Thursday, September 9, 2010

Karangan Kokurikulum

Tajuk.
Minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun. Huraikan langkah - langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum.

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa pengllibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun dari semasa ke semasa. Sebenarnya, jika kita halusi kegiatan kokurikulum merangkumi kegiatan atau aktiviti yang dilaksanakan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti kegiatan unit beruniform, persatuan atau kelab dan permainan.

Sebenarnya, kegiatan kokurikulum banyak mendatangkan faedah kepada pelajar-pelajar terutamanya dari aspek ilmu, kepemimpinan dan kesihatan. Oleh itu, semua pihak termasuklah ibu bapa haruslah mengambil tindakan proaktif untuk menggalakkan pelajar-pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum.

Antara langkah yang patut diambil ialah memberikan taklimat dan kesedaran kepada ibu bapa atau penjaga. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa mempunyai konsep dan persepsi yang salah tentang kegiatan kokurikulum. Mereka berpendapat bahawa markah peperiksaan merupakan segala-galanya. Penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum kononnya akan mengurangkan masa belajar anak-anak mereka. Oleh itu, mereka akan cuba menghalang anak-anak mereka daripada menyertai kegiatan kokurikulum. Bagi mengubah konsep dan persepsi salah mereka, maka kerajaan haruslah menganjurkan kempen dan sesi ceramah untuk memberi ibu bapa maklumat yang betul tentang tujuan dan manfaat pelajar yang melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Dengan adanya usaha sedemikan, maka mereka akan menggalakkan anak-anak mereka menyertai kegiatan kokurikulum.

Selain itu, pihak sekolah juga harus senantiasa menekankan kepentingan kegiatan kokurikulum dalam dunia kehidupan dan kerjaya masa depan pelajar. Pihak sekolah boleh menganjurkan sesi ceramah atau merealisasikan minggu kokurikulum bagi menanamkan minat pelajar terhadap kegiatan kokurikulum. Orientasi kokurikulum difikirkan amat perlu untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar-pelajar baharu, khususnya pelajar-pelajar Kelas Peralihan dan Tingkatan Satu pada minggu pertama sesi persekolahan supaya mereka lebih mengenali dan mengetahui jenis kegiatan kokurikulum yang wujud dan akan dijalankan sepanjang tahun di sekolah, bak kata peribahasa Melayu tak kenal, maka tak cinta. Minat pelajar baharu akan meningkat apabila mengetahui wujudnya pelbagai aktiviti mengikut cita rasa dan minat pelajar dijalankan oleh pihak sekolah seperti program perkhemahan, ekspedisi dan sebagainya.

Tambahan pula, kerajaan harus memberikan penekanan kepada kegiatan kokurikulum dengan menjadikan markah pencapaian kokurikulum tahunan sebagai salah satu syarat utama bagi pelajar-pelajar untuk memasuki kolej ataupun universiti awam tempatan. Mereka yang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan juga mempunyai keputusan peperiksaan akademik yang cemerlang harus diberi keutamaan. Hal ini difikirkan mampu menggalakkan pelajar untuk menyertai lebih banyak aktiviti kokurikulum dalam pelbagai peringkat dan jenis untuk meraih peluang dan kesempatan untuk memasuki kolej atau universiti awam tempatan pilihan mereka. Syarat ini juga boleh diaplikasikan dalam penentuan calon untuk mendapat biasiswa negeri atau biasiswa persekutuan.

Sehubungan dengan hal itu, sistem pengiraan markah kokurikulum di peringkat sekolah harus diperketat bagi mengelakkan penipuan. Usaha pemantauan dan pemerhatian oleh guru-guru penasihat dan pihak berwajib kokurikulum sekolah dapat membantu usaha untuk mengekang gejala negatif tersebut. Setiap aktiviti yang disertai oleh pelajar perlu disokong dengan bukti seperti sijil penyertaan, sijil kepujian atau sijil kecemerlangan sama ada di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan mahupun di arena antarabangsa. Bagi mengelakkan berlakunya masalah ini, guru-guru penasihat haruslah senantiasa memantau buku rekod kehadiran pelajar dari semasa ke semasa.

Masyarakat luar juga harus menyokong usaha kerajaan dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai melalui kempen dan sesi ceramah. Mereka boleh menyediakan tempat yang sesuai kepada pihak yang berwajib di samping menghulurkan bantuan sama ada berupa sokongan moral, wang ringgit, hadiah galakan dan perkhidmatan agar masyarakat umum memahami matlamat dan objektif kegiatan kokurikulum dalam sistem pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Kesimpulannya, kegiatan kokurikulum memainkan peranan yang amat penting kepada pelajar-pelajar. Semua pihak haruslah senantiasa berganding bahu dan berusaha gigih untuk menggalakkan setiap pelajar sama ada di bandar atau di luar bandar untuk menyertai kegiatan kokurikulum kerana kegiatan tersebut dapat melahirkan modal insan yang mampu memimpin negara kita sekali gus merealisasikan Wawasan 2020. Sesungguhnya, generasi pelajar pada hari ini merupakan umarak nusa bangsa yang cemerlang pada masa hadapan sejajar dengan slogan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara!

Disediakan oleh: Tan Ke Yang, Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg. Malim.