Thursday, September 9, 2010

Karangan Kokurikulum

Tajuk Karangan :
Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Huraikan kebaikan kegiatan kokurikulum.

Dalam sistem persekolahan Malaysia, semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Kegiatan ini merujuk kepada sebarang bentuk aktiviti yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang melibatkan aktiviti seperti unit beruniform, persatuan atau kelab dan permainan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan mendatangkan pelbagai kebaikan kepada mereka. Kebaikan ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada pelajar semasa di sekolah tetapi juga pada masa hadapan dan dunia kehidupan pelajar di mata masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pelajar harus digalakkan supaya bergiat aktif dalam kegiatan ini.

Pertama-tama, kegiatan kokurikulum berkemampuan untuk memupuk nilai disiplin yang tinggi dalam diri pelajar. Hal ini disebabkan para pelajar yang menyertai kokurikulum akan dilatih mematuhi peraturan, menepati masa, menghormati pemimpin dan perlu bekerjasama dalam kumpulan. Maka, para pelajar dapat dilatih menjadi lebih disiplin dan mampu menjalani dunia kehidupan seharian dengan betul, yakin dan bertanggungjawab.

Jika berdisiplin, seseorang pelajar itu mampu merancang masa depannya dengan kejayaan pada suatu hari nanti. Sikap menepati masa pula dapat melatih seseorang untuk menguruskan masa mereka dengan bijak supaya sesuatu tugasan yang diamanahkan dapat disempurnakan pada masa yang tepat. Oleh itu, pelajar wajarlah melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang bermanfaat ini.

Kegiatan kokurikulum juga mampu mencungkil bakat-bakat pelajar khususnya bakat kepimpinan kerana remaja pelajar pada hari ini merupakan bakal umarak bangsa yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum merupakan wadah kepada generasi pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberi mereka suatu keyakinan yang mantap terhadap kemampuan diri untuk melayari bahtera kehidupan di lautan yang senantiasa bergelora ini. Jadi, mereka akan dapat mengenal pasti dan menggilap bakat yang sedia ada untuk mengembangkannya ke tahap maksimum supaya mereka akan menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang kelak.

Masa yang terluang dapat diisi dengan aktiviti yang berfaedah di samping mengelakkan pelajar daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat dan tidak bermoral. Misalnya, aktiviti kokurikulum dapat membantu pelajar-pelajar menimba pengalaman, kemahiran, dan pengetahuan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Dalam masa yang sama, pembabitan pelajar akan memastikan mereka agar tidak terbabit dalam aktiviti yang tidak sihat seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam jenayah, penyalahgunaan dadah dan maksiat. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat.

Selanjutnya, kegiatan kokurikulum turut menjadi batu loncatan kepada para pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan. Kebanyakan institusi pengajian tinggi awam bukan sahaja amat mementingkan prestasi pelajaran pelajar tetapi juga prestasi kokurikulum juga. Maka, pelajar yang terlibat aktif akan mendapat kelebihan dari segi peluang kemasukan ke IPT. Perkara ini akan menjadi dorongan kepada pelajar supaya melibatkan diri dan mengelakkan sikap acuh tak acuh pelajar terhadap kegiatan kokurikulum di sekolah.

Kegiatan kokurikulum juga dapat menyihatkan badan pelajar. Peluh yang keluar dapat menghilangkan sisa toksik badan dan menyegarkan tubuh bak kata pepatah otak yang cergas berada pada badan yang sihat. Pelajar pada era moden ini sering menghadapi masalah dan rintangan kesihatan. Justeru, melalui pembabitan yang berkesinambungan dalam kegiatan kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Hal itu disebabkan aktiviti kokurikulum seperti permainan bola tampar, Kadet Remaja Sekolah, Kelab Teater dan sebagainya mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada buana peperiksaan yang cukup mencabar minda dan ketabahan diri mereka. Dalam erti kata yang lain, minda mereka dapat berehat sebentar apabila pelajar melakukan aktiviti kokurikulum sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah dipantau dan dijalankan di setiap sekolah tanpa gagal dalam usaha kita untuk melahirkan generasi pelajar yang bakal menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkeupayaan untuk memangkinkan pembangunan bangsa dan negara selaras dengan gagasan perdana negara, iaitu Gagasan Satu Malaysia!

Disediakan oleh : Lee Man Howe, Tingkatan 5 Sains I, SMK Methodist, Tg.Malim.