Thursday, September 9, 2010

Indah Budi kerana Bahasa

Indah Budi kerana Bahasa
























Indah Budi kerana Bahasa

Masyarakat Melayu begitu menghargai dan menjunjung tinggi budi. Masyarakat Melayu juga menilai segala sesuatu itu berdasarkan pada budi. Buktinya, kecantikan seseorang bukan dinilai pada paras rupanya tetapi dinilai pada budi bahasanya. Manusia akan dipandang hina jika tidak berbudi, dan satu-satu bangsa itu pula akan runtuh jika budinya runtuh. Hal ini tergambar dalam pantun Melayu lama di bawah:

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.

Tanda-tanda budi pula ialah bahasa, dan antara wang ringgit dengan budi, budilah yang tetap dipandang orang, dan budi yang baik pula akan sentiasa dikenang sampai mati. Gambaran tentang peri pentingnya budi ada diungkapkan dengan begitu indah dalam pantun Melayu lama seperti yang berikut:

Makan sirih berpinang tidak,
Pinang ada di bawah tangga;
Makan sirih mengenyang tidak,
Tanda budi dengan bahasa.

Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit pandangan orang,
Pandangan atas budi pekerti.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan budi bahasa dan mengapa ia dianggap penting? Budi ialah pekerti yang baik atau akhlak terpuji. Akhlak yang terpuji itu termasuklah tutur kata dan budi bahasa yang baik, keikhlasan, kejujuran, kebenaran, pemurah, belas kasihan, bertimbang rasa, tolong-menolong, berjasa dan berbakti. (Mustafa Haji Daud, 1995: 1). Apabila kata budi ditambah dengan awalan ber- akan menjadi berbudi. Kata berbudi bermaksud mempunyai budi, atau mempunyai pekerti yang baik atau akhlak terpuji, dan orang yang berbudi ialah orang yang berpekerti baik atau berakhlak terpuji.

Sementara bahasa pula ialah 1. sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dsb.); 2. percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, sopan santun (Kamus Dewan: 2005: 106).

Apabila kata berbudi dicantumkan dengan bahasa, jadilah berbudi bahasa. Berbudi bahasa bermaksud mempunyai budi bahasa dan orang yang berbudi bahasa ialah orang yang mempunyai budi bahasa. Orang yang berbudi bahasa ialah orang yang berbudi melalui bahasa atau bahasa sebagai budi. Hal ini kerana budi itu amat luas maksud atau bidangnya dan bahasa adalah salah satu daripadanya. Bagi yang mempunyai harta, mereka boleh berbudi dengan menyumbangkan harta untuk tujuan kebajikan; yang mempunyai tenaga boleh menyumbangkan budi dengan menyumbangkan tenaga seperti dalam kerja-kerja gotong-royong; dan bagi yang mempunyai fikiran yang bernas boleh menyumbangkan idea-idea yang bernas dan berkesan untuk tujuan-tujuan kebaikan. Begitulah luasnya budi. Bagi yang ikhlas, budi bukan untuk dibalas.

Dr. Sidik Baba (Berita Harian, 4 April 2005) pula menyatakan berbudi bahasa bermaksud amalan yang memupuk sikap kesalingan menggunakan bahasa yang baik, tanda hormat, penghargaan, terima kasih dan faham akan makam atau martabat seseorang. Berbudi bahasa adalah gambaran pancaran hati jernih yang diungkapkan secara baik dan mesra serta memberikan kesan baik pula pada orang lain.
Dengan berbudi bahasa, silaturahim dapat dijalin, rasa mahabbah (kasih sayang) dapat dipupuk, dan sifat persaudaraan dapat disuburkan. Dengan adanya situasi ini, ia dapat dijadikan asas yang baik dalam proses pembinaan masyarakat beradab dan akhirnya menjadi masyarakat yang bertamadun.

Asas budi bahasa sebenarnya merupakan asas ajaran agama. Islam menganjurkan penganutnya memberikan salam apabila bertemu. Begitu juga ketika memulakan percakapan atau ucapan, serta apabila ingin masuk ke sesuatu tempat. Yang muda memberi salam kepada yang tua; yang mendatangi pula memberi salam kepada yang sedia menunggu; dan pengunjung rumah memberi salam kepada tuan rumah.

Berbudi bahasa juga merujuk kepada asas penggunaan bahasa yang tepat dan sopan. Bahasa yang dilafazkan hendaklah mengandungi maksud yang baik dan nilai-nilai yang murni, serta dilafazkan dengan nada yang elok dan jelas maksudnya. Penggunaan bahasa yang kasar dan dilafazkan dengan terpekik-pekik serta bercampur dengan lucah hendaklah dihindarkan kerana boleh mempengaruhi pendengarnya khususnya kanak-kanak.

