Friday, August 13, 2010

Penggunaan Peribahasa dalam Karangan PMR dan SPM

Penggunaan Peribahasa dalam Karangan PMR dan SPM

Soalan:
Apakah peribahasa yang sesuai digunakan bagi membawa maksud tanggungjawab?
Daripada:
Guest
IP 118.100.140.102

Jawaban:
Setiap calon PMR dan SPM digalakkan menggunakan ungkapan yang menarik dalam penulisan karangan. Selain kata, frasa, dan ayat yang menarik, penggunaan ungkapan atau peribahasa yang tepat dan sesuai sudah tentu akan disukai oleh pemeriksa. Lihat penggunaan peribahasa yang memaparkan nilai tanggungjawab, kerjasama, dan perpaduan dalam ayat-ayat seperti yang di bawah ini:

1. Tanggungjawab:
a. Ibu bapa hendaklah mengasuh dan mendidik anak sejak kecil kerana kalau hendak melentur buluh birlah dari rebungnya.
b. Sebagai rakyat Malaysia kita mestilah mempertahankan negara kita daripada dijajah oleh musuh bak kata pepatah, ”biar putih tulang jangan putih mata”.
c. Kita hendaklah membalas jasa ibu bapa yang telah memelihara dan membesarkan kita supaya kita tidak dikatakan bagai kacang lupakan kulit.
d. Setiap pemuda dan pemudi di negara kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan dan memajukan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
e. Kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi masa depan kerana usaha tangga kejayaan.
f. Semua rakyat Malaysia mestilah menjaga dan memelihara bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita kerana hilang bahasa, lenyaplah bangsa.
g. Saya amat kesal dengan segelintir kakitangan syarikat ini ibarat harapkan pagar, pagar makan padi kerana telah mencuri pelbagai barangan yang disimpan di kilang pada minggu lepas.
h. Saya tidak menyangka kejadian haruan makan anak sering berlaku dalam masyarakat kita kerana sebagai ketua keluarga mereka seharusnya menjaga dan memelihara anak bagai menatang minyak yang penuh.

2. Kerjasama:
a.Kita hendaklah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani gejala sosial yang semakin leluasa dalam kalangan remaja.
b.Sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan, sebaliknya sikap ke bukit sama-sama didaki ke lurah sama-sama dituruni perlulah diamalkan dalam kalangan masyarakat setempat untuk memperkukuh perpaduan.
c. Walaupun tugas itu sangat berat, namun jika kita bersama-sama melakukannya pekerjaan tersebut akan menjadi mudah atau ringan kerana berat sama-sama dipikul, ringan sama-sama dijinjing.
d. Sikap penduduk di taman itu yang selalu berbincang dan bermuafakat untuk melaksanakan sesuatu aktiviti ibarat hati gajah sama-sama dilapah, hati kuman sama-sama dicecah.
e.Sebagai penduduk di dalam sesuatu kawasan taman, kita mestilah sentiasa berbincang atau bermuafakat untuk melakukan sesuatu aktiviti atau program kerana muafakat membawa berkat.
f. Penduduk taman itu telah membuat kata sepakat untuk menubuhkan persatuan penduduk taman bagi menjalankan pelbagai aktiviti.
g.Penduduk kampung itu mengutamakan perbincangan atau permuafakatan dalam pelbagai perkara kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
h. Sikapnya yang melempar batu sembunyi tangan itu amat dikesali oleh pelbagai pihak kerana dia tidak mengaku perbuatannya yang telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penduduk.

3. Perpaduan
a. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum mestilah sentiasa bersatu padu untuk mempertahankan negara daripada diganggu gugat oleh musuh kerana bersatu teguh, bercerai roboh.
b. Kita hendaklah menjaga perpaduan yang telah kita bina dengan menghindarkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan atau kehancuran ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua.
c. Untuk menangani masalah ini, pembeli sewajarnya bersatu kerana cara sedemikian lebih berkesan seperti kata pepatah 'segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi'.
d. Kita mestilah sentiasa berhati-hati kerana musuh dalam selimutlebih berbahaya daripada musuh yang berada di depan mata kita.
e. Pemuda itu seperti musang berbulu ayam kerana kelihatan peramah dan baik orangnya sedangkan dialah yang sebenarnya terlibat dalam pelbagai kes kecurian di kampung ini.
f. Dalam keadaan negara kita yang tidak stabil ini, banyak yang menjadi duri dalam daging untuk menjatuhkan kerajaan.
g. Janganlah ada antara kita yang menjadi gunting dalam lipatanuntuk mengucar-kacirkan perpaduan dalam kalangan ahli persatuan kita ini.
h. Sebagai ahli parti, kita janganlah menikam dari belakang, sebaliknya segala ketidakpuashatian yang ada hendaklah diluahkan dalam mesyuarat.
i. Perhubungan antara kedua-dua orang pemimpin atasan itu ibarat retak menanti belah kerana mereka sering bertelagah dan berselisih pendapat dalam banyak perkara.
j. Kita janganlah melakukan sesuatu perkara yang akan menyebabkan perpaduan yang kita bina selama ini hancur kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
k. Kita janganlah bermain api dalam keadaan negara kita yang aman damai ini kerana seekor kerbau yang membawa lumpur semuanya akan terpalit, iaitu kesilapan yang dilakukan oleh seorang akan menyebabkan semua orang di sekelilingnya ditimpa kesusahan.
l. Sikap sesetengah rakyat yang menjadi seperti api di dalam sekam menyebabkan pihak asing cuba mencampuri urusan pentadbiran negara kita.
m. Dalam perbualan dan percakapan seharian, kita mestilah berhati-hati mengeluarkan kata-kata kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.