Thursday, September 9, 2010

angkah-langkah memupuk semangat patriotik

BM SPM

BM SPM BAHAGIAN A (30m)
Tajuk:
Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja di negara ini.

Semangat patriotik merujuk kepada sifat patriot, yakni semangat cinta akan tanah air. Semangat ini amat perlu disemaikan dalam kalangan rakyat pada hari ini, khususnya di peringkat remaja lagi. Semangat ini juga amat penting dalam usaha kita merealisasikan pembinaan negara bangsa sekali gus mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara yang tercinta.

Sebenarnya, terdapat beberapa langkah yang membina untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja di negara ini. Pertama sekali usaha kerajaan dalam menganjurkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh pelosok negara dapat membentuk remaja yang mengutamakan semangat berpasukan di samping merapatkan hubungan silaturahim. Selain itu, semangat patriotik dalam kalangan peserta pelbagai kaum dapat dipupuk melalui aktiviti PLKN seperti kawad berpasukan, kayak, merentas desa dan aktiviti kepemimpinan.

Semangat patriotik dalam kalangan remaja juga dapat diperkukuh melalui penglibatan remaja dalam program kemerdekaan negara seperti sambutan Malam Ambang Kemerdekaan, ceramah, bicara tokoh sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri atau di seluruh negara. Pengisian program yang bercorak kreatif dan menarik ini dapat mendorong golongan remaja untuk menghayati detik-detik perjuangan dan kemerdekaan tanah air daripada belenggu penjajah.

Selain program kemerdekaan negara, semangat patriotik remaja juga dapat dipupuk melalui majlis menghargai jasa pahlawan negara yang telah berjuang dan terkorban dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara daripada ancaman musuh. Majlis seperti “Jasamu dikenang” dapat mengimbas setiap perjuangan yang telah dipelopori oleh wira dan serikandi negara seperti Sarjan Hassan, Kanang Anak Langkau dan Leftenan Adnan.

Sehubungan dengan hal itu, program kemasyarakatan turut mampu menyemaikan semangat patriotik dalam kalangan remaja. Sesungguhnya, golongan remaja perlu melibatkan diri secara proaktif dalam program kemasyarakatan seperti program Gotong-royong Perdana, kempen Masyarakat Penyayang, Cegah AIDS, H1N1 dan sebagainya. Program kemasyarakatan seumpama ini perlu dipraktikkan awal agar nilai-nilai patriotisme dapat dipupuk kukuh di hati sanubari anak-anak remaja bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Akhirulkalam, kerjasama erat dan sokongan intim daripada semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru-guru amat diperlukan untuk membenihkan semangat patriotik dalam diri setiap remaja di negara kita. Sesungguhnya remaja pada hari ini merupakan aset penting atau tonggak nusa bangsa pada masa yang akan datang.

Nur Syarafana bt. Abd Razak,
Tingkatan 5 Sains 3, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim,
Perak Darul Ridzuan.