Thursday, September 9, 2010

Karangan BM - Ilmu Pelita Hidup

Karangan BM PMR - Ilmu Pelita Hidup

Tulislah suatu karangan berdasarkan ungkapan “Ilmu pelita hidup”.

“Ilmu pelita hidup”. Kita mestilah menghayati ungkapan ini dan mendapatkan ilham untuk belajar bersungguh-sungguh. Amalan membaca memberi manusia pengetahuan yang mendalam. Sejak zaman kanak-kanak lagi, minat membaca sewajarnya kita pupuk untuk menyuntikkan semangat cinta akan bahan bacaan.

Kita perlulah menyemaikan amalan membaca untuk membolehkan kita meluaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Sekiranya kita jarang mengamalkan budaya membaca, maka kita akan ketinggalan dalam buana ilmu dan kemahiran. Barangkali, kita akan diperli atau diketawakan oleh kawan-kawan sehingga diri kita dianggap sebagai katak di bawah tempurung. Hal ini akan mempengaruhi dunia kehidupan kita dan seterusnya akan menjejaskan masa depan kita.

Sebenarnya, dunia ilmu amat penting kepada pelbagai lapisan rakyat dalam sesebuah negara. Ilmu dapat membantu pelajar semasa menghadapi dunia peperiksaan. Bagi orang dewasa pula, ilmu membolehkan mereka menguasai kemahiran dan keperluan tugas masing-masing dengan mudah dan berkesan. Oleh itu, kita haruslah senantiasa membaca pada setiap masa agar masa depan kita terjamin bak kata slogan, yakni bangsa membaca, bangsa berjaya.

Dewasa ini, masyarakat moden kian giat memburu dunia kerjaya yang menawarkan sumber pendapatan yang lumayan. Oleh sebab itu, sebagai pesaing yang berpotensi di dunia yang serba mencabar ini, kita perlu menimba ilmu melalui bahan bacaan yang bermutu dan bermanfaat. Dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran, maka kita lebih mudah untuk memperoleh kerjaya yang membanggakan.

Kita dapat mengisi masa lapang dengan membaca surat khabar, makalah atau majalah yang bermutu dan berfaedah. Usaha yang baik ini membolehkan kita menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam kegitan samseng jalanan dan sebagainya. Masa lapang perlu kita isi dengan bahan-bahan bacaan ringan atau bahan yang bersifat ilmiah untuk membantu proses pembelajaran dan pengajaran sama ada di dalam bilik darjah atau di luar sekolah.

Sesungguhnya, ilmu yang kita peroleh melalui bahan bacaan umpama pelita hidup yang bakal menerangi dunia kerjaya dan kehidupan kita di alam sarwajagat yang serba canggih dan mencabar ini. Bacalah kita untuk memperoleh ilmu kerana ilmu pelita hidup.
Disediakan: Leong Siew Hua, Tingkatan 3H, SMK Katholik, 35900 Tg. Malim.