Monday, August 30, 2010

vandalisme dalam kalangan pelajar…?

vandalisme dalam kalangan pelajar…?

Penulisan : Vandalisme dalam Kalangan Remaja

Faktor-faktor Berlakunya Vandalisme

i. Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh oleh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan, Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

ii. Ibu Bapa dan Keluarga

Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak menghiraukan papan tanda had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Menurut kajian yang dijalankan vandalisme dendam dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah. Selain itu kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.

iii. Pengaruh Media Massa

Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari Barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme juga boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya.

iv. Sikap Apati ( tidak peduli), Individualistik dan Materialistik

Remaja ialah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.Sikap sesetengah anggota masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Langkah-langkah

i. Penguatkuasaan Undang-undang

Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan.Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah)Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada rakan-rakan.

ii. Peranan Ibu Bapa dan Keluarga

Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang falsafah kepentingan harta benda awam. Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan falsafah ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

iii. Peranan Masyarakat dan Pihak Sekolah.

Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberikan perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam .Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Terangkan kepada pelajar apa perasaan mereka sekiranya beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka tidak bertanggungjawab Kesedaran seumpama itu akan sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab.

iv. Peranan Media Massa

Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa bentuk rancaangan yang tersiar atau yang terdapat dalam media massa.

Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen ” Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.