadi lebih serius. (L) Diharapkan langkah tersebut akan dapat mengatasi masalah yang terpaksa ditanggung oleh pembeli rumah yang hendak berpindah ke rumah sendiri. (H) (96 perkataan)

2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)

Contoh perenggan isi
Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. (Ba) Oleh yang demikian, pengguna jalan raya perlulah berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)

ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan Antarabangsa. ((InkeManeTekA)

Contoh perenggan isi
Salah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan) Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Selain itu mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini biasanya akan menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah.

iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan, Huraian, Contoh)

Contoh perenggan isi
Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. (K) Seterusnya perkara ini berlaku disebabkan oleh jantung kita bekerja kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. (H) Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak, badminton, hoki, dan berjoging. (C)

3. Penutup/kesimpulan
i. Rasa Cinta Aku Pasti Hilang (RCAPH – Rumusan, Cadangan, Ancaman, Harapan) - Formula Dr. Ghazali Lateh

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (R) Oleh yang demikian pihak berkuasa perlulah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah. Kempen tersebut bolehlah dijalankan di media-media massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah. (C) Hal ini demikian kerana jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera pentadbiran negara kita rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima padahnya.(A) Perkara ini bertepatan dengan ungkapan, lebih baik mencegah daripada mengubati sesuatu penyakit.(P) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau menjadi lebih serius. (H) (102 perkataan)

ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. (H) Dengan cara itu masalah jenayah ini diharapkan dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya hal ini membolehkan masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram dan harmoni.(H)

Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid dalam menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik dan sebagainya. Selain itu murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.

Kertas 1 Bahasa Melayu SPM

Kertas 1 Bahasa Melayu SPM

Panduan Menjawab Soalan Kertas 1 Bahasa Melayu SPM
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim

Kertas 1 : Karangan [130 markah]

(a) Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan (30 markah)

Soalan bahagian ini akan memaparkan bahan rangsangan iaitu berbentuk grafik sebagai panduan kepada pelajar untuk menulis karangan. Bahan rangsangan tersebut mungkin berbentuk gambar tunggal, gambar bersiri, ilustrasi, carta, jadual, graf, peta, dialog dan sebagainya. Pelajar dikehendaki menulis karangan berdasarkan bahan rangsangan tersebut yang panjangnya antara 200 hingga 250 patah perkataan berdasarkan tema atau tajuk yang diberikan.
Untuk menghasilkan karangan berpandu yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:

Membuat penelitian
Membuat perancangan
Menulis karangan
Membuat semakan

1. Membuat Penelitian (5 minit)
i. Pelajar perlu meneliti bahan rangsangan yang dikemukakan.
ii. Pelajar perlu memahami dan menentukan perkara yang dikehendaki berdasarkan bahan rangsangan yang dikemukakan.

2. Membuat Perancangan (5 minit)
i. Pelajar perlu memikirkan serta menyenaraikan isi-isi yang berkaitan dengan bahan rangsangan tersebut.
ii. Pelajar perlu menyediakan sekurang-kurangnya 3 isi yang utama berdasarkan bahan rangsangan tersebut.
iii. Pelajar perlu menghuraikan perkara-perkara yang tersirat di samping perkara yang tersurat pada bahan rangsangan.

3. Menulis Karangan Berpandu (30 minit)
i. Pelajar perlu menulis perenggan pendahuluan.
ii. Pelajar perlu menulis isi (sekurang-kurangnya 3 isi) dan menghuraikan atau mengembangkannya.
iii. Pelajar perlu menulis menutup atau kesimpulan karangan berpandu.

4. Membuat semakan (5 minit)
i. Jumlah Perkataan – pastikan jumlah perkataan karangan berpandu ini dipatuhi. Jangan tulis melehihi had yang telah ditetapkan iaitu 200 hingga 250 perkataan.

ii. Ayat
(a) Tiada ayat yang tergantung.
(b) Tiada ayat yang terlalu panjang sehingga boleh menyebabkan maksudnya kabur.
(c) Tiada ayat yang salah tatabahasanya.

iii. Istilah
(a) Gunakan istilah atau perkataan yang sesuai
(b) Gunakan imbuhan yang sesuai
(c) Gunakan sistem ejaan yang betul

iii. Tanda Bacaan
(a) Gunakan tanda bacaan yang sesuai.

(b) Karangan Umum (100 markah)
Bahagian ini akan mengemukakan 5 soalan karangan yang berdasarkan 3 bidang kemahiran iaitu intrapersonal atau interpersonal, maklumat dan estetik. Berdasarkan trend soalan semasa, soalan yang keempat biasanya merujuk kepada isu serantau atau antarabangsa. Sementara itu soalan yang kelima pula berdasarkan bidang estetik. Pelajar dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah melebihi 350 perkataan berdasarkan 5 soalan yang dikemukakan.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
1. Membaca semua soalan
2. Membuat pemilihan dan perancangan
3. Menulis karangan
4. Membuat semakan

Membaca Semua Soalan (5 minit)
i. Baca semua soalan yang dikemukakan dan buat pilihan yang tepat berdasarkan
pengetahuan pelajar tentang soalan tersebut.

Membuat Perancangan (10 minit)
i. Pelajar perlu membaca soalan yang dipilih itu dengan teliti sekali lagi.
ii. Pelajar perlu memahami dan menentukan kehendak soalan serta formatnya.
iii. Pelajar perlu memikirkan dan menyenaraikan isi atau maklumat yang berkaitan dengan isu atau maklumat yang berkaitan dengan isu atau perkara yang hendak ditulis.
iv. Pelajar perlu menyediakan isi yang sesuai iaitu lima atau enam isi yang benar-benar relevan dan benar-benar diketahui oleh pelajar.
v. Pelajar perlu mencatatkan maklumat sokongan, misalnya statistik, contoh-contoh yang relevan daripada isu-isu semasa, pendapat tokoh yang berwibawa, peribahasa dan maklumat-maklumat sokongan yang lain yang sesuai dan berkaitan dengan isi yang hendak ditulis.

Menulis Karangan (65 minit)
i. Pelajar perlu menulis satu perenggan pendahuluan karangan berserta huraiannya.
ii. Pelajar perlu menulis isi (lima atau enam isi) berserta huraiannya.
iii. Pelajar perlu menulis penutup atau kesimpulan karangan.


Catatan:
· Pelajar perlu ingat bahawa setiap isi karangan hendaklah ditulis dalam perenggan yang berlainan (satu isi, satu perenggan).
· Setiap isi dalam perenggan tidak seharusnya dihuraikan terlalu panjang (meleret-leret) dan tidak pula terlalu ringkas dan pastikan setiap perenggan seimbang.

Membuat Semakan (10 minit)

i. Ayat
(a) Tiada ayat tergantung.
(b) Tiada ayat yang terlalu panjang sehingga maksudnya kabur.
(c) Ayat perlulah gramatis iaitu mengikut sistem bahasa yang betul.


ii. Istilah
(a) Gunakan istilah atau perkataan yang sesuai
(b) Gunakan imbuhan yang sesuai
(c) Sistem ejaan mestilah betul.

iii. Tanda Bacaan
(a) Gunakan tanda bacaan yang sesuai.