Friday, September 3, 2010

CONTOH PENULISAN KARANGAN: HENDAK SERIBU DAYA,SERIBU IKHTIAR,SERIBU DOA

CONTOH PENULISAN KARANGAN: HENDAK SERIBU DAYA,SERIBU IKHTIAR,SERIBU DOA














Karya: Ahmad Rasyideen (T4)

Mei 26 1908, sebuah syarikat milik British telah berjaya menemui telaga minyak pertama di bumi Arab iaitu di Persia ( Hari ini Persia dikenali sebagai Republik Islam Iran ). Penemuan ini juga telah menjadi titik permulaan kepada ratusan ribu lagi usaha carigali minyak di bumi Arab yang berterusan hingga ke hari ini.
Pada tahun 1901, seorang jurutera Inggeris William D’Arcy telah diberikan hak galian oleh Kerajaan Persia untuk mencari minyak di bumi Persia. Bersama seorang lagi jurutera berbangsa Inggeris George Reynolds, D’Arcy telah menggali segala pelosok bumi Persia selama 7 tahun tanpa menemui walaupun setitis minyak.

Usaha yang telah gagal mendatangkan sebarang hasil ini telah menyebabkan D’Arcy hampir muflis. Segala harta dan rumahnya di England telah pun tergadai. Namun pada tahun 1904, D’Arcy telah berjaya meyakinkan sebuah syarikat di England, iaitu Burmah Oil Company untuk menampung kos pencarian seterusnya.

Syarikat Burmah Oil Company pun hampir berputus asa apabila hingga ke bulan May 1908, D’Arcy masih belum lagi berjaya menemui walaupun setitis daripada permata padang pasir bumi Persia itu.

Pada masa ini, rakan beliau seorang lelaki berketurunan Arab yang bernama Khalis Ben Ezhab yakin bahawa nasib dan takdir masih lagi belum menyebelahi usaha D’Arcy. Khalis Ben Ezhab telah bersetuju untuk melaburkan segala wang dan harta simpanan beliau untuk projek ini.

Pada awal Mei 1908, D’Arcy telah menerima telegram dari Ibu Pejabat Burmah Oil di London yang memberikan arahan terakhir buat beliau supaya menggali sampai ke tahap kedalaman 1,600 kaki, dan jika tidak juga menemui minyak, maka beliau adalah diarahkan supaya menerima kegagalan beliau dan pulang sahaja ke England dengan serta merta.

Syarikat Burmah Oil berpendapat bahawa kenapa perlu sangat nak rugi sebegitu banyak wang dan masa hanya untuk mencari minyak sedangkan pada masa itu industri automotif dunia cumalah masih lagi bertahap lakaran konsep sahaja tanpa ada satu pun pembuat kereta di dunia selain daripada Austro-Daimler-Benz yang juga turut menggunakan enjin stim. Kapal dilautan juga menggunakan tenaga stim dan begitu juga dengan keretapi. Semua kilang, janakuasa elektrik dunia dan enjin ekonomi dunia juga hanya bergantung kepada arang batu sebagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga stim. Apalah sangatnya kepentingan minyak? Persoal mereka lagi kepada D’Arcy.

Namun semangat D’Arcy dan rakannya Khalis tidak mudah dipatahkan. Mereka nekad menggali siang dan malam di kawasan Masjid I’Sulaiman, tempat perkampungan Khalis Ben Ezhab. Sebagaimana yang telah ditakdirkan Allah, menjelang subuh pada 25 Mei 1908, seluruh kawasan Masjid I’Sulaiman telah di selubungi bau sulphur yang sangat tajam yang telah hampir menyukarkan pernafasan. Sebelum berkumandangnya azan solat subuh pada hari itu, pada kedalaman 1,180 kaki kedalam permukaan bumi Persia, minyak telah berjaya ditemui dan telah menjulang keluar 75 kaki ke udara minyak mentah pekat hitam yang bakal merubah segalanya di muka bumi ini!

Perkampungan Masjid I’Sulaiman amatlah terpencil kependalaman Persia sehingga mengambil masa 5 hari untuk D’Arcy keluar ke pekan dan menghantar telegram ke London. Telegram itu ringkas bunyinya : “ Semua masalah kita dah selesai!”. Pada bulan September 1908, D’Arcy dan rakannya Khalis telah berjaya menemui satu lagi telaga minyak yang jauh lebih besar di Persia.

Burmah Oil Company kemudiannya telah menawarkan kepada D’Arcy untuk menjadi rakan kongsi mereka. Demi persahabatan D’Arcy dengan rakannya Khalis yang sanggup bersusah bersamanya, maka D’Arcy mensyaratkan pihak Burmah Oil supaya menstrukturkan semula syarikat mereka dengan beliau dan Khalis sebagai pemegang saham utama syarikat.
Maka pada tahun 1909, Burmah Oil Company telah dijenamakan semula kepada Anglo- Persian Oil Company. Pada tahun 1935, Syarikat Anglo Persian Oil Company telah bertukar nama kepada Anglo-Iranian Oil Company, kemudiannya British Petroleum pada tahun 1954 dan sebagai BP pada tahun 2000.

Pada tahun 1935 semasa saham syarikat ini pertama kali diniagakan di pasaran saham Glasgow dan London, kesemua sahamnya habis dijual dalam masa 30 minit. Pada detik bersejarah ini jugalah bermulanya perlumbaan minyak dunia. Bahan komoditi terbaru yang akan membentuk struktur politik, ekonomi dan kekuatan baru dunia.