Sunday, August 15, 2010

Kesilapan karangan

1. Jangan lupa baca semua karangan contoh yang terdapat dalam Buku Esensi PMR, Buku Kerja Tutorial Terbilang Tg. 1, 2, dan 3, Buku Pendekatan 3P dalam Penulisan Karangan, dan juga Buku Teknik Transformasi dalam Penulisan. Selain itu, semua karangan contoh yang telah saya berikan semasa P&P juga perlu dibaca sekali lagi.

2. Jangan gunakan ungkapan "hal ini kerana", "selain daripada itu", "sehubungan itu", "menceritakan tentang perkara itu", "salah satu daripada punca" dan sebagainya. Gunakanlah ungkapan yang betul seperti "hal ini demikian kerana...", "selain itu", "Sehubungan dengan itu.."menceritakan perkara itu", Satu daripada punca atau salah satu punca", dan sebagainya.

3. Jangan gunakan 2K untuk ejaan kata nama seperti "kebanyakkan", "kerancakkan", dan sebagainya. Gunakan 1K sahaja seperti "kebanyakan", "kerancakan", dan sebagainya.

4. Elakkan penggunaan kata hubung seperti "justeru", "manakala" dan "tambahan pula" sebagai penanda wacana.

5. Jangan lupa masukkan ungkapan yang menarik atau peribahasa dalam karangan anda sekurang-kurangnya satu untuk setiap kata yang menarik, frasa yang menarik, ayat yang menarik, simpulan bahasa, perumpamaan, kata-kata hikmat, bidalan, dan pepatah.

6. Elakkan ayat tergantung seperti ini "Bak kata pepatah,"kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya". Ayat yang betul ialah "Ibu bapa mestilah mendidik anak sejak kecil bak kata pepatah,"kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya."

7. Karangan yang baik perlu ditulis antara 250 hingga 300 patah perkataan.

8. Tulisan dan kekemasan kerja amat perlu diberikan perhatian untuk menarik minat pemeriksa.

9. Jangan tulis T, K, F atau apa-apa simbol dalam karangan anda. Hal ini demikian kerana hanya mereka yang berguru atau menggunakan buku cikgu sahaja yang mengetahui simbol atau akronim tersebut.

10. Perancangan masa amat perlu diberikan perhatian. Sila tentukan masa untuk menjawab setiap soalan.

11. Jangan tulis karangan Bahagian B, iaitu karangan rangsangan melebihi 120 patah perkataan.

12. Pastikan setiap perenggan menepati kehendak teknik penulisan yang telah saya ajarkan.

13. Faktor yang amat mempengaruhi pemeriksa ialah pengoalahan ayat dan penggunaan bahasa. Oleh itu, pastikan pengolahan bahasa karangan anda dapat menarik perhatian pemeriksa.

14. Janganlah terlalu mempercayai soalan ramalan. Anggaplah soalan ramalan tersebut sebagai panduan untuk anda membuat refleksi terhadap diri anda. Jika anda belum mengetahui soalan yang diramalkan, berusahalah untuk mendapatkan maklumat yang terbaharu tersebut.

15. Harap tulis jumlah perkataan karangan atau ringkasan anda dengan betul. Jangan cuba menipu tentang jumlah perkataan yang ditulis kerana pemeriksa tidak menyukai calon yang cuba menipu mereka.