Bangsa yang beradab dan umat yang bertamadun merupakan bangsa dan umat yang berbudi bahasa. Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat. Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat. Berbudi bahasa juga tidak menggambarkan jiwa rendah diri seseorang, tetapi menggambarkan kekuatan peribadi yang ada pada seseorang.

Semua orang yang normal sebenarnya tidak bermasalah untuk mengamalkan sikap berbudi bahasa kerana bahasa ialah modal yang dianugerahkan oleh Tuhan. kepada setiap orang. Untuk memiliki sikap berbudi hanyalah bermodalkan keinginan menaburkan jasa dan bakti melalui bahasa yang baik dan sopan sebagai wahana.

Sayangnya, budi bahasa dan nilai-nilai murni sudah semakin terhakis dalam diri anggota masyarakat negara kita. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di persekitaran kita, misalnya perbuatan vandalisme yang menjadi-jadi. Lebih parah masalah sikap tidak berbudi bahasa sesetengah pengguna jalan raya hingga boleh membawa padah dan menyebabkan kematian.

Pada awal tahun ini sahaja (2005) tiga kes pembunuhan diberitakan berlaku, iaitu di Shah Alam, di Jalan Sungai Besi, dan di Perak, yang berpunca daripada beberapa insiden di jalan raya yang tidak disengajakan. Kalau dahulu, kematian di jalan raya lazimnya di sebabkan oleh kemalangan yang berpunca daripada kecuaian pemandu ataupun masalah teknikal pada kenderaan, tetapi sekarang ada “gejala” baru yang tidak terduga oleh kita sebelum-sebelum ini.

Masalah pembuli jalan raya yang sering menimbulkan pelbagai kes di atas jalan raya berpunca daripada sikap tidak berbudi bahasa dan tidak menghormati hak orang lain. Kadang-kadang hanya kerana kemalangan kecil ataupun masalah kecil di atas jalan raya, boleh mencetuskan pergaduhan dan ada yang membawa kepada pembunuhan. Hal ini terjadi kerana sikap berbudi bahasa dan bersopan santun sudah tidak ada lagi dalam diri individu tersebut. Masing-masing tidak mahu mengalah dan ditambah lagi dengan sikap ingin mempamerkan kebolehan dan kecekapan yang tidak kena pada tempatnya.

Selain itu, budaya berbudi bahasa ketika di rumah semakin pudar, bahkan konsep “rumahku, syurgaku” tidak lagi diterapkan sepenuhnya. Rumah seolah-olah berfungsi sebagai tempat untuk tidur sahaja. Urusan menyediakan makan minum anak-anak diserahkan kepada pembantu. Anak-anak hanya bertemu dengan ibu bapa apabila memerlukan sesuatu. Lantaran itu, timbullah pula masalah untuk menerapkan sikap berbudi bahasa di rumah. Sikap menghormati ibu bapa semakin terhakis kerana anak-anak jarang dapat bertemu dengan ibu bapa masing-masing. Ibu bapa juga tidak dapat menonjolkan teladan yang baik kepada anak-anak kerana masa mereka di rumah agak terhad. Akhirnya, kebiasaan atau sikap anak-anak sewaktu ibu bapa tiada di rumah terbawa-bawa juga semasa ibu bapa ada di rumah.

Sikap anak-anak yang kurang mendapat didikan di rumah akan dibawa pula ke sekolah. Di sekolah, lantaran kurangnya budi bahasa, guru pula yang menjadi mangsa. Kenderaan guru dicalar dan digores sesuka hati sekiranya pelajar tidak berpuas hati dengan tindakan guru mereka. Lebih parah lagi, amalan buli-membuli dan gengsterisme semakin menjadi-jadi dan yang menjadi mangsa adalah pelajar yang lemah bahkan kadang-kadang rakan sendiri.

Kematian seorang pelajar akibat dipukul secara beramai-ramai oleh rakan sendiri, di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada tahun 2004 menggambarkan sikap segelintir pelajar yang melampaui batas dan susila seseorang remaja. Insiden tersebut diberitakan hanya berpunca daripada keengganan mangsa meminjamkan cerek miliknya kepada rakannya. Mungkin mangsa mempunyai alasan untuk tidak meminjamkan cereknya kepada rakannya itu, tetapi hal ini tidak bermakna mereka boleh bersikap kasar sedemikian sehingga membawa maut. Akibat sikap yang tidak bercirikan pelajar yang bermoral, mereka terjebak dalam kancah jenayah dan sekolah seolah-olah tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk pelajar.

Lantaran itu, “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni” yang dicetuskan ilhamnya dan dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai semangat bersatu padu, bertoleransi, saling memahami dan bekerjasama, serta cinta akan negara, sangat kena pada masanya. Kempen ini telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, pada 11 Januari 2005.

