Thursday, September 9, 2010

Karangan BM Tingkatan 3 - kokurikulum

Karangan BM Tingkatan 3

Kementerian Pelajaran Malaysia memperuntukkan jutaan ringgit bagi subsidi pakaian seragam unit beruniform di sekolah-sekolah Malaysia.Bincangkan faedah-faedah yang diperoleh dengan memakai palaian seragam unit beruniform pada setiap Rabu.

Menurut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, murid-murid dikehendaki memakai pakaian seragam unit beruniform pada setiap hari kokurikulum, iaitu pada hari Rabu setiap minggu. Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperuntukkan jutaan ringgit bagi subsidi pakaian seragam unit beruniform bagi murid-murid yang tidak berupaya untuk membeli atau memiliki pakaian seragam tersebut. Sebenarnya, amalan memakai pakaian seragam unit beruniform mendatangkan pelbagai faedah kepada murid.

Salah satu faedah ialah murid-murid boleh memperkenalkan identiti pasukan masing-masing melalui pakaian seragam unit beruniform. Misalnya, Kadet Remaja Sekolah dan Bulan Sabit Malaysia dapat dikenali dan dibezakan melalui pakaian seragam yang berwarna hijau tua dan putih bersih.

Seterusnya, murid-murid dapat memupuk kesedaran tentang Hari Kokurikulum. Murid-murid akan menyedari kepentingan dan kebaikan kegiatan kokurikulum sama ada di sekolah atau di luar sekolah. Selain tanggungjawab, murid-murid yang menyertai kegiatan kokurikulum secara proaktif dapat menambah pengetahuan dan pengalaman yang diajarkan di luar bilik darjah.

Aktiviti pakaian seragam yang melibatkan murid yang berbilang kaum akan membentuk dan melahirkan generasi murid yang tahu menghormati dan memahami rakan sepasukan di samping dapat mengeratkan tali silaturahim melalui semangat kerjasama dalam pasukan unit beruniform bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

Akhirulkalam, setiap murid, ibu bapa dan guru wajar memberikan kerjasama dan sokongan bulat kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha menggalakkan pemakaian pakaian seragam unit-beruniform kepada murid-murid dari semasa ke semasa khususnya pada setiap hari Rabu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek(JERI).

Disediakan oleh: Ong Pei Zhi, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.