Thursday, September 9, 2010

cara-cara meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.

Budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah anda masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Anda sebagai pustakawan sekolah ingin mencadangkan cara-cara meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Tulis cadangan anda itu.

Dewasa ini, amalan membaca dalam kalangan pelajar di sekolah saya masih belum boleh dibanggakan. Kebanyakan pelajar beranggapan bahawa membaca itu hanya sekadar membuang masa dan membosankan. Sebenarnya, amalan membaca buku banyak membawa manfaat kepada pelajar. Melalui pembacaan, penguasaan bahasa dan ilmu seseorang akan bertambah bak kata pepatah membaca jambatan ilmu. Kini, terdapat banyak buku yang telah diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

Pertama sekali, sebagai pustakawan, saya perlu menggalakkan pelajar-pelajar mengamalkan tabiat membaca. Ibu bapa turut berperanan untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca. Ibu bapa harus menjadi teladan yang baik kepada mereka. Mereka wajarlah membaca surat khabar, majalah, buku cerita, jurnal dan lain-lain. Ibu bapa juga boleh mengadakan perpustakaan mini atau sudut bacaan di dalam rumah mereka untuk mendedahkan anak mereka dengan persekitaran membaca. Tabiat membaca harus dipupuk dari kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Di samping itu, guru juga memainkan peranan dalam usaha memupuk amalan yang berfaedah ini. Guru-guru boleh menjalankan pelbagai aktiviti pengajaran berdasarkan bahan bacaan ataupun menganjurkan pertandingan yang dapat merangsang minda pelajar seperti pertandingan membaca, bercerita, bersyarah dan lain-lain. Pihak sekolah haruslah mengadakan kempen kesedaran untuk menggalakkan pelajar untuk membaca pada masa lapang. Ceramah juga harus diberikan kepada pelajar untuk menyedarkan mereka dari semasa ke semasa. Dengan ini, pelajar-pelajar digalakkan untuk meminjam buku di samping memupuk amalan membaca di hati sanubari mereka.

Seterusnya, Kementerian Pelajaran Malaysia juga memainkan peranan penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam yang berasaskan budaya membaca amat wajar dilaksanakan secara proaktif di sekolah. Program ini akan membolehkan setiap pelajar membaca dan meluangkan masa lapang mereka di pusat sumber sekolah. Program ini bukan sahaja dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar, malahan dapat memberikan peluang dan motivasi kepada pelajar untuk berpidato atau bercerita di atas pentas sekali gus melahirkan keyakinan diri.

Akhirulkalam, amalan membaca dalam kalangan pelajar memerlukan kerjasama dan iltizam daripada semua pihak. Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk melahirkan warga pelajar yang rajin membaca kerana remaja pada hari ini merupakan bakal pemimpin yang berwawasan pada masa hadapan.

Disediakan oleh,
Leong Siew Hua, Tingkatan 3, SMK Katholik, 35900 Tg. Malim.