Sewaktu merasmikan kempen tersebut, Perdana Menteri menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai oleh negara ini hanya dapat dikekalkan jika masyarakat mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi. Negara bukan sahaja memerlukan rakyat yang berkemahiran tinggi, tetapi juga memerlukan rakyat yang mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni. Budi bahasa dan nilai-nilai murni inilah yang akan dapat memastikan kejayaan yang telah dicapai oleh negara tidak dirosakkan oleh masyarakat yang runtuh moralnya.

“Sejarah telah membuktikan bahawa banyak empayar atau negara yang maju telah runtuh lantaran generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah. Generasi yang mewarisi negara itu terdiri daripada mereka yang lupa daratan, berkelakuan tidak baik dan bersengketa antara satu sama lain, serta melakukan perbuatan yang tidak bermoral,” tegas Perdana Menteri Malaysia.

Selanjutnya, beliau meminta agar rakyat Malaysia membuktikan bahawa walaupun negara telah mencapai kejayaan, tetapi masyarakatnya masih mampu mempunyai dan mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Beliau juga turut melahirkan rasa kebimbangannya kerana budi bahasa dan nilai-nilai murni kini semakin hilang di kalangan masyarakat negara ini.

Perdana Menteri menunjukkan bukti beberapa sindrom negatif yang kini telah dipandang sebagai suatu kebiasaan dalam kalangan masyarakat negara ini, seperti tabiat memandu yang kurang sopan dan berbahaya, kurangnya rasa sayang terhadap harta benda awam yang menjadi milik bersama, dan kekerasan terhadap pelanggan. Beliau turut menegur sesetengah kakitangan perkhidmatan awam, terutamanya yang berkhidmat di kaunter khidmat pelanggan yang masih tidak memberikan layanan yang baik kepada pelanggan.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kempen itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha membentuk masyarakat Malaysia yang mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi akan menjadi satu aktiviti penting kerajaan. Hal ini kerana kerajaan memerlukan satu tenaga kerja yang berkemahiran dan mempunyai moral yang tinggi. Kualiti tenaga kerja bukan sahaja diukur dari segi pendidikan, kepakaran dan teknologi yang mereka miliki, tetapi juga diukur dari segi moral, tanggungjawab serta budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Untuk memastikan budi bahasa dan nilai-nilai murni tidak terhakis dalam budaya hidup masyarakat negara ini, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing, terutamanya ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan. Ibu bapa perlu berperanan mendidik anak-anak sejak awal lagi dengan menyemai budi bahasa yang baik di rumah. Percakapan antara suami dengan isteri; ibu bapa dengan anak-anak; dan antara anggota keluarga di dalam rumah sewajarnya menggunakan bahasa yang baik dan sopan. Hal ini penting untuk mewujudkan suasana yang baik dan harmoni dalam keluarga yang bakal dicontohi oleh anak-anak.

Kata-kata yang kasar dan mencarut hendaklah dielakkan kerana boleh mempengaruhi pembentukan jiwa kanak-kanak. Bahasa yang halus dan penuh sopan santun hendaklah dibiasakan penggunaannya di rumah. Apabila kanak-kanak meningkat dewasa kelak, mereka akan turut menggunakan kata-kata yang biasa didengar di rumah. Jika mereka terdedah kepada kata-kata yang baik, maka kata-kata yang baik itulah yang akan digunakan kelak, begitu juga sebaliknya.

Sekolah pula perlu menjadi institusi pembentukan akhlak dan sebagai tempat menanam bibit kemanusiaan yang sebenar. Guru sewajarnya berperanan sebagai ibu bapa kepada para pelajar, dan para pelajar pula perlulah bersikap seperti anak-anak kepada guru. Mereka perlulah menghormati guru sebagaimana mereka menghormati ibu bapa. Para pelajar pula perlulah menganggap rakan-rakan sebagai saudara sekandung atau adik-beradik. Barulah peristiwa yang pernah terjadi di Negeri Sembilan itu tidak berulang.

Yang tua pula perlulah dihormati dan yang muda disayangi, dan antara yang muda dengan yang tua hendaklah saling bertoleransi. Pihak kerajaan pula haruslah meningkatkan dan menggiatkan kempen ke arah meningkatkan budi bahasa dan nilai-nilai murni melalui saluran media cetak dan elektronik. Selain itu, pihak media massa terutamanya media massa swasta, hendaklah memberikan ruang yang sewajarnya kepada kempen kerajaan ini. Mereka tidak seharusnya mementingkan aktiviti atau program komersial semata-mata. Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus juga dijadikan salah satu agenda perjuangan mereka.

Zaidi Ismail
(Sumber: Pelita Bahasa Jun 2005)