Thursday, September 9, 2010

karangan peranan buku

BUKU

Buku Penjana Minda Rakyat

Tarikh 23 April pada setiap tahun, telah dinobatkan sebagai Hari Buku Sedunia dan Hari Hak cipta oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1995.Tarikh tersebut sebenarnya telah diilhamkan daripada tradisi Catalan, yang lebih dikenali sebagai Festival of the Rose.Mengikut legenda, Saint George telah membunuh naga untuk menyelamatkan Puteri Catalan. Lantas daripada pembunuhan tersebut, darah naga yang mengalir telah menumbuhkan sepohon mawar, dan Saint George telah memetik sekuntum mawar yang paling cantik lalu diberikan kepada puteri tersebut. Sejak itu, pesta mawar (Festival of the Rose) telah disambut oleh masyarakat Barcelona. Setiap jejaka akan menghadiahkan sekuntum mawar kepada kekasihnya.

Pada tahun 1923, pesta tersebut kemudiannya telah digabungkan dengan ‘el dia del llibre’ atau Hari Buku yang juga telah disambut sempena kematian Miguel de Cervantes dan William Shakespeare serta beberapa penulis lain, iaitu pada 23 April 1616. Sejak tahun 1923 itulah, para wanita yang menerima hadiah mawar daripada kekasih mereka, kemudiannya akan menghadiahkan buku sebagai hadiah ganti atas pemberian mawar itu. Juga telah dikatakan bahawa pada tahun itu sahaja sebanyak 400,000 naskhah buku telah terjual dan menjadi hadiah balasan kepada 4 juta kuntum mawar!

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sambutan hari buku ini juga adalah untuk meraikan kesinambungan ilmu yang telah ditinggalkan oleh para penulis, yang bukan sahaja telah meninggal pada tarikh tersebut, malah juga kepada Semua penulis atau ‘guru’ yang telah mengabadikan ilmu mereka dalam bentuk tulisan.Perayaan hari-hari tertentu dalam sejarah manusia sudah menjadi satu kebiasaan. Ada yang memberikan manfaat dan tidak kurang juga yang memudaratkan, malah ada yang membazirkan wang dan masa. Tetapi, hari yang telah dinobatkan oleh satu badan antarabangsa, iaitu UNESCO sememangnya perlu kita raikan. UNESCO telah memilih tarikh ini untuk mempromosikan budaya membaca, penerbitan dan juga menghormati hak cipta (kepada setiap ‘pereka Cipta ilmu-ilmu’ yang telah dibukukan itu).

Ulang tahun Hari Buku Sedunia pada 1 Mac setiap tahun telah disambut di United Kingdom. Negara jiran kita, Indonesia juga menyambut hari jadi Hari Bukunya, yang telah dimulakan dengan jayanya oleh komuniti Forum Indonesia Membaca pada tahun 2006. Mereka mengadakan beberapa aktiviti seperti jualan buku, pameran buku, rumah baca, pertandingan menulis, malah juga dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti perfileman yang berkaitan dengan buku. Yang menariknya, aktiviti-aktiviti ini telah dijayakan oleh ikatan perpaduan 100 organisasi dan penerbit seluruh Indonesia.

Malah, sambutan 23 April ini juga telah diraikan oleh beberapa buah negara lain dengan aktifnya, antaranya seperti Australia, Kanada, Cote d`Ivoire, Cuba, Finland, Jerman, Greece, Itali, Madagascar, Morocco, Mozambique, Puerto Rico, Spain, Sweden.Sambutan di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Dengan adanya beberapa aktiviti perbukuan, seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (pada 4 April hingga 13 April 2008) dan Forum Malaysia Membaca 2008 (pada 13 April 2008 – dan diwujudkan khas sebagai sambutan Hari Buku Sedunia).

Sesungguhnya, tujuan yang baik perlu disertai dengan perancangan yang terurus, sehingga sesuatu perkara yang sekecil mana pun akan berjaya untuk menjadi sesuatu yang besar dan mengagumkan. Biarlah kita mulakan dengan semudah-mudahan perkara, jika diizinkan Tuhan, kita akan menjadi satu gerakan yang berjaya. Walaupun tujuan asal sambutan 23 April ini diilhamkan daripada satu legenda, ‘percintaan muda-mudi’, namun usaha ini kemudiannya telah ‘dimuliakan’ dengan mengevolusikan perayaan itu menjadi perayaan yang lebih bermakna, maka penulis percaya banyak lagi perayaan di Malaysia boleh dikaitkan dengan ilmu dan buku.

Usaha murni ini diharapkan mampu menyedarkan rakyat Malaysia tentang kepentingan dan manfaat buku dan ilmu dalam setiap aspek kehidupan mereka pada alaf globalisasi yang serba mencabar ini.

Lalina Priya, Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.