Sunday, August 15, 2010

Usul - P&P Matematik dan Sains wajar dalam BM

Usul - P&P Matematik dan Sains wajar dalam BM

Soalan:
Saya akan menyertai pertandingan perbahasan ala parlimen. Usul yang telah ditetapkan ialah `Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik wajar menggunakan Bahasa Melayu.' Bolehkah cikgu membantu saya untuk mengemukakan hujah baik sebagai kerajaan, mahupun sebagai pembangkang?

Drp: Nazif Beckham
SMK Bandar Baru Sintok..

Jawaban:
Usul ini bagus dan adil. Banyak hujah yang boleh diutarakan sama ada untuk menerima atau menolak usul.

Jika sebagai kerajaan, anda hendaklah mengemukan hujah untuk menyokong usul tentang sebab-sebab mata pelajaran Matematik dan Sains diajarkan dan dipelajari dalam BM. Antara hujah yang hendak dikemukakan adalah seperti yang berikut:

1. Berdasarkan perlembagaan Negara-Nyatakan bahawa BM merupakan Bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan serta bahasa Penghantar dalam Sistem Pendidikan di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu mestilah diajarkan dalam bahasa Melayu.
2. Bahasa Melayu mampu memperkatakan apa-apa jua bidang ilmu. Yang tidak mampu ialah penuturnya.
3. Bahasa Melayu telah terbukti sebagai Lingua Franca di Nusantara sejak Zaman Kerajaan Sri Vijaya dan Kerajaan Melaka.

Jika sebagai Pembangkang, anda hendaklah mengemukakan hujah tentang kesan negatif yang akan timbul jika mata pelajaran Matematik diajarkan dalam BM.

1. Pelajar Malaysia akan menghadapi masalah untuk mengikuti pelajaran di luar negara kerana kebanyakan negara di dunia menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk mengajarkan Matematik dan Sains.
2. Banyak istilah sains dan Matematik tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Apabila istilah tersebut diMelayukan, maka bahasa Melayu akan tercemar sekali gus akan menggugat taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kerajaan terpaksa meningkatkan aktiviti penterjemahan. Usaha Penterjemahan pula akan menyebabkan perbelanjaan yang besar dan kita menghadapi masalah tentang tenaga pakar untuk kerja-kerja penterjemahan tersebut.

Hujah yang dikemukakan mestilah disokong dengan bukti atau fakta yang meyakinkan.

Drp;
Cikgu Ghalib