Thursday, September 9, 2010

GAGASAN SATU MALAYSIA

GAGASAN SATU MALAYSIA

GAGASAN SATU MALAYSIA

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan gagasan Satu Malaysia pada permulaan tahun penyandangan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam . Usaha murni ini merupakan langkah pertama yang telah diambil oleh beliau untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang sosioekonominya.

Sebenarnya , gagasan Satu Malaysia bermatlamat utama untuk memberikan hak yang sama kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira ras, agama dan latar belakang. Konsep Satu Malaysia yang dipelopori YAB Perdana Menteri juga bertujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan perkara-perkara yang benar-benar berdekatan hati kita sebagai satu bangsa yang unggul. Menerusi gagasan Satu Malaysia, kita juga berkesempatan untuk meluahkan pandangan bernas dan membina di samping berkongsi dan menerokai kepelbagaian perspektif dalam kehidupan kita sehari-hari.

Selain itu , gagasan Satu Malaysia juga berdasarkan lapan nilai utama yang merangkumi budaya kecemerlangan , ketabahan , rendah hati dan sebagainya. Nilai budaya kecemerlangan akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan dan mutu pencapaian yang lebih tinggi . Ketabahan dalam setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan nilai ketabahan atau kecekalan dan ketekunan yang berkesinambungan. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan barisan pemimpin dan rakyat yang tabah dan cekal untuk menghadapi segala rintangan dan dugaan. Tanpa ketabahan dan ketekunan, barangkali kita tidak akan berjaya sepenuhnya walaupun memiliki bakat dan kemewahan hasil mahsul nusa.

Seterusnya, nilai rendah diri juga merupakan antara sifat yang penting untuk dimiliki oleh setiap warganegara. Segala kemampuan yang dimiliki tidak perlu dibanggakan dengan cara yang tidak digemari . Penerimaan juga merupakan salah satu nilai yang amat penting. Konsep penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif sepenuhnya terhadap sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa paksaan.

Nilai kesetiaan pula amat diperlukan berdasarkan prinsip kedua Rukun Negara yang wajib dipegang oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berbelah bahagi . Nilai meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu dipraktikkan dalam negara yang berdemokrasi bagi memastikan mereka yang layak memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan dan kemajuan negara . Pendidikan dan pengetahuan merupakan prasyarat yang penting untuk mana-mana negara untuk mencapai kejayaan kerana generasi muda pada hari ini merupakan umarak nusa bangsa pada masa hadapan.

Nilai terakhir, iaitu integriti merangkum aspek kepercayaan dan keyakinan yang perlu diamalkan oleh semua pihak, yakni bermula daripada barisan pemimpin sehingga semua peringkat masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan.

Akhir kata, matlamat gagasan Satu Malaysia bertujuan murni untuk meningkatkan dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia. Kepelbagaian yang diwarisi selama ini merupakan kekuatan yang padu ke arah kemajuan, kemakmuran dan keamanan bangsa dan negara pada hari ini, esok dan selama-lamanya.


Disediakan oleh:
Teoh Soo Shin , Tingkatan 3 Cekal, SMK Methodist, Tg. Malim.