Thursday, September 9, 2010

Masalah kenaikan harga barang

Soalan contoh:
Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah memberikan banyak kesan kepada para pengguna di negara kita. Jelaskan kesan-kesan tersebut dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

Rangka Karangan

Pendahuluan (IKCLH @ IKTHH)
Kenaikan harga petrol – kenaikan harga barang – perlu tingkatkan usaha – kenaikan harga boleh dikawal – perlu berusaha untuk kawal kenaikan

Isi-isi Penting (IKTHH @ IKCLH @ 5W1H)
i. Kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit – kuasa beli berkurangan – harga barang keperluan dapur meningkat – mendatangkan kesan kepada pengguna – perlu bijak berbelanja.
ii. Kadar inflasi meningkat – ekonomi bermasalah – beri contoh – menyusahkan masyarakat – perlu jimatkan perbelanjaan.
iii. Jalankan kempen jimat cermat – sampaikan mesej – gunakan media arus perdana – beri kesedaran – kenaikan harga dapat ditangani.
iv. Rancang perbelanjaan seharian – beli barang yang perlu – beli barang yang murah – dapat jimatkan wang – kurangkan masalah.
v. Pengguna digalakkan menanam sayur – tak perlu beli sayur – tanam sayur sendiri – berikan kepada jiran – eratkan hubungan

Kesimpulan (RCAPH @ KHH)
Amalan berjimat cermat – sedar akan kenaikan harga – timbulkan banyak masalah – jangan sudah terhantuk baru nak tengadah – tangani kenaikan harga barang.


Harga petrol yang meningkat di seluruh dunia telah menyebabkan kenaikan harga bahan bakar tersebut tidak dapat dielakkan dan turut meningkat di negara kita. Kenaikan tersebut telah menyebabkan kenaikan semua harga barang di pasaran. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah memainkan peranan dengan mengambil langkah yang perlu dan meningkatkan usaha untuk mengawal kenaikan harga barang itu agar berpatutan dan tidak terlalu tinggi. Hasilnya kenaikan harga barangan lain masih boleh dikawal dan kenaikan tersebut masih boleh diterima oleh anggota masyarakat. Untuk menghadapi masalah ini juga, semua pihak perlulah berganding bahu dalam mengekang kenaikan harga barang yang melampau dan bekerjasama dengan kerajaan untuk mengawal kadar inflasi yang semakin meningkat, seperti kata pepatah "Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing".

Kenaikan harga barangan telah memberikan kesan kepada semua orang, antaranya ialah masalah ini akan menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini demikian kerana, kuasa beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Sebagai contohnya, barang-barang keperluan dapur semakin meningkat dan dianggarkan meningkat dalam lingkungan 20 hingga 50 peratus daripada harga yang sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini cuma cukup makan sahaja. Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlulah berbelanja dengan bijak dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu kerana beringat sebelum kena dan berjimat sebelum habis.

Kesan lain yang akan menjejaskan pengguna akibat kenaikan harga barang ialah kadar inflasi akan meningkat di negara kita. Apabila kadar inflasi meningkat. sudah tentu ekonomi kita akan menghadapi masalah untuk berkembang dan seterusnya pertumbuhan ekonomi akan lembab. Sebagai contohnya sebelum bulan Jun 2008 kadar inflasi di negara kita masih berada di bawah paras 3 peratus, tetapi apabila harga petroleum meningkat pada bulan Jun, kadar inflasi juga meningkat hingga melebihi 7 peratus. Oleh itu, kesan inflasi ini sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada semua golongan masyarakat. Jadi, semua pihak perlulah menjimatkan perbelanjaan seharian bagi mengelakkan masalah inflasi daripada terus mencengkam masyarakat.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan anggota masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini. Langkah tersebut ialah pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna. Hal ini demikian kerana, melalui kempen, mesej kerajaan untuk menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat akan mendatangkan hasil. Kempen tersebut boleh dijalankan melalui media massa arus perdana seperti televisyen, radio dan juga media cetak. Kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna.

Langkah seterusnya ialah para pengguna perlu merancang perbelanjaan seharian dengan lebih berhemat. Hal ini akan menjadikan para pengguna di negara kita lebih bijak semasa berbelanja iaitu membeli barang-barang yang diperlukan sahaja. Barang-barang yang kurang diperlukan tidak perlu dibeli atau mungkin ada barangan alternatif yang lain dan lebih murah harganya di pasaran. Para pengguna boleh membeli barang makanan yang dimakan setiap hari sahaja berbanding dengan makanan sampingan yang kurang penting. Oleh itu, wang yang digunakan untuk membeli barang-barang yang kurang diperlukan itu dapat dijimatkan dan digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting. Perkara ini serterusnya dapat mengurangkan masalah yang timbul akibat kenaikan harga barang yang dihadapi oleh semua pengguna.

Anggota masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Dengan cara ini, para pengguna tidak perlu lagi membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari. Sebagai contohnya, anggota masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Oleh hal yang demikian, para pengguna hendaklah menjadikan amalan berjimat cermat sebagai budaya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, semua pengguna perlulah sedar akan kesan buruk akibat kenaikan harga barang sekiranya tidak diambil endah oleh anggota masyarakat. Sekiranya para pengguna tidak membudayakan amalan berjimat cermat, sudah tentulah kenaikan harga barang akan menimbulkan masalah yang serius kepada mereka sendiri. Jadi, langkah awal dan proaktif perlulah diambil,janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah atau apabila nasi sudah menjadi bubur baru hendak bertindak. Sekiranya langkah proaktif tersebut diamalkan sudah tentu masalah kenaikan harga barang yang hangat diperkatakan pada masa ini akan dapat ditangani dengan berkesan.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim