Thursday, September 9, 2010

Karangan Tingkatan 3 - Penggunaan Kad Kredit

Karangan Tingkatan 3 - Penggunaan Kad Kredit

Penggunaan kad kredit banyak memberikan kesan kepada masyarakat. Bincangkan pernyataan ini.

Pada masa ini, penggunaan kad kredit semakin mendapat sambutan orang ramai. Pelbagai bank tempatan telah menawarkan kad kredit kepada pelanggan. Kad kredit merupakan salah satu sistem kewangan yang memudahkan urusan orang ramai tanpa melibatkan penggunaan wang secara langsung dan boleh dibayar balik secara ansuran.

Kalau diteliti dengan bersungguh-sungguh, penggunaan kad kredit mempunyai keburukan dan kebaikan kepada pemiliknya. Dari segi kebaikannya, setiap pengguna boleh menggunakan kad kredit untuk membeli barangan walaupun tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi semasa membeli-belah.

Dari segi keselamatan pula, pemilik atau pengguna kad kredit lebih selamat daripada dirompak atau disamun oleh pencuri kerana mereka tidak membawa wang yang banyak. Dengan adanya kad kredit, kita juga dapat berbelanja pada bila-bila masa. Kad kredit juga banyak membantu kita apabila berlaku kecemasan dan kemalangan kerana malang tidak berbau.

Sebaliknya, kad kredit juga turut membawa keburukan kepada pengguna jika kita tidak menggunakan kad kredit dengan bijak. Kita akan mula bersikap boros ketika berbelanja. Lama-kelamaan, kita akan dibelenggu beban hutang kad kredit yang besar sekali gus merumitkan kehidupan dan menjerumuskan diri kita ke lembah muflis.

Akibat hutang kad kredit yang kian bertambah, maka akan timbul pula keinginan kita untuk meminjam wang daripada lintah darat. Perbuatan tersebut lambat-laun akan membabitkan diri kita dan keluarga dalam keadaan yang berbahaya dan sukar. Sekiranya kad kredit kita hilang tanpa disedari, tercicir atau kecurian barangkali akan timbul pula pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bertindak memalsukan dan menyalahgunakan kad kredit kita.

Biarpun kad kredit mempunyai kebaikan, tetapi kesan buruknya cukup banyak juga. Kebaikan dan keburukan ini bergantung kepada diri kita sama ada kita pandai menggunakan kad kredit atau sebaliknya. Sebenarnya pengguna kad kredit perlu senantiasa berdisiplin. Sekiranya tidak, kad kredit tersebut akan melibatkan kita dalam buana hutang piutang yang amat dahsyat.

Disediakan oleh,
Cheong Chin Ying, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.